Showing posts with label Goodreads. Show all posts
Showing posts with label Goodreads. Show all posts

22 July 2011

Goodreads: Fikah Perubatan

"Apabila aku sakit, DIA yang menyembuhkan penyakitku" ~ Surah as-Syuara':80

"Abi al-Zubair melaporkan daripada Jabir yang Rasulullah berpesan, sesungguhnya untuk setiap penyakit itu ada ubat. Apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah." Direkodkan oleh Muslim

Fikah Perubatan, buku karangan Dr. Harmy Bin Mohamed Yusof, Ustaz Shamsul Kamal bin Abdullah, Dr Rosediani Muhamad dab Ustazah Wan Nor Ainon Wan Abdullah. Terbitan PTS Millennia Sdn Bhd dengan kerjasama PAPISMA.

Antara isu yang dibahaskan dalam buku ini ialah; Perubatan Islam, Asas Fikah Perubatan, Hukum Berubat, Bendalir Badan, Aplikasi dan 'Taharah', Perlaksanaan Ibadah Semasa Sakit, Puasa dan Isu-Isu Perubatan Moden.

Selagi ada manusia, selagi itulah ada penyakit. Selagi ada penyakit, selagi itulah ada yang mengubat. Kemudian selagi ada perubatan, selagi itulah fikah perubatan wujud dan berkembang.

Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan Islam. Buku ini melihat bukan sahaja pada hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat.

Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya. Semoga buku ini dapat menjadi rujukan dan membantu kita menjadi pengamal perubatan dan kesihatan Islam yang membantu ummah.

Bukan sahaja buat pengamal perubatan tetapi khas buat masyarakat Islam yang ingin mendalami fikh perubatan dan mendalami bagaimana cara untuk beribadat ketika sakit tanpa ragu-ragu lagi.



Buat kalian yang berminat untuk memiliki buku ini boleh mendapatkannya di Kedai Buku Online PTS atau melalui wakil PAPISMA. Wallahua'llam.

12 July 2011

Goodreads: Fikh Kerahsiaan Wanita

Membaca buku ini InsyaAllah dapat memahami secara jelas isu yang melibatkan rongga keintiman wanita menurut syariat Islam. Persoalan ‘dalaman’ yang wajar difahami oleh setiap wanita mukallaf dan para suami yang menjadi nakhoda rumahtangga. Bertanya tentangnya sering mengundang segan, kini dihidangkan secara jelas dan ringkas sebagai panduan hidup muslimah sejati.


Penulis : Dr. Saadudin Mus’ad Hilali (Professor Fikh Perbandingan, Universiti Al-Azhar)
Diterjemahkan oleh: Fauwaz Fadzil (BA Syariah Islam, Universiti Al-Azhar), anak kepada Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadhil Noor

Sesungguhnya Allah telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang menempati takhta keistimewaanya yang tersendiri. Kedatangan Islam tambah menjulang maruah wanita ke darjat yang sangat tinggi. Islam menyaksikan betapa jatidiri wanita mempunyai pengaruh yang sangat ‘vital’ dalam proses kelansungan kehidupan menusia sejagat, malah prestasi sumbangannya menjadi indicator terpenting terhadap kualiti kesejahteraan hidup masyarakat. 

Tidak hairanlah, dengan kedudukan dan peranan yang begitu strategik, Islam memperuntukkan disiplin dan etika hidup khusus untuk kaum wanita demi memastikan kehormatan dan kebajikan dirinya terpelihara dengan sebaik mungkin.

Sayidatina Aisyah, seorang ‘icon’ pejuang kemurniaan peribadi wanita, merupakan orang yang paling mendalam ilmunya di dalam bidang ‘fikh wanita’. Jelas, buku ini tiadalah mampu menggantikan Sayidatina Aisyah dalam merungkai permasalahan wanita, namun buku ini bertindak sebagai petunjuk kepada hukum-hukum fikh yang khusus membicarakan persoalan alat sulit wanita bagi memimpin kaum wanita terus berada dalam ketetapan syariat Islam, secara tersusun, ringkas tetapi padat. InsyaAllah.

04 July 2011

Busana Cerminnya Iman

Gambar ini sekadar penyeri; jadilah ibu yang baik yang mendidik anak nya bersolat & menjaga aurat
Busana itu cerminya iman
“Adapun busana itu cerminnya iman. Cerminnya akhlak, cerminnya tamadun,cerminnya bijak. Tinggi ilmu sesuatu bangsa diukur pada busananya. Busanalah petunjuk dan pedoman kita untuk menilai hebat atau tidak, halus atau kasar budaya”.
Manikam Kalbu; My favourite novel~berfikir merentasi abad berlandaskan syariat
Saya begitu terkesima mahupun teruja setelah selesai menyudahi senaskhah novel Faisal Tehrani, penulis kegemaran saya. ‘Manikam Kalbu’. Novel yang sedikit berat bertemakan busana sesuai dengan ajaran Islam dan budaya Melayu kita.
Karya yang penuh dengan penerapan falsafah dan fikrah Islam. Mengalir halus dalam jiwa biarpun ayat itu cukup tajam menegur. Tapi itulah kebenaran. Kebenaran yang harus ditekankan. Syariat Islam yang wajib diamalkan. Situasi masa kini, yang mana wanita Islam sangat berani memandai-mandai dalam berpakaian. Sedangkan sudah tertulis nyata di dalam Al-Quran.
Gerun untuk saya ungkapkan. Tapi itulah hakikatnya, aurat yang tidak dijaga, berdedah-dedah entah untuk siapa ingin dipertontonkan. Mahkota sudah tidak jadi mahkota. Mutiara sudah tidak bersinar lagi kerna asyik terdedah. Kulit yang tidak mampu bernafas dengan sempurna kerna terlalu ketatnya fabrik itu menghimpit. Mungkin kalian faham apa yang saya maksudkan. Tak perlu diuraikan lagi.
Syarat-syarat busana
Sangat menarik untuk saya kongsikan daripada garapan FT akan syarat-syarat  busana muslim & muslimat sesuai dengan ajaran Islam
Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai tetapi membuka aurat, tanda imannya sudah berkarat. Tanda orang yang tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah. Barang siapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adab orang Melayu jati, berkain baju berhati-hati.
Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis, apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis. Apabila memakai baju terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa yang memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya di dalam nista.
Syarat ketiga busana Melayu itu mestilah pantang ia berpotongan yang ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku di tubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh pakaian sempit memang dijauhi.
Syarat keempat busana Melayu, pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah, jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan.
Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai.
Itulah pakaian mengikut kehendak agama, kehendak budi, kehendak akal.

Surah al-a'raf; 26-27
“Wahai anak adam sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. Wahai anak adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan ibu-bapamu dari syurga. Ia menanggalkan daripada kedua-duanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada kedua-duanya auratnya….”
Ingat  bahwa “Allah itu indah, suka sekali dengan yang indah”. Suka sekali  untuk saya sambungkan “Wanita itu indah, andainya aurat tertutup indah”. Allahu’allam. Moga-moga kita mendapat manfaat bersama.
 
Pasang kubu berlapis-lapis,
Kubu berlapis kuat diserang,
Pantang Melayu berbaju tipis,
Berbaju tipis adatnya hilang.

Memasang rantai berjela-jela,
Tanda ikatnya tiada kukuh,
Orang memakai mengada-ada,
Tandanya sifat tidak senonoh.

Apabila menuai berlalai-lalai,
Habislah padi dimakan ulat,
Bila memakai memandai-mandai,
Habislah budi binasalah adat.

Cekak musang berleher tegak,
Tingginya hingga dua jari;
Nampak butang hati tergerak,
Dirinya ingat kepada Ilahi

21 May 2011

Ranah 3 Warna: Kisah Mewarnai Kehidupan

Berpegang kepada prinsip “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain”, A. Fuadi menulis, dan terus menulis, sehingga menghasilkan novel keduanya Ranah 3 Warna sambungan Negeri 5 Menara yang pasti penuh inspiratif lagi buat yang berani bermimpi.


Setelah menghadamnya beberapa hari, saya turut bersedaran untuk terus menyambung ‘mimpi’, terus bersabar dan tahap percaya pada diri harus meningkat.

“Sekiranya kita sudah melatih diri kita percaya sedemikian rupa, impian itu lambat-laun akan menjadi nyata, pada waktu yang tidak pernah kita sangka-sangka” (A. Fuadi, p. 188).

3 Mantera Sakti

Di novel kedua ini, latarnya bukan lagi Pondok Moden Gontor di Jawa Timur sebagai medan tarbiyyah yang memberi kesan, tetapi di Universiti, peringkat sarjana penulis. Walaupun begitu, setiap dugaan yang datang pasti lebih berat dan mencabar, penulis masih berpegang pada 3 mantera sakti yang terpahat sejak di pondok

‘Man Jadda Wa jada’ (Sesiapa yang berusaha, pasti berjaya)
‘Man Sabara Zhafira’(Sesiapa yang bersabar, akan beruntung)
‘Man Sara ‘ala darbi washala’ (Sesiapa yang berjalan di atas jalannya akan sampai ke tujuannya)

Penulis (A. Fuadi) sedar, mengharungi setiap detik-detik kehidupan, menggapai impian bukan hanya sekadar perlu kepada ‘man jadda wa jada’, tetapi setelah usaha dilakukan sehabis daya dengan sepenuh upaya, selebihnya kita seharusnya bertawakal dan bersabar di atas apa yang tertulis buat kita.

Apa yang pasti, Allah sangat suka kepada orang-orang yang sabar. Sabar berjuang menghadapi ujian yang mendatang. Dan Allah telah janjikan setiap yang sabar pasti akan beruntung!

“Siapa yang bersabar dia akan beruntung. Jadi sabar itu bukan bererti pasrah, tetapi adalah sebuah kesedaran yang proaktif. Dan sesunnguhnya Allah itu sentiasa bersama orang-orang yang sabar”

“Jarak antara kesungguhan dan kejayaan hanya dapat di isi dengan sabar. Sabar yang aktif, sabar yang gigih, sabar yang tidak menyerah, sabar yang penuh dari pangkal sampai hujung yang paling hujung. Sabar yang dapat membuatkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin, bahkan seakan-akan itu sebuah keajaiban dan keberuntungan. Padahal keberungtungan adalah hasil kerja keras, doa dan sabar yang berlebih-lebih”Dengarkan pantun ini.

Daun maple menggantung di dahan,
Menunggu salju datang mendera,
Hamba akan teguh bertahan,
Mengambil inti Man Shabara Zhafira.



Makan durian di pinggir taman,
Daun kuning masak di dahan,
Orang Melayu teguh beriman,
Kalau sabar tentu disayangi Tuhan.

Merantaulah…

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampong,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang
-Imam Syafie-

Terkesan dengan syair Imam Syafie seperti yang dipersembahkan oleh A. Fuadi, merantaulah kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan. Di usia muda, di kesempatan yang Allah kurniakan ,inilah masanya untuk kita mengambil peluang merantau dan menuntut ilmu. Apatah lagi di zaman sekarang segala kemudahan untuk menyambung pengajian adalah terbuka luas cuma tinggal samada kita mahu atau tidak.

Penyerahan Total Kepada Allah

“Aku akhirnya sampai kepada kesimpulan hidup ini adalah masalah penyerahan diri. Apabila aku sudah binggung dan terlalu bersusah hati menghadapi seluruh tekanan hidup…."

“Sesiapa sahaja yang mewakilkan urusannya kepada Tuhan maka Dia akan ‘mencukupkan’ semua keperluan kita. ‘Cukup’. Itu yang sepatutnya kita cari. Apa ertinya banyak harta tetapi tidak pernah merasa cukup? Itulah janji Tuhan kepada orang yang berserah kepadaNya. Aku ingin berserah secara sempurna. Aku ingin dicukupkan seluruh keperluan”.

Dalam kehidupan, tidak semestinya semua yang kita mahu, akan kita dapat. Allah amat menyayangi kita. Dia hanya memberi kepada kita apa yang kita perlukan dan Dialah yang Maha Mengetahui.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (Al-Baqarah; 216).

Setiap doa-doa kita pasti akan didengariNya. Menurut Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili, kunjunga beliau ke Malaysia baru-baru ini, bahwa setiap doa yang kita panjatkan itu ada 3 kelebihan;
1) Allah akan dimakbulkan pada waktu yang sama,
2) Allah tidak menunaikan tetapi menggantikannya dengan menolak kejahatan,
3) Allah menyimpan setiap doa-doa kita di akhirat kelak.

Tenanglah setenang-tenangnya wahai orang-orang yang beriman, jika kamu yakin dengan apa yang kita laksanakan, yakinilah bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah, Allah pasti akan mengiringi doa kita. - Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili-

Selamat membaca buat kalian akan Ranah 3 Warna, saya pasti kalian tidak akan rugi apa-apa. Belajar daripada kisah hidup orang lain yang ikhlas menulis, sedikit sebanyak membantu kita menghadapi dan melalui kehidupan mendatang. Apa yang penting, usah takut untuk berMIMPI!

Wallahu’allam. (sekadar perkongsian, apa yang baik hanya daripada Allah, dan setiap kekurangan tulisan ini adalah daripada diri NAAR yang lemah)

25 April 2011

Novel Terbaru FT



Sebongkah Batu Di Kuala Berang - Faisal Tehrani




Novel paling kini daripada penulis Faisal Tehrani. Terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd. Terbitan pertama tahun 2011. Sebongkah Batu Di Kuala Berang merujuk kepada batu bersurat di Terengganu yang menjadi bahan bukti kehadiran agama Islam di Tanah Melayu.

Novel ini mengenai sejarah batu itu sendiri yang cuba didokumentasikan oleh sekumpulan pelajar sebuah institusi , Akademi Seni Islam sebagai tugasan akhir mereka. Dokumentari drama yang mereka jalankan akan melibatkan beberapa orang pelakon popular tanah air. Di sini penulis cuba membawa pembaca untuk memasuki ke alam dunia perfileman.

Selain dari sejarah batu bersurat itu, novel ini juga adalah mengenai dunia filem yang mana sebagai penulis yang sensitif, Faisal Tehrani pasti berasa tidak senang duduk tatkala melihat bagaimana saban waktu penonton tempatan disogokkan dengan filem-filem, drama-drama yang kurang dari segi nilai Islamnya. Cerita hantu, kepercayaan-kepercayaan yang memesongkan, cerita rempit, bohsia, keruntuhan moral, Faisal Tehrani berasa terpanggil untuk menulis sesuatu mengenai filem yang menjadi satu cabang daripada cabang seni yang perlu dilihat sebagai satu ibadah juga.Puan Ramlah mengomel,

"Awak perlu ingat yang kerja bikin filem ini adalah kerja ibadah. Malah apa sahaja tindak-tanduk kita, tidak terlepas sedikit pun daripada ibadah kerana Allah berfirman menerusi surah adz Dzariyat, ayat 56: Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu." (ms 29)

Filem kini mampu memainkan pengaruh yang kuat terhadap masyarakat. Lambakan filem dalam dan luar negara yang diimport masuk sering dilihat berupaya menarik perhatian anak-anak muda untuk mengikuti gaya dan lagak pelakon serta ideologi yang cuba ditonjolkan di dalam filem-filem tersebut. Aksi ganas, aksi cinta, khayalan, fantasi, falsafah, prinsip, pegangan yang di bawa dari filem Barat (atau timur, selatan, utara) tidak sedikit yang kelihatannya bercanggah dari ajaran agama Islam.

Penulis mengandaikan bahawa filem kini merupakan satu medan dakwah yang paling berkesan yang seharusnya diambil peluang ini oleh umat Islam yang sedar betapa masyarakat di zaman ini sudah malas untuk menempuh surau atau masjid mendengar dan mengikuti kuliah-kuliah para ustaz. Lebih seronok menonton di panggung filem-filem terbaru, menghadiri konsert-konsert bernyanyi-nyanyi. Release tension.

"Ya, kerana anak muda kita sebagai misalan malas ke masjid, tidak rapat dengan madrasah dan sebagainya, dalam keadaan dunia pendidikan kita yang cacamarba kerana kepentingan ahli politik dan pemerintah, remaja kita hanya kenal media seni. Jadi kita kena kuasai media ini. Filem misalnya, sebutkan saya berapa banyak filem yang memuatkan seruan Islam secara berilmu? Kita mungkin ada banyak karya sastera tetapi tunjukkan saya berapa banyak filem yang kita ada untuk saingi propaganda Hollywood?" Dato' Fendi benar-benar di puncak semangat. (ms 79-80)

Dalam usaha para pelajar itu menyiapkan tugasan, mereka dibebani dengan masalah pelakon yang tidak berdisiplin, berlagak dan angkuh dengan beberapa anugerah yang telah dimenangi.

"Err, saya lupa, apa nama awak? Dr Hiryanti? Begini, saya tidak fikir saya perlu diajar bagaimana hendak berlakon." Sharifah Ezzati memuncungkan bibir. (ms 106)Sharifah Ezzati menggigil marah. "Look here lady..." (ms 106)"Saya bukan pelajar awak. Jangan mahu mengajar-ajar." Sharifah Ezzati mendesis bagai ular di hadapan muka Dr Hayati. (ms 107)9.

Kewujudan watak Sharifah Ezzati yang mewakili para pelakon yang berperangai menjengkelkan ini, dijadikan penulis sebagai ruang dan peluang untuk mengutarakan pandangannya mengenai apa yang perlu ada pada seseorang pelakon untuk menjadi terbaik.

"Apa yang saya maksudkan dengan kerangka akting adalah yang pertamanya awak harus memahami yang lakonan itu permainan. Justeru ia perlu direka, direncanakan dan dirancang lebih awal. Apa yang kita mahu lakukan kita bincang dan atur elok-elok. Jadi, awak juga harus tahu lakonan tidak semestinya pegang-pegang, cium-cium ataupun dukung-dukung seperti lakonan awak dalam filem Budu." (ms 104)

"Lakonan adalah kebenaran subjektif di mana perbuatan kita itu dalam keadaan sedar. Jadi pokok sedar kita ialah budaya dan agama. Kita tidak boleh terkeluar dari lingkungan." (ms 104)

Dokumentari drama para pelajar mengenai Batu Bersurat itu sedikit terjejas dengan kerenah pelakonnya. Selain disaratkan dengan butiran fakta mengenai batu itu, dan perihal dunia seni serta filem, penulis juga memasukkan beberapa unsur lucu di dalam novel ini untuk menjadikan ia lebih mudah dimesrai.

"Bintang-bintang, Awak semua pasti banyak duit. Baiklah. Saya setuju!" Sharifah Ezzati tergedik. "Tidak sabar mahu bertemu Azhan Kaya di lokasi. Fazid saya tidak minat, seperti kurang cerdik sahaja. Lagipun saya rasa teman wanita Fazid kawal pergerakan dia." (ms 68)12.

Secara keseluruhannya novel kecil ini kelihatan menarik dengan ide-ide dan gagasan yang cuba dibawa penulis. Cuma barangkali penamatnya begitu lekas hadir. Belum sempat pembaca mahu memesrai pemain-pemainnya, penulis sudah meletakkan titik akhir. Ingin sekali berkenalan dengan Zulkifli dan teman-temannya lebih erat lagi. Ingin sekali menceduk lautan pengalaman Dr Hayati dalam dunia perfileman dengan lebih dalam lagi, tetapi sesedarnya sudah selesai.

Novel ini boleh didapati di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 16.50 sahaja. Atau boleh juga menyerbu syarikat PTS sendiri di Selangor sana. Atau kepada yang telah menabung duit untuk pesta buku yang bakal hadir, boleh juga didapati di situ. Untung-untung dapat autograf Faisal Tehrani sekali.

03 April 2011

Ke Mana Wang Anda?

Perubahan atau transition daripada seorang mahasiswa yang tidak berpendapatan tetap kepada individu yang berjawatan dan bergaji selepas pengajian adalah amat perlu kepada kepandaian dan kemahiran pengurusan kewangan. Tanpa persediaan atau pengetahuan yang cukup berkenaan pengurusan kewangan adalah amat merugikan biarpun dia seorang yang berpendapatan besar.

Keadaan ekonomi dunia yang serba tidak menentu dan harga barang pun semakin meningkat di Malaysia, memaksa kita sebagai individu yang berpendapatan tinggi, sederhana atau rendah untuk menguasai ilmu pengurusan kewangan , seterusnya mengelak daripada melakukan kesilapan kewangan dan merangka pelan tindakan persediaan masa depan.

Peta Perjalanan Kewangan

Apa yang pasti pilihan berada di tangan kita, ke arah mana untuk kita mencorak kehidupan masa depan yang lebih terjamin dengan terbinanya situasi ekonomi keluarga yang utuh dan bebas daripada belenggu hutang dan sebarang masalah kewangan.

Sewajarnya cuba kita ‘analysis’ kembali daripada mana sumber kewangan yang mengalir di poket kita, ke mana wang tersebut dibelanjakan dan berapa banyakkah sudah kita menabung untuk masa depan? Cuba renung-renungkan.

Masih belum terlambat untuk kita fikir-fikirkan strategi terbaik pengurusan kewangan dan menyiapkan peta perjalanan kewangan yang terbaik untuk kita sampai ke ‘destinasi’. Sebagai contoh kita mulakan peta kita di usia 25 tahun sehingga 75 tahun (sekadar jangkaan hayat usia), dalam lingkungan jangka hayat ini, kita harus letakkan target bila ingin memiliki kereta, berkahwin, memiliki rumah sendiri, menunaikan haji dan tabung persaraan.

Perlu juga meletakkan target di usia berapakah untuk kita berada dalam situasi financial freedom/ kebebasan kewangan di mana di saat itu, kita tidak perlu lagi bekerja, bahkan boleh ke mana sahaja dalam situasi kita punya tabungan yang cukup untuk menampung sekeluarga dan bebas daripada hutang.

Ambillah pengajaran daripada surah Ar-Rad; 11, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri” .

Segala-segalanya bergantung kepada diri kita sendiri!

Keberkatan

Berbicara soal pendapatan dan harta, wajib ditekankan soal keberkatan. Punya duit/harta yang bertimbun sekalipun tetapi datang daripada sumber yang haram atau subhah tidak memberi makna apa-apa bahkan hidup sentiasa diselubungi masalah dan malapetaka. Mendarah-dagingnya di dalam jasad individu tersebut sumber yang tidak halal dan merebak jua pada keluarga. Lahirlah anak-anak yang tidak dengar kata dan mati hati. Balasan Allah pasti ada biarpun bukan di dunia tapi di akhirat nanti.

Kita Hanya Pemegang Amanah

Dalam perancangan kewangan Islam, konsep yang harus kita fahami ialah Allah s.w.t adalah Pemilik Harta yang mutlak dan manusia hanya sebagai ‘pemegang amanah’. Sebagai pemegang amanah, kita tidak boleh membelanjakannya dengan sewenang-wenangnya.

Harus diingatkan juga bahwa wang yang sampai ke tangan kita, bukan milik kita secara mutlak, ada hak-hak saudara se-Islam kita yang wajib dan harus kita tunaikan dalam bentuk zakat dan sedekah.

Dalam mencari pendapatan yang berkat ini terpulang kepada diri kita, bagaimana usaha yang harus dilakukan untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Yakinlah bahwa Allah telah menjanjikan, setiap makhluk tidak akan hidup melata di bumi Allah ini. Setiap daripada kita telah ditentukan rezekinya. Kita hanya perlu berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Semoga Allah memberkati pendapatan dan wang yang kita perolehi dan dipermudahkan segala urusan. Amin.

Surah Al-Waqiah

Saya juga ingin kongsi bersama kalian (perkongsian daripada bapa), digalakkan untuk mengamalkan surah al-Waqiah setiap hari sama ada selepas Maghrib atau Isya, mudah-mudahan kita dimurahkan dan dipermudahkan untuk mendapat rezeki yang baik. Boleh ditadaburkan sekali maksud ayat-ayat tersebut yang menerangkan tentang nikmat- nikmat syurga.

Ke Mana Wang Anda?

Saya juga cukup tertarik untuk mengetengahkan satu buku yang menjadi antara rujukan saya dalam hal ini iaitu Ke Mana Wang Anda?, tulisan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Syahir, seorang Perunding Kewangan Hijrah Wealth Management. Diterangkan secara detail berkenaan bagaimana merangka Peta Perjalanan Kewangan, Merancang Kewangan Dalam Fasa Kehidupan, Menguruskan Perbelanjaan, Pelaburan untuk Anak-anak, Hidup Selesa Tanpa Hutang, Peluang Tingkatkan Pendapatan dan Persediaan Masa Depan.

Buku ini amat berbaloi untuk dimiliki. Selamat membaca!

23 December 2010

* Salina *


I don’t believe that I can finish up this novel until at the end of the story.

For a long time, I’ m eager to read this novel till I got the cheapest one in Koperasi HUKM with RM5 only. That one has been translated into English.

You all know, why I was really interested about this novel? It’s not because of the story, plot or it writer A. Samad Said, the one that I respect and proud as Sasterawan Negara.

It’s because I was so wonder why this novel has been discussed so many people and has been categorized has ‘karya agung’. It was one of ‘karya agung’ in Malaysia that has been translated……

The book gives me a deep understanding of Malay society during that time before Independent and at the end of World War II in Singapore and Malaya.

I’m honestly speaking, as ‘orang muda’ I’m not really falling in love with this novel. I’m just read to reduce my ignorance about ‘Salina’.

The author tried to explain about his sympathy for the oppressed classes and the unfortunate victims of fate at the end of war.

The leading character in this novel is Salina, who is actually on of two main characters, the other being the young girl Nahidah.

Salina is a prostitute who supports herself and her lover Abdul Fakar who is a dandy and unemployed parasite. She also supported Hilmy, a student and his mother who really sick.

Salina is a victim, become bad and being prostitute because of the force of circumstances. Same with Nahidah, has been forced to be a waitress by her own stepmother because of money.

That all I can summarize, the Malay folks situation during that time, far from Islamic teaching, influenced by time and circumstances.

"Salina, a significant book published in 1961 bring realism into Malaysian literature with its depiction of the squalid life of people living in a city, their poverty, low standard of living, the congestion and the underlying principles governing their behavior. Salina is not merely an ‘exposure’ of conditions or squalor and privation or what is termed ‘degenerate culture’ but it can also be regarded as an expression of their protest against social injustices."
-Prof Mohd. Taib.Osman, Dewan Bahasa 1974-

27 November 2010

Negeri 5 Menara: Kisah Inspiratif Nyata yang Penuh Nostalgia

Saat saya mencoret catatan ini, saya masih di UIAM Gombak, baru selesai menghadam dan menelaah sebuah novel Negeri 5 Menara karya Ahmad Fuad dari Danau Maninjau, Indonesia. Saya kira saya perlu mengorbankan ‘outing’ saya di hujung minggu buat benar-benar menghayati novel ini. Tambahan lagi isi poket saya semakin ketirisan seminggu di sini.
Penulis: a.fuadi

Negeri 5 Menara: Kisah Inspiratif Nyata yang Penuh Nostalgia

Membaca novel ini baris demi baris, halaman demi halaman membuatkan saya terkesima dengan mantera-mantera saktinya, ungkapan-ungkapan inspiratif membakar semangat dan kisah nyata yang menjadikan saya berani untuk memasang impian setinggi langit melupakan seketika kesibukan posting Oncology saya di HUKM.

Imaginasi saya tergambarkan akan Pondok Madani, jauh di sebuah desa di pelosok Jawa Timur Indonesia sesuai sebagaimana digambarkan oleh penulis, Ahmad Fuad. Sebuah pesantren/pondok yang terkenal dengan mantera saktinya ‘man jadda wajada’ membuatkan saya semakin rindu pada Maahad di bumi Kota Bharu Bandaraya Islam, sekolah yang menjadi nostalgia saya,dulu kini dan selamanya.

Pondok Modern Gontor, Jawa Timur

Penulis ini membawa saya meneroka dan menjiwai tarbiyyah 24 jam di bumi Pondok Madani dengan disiplin dan undang-undang yang begitu ketat demi untuk melahirkan santri-santri yang berjiwa besar dan berdisiplin.

Seperti kata penulis “keikhlasan adalah sebuah janji suci”, membuatkan saya insaf bahwa dalam proses menuntut ilmu ini benar-benar membutuhkan hati yang ikhlas, barulah ilmu yang diperoleh itu berkat dan beroleh kejayaan. Kerna kunci itu terletak pada ‘IKHLAS’. Ikhlas itu adalah kunci kekuatan yang jauh di dasar hati. “Selamanya kita ikhlas, maka selamanya Allah akan menjadi penolong kita”

Kepada kalian yang tercari-cari buku motivasi, saya syorkan inilah bukunya biarpun ia sebentuk novel. Jangan sesekali perkecilkan sebuah novel. Kata-kata motivatif yang mengalir lembut ke dalam jiwa kalian dengan kata-kata yang membuatkan kalian tersihir. “Man sobaro, zhafiro” (siapa yang bersabar akan beruntung).

"Jangan risaukan penderitaan hari ini, jalani sahaja dan lihatlah apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Sebab yang kita tuju bukan sekarang, tetapi ada yang lebih besar dan asas, iaitu menjadi manusia yang menemukan misinya dalam hidupnya…Carilah misi kalian masing-masing. Temukan dan semoga kalian menjadi orang yang berbahgia."

Akhirannya, saya bahkan terpesona lagi dengan kalimah “aku melihat dunia di awan-awan itu”. Maksudnya penulis yang bijaksana ini, kita memandang langit, kita bebas melukis langit mengikut apa saja yang kita impikan dalam hidup dan melontar imaginasi kita itu lepas membumbung tinggi di langit.

Melihat langit seumpama melihat segala impian kita terlukis oleh awan-awan di langit. Usah takut untuk bermimpi dan berimaginasi, bebaskan ia pergi ke mana sahaja biarpun kita sendiri masih belum pasti bagaimana cara untuk merealisasikannya.


“Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernahkan remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar”. Begitulah Ahmad Fuad mengakhiri novelnya yang penuh mutiara kata ini.

Buat teman-temanku, pengunjung blog ini, semoga kalian turut terpikat dengan nukilan Ahmad Fuad ini, bekas santri Pondok Modern Gontor yang pasti berbekas di hati. Selamat menghayati.
Kredit ‘special’ku buat sahabat akrab dari hadas nusantara, belah timur, Nurul Khairani Hamasyie http://kalamhawariyyun.blogspot.com/ kerna memperkenalkan novel ini kepadaku dan meminjamkannya dengan ikhlas. Semoga kita sama-sama berhasilan apa yang kita rancangkan.Amin.

21 November 2010

Tarbiyatul-Awlad Fil-Islam


Tarbiyatul-Awlad Fil-Islam
Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam

Karangan luar biasa Allahyarham Prof. Syaikh Abdullah Naseh Ulwan, Mahaguru Pengajian Islam Universiti Al-Malik Abdul Aziz (Jeddah). Buku ini diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait dengan cetakan ke-17 1431H/2010M.

Saya mula mengenali buku ini melalui sahabat-sahabat yang mementingkan fikrah Islam dibentuk daripada awal lagi, dan kali keseterusnya yang membuatkan saya tergerak untuk menghadam buku ini ialah melalui En Ahmad Zahid Zainal Abidin, bapa kepada adik Muhammad Ahmad Zahid, yang menceritakan sedikit sebanyak dalam suatu majalah tentang bagaimana beliau mendidik anak-anak beliau sehingga terzahirlah dengan izin Allah watak seumpama adik Muhammad yang mampu menghafaz al-Quran 30 juz dalam usia 10 tahun. Menurut beliau, melahirkan anak hafaz al-Quran bukan lah matlamat utama, tetapi melahirkan anak yang bertakwa itulah matlamat yang sebenar. Hafaz al-Quran adalah persiapan dan persediaan ke arah itu.

Menurut beliau lagi “Buku ini bukan berbentuk falsafah, tetapi lebih kepada manual dan praktikal. Setiap perkara yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak seperi cara makan, cara berpakaian, cara beradab dengan ibu-bapa, cara membaca Al-Quran dan sebagainya ada dalam buku tersebut”.

Andai pengarang buku ini masih hidup, dialah mursyid saya yang akan saya peluk. Dia telah berjasa memberi panduan kepada saya dalam membentuk Muhammad sebagai anak sulung. Buku ini jelas dan mudah kaedahnya, kita cuma ikut dan pantau anak-anak. InsyaAllah berjaya.” En Ahmad Zahid Zainal Abidin.

Buku ini punya keistimewaan yang tersendiri berbanding buku-buku lain. Topiknya luar biasa sekali, perbahasannya sangat luas, menyeluruhi segala aspek pendidikan dan pengetahuan Islam tentang pendidikan.

Penulis telah mengarang buku ini dalam 3 bahagian utama, tiap-tiap bahagian pula terbahagi kepada beberapa fasal, dan setiap fasal mempunyai beberapa topic.

Judul-judul setiap fasal dari tiap-tiap bahagian adalah seperti berikut:

Bahagian Pertama
Fasal 1: Perkahwinan misali dan pertaliannya dengan pendidikan
Fasal 2: Perasaan naluri terhadap anak
Fasal 3: Hukum-hukum umum yang berkaitan anak yang baru lahir
Fasal 4: Sebab-sebab penyelewengan anak-anak dan cara memperbaikinya

Bahagian Kedua: Suatu analisa lengkap di bawah tajuk ‘Tanggungjawab-tanggungjawab terbesar atas para pendidik’
Fasal 1: Tanggungjawab pendidikan keimanan
Fasal 2: Tanggungjawab pendidikan moral
Fasal 3: Tanggungjawab pendidikan jasmani
Fasal 4: Tanggungjawab pendidikan mental
Fasal 5: Tanggungjawab pendidikan rohani
Fasal 6: Tanggungjawab pendidikan social
Fasal 7: Tanggungjawab pendidikan seks

Bahagian Ketiga
Fasal 1: Cara-cara pendidikan yang berkesan
Fasal 2: Kaedah-kaedah asasi dalam pendidikan anak
Fasal 3: Petunjuk-petunjuk pendidikan yang wajib diperhatikan

Buku yang berketebalan 1,200 ms ini dan dihasilkan dalam 2 jilid pantas mendedahkan kepada kita kurikulum yang sempurna lagi menyeluruh berkenaan cara-cara pendidikan anak-anak dalam Islam dari sejak anak itu dilahirkan hingga ke usia tamyiz, dan seterusnya kepada usia murohaqoh (anak-anak muda), seterusnya ke usia taklif (baligh-akil).

Bahkan di awalnya juga diterangkan tentang pemilihan pasangan yang tepat untuk bersama-sama membina bait al-muslim yang bahgia dan menjadi impian setiap individu muslim.


Apabila para pendidik, ibu-bapa memilih cara-cara dan prinsip-prinsip Islam di dalam pendidikan, nescaya umat Islam akan hidup kekal di dalam ketenteraman dan kebahgiaan jauh daripada kehidupan yang kacau-bilau dan penuh kebobrokan. Justeru ternyatalah bahwa Islam itu adalah agama yang menyeluruh, agama kehidupan, agama kemanusiaan, agama kesedaran, pendidikan dan pembaikkan. Akhirnya sekalian manusia akan hidup bawah lindungan Islam dengan roh, akhlak dan pemikiran Islam.

Justeru itu marilah kita bersama memanfaatkan buku yang amat berharga ini demi untuk mendidik jiwa-jiwa kita dan jiwa anak –anak kita generasi akan datang yang bakal memikul tugas dakwah yang berat ini.

03 August 2009

U-TURN Ke Jalan Lurus


Hati seorang ayah benar-benar terluka. Petang itu dalam perjalanan pulang daripada kerja, ketika seluruh tubuhnya terasa remuk dibedil beban tugas seharian, pihak sekolah anak lelakinya menelefon, meminta dia segera bertemu guru disiplin sekolah.

“Encik…anak encik terpaksa dibuang sekolah kerana masalah disiplin yang amat serius”, ujar guru disiplin di dalam bilik kaunseling yang sunyi, tetapi patah bicara itu seperti bunyi letupan yang sangat membingitkan. Kemudiaan dari itu ia tidak mendengar apa-apa. Dia hanya melihat kumat-kamit bibir guru disiplin membentangkan satu persatu kesalahan anaknya sedang fikiran telah melayang ke ruang gempita penuh aib. Rasa malu, marah dan kecewa bergumpal dalam rongga dada. Muka terasa panas, arang hitam seperti tertempel di segenap ruang wajah.

Tiada rayuan dibuat, anak dibawa pulang.

Atas kekecewaan yang memuncak, dia suami isteri membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah sekolah tahfiz al-Quran jauh di luar bandar. Biar anak jauh dari hingar kota, jauh dari rumah, jauh dari masakan ibu, biar jauh dari segala-galanya. Biar dia rasakan!

Pada hari anak dihantar ke asrama baru itu, tanpa mahu menoleh pada wajah, anak ditinggalkan. Dia tidak mempedulikan perasaan anaknya kerana perasaannya sendiri sarat dengan rasa kesal dan kecewa yang berlubuk.

Pada setiap bulan, dia akan ke sekolah anaknya yang jauh di luar bandar untuk membayar yuran, tetapi dia tidak mahu berjumpa dengan anaknya. Itu muktamad darinya. Dia penat dan serik menaruh harapan pada anaknya.

Sehinggalah lapan bulan berlalu, ketika dia menjelaskan bayaran yuran seperti biasa dan ingin berangkat pulang, seorang ustaz datang padanya dan meminta agar dia bertemu dengan anaknya.

“Encik…silalah berjumpa dengan anak encik, kami rasa sudah lama benar dia menyebut ingin bertemu dengan ayahnya…” Perlahan bicara ustaz dalam nada merayu.
“Tak mengapalah, saya rasa tidak ada keperluan untuk itu. Biarlah dia di sini dan saya akan terus membayar yuran yang telah ditetapkan.”
Tegas jawapannya ingin memuktamadkan bicara.

“Tapi…tidakkah hari ini encik tidak ingin berjumpa dengan seorang al-hafiz?” bisik ustaz ke telinganya.
“Hari ini, anak encik telah hafaz seluruh al-Quran. Dia telah khatam hafazannya dalam tempoh lapan bulan!” Sepatah-sepatah bicara ustaz, dia hanya mendengar dengan kehairanan.
“Tidakkah encik mahu mengucapkan sedikit tahniah kepadanya?” Tanya ustaz mengakhiri bicara.

Dia tergaman dan terus terdiam. Dia tidak percaya pada apa yang didengari. Dia tidak sangka dan tertanya-tanya adakah dia berhak merasai keajaiban ini.

Saat itu anaknya melangkah masuk berdiri ragu-ragu dengan wajah sarat menanggung rasa rindu hati seorang anak. Tanpa disedari, si ayah menangis dengan kuat, esakannya memenuhi ruang bilik itu. Dia meluru memeluk anaknya setelah sekian lama tidak melakukannya. Dia tidak percaya. Dia tidak menyangka bahawa dia sedang memeluk anaknya sendiri, seorang al-hafiz dengan cahaya al-Quran melimpah di wajah. Dia memeluk anaknya dengan begitu lama untuk menikmati rasa damai dalam hatinya sendiri.

Manakala si anak, sejak ditinggalkan ayahnya di situ lapan bulan yang lalu, sudah menanam tekad untuk berubah. Allah telah mengurniakannya hidayah. Ditambah dengan didikan ustaz dan siraman cahaya al-Quran, dia mendapat kekuatan untuk meninggalkan sejarah lampaunya dan membuat pusingan U dalam hidupnya.

Kisah di atas di petik dan di edit daripada buku U-TURN ke jalan lurus oleh Zul Ramli Mohamed Razali.

Kisah benar ini memberi mesej kepada kita bahawa semua orang boleh berubah. Tiada yang mustahil. Benar.

Biarpun apa sejarah lampau kita, itu bukan penentu pengakhiran hidup ini. Selagi diberi nafas dan kesempatan, selagi itu kita wajib mencuba untuk berubah ke arah kebaikan. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib (keadaan) sesuatu kaum itu, sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”-(Surah al-Ra'd:11).

Apa yang penting, berani untuk memulakan langkah yang pertama ke arah kebaikan. InsyaAllah, pada langkah yang seterusnya pasti dibantu oleh Allah. Kesukaran paling besar adalah ketika ingin memulakannya. Bak kata Ann Landers “Nobody gets to live life backward. Look ahead, that is where your future lies.”
Walau bagaimanapun dalam keghairahan melakukan kebaikan dan mengejar kejayaan, sekiranya tersasar dan terlencong, segeralah cari jalan pulang dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, bimbang kita tidak sampai ke destinasi yakni Redho Ilahi. Maka berhati-hati lah, kerana hidup ini sememangnya sebuah perjalanan. Moga kita sentiasa di jalan yang LURUS dan diberi HIDAYAH.

24 June 2009

Ketupat Cinta


"Apalah yang lebih jahat dari manusia yang ingin membunuh jati diri bangsanya. Bila ia perlukan al-Qur'an dan undang-undang Islam seperti qazaf, ia akan menggunakan sekian ulama untuk menolongnya. Bila tiada perlu ia agama, ia akan mengelak-ngelak dan mendakwa agama dan siasah itu terpisah tiada kena-mengena. Ini jenis permaisuri celaka namanya." — Faisal Tehrani (Ketupat Cinta : Musim Pertama)

Nah…saya hidangkan Ketupat Cinta buat kalian.
Tapi bukan saya yang membikinnya,
Hanya Faisal Tehrani yang mencipta dan mengolah masakan ini.
Kalian telah mencubanya?
Rasalah…pasti kalian akan kempunan lagi pada lainnya.

Kalau Manikam Kalbu…pada falsafah pakaiannya; Melayu dan Islam,
Bedar Sukma Bisu pada falsafah pelayarannya, Advencer Si Peniup Ney pada falsafah kesenian Islam…dan banyak lagi…kini Ketupat Cinta didatangkan dengan falsafah masakan. Sudah tentu menarik.

Tiada buku yang pernah saya baca sehingga saya tersengih-sengih, terkekek dan tergelak, melainkan buku ini…gayanya seperti membaca Ujang. Tapi dengan syarat kalian tidak mati rasa atau buta isu.

Jika kalian ‘alert’ isu kita bersama, isu agama, isu semasa, isu nasional, kalian tidak akan mati rasa.

Seandainya kalian tidak merasa apa-apa saat menikmatinya…kalian jangan salahkan saya.

Kita lihat apa komen pembaca yang lain di http://www.goodreads.com/

Kalaupun ini bukan buku terbaik FT, Ketupat Cinta tentunya buku yang paling sedap dan enak dinikmati. Kalaupun tidak menjilat jari, tentunya meleleh air liur kerana banyak tersengih sendiri.
Dalam buku ini, pembaca bukan sahaja menemui pelbagai resepi masakan Melayu lama, bahan-bahan dan cara memasaknya dan falsafah di sebalik setiap masakannya. Malah, sebenar-benarnya buku ini adalah sebuah satira politik yang menyentuh pergolakan siasah masa kini dengan adunan yang sungguh bijak sekali.
Pengekor isu-isu semasa, pastinya tidak sukar untuk mencari perkaitan antara kisah-kisah dalam Ketupat Cinta dengan peristiwa sebenar semasa. Bolehlah diibaratkan FT sebagai tukang masak handalan yang mengambil bahan-bahan dari isu semasa, digaulkan dengan ramuan-ramuan masa lalu, dihidangkan sebagai Ketupat Cinta, untuk makanan minda. FT juga bijak mencipta watak-watak dalam Ketupat Cinta. Ah, bagaimana bijaknya tidaklah dapat hakir babadkan di sini. Kenalah baca sendiri.

Pembaca yang lain,

Hilarious, humorous, and I just cant stop laughing while passing through pages to pages of Ketupat Cinta yet it was a very thoughtful writing(as always), which emphasizes food as a subject for philosophical reflection.

Lagi…

Saya kagum dengan kemahiran FT mengadun watak. Setiap watak itu bagi saya tidak mewakili individu tertentu dalam krisis siasah Malaysia, tetapi mewakili kelompok-kelompok tertentu.

Komen lagi.
Pelbagai nama watak yang telah dipalsukan terdapat di dalam Ketupat Cinta. Lama juga saya berfikir siapa Rosjah. Siapa RaJim. Siapa Lo' Ganish. Pembaca perlu membaca dan memahami situasi serta isu yang cuba dibawa penulis. Kemudian barulah boleh meneka siapakah watak yang cuba dimaksudkan itu. Tetapi, bukan 100% karakter di dalam Ketupat Cinta dilakukan oleh watak tersebut di alam realiti. Ia cuma kiasan sahaja.
Tak usahlah saya mengisahkannya di sini lebih-lebih, pasti tak sama cara setiap individu mencerna dan menilainya biarpun seakan-akan sama.
Mudah-mudahan kita tidak mati rasa dan beku pemikiran, banyak benda perlu dicakna agar tidak tertipu dengan ilusi kerna kita sedang berdepan dengan realiti. Apa yang terpapar di hadapan kita adalah realiti, begitu juga apa yang ingin dinyatakan oleh Saudara Faisal Tehrani adalah realiti.
Cubalah rasa Ketupat Cinta, pasti kalian tidak menyesal. Jangan lambat-lambat. Takut basi isinya.
Penulis: Thanx so much to http://kalamhawariyyun.blogspot.com/ kerana meminjamkan Ketupat Cinta kepada saya. Saya tertunggu-tunggu untuk merasa Ketupat Cinta Musim Ke-seterusnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails