Showing posts with label Pengembaraan. Show all posts
Showing posts with label Pengembaraan. Show all posts

18 July 2011

NICE 2011

Peserta-peserta NICE bergambar bersama Prof Dr Muhaya dan penganjur program
NICE 2011
NICE (NATIONAL IBNU SINA CONFERENCE & COMMUNITY ENGAGEMENT 2011) telah berlansung di Kem Kijang pada 7-10 Julai 2011. Anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) bertemakan Islamist Medicine: From Bench to Bedside
Add caption
Menyedari kepentingan perubatan Islam secara holistic, maka program ini telah dianjurkan dan berlansung dengan jayanya selama 4 hari 3 malam. Selain itu ia memberi kefahaman dan kesedaran kepada bakal graduan pengamal perubatan dan kesihatan berkaitan perubatan Islam, penekanan juga diberikan kepada aspek praktikaliti dalam tugas di alam kerjaya.
Peserta konferen juga telah diberikan pendedahan secara praktikal dalam isu-isu serta masalah di sekitar fikah perubatan. Bengkel serta modul yang telah disediakan dapat melengkapkan peserta dengan asas-asas fiqh perubatan Islam serta kaedah Dakwah dalam bidang perubatan dan kesihatan. Peserta juga telah di bawa ke medan sebenar  iaitu di wad-wad di HUSM dan rumah-rumah pesakit sekitar Dun Kijang dan Panchor bertemu dengan pesakit-pesakit untuk lebih menghayati dan mengamalkan apa yang telah dibengkelkan.
Di dalam konferen ini, antara topic yang dibincangkan adalah:
~Konsep Hospital Islam oleh Dr Najib Mat Pa
~Konsep Perubatan Islam oleh Abu Anas Madani Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pensyarah KIAS, Musyrif Pondok Sungai Durian)
~Promosi Kesihatan sebagai Cabang Dakwah dan Islamist Medicine: From Bench to Bedside oleh Dr Harmy (salah seorang penulis buku Fekah Perubatan)
~Isu Kontemporari oleh Ustaz Fauzi Yusoh (Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA)
~Cabaran Pengamal Perubatan dalam Mengamalkan Islam semasa Bertugags oleh Prof. Madya Dr Rashidi
~Penulisan dan Kajian sebagai Medan Dakwah oleh Dr Irfan
~Role of Muslim Medical Professional & Approach to Dakwah in Healthcare oleh Prof Dr Muhaya Mohamad (Pakar Motivasi dan Consultant Opthalmologist Prince Court Medical Centre)
~Mati Otak: Perspektif Moden dan Islam oleh Dr Wan Nazaruddin (Pakar Anaesthesiology HUSM)
~Forum: Fiqh Dakwah dalam Perubatan dan Kesihatan
~Kepentingan Academia dan Pentadbir Muslim dalam Merealisasikan Hospital Mesra Ibadah oleh Prof Madya Dr Abdul Razak (Pensyarah/ Pakar Perubatan Orthopaedic HUSM)
Program ini juga adalah program tahunan anjuran PAPISMA sebagai medan untuk melahirkan Professional  dan Pengamal Perubatan yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mempunyai kesedaran untuk menggerakkan dakwah melalui profession dan mengembangkan bidang yang diceburi selaras dengan syariat Islam.
Besar harapan daripada pihak PAPISMA dan penganjur program agar program ini boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan kefahaman, penghayatan serta pengamalan perubatan Islam di kalangan pengamal perubatan dan kesihatan.
Memetik kata Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Hamid sebagai Pengarah Program “Sungguh! Bidang kesihatan adalah ‘untapped area’ dalam kerja dakwah di Malaysia. Sebahagian besar professional kesihatan memisahkan Islam daripada kesihatan; Islam suku kesihatan suku. Ia perlu diperbetulkan! Islam adalah agama yang bersifat sarwajagat.”
Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang telah menjadikan segala sesuatu. Memberikan nikmat Iman dan Islam. Islam agama yang syumul yang tidak pernah terpisah daripada apa-apa bidang yang wujud sekalipun. Cuma kadangkala umat Islam terlalu leka, leka daripada agama sehingga sanggup memisahkan agama daripada bidang yang diceburi dan lupa tanggungjawab sebagai pendakwah dalam menegakkan agama. Islam tidak pernah terasing daripada apa-apa bidang sekalipun. Maka teramat penting untuk semua Pengamal Perubatan dan Kesihatan yang mukmin menyedari akan kepentingan untuk mendalami Islam dan Fekah Perubatan agar kita dapat menjadi pakar rujuk kepada umat Islam yang lain dan mengembangkan ilmu ini demi untuk kepentingan umat Islam.
Akhir kalam daripada penulis, Alhamdulillah Maha Suci Allah kerna memberikan kesempatan dan kesedaran untuk mendalami ilmu-NYA yang teramat luas ini. Semoga sedikit amalan ini mampu memberikan manfaat kepada umat pada masa kini dan masa hadapan.
RESOLUSI NICE 2011

08 June 2011

Pondok Modern Darussalam Gontor


Pondok Modern Darussalam
Pondok Modern Darussalam Gontor merupakan salah satu pesantren yang terkenal terletak di Gontor, Ponorogo, Jawa Timur Indonesia. Berperanan dalam mewarnai pendidikan Indonesia bahkan Asia Tenggara.

Saya mula tertarik dengan Pondok ini setelah menghadam sebuah novel karangan Ahmad Fuadi Negeri 5 Menara. Rujuk Negeri 5 Menara. Memasuki usianya yang ke-85 tahun, pondok ini terus memperkukuhkan peranannya dalam mendidik anak-anak Islam, menggerakkan dakwah kemasyarakatan dan melahirkan para cendekiawan Islam.

Alangkah baiknya seandainya di Malaysia juga wujud sistem pendidikan pondok seumpama ini yang menekankan ukhrawi dan duniawi. Di sini pelajar hanya dibenarkan bertutur dalam dua bahasa sahaja iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, bahasa lain tidak dibenarkan sama sekali, melatih para santri berpidato layaknya seperti pemidato hebat, menggalakkan penulisan dan menekankan aspek-aspek kesihatan dan bersukan.

Mungkin saya tidak pandai untuk menceritakan atau memberikan gambaran tentang kehebatan pendidikan dan sistem pembelajaran di pondok ini dengan menggunakan bahasa saya yang terbatas dan apatah lagi saya tidak pernah sampai ke sana. Saya teringin sangat untuk menjejakkan kaki ke sana. Untuk mendapat gambaran yang terbaik mungkin kalian boleh menghadam novel Negeri 5 Menara, kisahnya adalah kisah nyata pejuang-pejuang ilmu di bumi Gontor.

Penghargaan saya buat Khamisah sudi mengambilkan gambar buat saya sepanjang kunjungan beliau ke Pondok Modern Darussalam Gontor dan membawa jiwa saya bersama (^_^). Paling tidaknya saya mendapat gambaran pondok itu pada era kini secara kasar.
Ahlan Wasahlan


Laman Thobur

Apa yang kau cari?

Menurut Khamisah inilah Polis Keamanan yang meronda sekitar sekolah dan kg dengan basikal dan mengawal disiplin pelajar (Rujuk Negeri 5 Menara)



21 May 2011

Ranah 3 Warna: Kisah Mewarnai Kehidupan

Berpegang kepada prinsip “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain”, A. Fuadi menulis, dan terus menulis, sehingga menghasilkan novel keduanya Ranah 3 Warna sambungan Negeri 5 Menara yang pasti penuh inspiratif lagi buat yang berani bermimpi.


Setelah menghadamnya beberapa hari, saya turut bersedaran untuk terus menyambung ‘mimpi’, terus bersabar dan tahap percaya pada diri harus meningkat.

“Sekiranya kita sudah melatih diri kita percaya sedemikian rupa, impian itu lambat-laun akan menjadi nyata, pada waktu yang tidak pernah kita sangka-sangka” (A. Fuadi, p. 188).

3 Mantera Sakti

Di novel kedua ini, latarnya bukan lagi Pondok Moden Gontor di Jawa Timur sebagai medan tarbiyyah yang memberi kesan, tetapi di Universiti, peringkat sarjana penulis. Walaupun begitu, setiap dugaan yang datang pasti lebih berat dan mencabar, penulis masih berpegang pada 3 mantera sakti yang terpahat sejak di pondok

‘Man Jadda Wa jada’ (Sesiapa yang berusaha, pasti berjaya)
‘Man Sabara Zhafira’(Sesiapa yang bersabar, akan beruntung)
‘Man Sara ‘ala darbi washala’ (Sesiapa yang berjalan di atas jalannya akan sampai ke tujuannya)

Penulis (A. Fuadi) sedar, mengharungi setiap detik-detik kehidupan, menggapai impian bukan hanya sekadar perlu kepada ‘man jadda wa jada’, tetapi setelah usaha dilakukan sehabis daya dengan sepenuh upaya, selebihnya kita seharusnya bertawakal dan bersabar di atas apa yang tertulis buat kita.

Apa yang pasti, Allah sangat suka kepada orang-orang yang sabar. Sabar berjuang menghadapi ujian yang mendatang. Dan Allah telah janjikan setiap yang sabar pasti akan beruntung!

“Siapa yang bersabar dia akan beruntung. Jadi sabar itu bukan bererti pasrah, tetapi adalah sebuah kesedaran yang proaktif. Dan sesunnguhnya Allah itu sentiasa bersama orang-orang yang sabar”

“Jarak antara kesungguhan dan kejayaan hanya dapat di isi dengan sabar. Sabar yang aktif, sabar yang gigih, sabar yang tidak menyerah, sabar yang penuh dari pangkal sampai hujung yang paling hujung. Sabar yang dapat membuatkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin, bahkan seakan-akan itu sebuah keajaiban dan keberuntungan. Padahal keberungtungan adalah hasil kerja keras, doa dan sabar yang berlebih-lebih”Dengarkan pantun ini.

Daun maple menggantung di dahan,
Menunggu salju datang mendera,
Hamba akan teguh bertahan,
Mengambil inti Man Shabara Zhafira.



Makan durian di pinggir taman,
Daun kuning masak di dahan,
Orang Melayu teguh beriman,
Kalau sabar tentu disayangi Tuhan.

Merantaulah…

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampong,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang
-Imam Syafie-

Terkesan dengan syair Imam Syafie seperti yang dipersembahkan oleh A. Fuadi, merantaulah kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan. Di usia muda, di kesempatan yang Allah kurniakan ,inilah masanya untuk kita mengambil peluang merantau dan menuntut ilmu. Apatah lagi di zaman sekarang segala kemudahan untuk menyambung pengajian adalah terbuka luas cuma tinggal samada kita mahu atau tidak.

Penyerahan Total Kepada Allah

“Aku akhirnya sampai kepada kesimpulan hidup ini adalah masalah penyerahan diri. Apabila aku sudah binggung dan terlalu bersusah hati menghadapi seluruh tekanan hidup…."

“Sesiapa sahaja yang mewakilkan urusannya kepada Tuhan maka Dia akan ‘mencukupkan’ semua keperluan kita. ‘Cukup’. Itu yang sepatutnya kita cari. Apa ertinya banyak harta tetapi tidak pernah merasa cukup? Itulah janji Tuhan kepada orang yang berserah kepadaNya. Aku ingin berserah secara sempurna. Aku ingin dicukupkan seluruh keperluan”.

Dalam kehidupan, tidak semestinya semua yang kita mahu, akan kita dapat. Allah amat menyayangi kita. Dia hanya memberi kepada kita apa yang kita perlukan dan Dialah yang Maha Mengetahui.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (Al-Baqarah; 216).

Setiap doa-doa kita pasti akan didengariNya. Menurut Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili, kunjunga beliau ke Malaysia baru-baru ini, bahwa setiap doa yang kita panjatkan itu ada 3 kelebihan;
1) Allah akan dimakbulkan pada waktu yang sama,
2) Allah tidak menunaikan tetapi menggantikannya dengan menolak kejahatan,
3) Allah menyimpan setiap doa-doa kita di akhirat kelak.

Tenanglah setenang-tenangnya wahai orang-orang yang beriman, jika kamu yakin dengan apa yang kita laksanakan, yakinilah bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah, Allah pasti akan mengiringi doa kita. - Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili-

Selamat membaca buat kalian akan Ranah 3 Warna, saya pasti kalian tidak akan rugi apa-apa. Belajar daripada kisah hidup orang lain yang ikhlas menulis, sedikit sebanyak membantu kita menghadapi dan melalui kehidupan mendatang. Apa yang penting, usah takut untuk berMIMPI!

Wallahu’allam. (sekadar perkongsian, apa yang baik hanya daripada Allah, dan setiap kekurangan tulisan ini adalah daripada diri NAAR yang lemah)

19 May 2011

Mengutip Mutiara Kehidupan

Bersabar dan ikhlaskanlah dalam setiap perbuatan
Terus meneruslah berbuat baik ketika di kampong dan di perantauan
Jauhilah perbuatan buruk dan ketahuilah pelakunya pasti dibalas,

di perut bumi dan di atas bumi.

Bersabarlah menyongsong musibah yang terjadi dalam waktu yang mengalir

Sungguh dalam sabar ada pintu kejayaan dan impian akan tercapai
Jangan cari kemuliaan di kampong kelahiranmu

Sungguh kemuliaan itu ada pada perantauan pada usia muda

Singsingkan lengan baju dan bersungguh-sungguhlah menggapai impian
Sebab kemuliaan tidak akan dapat diraih dengan kemalasan

Jangan bersilat kata dengan orang yang tidak mengerti apa yang kau katakan
Sebab debat kusir adalah pangkal keburukan

Diterjemah dengan bebas daripada syair Sayyid Ahmad Hasyimi
Syair ini diajar pada tahun ke-4 di Pondok Madani Gontor, Ponorogo.

21 January 2011

Kembara Ilmu-The Royal Library of Alexandria

The Royal Library of Alexandria

The Royal Library of Alexandria was once the largest library in the world. Founded by Alexander the Great in the fourth century BC, built and enlarged by Ptolemy I, Alexander's successor, the city's library comprised perhaps as many as 700,000 manuscripts - the whole corpus of knowledge accumulated by ancient philosophers, scientists and poets. And it was all contained in a building thought by the ancients to have been of surpassing beauty, not a trace of which survives. It is called the Bibliotheca Alexandrina (which is Latin for Library of Alexandria).








One of the libraries that I’m really love to go, not only because of the uniqueness of their building, but the manuscripts itself. Travel for the sake of knowledge. InsyaAllah.

07 September 2010

Ramadhan Terakhir Kita Bersama!



Ramadhan Terakhir Kita Bersama!

Memang sukar and sayu untuk membayangkan…inilah Ramadhan terakhirku sebagai seorang mahasiswa, Ramadhan terakhirku di kampus.

Inilah Ramadhan terakhirku bersama teman-teman seperjuangan, 4 tahun ‘struggle’ in Bachelor of Nursing, teman-teman, sahabat-sahabat Dentist, Pharmacy, Allied Health, Sciences and Medic yang sama-sama menuntut ilmu di bumi Kuantan.
Ramadhan terakhir kita bersama…, kita bersahur, kita berbuka, kita bertaraweh, kita bertadarus, kita berqiamullail bersama-sama…

Segala-galanya kekal menjadi kenangan dalam lipatan jurnal kehidupan.

Mungkinkah jua inilah Ramadhan terakhirku…seandainya…

Tiada lagi Ramadhan lain selain Ramadhan ini yang bakal berlabuh,

Ramadhan yang tidak mungkin digapai kerna diri sudah ‘tiada’ di sini….wallahu’allam. Allah lebih Mengetahui.
Seperti sebuah perjalanan yang panjang, sesungguhnya hidup ini adalah kereta tua yang tidak pernah tahu bila ia akan berhenti. Ia terus berjalan, melalui apa sahaja yang dihadapannya. Segala disisinya melambaikan perpisahan. Tetapi tidak ada satupun orang yang mengerti bila ia akan berakhir.

Setiap lambaian kehadiran, sesungguhnya adalah lambaian perpisahan.

Kita hadir untuk kembali.

Kita datang untuk pulang.

Kita lahir untuk mati.

Begitulah pada hakikatnya.

Kita lahir sendirian, tidak punya apa-apa….

Kita kembali sendirian dan tidak punya apa-apa jua.

Ramadhan yang mulia, saat sumber kekayaan spiritual dilapangkan seluas-luasnya, saat pelbagai kurniaan tidak diberikan pada bulan selainnya. Harus ada kebimbangan bagi kita, barangkali ini Ramadhan terakhir kita.


Taqoballahu Minna wa Minkum Taqoballahu Ya Kareem...

01 July 2010

Hospital Jadi Tempat Lepas Gian

Hospital jadi sarang penagih

KUANTAN - Umum mengetahui bahawa kawasan hospital kini merupakan kawasan larangan merokok, namun suatu yang mengejutkan apabila didapati Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini didapati menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian. itu dikesan berlaku di kawasan taman dikelilingi blok bangunan yang menempatkan wad pesakit dan sedikit terlindung daripada pandangan orang ramai serta tidak diterangi lampu pada waktu malam.

Apa yang menghairankan, pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan hospital itu langsung tidak menyedari kewujudan kegiatan penagihan dadah di HTAA pada setiap malam. Bertindak atas maklumat beberapa pelawat, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuantan melakukan operasi khas menggempur sarang penagih di hospital tersebut pukul 12 malam kelmarin.


Saya pernah berpraktikal di Klinik Psikiatri, HTAA pada semester lepas. Memang benar di situ juga ditempatkan Klinik Gantian Terapi Methadone bangunan yang sama dengan Klinik Psikiatri. Posting seminggu di situ, sempat saya menjengok klinik tersebut dan belajar sedikit sebanyak daripada MA (Medical Assistant) di situ.
Saya merasakan kepelikan dengan kewujudan klinik tersebut kerna ia menyumbangkan dadah percuma kepada penagih dadah dalam bentuk cecair iaitu methadone. Banyak persoalan yang terlintas di fikiran saya.

Menurut salah seorang MA, apabila ditanya, kaedah ini dicedok daripada barat (lagi-lagi barat). Apa ‘reason’nya? Untuk membantu para penagih tegar mendapatkan stok dan mengelak mereka daripada gian untuk mendapatkan dadah dalam bentuk yang lain di luar sana.

Penagih yang mendapat rawatan di sini akan sentiasa di’follow up’ agar mereka tidak lagi mengambil dadah di luar sana. Mereka perlu datang ke klinik ini pada setiap hari unuk mendapatkan methadone biasanya sebelum mereka pergi bekerja.

Disamping itu, di sini juga disediakan khidmat kaunseling untuk mereka yang dikendalikan oleh seorang kaunselor yang dikhaskan di sini. Saya sempat bersama kaunselor tersebut berkongsi idea dan bersama-sama beliau dalam sesi kaunseling bersama seorang penagih dadah.

Apa yang menjadi persoalan saya yang tak terjawab sehingga hari ini. Sejauhmanakah keberkesanan kaedah ini untuk membantu para penagih? Sembuh ke penagih tu. ..berkurang ke gian mereka?.
Saya dimaklumkan juga bahwa kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk kaedah rawatan ini termasuk ujian air kencing yang perlu dilakukan kepada mereka. Saya diberitahu, bahwa ujian air kencing ini pun memakan kos yang banyak lebih-lebih lagi ia dapat ‘detect’ secara specific jenis dadah yang diambil oleh mereka. Sedangkan mereka tidak perlu mengeluarkan apa-apa bayaran.

Lagi memeritkan para staff disini, seandainya mereka enggan memberi extra dadah kepada mereka @ tidak melayan mereka dengan baik, biasanya adalah kereta yang tercalar selepas itu. Wallahuallam, saya tidak pasti kesahihan tapi itulah yang saya pernah diberitahu.

Apa yang berlaku sebagaiman di atas, hospital sebagai tempat menagih, saya tidak pelik lansung. Adakah pihak kementerian kesihatan tersalah langkah dengan memperkenalkan kaedah pemberian methadone secara percuma? Kerajaan telah berhabis duit, sedangkan mereka still dengan tabiat dan gian mereka. Itulah kalau semuanya kita nak cedok dari barat!!!

Apa pun tahniah kepada PENGASIH…kerna membantu ramai penagih tegar kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah. Itulah kaedah yang terbaik. Tak perlu berhabis duit tak tentu kalu!

Orang kuat PENGASIH

31 March 2010

Kemaruk Buku

Kemaruk Buku

Sungguh Allah s.w.t telah mengurniakan lautan gagasan yang tidak akan pernah kering digali daripada Al-Quran, Al-Hadis, As-Sunnah, sirah nabawiyyah dan berbagai ilmu Islam lainnya untuk kita kemas menjadi tulisan.

Dan tulisan-tulisan itulah yang dibukukan lalu menjadi buku-buku dalam pelbagai genre, pelbagai judul , pelbagai gaya penulisan dan idea yang dibawa.

Lantas sampailah di tangan-tangan kita buku-buku yang siap untuk kita miliki dan mengambil hikmah daripadanya.

Kemaruk buku tidak sama dengan kemaruk cinta mahupun kemaruk makan atau kemaruk hiburan, walaupun ‘kemaruk’ itu sama sahaja maksudnya. Kemaruk pada buku itu jauh berbeda. Kerna kemaruk buku menjadikan kita individu yang kemaruk ilmu. Kemaruk untuk mendalami ilmu-ilmu yang telah tersedia di muka bumi ini, menunggu kita untuk mencari galinya, mengkaji dan belajar dan mengambil hikmah darinya.

Kemaruk buku tidak hirau duit kehabisan melayan kemaruk membeli buku, tidak kisah masa yang diperlukan untuk memperhalusi satu-satu buku, mahupun tidak kisah ‘space’ di bilik semakin sempit dek dipenuhi buku.
Asalkan hidup ini sehari-hari di masa terluangnya tidak terbuang dengan cakap-cakap kosong, umpatan, movie-movie yang tidak bermanfaat,tidur-tidur yang berlebihan. Tetapi di isi dengan membaca buku.

Membedah buku

Di masa perjalanan pulang dari PWTC ke Kuantan, seorang sahabat saya YB bertanya “apa bezanya antara membaca dengan membudayakan membaca?”

Sekali pandang soalan itu agak ‘simple’. Membaca dengan membudayakan membaca sememangnya berbeza. Berbeza pada istilah ‘membudayakan’ itu. Pada yang lainnya tidak banyak yang boleh dibahaskan antara membaca dan membudayakan membaca. Seseorang yang membaca dan membaca, membaca akan menjadi sebahagian hidupnya. Itulah dikatakan sudah terbudaya dalam diri.

Pada saya ramai yang mampu memiliki buku atau setidak-tidaknya ada inisiatif untuk meminjam buku walaupun tidak berkemampuan untuk membeli, tetapi tidak ramai yang mampu menghabiskan satu-satu buku sehingga usaha untuk menghabisinya terbengkalai. Ini muhasabah untuk diri saya juga. Naifnya.

Dalam ramai-ramai yang membaca buku ini termasuk yang tak sempat habis baca, berapa kerat yang mampu untuk membedah buku, mengkaji kembali apa yang terkandung dalam buku itu dan memperhalusinya, bukan sekadar menerima bulat-bulat. Sekiranya kita membaca satu-satu buku, adakah pernah kita ‘imagine’, seandainya kita ingin menulis seumpama tajuk itu, agak-agaknya dalam bentuk bagaimanakah hala tuju penulisan kita?

Penulisan itu adalah perkongsian ilmu seorang penulis dengan pembacanya. Penulis mengharapkan ‘feedback’ daripada pembacanya di mana lagi boleh diperbaiki pada penulisannya untuk lebih difahami dan dihadam oleh pembaca. Pembaca dan penulis adalah simbiosis. Itulah perlunya pada pembaca yang kritis sifatnya dan gemar membedah buku!Lama-lama pembaca itu mampu juga menjadi penulis…mahu tidak? Mahu mencetuskan mampu.

29th Kuala Lumpur Intenational Book Fair, PWTC

Hati begitu puas tak terkata bila dapat turun ke 29th Kuala Lumpur Intenational Book Fair, PWTC pada hari terakhir 28 Mac 2010. Seronok tak terkata.

Sanggup turun dari Kuantan semata-mata kerana buku walaupun di musim bergelut dengan final exam.

Terima kasih kepada SRC dan Presiden SRC Kuantan kerna menyediakan bas yang percuma. Alhamdulillah saya mampu berjimat dari segi tambang bas.

Bertemu dengan ramai penulis-penulis dan novelis-novelis yang saya kagumi dengan ilmu-ilmu mereka dan cara penyampaian mereka. Antaranya; Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ust Ridhuan Mohamad Nor, Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani. Cuma saya tidak mampu untuk mengabadikan pertemuan dengan mereka dalam kamera handphone saya dek perasaan malu dan segan untuk meminta bergambar.

Terasa sungguh bermakna dapat memiliki banyak buku-buku yang terbaru. Cuma menunggu masa untuk dibaca dan rasanya perlu dibuat jadual memandangkan banyak lagi buku yang perlu dibaca.

Bersama teman 'kemaruk buku'

Pesta Kitab Ilmiah

Saya begitu teruja dengan pesta buku ini kerana apa yang boleh saya katakan Pesta buku ini menjadi pesta buku-buku agama kerana kebanyakan buku yang dijual di gerai-gerai Syarikat penerbitan adalah boleh dikatakan semuanya buku-buku agama, buku-buku ilmiah, novel-novel Islam dan buku-buku dalam pelbagai bidang yang ditulis dengan mengambil acuan Islam.

Ini suatu perkembangan yang patut kita syukuri kerna dunia penulisan Malaysia dimeriahkan dengan penulis-penulis, novelis-novelis, kolumnis-kolumnis yang ingin membawa dan memperkenalkan Islam dan menyampaikan dakwah melalui penulisan mereka.

“Gagasan yang tidak diminati orang akan sia-sia, tulisan yang tidak dibaca orang akan sia-sia, lebih sia-sia lagi dakwah dan pemikiran yang tidak diterbitkan”

Mudah-mudahan kata-kata daripada seorang penulis dari Indonesia melalui buku beliau ‘Menjadi Powerful Da’ie Dengan Menulis’ ini membuatkan kita berfikir, kita tidak hanya selama-lamanya menjadi seorang ‘penerima’ dengan hanya menjadi pembaca tetapi sama-sama beriltizam untuk memperhebatkan dunia penulisan Islam dengan buku-buku garapan kita. Setidak-tidaknya kita ada ’harta’ yang tidak akan habis dan luat untuk dikongsi apatah lagi pabila kita bertukar dan berpindah alam nanti. InsyaAllah.

27 December 2009

'Diari Pantun' Muncul di MPKB


'Diari Pantun' Muncul di MPKB

Di saat saya dan sahabat-sahabat menunggu hidangan kami yang berupa sup di tapak jamuan di MPKB, kami dikunjungi sekujur tubuh yang berjalan agak keletihan, tercungap-cungap dan seolah-olah menerpa ke arah kami saat menghampiri kami kerna tidak mampu mengawal keletihannya dan pergerakannya.

Saya agak kebingungan pada mulanya, ‘orang apa ni’, datang tak diundang. Terus mengambil nafas seketika, beliau mengeluarkan bungkusan kerepek pisang yang hanya berbaki dua.

“kak, belilah ni, sayo kiro nok perabih jah ni”.
Kerna kasihankannya dua daripada sahabat saya membelinya.

Sempat kami bertanya “bakpo napok leloh sangat ni…”
Jawabnya ringkas “ sakit la kak...leloh!”

Lantas dia mengeluarkan satu buku log pendek tebal yang agak remuk dan usang. Mungkin kerna terlalu kerap digunakan dan terlalu dibawa ke sana kemari.
"ni lah buktinya..." tambahnya lagi.

Saya meminta untuk membelek buku catatan itu. Agak menarik perhatian saya. Membaca nama yang tercatat di buku itu ‘Firdaus’(bukan nama sebenar).


Menariknya di dalam buku log yang tebal itu, tercatat rangkap-rangkap pantun yang dituju khas buat ‘mereka yang berjasa’ padanya saat beliau kesakitan. Buat para Pakar, Doktor, Staffnurse, dan Medical Assistant (MA) yang pernah merawatnya di Hospital Kota Bharu sejak beliau kecil lagi.

Di sebelah tepi pantun itu, terdapat cop staf-staf hospital yang merawatnya. Ini bererti, serangkap pantun ditujukan untuk setiap insan yang pernah memberi perawatan kepadanya pada hari tersebut dan setiapnya diminta cop tanda mereka membaca dan menerima pantun yang dibuat oleh Firdaus. Ia seumpama 'report BHT' di wad.

Maka tidak hairanlah seandainya buku setebal itu penuh dengan rangkap pantun yang menyenangkan dan merupakan ‘diari kehidupannya’ menggambarkan segala keperitan dan kesabarannya menghadapi ujian sakit yang Allah ujikan pada susuk tubuhnya sejak kecil lagi.

‘Diari pantun’ kisah suka dan duka penghidap Asthma yang serius. Menjadi peneman setianya ke mana sahaja beliau menapak. Beliau adalah pengunjung setia wad-wad medical Hospital Kota Bharu. Asthmatic attack yang datang juga pernah membuatkan beliau seizure (sawan) atau nyetok dalam loghat Kelantan yang mana menggambarkan keseriusan asthma yang melanda.

Sempat kami berkongsi kisah suka dan dukanya apabila ditanya kenapa sampai menjual kerepek ini sedangkan beliau ada nyatakan akan menghadapi ‘paper’ SPM pada keesokannya . Atas desakan kesusahan keluarga itulah jawabnya. Beliau bergantung kepada MDI, kemana-mana sahaja pergi, harus dibawa bersama ubat itu. Taraf ekonomi keluarga yang tidak seberapa, punya adik-beradik yang ramai, maka perlu mencari duit bagi menampung kos perawatannya.


Jauh di sudut hati, beliau bercita-cita tinggi mahu menjadi Perawat juga. Sempat aku menyalin 2 rangkap pantun daripada ‘Diari Pantun’ itu dengan izinnya buat kita bersama.

Deman mendatang terasanya lemah,
Panadol di makan ubat disedup,
Hospital dan klinik sebagai rumah,
Tempat bergantung seumur hidup,

Apabila hujan jagalah kesihatan,
Ubat singulair umpama bintang,
Tidak ditinggalkan ubat dan peralatan,
Menghalang penyakit yang ingin mendatang.

Penulis; Asyikin Abdul Razak.

Erti syukur pada nikmat SIHAT


Firdaus, maafkan kakak kerana mengungkapkan kisahmu (walau hanya sejenak kita bersua ) dan mengolahnya di laman ini tanpa izinmu. Semoga ia menjadi pengajaran buat diri kakak dan manusia-manusia diluar sana terutamanya bagi yang ingkar dan kufur pada nikmat SIHAT.


Semoga Allah s.w.t memberkatimu dan keluargamu.


Kakak tidak mendoakan agak kamu cepat sembuh. Tetapi kakak mendoakan agar kamu kuat dan teguh dalam iman menghadapi ujian ini.


Kamu ibarat tidak ada dosa kerna dosamu terhakis oleh kesabaranmu dan keikhlasanmu menghadapi dan menempuhi setiap kali kesakitan itu menjelma. Bertemu denganmu, biarpun buat seketika hanya dalam beberapa minit kita bercakap, membuatkan kakak berfikir.


Pada sekujur tubuh yang kelihatan lemah dan pucat, nafas yang tersekat-sekat kerna ganguan pernafasan, dan percakapan yang agak terganggu, terdampar sinar mata ketabahan. Membuatkan kakak ‘mengerti’.


Hakikatnya, tidak susah untuk kita mencari ibrah dan pengajaran daripada kehidupan. Mereka disekililing kita sudah cukup membuatkan kita berfikir dan merenung erti kehidupan itu pada kesusahan dan bersyukurnya kita pada nikmat SIHAT sebelum datangnya SAKIT


Catatan 21 November 2009, MPKB.

Himpunan Pemimpin Muda


Himpunan Pemimpin Muda

Saya ditaklifkan sebagai fasilitator Himpunan Pemimpin Muda 2009 anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Saya sanggup mengetepikan kursus lain yang harus saya hadiri kerna merasakan kepentingan saya untuk berada di program ini memandangkan sudah lama saya tidak turun padang bersama adik-adik generasi sekolah Yayasan Islam Kelantan yang menjadi kerinduan saya.

Bertempat di Kem Kijang, Jalan PCB, KB, program ini berlansung selama 3 hari (19-21/11 2009). Fokus utama adalah adik-adik pimpinan pelajar sekolah daripada pelbagai badan-badan induk sekolah dari seluruh sekolah-sekolah YIK di Negeri Kelantan.

Apa yang menarik perhatian saya adalah nama adik-adik yang terpilih ini adalah daripada Kerajaan Negeri sendiri. Ini menunjukkan keseriusan dan kepekaan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan bawah YB Fatah sendiri dalam melahirkan, menggilap, dan mengasah bakat-bakat baru kepimpinan di kalangan pelajar kearah melahirkan pemimpin muda.

Seandainya zaman saya belajar di Maahad dahulu, tidak wujud program sebegini yang mengumpulkan keseluruhan kepimpinan sekolah dalam satu-satu masa melainkan program-program kepimpinan di peringkat sekolah atas inisiatif Badan Dakwah, Badan Disiplin dan badan-badan utama lain.

Taklifan sebagai seorang fasilitator bukan suatu perkara mudah bagi saya biarpun saya telah berkali-kali dan punya pengalaman dalam kefasilitatoran. Tambahan pula saya berhadapan dengan pimpinan yang mana ‘cream of the creams’ yang boleh disifatkan.

Bagaimana sewajarnya saya manfaatkan slot bengkel yang singkat untuk saya titipkan sesuatu di hati mereka biarpun sedikit, itu sudah cukup bermakna buat saya.

Di awal pertemuan saya dengan adik-adik dibawah kendalian saya, soalan pertama yang ditanya salah seorang daripada mereka yang membuatkan saya keliru,

“k syikin…bakpo kito ore keno mari sinih?”

Saya ingat mereka sudah jelas dengan objektif utama mengenai HPM ini. Ia membuatkan saya gusar lalu bertanya kembali,

“Adik ada pegang gapo-gapo dok kat sekolah?”
Jawabnya ringkas , “ada”. Maka kata saya, “Itulah jawapannya!”.

Saya membuatkan mereka berfikir, biarpun jawatan di sekolah kadang-kadang bukan keinginan seseorang.

Perkara pertama yang cuba saya terapkan pada mereka adalah merasakan diri mereka sebagai ‘PEMIMPIN’, menjadi harapan sekolah, harapan kerajaan negeri dan harapan agama untuk meneruskan dakwah perjuangan Islam.

Dengan kedhaifan yang ada pada diri saya, saya cuba juga untuk menerapkan dalam diri mereka rasa kebertanggungjawaban pada apa yang di amanahkan atas mereka. Berjawatan bukan semata-mata untuk mendapat pengaruh, bukan untuk glamour, dan bukan jua untuk sijil yang hanya sekeping kertas.

Apabila ada rasa tanggungjawab, seorang pemimpin akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah. Tiada alasan untuk berkata “saya tidak mampu” melainkan berusaha terlebih dahulu.

Mereka bukan calang-calang pelajar, berpotensi untuk terkedepan sebagai pemimpin muda dan pelapis generasi kepimpinan Kerajaan Islam Kelantan. Membiarkan potensi diri terhalang daripada berkembang seumpama membunuh jati diri daripada dalam dan ia suatu kezaliman pada diri sendiri.


Sekolah bukan semata-mata tempat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja, tetapi sebagai tempat untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman daripada kehidupan sebagai panduan dan suluhan untuk menghadapi alam lain selepas tamat pengajian di peringkat sekolah, iaitu alam kampus dan alam pekerjaan.

Kecemerlangan akademik (IQ) tanpa kecemerlangan emosi (EQ) dan spiritual (SQ) adalah seumpama insan yang menjadi robot kepada dunia. Sudah pasti sukar untuk ‘survive’ dan teguh berpegang dengan prinsip Islam dalam menghadapi realiti masyarakat masa kini.

Saya yakin dan saya optimis bahawa adik-adik saya mampu untuk menjadi pemimpin muda yang serba boleh dan melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Kepercayaan itu yang saya ungkapkan dihadapan mereka agar mereka sedar bahawa mereka perlu ketepikan perasaan ragu-ragu, ketepikan ‘inferiority complex’, ketepikan pemikiran-pemikiran songsang yang membunuh potensi diri.

Tidak banyak dapat saya sumbangkan pada adik-adik saya dalam kondisi masa yang singkat. Adalah tidak adil kita mengharapkan untuk mereka terus maju jaya dalam program yang hanya 3 hari. Walaupun tidak banyak, mudah-mudahan ada ‘sesuatu’ yang dapat mereka kutip dan ambil pengajaran daripada HPM.

Syabas dan tahniah pada YB Fatah dan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan kerna usaha ini adalah penting untuk melahirkan kepimpinan muda dan pelapis-pelapis kepimpinan Islam sejak di bangku sekolah lagi.


Catatan penulis 25/11/09 Kota Bharu

01 November 2009

Hidup ini Mesti Ada Rasa Susah!


Hidup mesti ada rasa susah

Dalam ketegangan perasaan di saat-saat akhir berhadapan dengan final exam year 3 sem 1, fikiran saya kebingungan. Tambahan kesihatan yang tidak menentu.
Apa sebenarnya yang saya pelajari? Sedar-sedar sudah tiba peperiksaan akhir. Apa yang akan jawab di dewan nanti. Di mana persediaan? Semuanya tak terjawab.
Tiada jawapan melainkan diri sendiri yang menanggung. Diri sendiri yang wajib menempuhinya.

Saya cuba memujuk diri, mencari ruang-ruang waktu supaya di sana ada kesempatan sepenuhnya selagi diberi peluang, selagi belum melangkah ke dewan penyoalan terhadap apa yang dipelajari secara teorikalnya.

Saya merenung dan saya menginsafi, saya berfikir dan saya menyimpulkan bahawa hidup ini mesti ada rasa susah. Rasa susah membuatkan kita lebih menghargai kehidupan. Rasa susah dalam proses pembelajaran, rasa susah dalam menghadapi peperiksaan.

Itu tidak termasuk lagi rasa susah untuk menjadi manusia yang baik dan membawa kebaikan. Kerna dunia ini penuh dengan ujian dan kesusahan. Tapi di sana pasti ada janji kesenangan dan kejayaan buat orang-orang yang bersabar dan berusaha gigih. Allah itu tidak pernah memungkiri janji.

Rasa susah untuk mendapatkan sesuatu boleh men ‘trigger hormone-hormone’ kekuatan dalaman , ‘souce of power’ supaya jiwa ini lebih kental dan lebih berusaha.

Kejayaan itu bukan perkara yang senang, tapi tidak mustahil sama sekali, pengakhiran hidup yang baik tidak mustahil, tetapi perlu melalui kehidupan sebagai seorang yang beriman, yang menjalankan amanah dan hak-hak agama.Pendek kata perlu melalui jalan-jalan kesusahan.

Buktinya Allah berfirman dalam surahnya al-ankabut: 2
"Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘kami telah beriman ‘, dan mereka tidak di uji”.

Pasti di sana ada ujian, dan pasti di sana juga ada pertolongan daripada Allah.

“Allah menguatkan dengan pertolongannya bagi siapa yang dia kehendaki”
Al-Imran: 13

“Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal”. Al-Imran: 160

Benda yang susah adalah lagi berharga. Seumpama berharga seorang manusia itu, kerna sukarnya ‘process life cycle’. Begitu sukarnya seorang ibu untuk meneran anaknya sehingga anak itu mampu keluar dengan baik walaupun kita tidak terjangka saluran sekecil itu mampu mengeluarkan seorang bayi. Penuh dengan kesakitan, keperitan dan kehilangan darah yang banyak. Siapa sangka. It is miracle from Allah.

Sama juga seperti seekor rama-rama yang ingin bebas daripada kepompongnya…penuh dengan kesukaran. Jika kita menyaksikan proses pengeluaran rama-rama itu daripada kepompongnya, pasti saja kita kesian dan ingin sahaja memotong kepompong itu dan membantu rama-rama keluar dengan mudah. Tapi hakikat tidak perlu kerna ia pasti akan mencacatkan rama-rama yang baru ‘melihat dunia’. Biarlah ia lalui dahulu kesusahan agar ia lebih kuat sebelum mencari kehidupan yang tidak menentu cabarannya di hadapan.

Saya bukan berteori seorang diri. Berkata ikut sesuka hati.

Quran berkata begitu, ‘even’ Rasulullah, sebaik-baik contoh buat diri umat manusia sendiri pernah di uji dengan pelbagai rasa susah sejak dilahirkan. Pelbagai ujian dalam usaha menyampaikan ajaran Islam.

Baginda melalui proses pertarbiyyahan secara tidak lansung sejak kecil lagi melalui kesusahan-kesusahan yang dihadapi. Kita…apa cabaran yang telah kita lalui dalam hidup ini berbanding segala cabaran dan mehnah yang dihadapi oleh Kekasih Allah sendiri itu?

Hati kecil ini termuhasabah. Mengoreksi juga kata-kata ilmuan timur mahupun barat yang sempat di’jejaki’ dalam simpanan.

“Sunshine alone won’t make our life happy. In every person’s life some rain must fall. How very appropriate this wise saying is. It does not say ‘may’ or ‘could’ fall. It says ‘must’ fall”-Billi P.S Lim

Kata juga Mahatma Gandhi, the ‘father’ of India,

“Satisfaction lies in the effort, not in the attainment. Full effort is full victory”.

Begitu bermakna kata–kata seorang yang sangat bersederhana, memperhambakan diri untuk perjuangan bangsa India. Sekujur tubuh yang kecil, siapa sangka beliau mencipta sejarah dengan melalui pelbagai kesukaran.

“The best way to learn how to be a winner is to learn from winners and losers, especially the losers”- Tun Daim Zainuddin

“Only those who dare to fail greatly can ever hope to achieve greatly”-Robert F. Kennedy.

Sebelum saya meninggalkan laman ini buat sementara, saya berfikir dan berkonklusi bahwa untuk mencapai sesuatu kejayaan, seseorang itu harus terlebih dahulu keluar daripada pemikiran dan pandangannya tentang kejayaan.


Kejayaan dan kesenangan bukan suatu yang mudah dan mampu dikecapai dengan pantas. Tiada perkara yang berlaku dengan begitu sahaja di dalam dunia ini. Semua berharga dan perlu dibayar dengan kesusahan.
Semuanya mesti ada rasa susah.

Penulis:
Selamat menempuh peperiksaan buat teman-teman sekuliah dan teman-teman kampus.

High appreciatioan to my posting mate and a group in HoShah, giving me the support; Khai a.k.a Kuna, Ain a.k.a Yuwi, Salasi, Dayah a.k.a Yodah, Hafizah a.k.a Vee, Hazirah a.k.a Mama and last but not least Sa’ad.
All the best…break a leg, gambatte neh!

16 May 2009

Rakyat + Cukai-Cukai



Ini lanjutan daripada musafir hamba di bumi jelapang pagi. Ingin lanjutkan cerita Ayahanda Mat Isa.

Ayahanda Mat Isa pasti tidak membiarkan masa kami kosong dibiarkan tanpa pengisian. Pagi itu, ketika kami bersantapan pagi, ayahanda sempat membincangkan suatu isu yang berat memerah otak hamba. Ayahanda bercerita berkenaan ekonomi. Pasti pengalaman ayahanda luas berkenaan ini, kerna beliau mesti tahu, beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Ayahanda hamba bercerita tentang kesusahan rakyat penduduk wilayah. Hamba mengerti rakyat hidup susah, mengabdikan tulang empat kerat mereka untuk menyara keluarga mencari sesuap nasi. Kebanyakan penduduk di situ adalah petani dan penoreh getah. Ayahanda hamba menjadi tempat mereka mengadu biarpun ayahanda sudah tidak lagi pemerintah wilayah itu, ayahanda hanyalah melibatkan diri dalam majlis perbandaran di wilayah itu.

Kata ayahanda, “semua benda atas muka bumi ni, pasti dikenakan cukai, termasuk hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh rakyat jelata, semakin banyak hasil yang dihasilkan oleh rakyat, semakin banyak pungutan cukai yang kedapatan pada kerajaan”

Tambah ayahanda, “kin, kau tau, walau sekecil mana benda tu, apa sahaja yang kita gunakan sehari-hari, semuanya bercukai, tanpa rakyat, kerajaan takkan mendapat pendapatan, kerna rakyat lah yang menggunakan semua itu dan menghasilkan semua itu. ”. Hamba mula mencernakan kenyataan ayahanda.

“Kebanyakan orang tak tau pasal ni, sebab tu lah bila abah berceramah dan ada kesempatan, abah akan ceritakan ini semua, kebanyakan rakyat tidak sedar hak mereka. Rakyat fikir bila kerajaan memberi bantuan, kerajaan membantu mereka, bila masa berkempen, mula la datang bantuan itu dan ini. Padahal itu hak mereka, mereka wajib dapat dan wajib dipulangkan kembali hak mereka, bukan hanya pada masa nak berpilihan raya”. Hujah ayahanda lagi.

Hamba sedih bila memikirkan nasib rakyat. Kena tipu dan ditipu. Sedih bila memikirkan rakyat berusaha dengan titik peluh mereka mengusahakan getah contohnya, hari-hari bila dijual, rakyat mendapat harga yang tidak seberapa, tambahan pula harga getah tidak menentu, kejap naik, kejap turun. Tapi, kerajaan mendapat berapa hasil cukai pada getah tersebut? Seandainya rakyat tidak menorah, dapat tak kerajaan akan hasil getah itu? Cukai itu, cukai ini, semuanya bercukai.

Ayahanda sambung lagi,” wilayah tanah melayu kita tak sama dengan wilayah jiran kita seperti Siam dan Pulau Singa, kita ada banyak hasil bumi, banyak khazanah yang boleh diusahakan, tapi mengapa kita tidak semaju Pulau Singa. Kalau nak dikira, Pulau Singa, apa yang ada? Khazanah bumi mereka tidak banyak, hasil bumi tidak banyak, wilayah mereka kecil sahaja, tapi kenapa mereka boleh maju?”. Pulau Singa, kata ayahanda punya banyak asset, seandainya ekonomi dunia terjejas, pulau tu mungkin terjejas, tapi tak lah memberi kesan sangat sebab mereka ada asset. Tapi bagaimanalah wilayah kita, rakyat kita ada lagi yang tak cukup makan.

Seronok hamba mendengar fakta dari ayahanda sampai hamba terlupa, hamba perlu cepat. Hari ini, hamba berjanji nak meneroka hutan belantara di wilayah itu. Entah apa yang ada, orang kata ada tapak masjid, ada pari-pari, ada buluh betung. Kata ayahanda mendengar kalimah ilmu daripada ayanhanda tadi selama 5 min adalah lebih baik daripada menjejaki itu semua sepanjang hari. Tapi tidak mengapalah, hamba ingin meneruskan pendakian, mungkin ada hikmah ilmu yang Allah ingin kurniakan melaluinya.

Sepanjang pendakian, otak hamba ligat berfikir. Rakyat oh rakyat, kesian rakyat yang tidak terbela. Nampaknya, usaha kearah pembentukan daulah Islamiyyah harus dipergiatkan lagi. Teringat hamba pada kisah pemerintahan Rasulullah dahulu dan para sahabat, pemerintahan Umar Abdul Aziz. Akan muncul khalifah sebenar di akhir zaman ini. Hamba penuh pengharapan
"penulis sekadar berkongsi, kita kena banyak berfikir, jangan asyik kita tertipu, memang kita hidup sempurna, tetapi orang lain?, banyak isu-isu negara yang tidak berkesudahan."

Musafir di Bumi Jelapang Padi



Suatu ketika dahulu hamba pernah mengembara dan bermusafir ke utara, jauh benar perjalanan hamba kali ini. Seingat hamba sepanjang hayat hamba, inilah kali kedua hamba menjauh ke bumi jelapang padi ini. Kali pertama, saat itu hamba masih terlalu mentah untuk hamba ingat kembali memori pengembaraan bersama nenda hamba.

Sepanjang hamba bermusafir di sini, mujurlah hamba diterima untuk berteduh di sebuah teratak yang hamba kira begitu gahnya jika nak dibandingkan dengan teratak yang lain di perkampungan itu. Bonda Ngah yang menjemput hamba dan seorang lagi sahabat hamba yang turut bermusafir bersama hamba. Bonda begitu baik orangnya, lemah lembut dan penuh keibuan, semasa hamba bersalam dengannya, beliau sempat mencium pipi hamba. Hamba fikir, bonda berbeda dengan yang lain.

Hamba dan sahabat hamba Kasih namanya dibawa pulang ke teratak ayahanda hamba. Sebelum hamba terlupa, baik hamba khabarkan dahulu siapa ayahanda hamba. Beliau adalah Mat Isa, sama namanya dengan Almarhum Nenda hamba dari bumi serambi Mekkah. Dikhabarkan, ayahanda hamba pernah menjadi pemimpin di wilayah itu selama dua penggal. Cukuplah hamba melihat di terataknya tergantung gambar Ayahanda Mat Isa semasa beliau ingin bertanding di wilayah tersebut. Maka bermulalah kehidupan hamba menumpang di teratak serba cukup Ayahanda dan Bonda angkat hamba. Tidak lama hamba tinggal di situ, tidak sempat satu atau dua purnama, sekadar empat lima hari sahaja. Tapi sekadar itu, cukup menggamit kenanga manis hamba dan Kasih menumpang kasih Ayahanda dan Bonda yang mulia sungguh nilai budi mereka berdua yang bukan sahaja menuturkan akhlak Islam di bibir-bibir malahan diterapkan dalam kehidupan Ayahanda dan Bonda berdua.

Ayahanda Mat Isa suka benar beliau bercerita. Khusyuk hamba dan Kasih mendengar ceritanya, sambil ditambah sikit-sikit oleh Bonda Ngah. Pernah suatu malam, Ayahanda bercerita berkenaan sahabat seperjuangan beliau Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor. Sebelum ini hamba ada juga mendengar berkenaan Almarhum, tapi kali ini lain kerana hamba dengar dari mulut orang yang dekat dengan Almarhum. Dalam dunia ni, hamba nak khabarkan pada tuan hamba, sukar untuk kita mencari pemerintah yang melaksanakan amanah dengan sebenar-benarnya dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.


Ayahanda bercerita, pernah sekali, Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor tidak berduit, tidak cukup untuk mengisi minyak kereta, Almarhum datang berjumpa Ayahanda Mat Isa untuk minta pertolongan dan sanggup menunggu sehingga Ayahanda selesai mesyuaratnya. Nampaknya, Almarhum begitu terdesak pada saat itu, masakan Almarhum sanggup menunggu lama, kata Ayahanda. Lihat, seorang pemerintah tidak berduit, tuan hamba pelik. Mengapa peliknya…, mungkin pemikiran kita sebelum ini didasari pemimpin berduit banyak. Pemimpin pakai kereta mewah. Pemimpin duduk rumah tertukar dengan istana. Tetapi tidak pada Almarhum, beliau tidak kisah semuanya, beliau adalah pejuang Islam yang dipilih untuk mengembalikan Islam dan pemeritahan Islam ke pangkuan kita, membebaskan daripada belenggu penjajahan sekularisme, nasionalisme, korupsisme, kapitalisme dan berbagai-bagai istilah lagi yang memeningkan kepala hamba.


Dulu, Ayahanda hamba Mat Isa pernah khabarkan kepada hamba, sebelum beliau bertanding, ada yang bertanya teratak yang beliau duduki sekarang ini bilakah siapnya, kata Ayahanda hamba, teratak itu sudah lama dibina. Ditanya, takut-takut menjadi fitnah bila Ayahhanda memerintah sebab itu besar gamaknya, takut-takut diekploitasi pihak sebelah sana.

Pemerintah dilantik oleh kuasa rakyat untuk memimpin mereka dan menguruskan segala harta hak milik rakyat. Masakan ada pemimpin yang zalim di wilayah besar kita yang korupsi, membaham harta rakyat, menindas rakyat, menipu rakyat dan sebagainya.

Hamba sedar, tuan hamba sekalian dan hamba lah pelapis pemimpin wilayah kita masa depan. Hamba tidak pasti samaada hamba mampu atau tidak, apa yang penting perjuangan harus diteruskan. Hamba sentiasa bermohon pada Ilahi, mudah-mudahan khilafah Islamiyyah akan kembali di bumi ini.

Lewat benar hamba tidur pada malam tersebut mendengar Ayahanda Mat Isa bercerita yang pelbagai. Esok ingin mendengar lagi celoteh Ayahanda.




"tulisan ini bersambung dengan Rakyat + Cukai, dengarlah lagi apa kata ayahanda"-iklan penulis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails