Perubahan atau transition daripada seorang mahasiswa yang tidak berpendapatan tetap kepada individu yang berjawatan dan bergaji selepas pengajian adalah amat perlu kepada kepandaian dan kemahiran pengurusan kewangan. Tanpa persediaan atau pengetahuan yang cukup berkenaan pengurusan kewangan adalah amat merugikan biarpun dia seorang yang berpendapatan besar.
Keadaan ekonomi dunia yang serba tidak menentu dan harga barang pun semakin meningkat di Malaysia, memaksa kita sebagai individu yang berpendapatan tinggi, sederhana atau rendah untuk menguasai ilmu pengurusan kewangan , seterusnya mengelak daripada melakukan kesilapan kewangan dan merangka pelan tindakan persediaan masa depan.
Peta Perjalanan Kewangan
Apa yang pasti pilihan berada di tangan kita, ke arah mana untuk kita mencorak kehidupan masa depan yang lebih terjamin dengan terbinanya situasi ekonomi keluarga yang utuh dan bebas daripada belenggu hutang dan sebarang masalah kewangan.
Sewajarnya cuba kita ‘analysis’ kembali daripada mana sumber kewangan yang mengalir di poket kita, ke mana wang tersebut dibelanjakan dan berapa banyakkah sudah kita menabung untuk masa depan? Cuba renung-renungkan.
Masih belum terlambat untuk kita fikir-fikirkan strategi terbaik pengurusan kewangan dan menyiapkan peta perjalanan kewangan yang terbaik untuk kita sampai ke ‘destinasi’. Sebagai contoh kita mulakan peta kita di usia 25 tahun sehingga 75 tahun (sekadar jangkaan hayat usia), dalam lingkungan jangka hayat ini, kita harus letakkan target bila ingin memiliki kereta, berkahwin, memiliki rumah sendiri, menunaikan haji dan tabung persaraan.
Perlu juga meletakkan target di usia berapakah untuk kita berada dalam situasi financial freedom/ kebebasan kewangan di mana di saat itu, kita tidak perlu lagi bekerja, bahkan boleh ke mana sahaja dalam situasi kita punya tabungan yang cukup untuk menampung sekeluarga dan bebas daripada hutang.
Ambillah pengajaran daripada surah Ar-Rad; 11, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri” .
Segala-segalanya bergantung kepada diri kita sendiri!
Keberkatan
Berbicara soal pendapatan dan harta, wajib ditekankan soal keberkatan. Punya duit/harta yang bertimbun sekalipun tetapi datang daripada sumber yang haram atau subhah tidak memberi makna apa-apa bahkan hidup sentiasa diselubungi masalah dan malapetaka. Mendarah-dagingnya di dalam jasad individu tersebut sumber yang tidak halal dan merebak jua pada keluarga. Lahirlah anak-anak yang tidak dengar kata dan mati hati. Balasan Allah pasti ada biarpun bukan di dunia tapi di akhirat nanti.
Kita Hanya Pemegang Amanah
Dalam perancangan kewangan Islam, konsep yang harus kita fahami ialah Allah s.w.t adalah Pemilik Harta yang mutlak dan manusia hanya sebagai ‘pemegang amanah’. Sebagai pemegang amanah, kita tidak boleh membelanjakannya dengan sewenang-wenangnya.
Harus diingatkan juga bahwa wang yang sampai ke tangan kita, bukan milik kita secara mutlak, ada hak-hak saudara se-Islam kita yang wajib dan harus kita tunaikan dalam bentuk zakat dan sedekah.
Dalam mencari pendapatan yang berkat ini terpulang kepada diri kita, bagaimana usaha yang harus dilakukan untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Yakinlah bahwa Allah telah menjanjikan, setiap makhluk tidak akan hidup melata di bumi Allah ini. Setiap daripada kita telah ditentukan rezekinya. Kita hanya perlu berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Semoga Allah memberkati pendapatan dan wang yang kita perolehi dan dipermudahkan segala urusan. Amin.
Surah Al-Waqiah
Saya juga ingin kongsi bersama kalian (perkongsian daripada bapa), digalakkan untuk mengamalkan surah al-Waqiah setiap hari sama ada selepas Maghrib atau Isya, mudah-mudahan kita dimurahkan dan dipermudahkan untuk mendapat rezeki yang baik. Boleh ditadaburkan sekali maksud ayat-ayat tersebut yang menerangkan tentang nikmat- nikmat syurga.
Ke Mana Wang Anda?
Saya juga cukup tertarik untuk mengetengahkan satu buku yang menjadi antara rujukan saya dalam hal ini iaitu Ke Mana Wang Anda?, tulisan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Syahir, seorang Perunding Kewangan Hijrah Wealth Management. Diterangkan secara detail berkenaan bagaimana merangka Peta Perjalanan Kewangan, Merancang Kewangan Dalam Fasa Kehidupan, Menguruskan Perbelanjaan, Pelaburan untuk Anak-anak, Hidup Selesa Tanpa Hutang, Peluang Tingkatkan Pendapatan dan Persediaan Masa Depan.
Buku ini amat berbaloi untuk dimiliki. Selamat membaca!
No comments:
Post a Comment
Comment Here