Sebongkah Batu Di Kuala Berang - Faisal Tehrani
Dikongsi melalui http://melihatbuku.blogspot.com
Novel paling kini daripada penulis Faisal Tehrani. Terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd. Terbitan pertama tahun 2011. Sebongkah Batu Di Kuala Berang merujuk kepada batu bersurat di Terengganu yang menjadi bahan bukti kehadiran agama Islam di Tanah Melayu.
Novel ini mengenai sejarah batu itu sendiri yang cuba didokumentasikan oleh sekumpulan pelajar sebuah institusi , Akademi Seni Islam sebagai tugasan akhir mereka. Dokumentari drama yang mereka jalankan akan melibatkan beberapa orang pelakon popular tanah air. Di sini penulis cuba membawa pembaca untuk memasuki ke alam dunia perfileman.
Selain dari sejarah batu bersurat itu, novel ini juga adalah mengenai dunia filem yang mana sebagai penulis yang sensitif, Faisal Tehrani pasti berasa tidak senang duduk tatkala melihat bagaimana saban waktu penonton tempatan disogokkan dengan filem-filem, drama-drama yang kurang dari segi nilai Islamnya. Cerita hantu, kepercayaan-kepercayaan yang memesongkan, cerita rempit, bohsia, keruntuhan moral, Faisal Tehrani berasa terpanggil untuk menulis sesuatu mengenai filem yang menjadi satu cabang daripada cabang seni yang perlu dilihat sebagai satu ibadah juga.Puan Ramlah mengomel,
"Awak perlu ingat yang kerja bikin filem ini adalah kerja ibadah. Malah apa sahaja tindak-tanduk kita, tidak terlepas sedikit pun daripada ibadah kerana Allah berfirman menerusi surah adz Dzariyat, ayat 56: Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu." (ms 29)
Filem kini mampu memainkan pengaruh yang kuat terhadap masyarakat. Lambakan filem dalam dan luar negara yang diimport masuk sering dilihat berupaya menarik perhatian anak-anak muda untuk mengikuti gaya dan lagak pelakon serta ideologi yang cuba ditonjolkan di dalam filem-filem tersebut. Aksi ganas, aksi cinta, khayalan, fantasi, falsafah, prinsip, pegangan yang di bawa dari filem Barat (atau timur, selatan, utara) tidak sedikit yang kelihatannya bercanggah dari ajaran agama Islam.
Penulis mengandaikan bahawa filem kini merupakan satu medan dakwah yang paling berkesan yang seharusnya diambil peluang ini oleh umat Islam yang sedar betapa masyarakat di zaman ini sudah malas untuk menempuh surau atau masjid mendengar dan mengikuti kuliah-kuliah para ustaz. Lebih seronok menonton di panggung filem-filem terbaru, menghadiri konsert-konsert bernyanyi-nyanyi. Release tension.
"Ya, kerana anak muda kita sebagai misalan malas ke masjid, tidak rapat dengan madrasah dan sebagainya, dalam keadaan dunia pendidikan kita yang cacamarba kerana kepentingan ahli politik dan pemerintah, remaja kita hanya kenal media seni. Jadi kita kena kuasai media ini. Filem misalnya, sebutkan saya berapa banyak filem yang memuatkan seruan Islam secara berilmu? Kita mungkin ada banyak karya sastera tetapi tunjukkan saya berapa banyak filem yang kita ada untuk saingi propaganda Hollywood?" Dato' Fendi benar-benar di puncak semangat. (ms 79-80)
Dalam usaha para pelajar itu menyiapkan tugasan, mereka dibebani dengan masalah pelakon yang tidak berdisiplin, berlagak dan angkuh dengan beberapa anugerah yang telah dimenangi.
"Err, saya lupa, apa nama awak? Dr Hiryanti? Begini, saya tidak fikir saya perlu diajar bagaimana hendak berlakon." Sharifah Ezzati memuncungkan bibir. (ms 106)Sharifah Ezzati menggigil marah. "Look here lady..." (ms 106)"Saya bukan pelajar awak. Jangan mahu mengajar-ajar." Sharifah Ezzati mendesis bagai ular di hadapan muka Dr Hayati. (ms 107)9.
Kewujudan watak Sharifah Ezzati yang mewakili para pelakon yang berperangai menjengkelkan ini, dijadikan penulis sebagai ruang dan peluang untuk mengutarakan pandangannya mengenai apa yang perlu ada pada seseorang pelakon untuk menjadi terbaik.
"Apa yang saya maksudkan dengan kerangka akting adalah yang pertamanya awak harus memahami yang lakonan itu permainan. Justeru ia perlu direka, direncanakan dan dirancang lebih awal. Apa yang kita mahu lakukan kita bincang dan atur elok-elok. Jadi, awak juga harus tahu lakonan tidak semestinya pegang-pegang, cium-cium ataupun dukung-dukung seperti lakonan awak dalam filem Budu." (ms 104)
"Lakonan adalah kebenaran subjektif di mana perbuatan kita itu dalam keadaan sedar. Jadi pokok sedar kita ialah budaya dan agama. Kita tidak boleh terkeluar dari lingkungan." (ms 104)
Dokumentari drama para pelajar mengenai Batu Bersurat itu sedikit terjejas dengan kerenah pelakonnya. Selain disaratkan dengan butiran fakta mengenai batu itu, dan perihal dunia seni serta filem, penulis juga memasukkan beberapa unsur lucu di dalam novel ini untuk menjadikan ia lebih mudah dimesrai.
"Bintang-bintang, Awak semua pasti banyak duit. Baiklah. Saya setuju!" Sharifah Ezzati tergedik. "Tidak sabar mahu bertemu Azhan Kaya di lokasi. Fazid saya tidak minat, seperti kurang cerdik sahaja. Lagipun saya rasa teman wanita Fazid kawal pergerakan dia." (ms 68)12.
Secara keseluruhannya novel kecil ini kelihatan menarik dengan ide-ide dan gagasan yang cuba dibawa penulis. Cuma barangkali penamatnya begitu lekas hadir. Belum sempat pembaca mahu memesrai pemain-pemainnya, penulis sudah meletakkan titik akhir. Ingin sekali berkenalan dengan Zulkifli dan teman-temannya lebih erat lagi. Ingin sekali menceduk lautan pengalaman Dr Hayati dalam dunia perfileman dengan lebih dalam lagi, tetapi sesedarnya sudah selesai.
Novel ini boleh didapati di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 16.50 sahaja. Atau boleh juga menyerbu syarikat PTS sendiri di Selangor sana. Atau kepada yang telah menabung duit untuk pesta buku yang bakal hadir, boleh juga didapati di situ. Untung-untung dapat autograf Faisal Tehrani sekali.
No comments:
Post a Comment
Comment Here