03 August 2009

U-TURN Ke Jalan Lurus


Hati seorang ayah benar-benar terluka. Petang itu dalam perjalanan pulang daripada kerja, ketika seluruh tubuhnya terasa remuk dibedil beban tugas seharian, pihak sekolah anak lelakinya menelefon, meminta dia segera bertemu guru disiplin sekolah.

“Encik…anak encik terpaksa dibuang sekolah kerana masalah disiplin yang amat serius”, ujar guru disiplin di dalam bilik kaunseling yang sunyi, tetapi patah bicara itu seperti bunyi letupan yang sangat membingitkan. Kemudiaan dari itu ia tidak mendengar apa-apa. Dia hanya melihat kumat-kamit bibir guru disiplin membentangkan satu persatu kesalahan anaknya sedang fikiran telah melayang ke ruang gempita penuh aib. Rasa malu, marah dan kecewa bergumpal dalam rongga dada. Muka terasa panas, arang hitam seperti tertempel di segenap ruang wajah.

Tiada rayuan dibuat, anak dibawa pulang.

Atas kekecewaan yang memuncak, dia suami isteri membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah sekolah tahfiz al-Quran jauh di luar bandar. Biar anak jauh dari hingar kota, jauh dari rumah, jauh dari masakan ibu, biar jauh dari segala-galanya. Biar dia rasakan!

Pada hari anak dihantar ke asrama baru itu, tanpa mahu menoleh pada wajah, anak ditinggalkan. Dia tidak mempedulikan perasaan anaknya kerana perasaannya sendiri sarat dengan rasa kesal dan kecewa yang berlubuk.

Pada setiap bulan, dia akan ke sekolah anaknya yang jauh di luar bandar untuk membayar yuran, tetapi dia tidak mahu berjumpa dengan anaknya. Itu muktamad darinya. Dia penat dan serik menaruh harapan pada anaknya.

Sehinggalah lapan bulan berlalu, ketika dia menjelaskan bayaran yuran seperti biasa dan ingin berangkat pulang, seorang ustaz datang padanya dan meminta agar dia bertemu dengan anaknya.

“Encik…silalah berjumpa dengan anak encik, kami rasa sudah lama benar dia menyebut ingin bertemu dengan ayahnya…” Perlahan bicara ustaz dalam nada merayu.
“Tak mengapalah, saya rasa tidak ada keperluan untuk itu. Biarlah dia di sini dan saya akan terus membayar yuran yang telah ditetapkan.”
Tegas jawapannya ingin memuktamadkan bicara.

“Tapi…tidakkah hari ini encik tidak ingin berjumpa dengan seorang al-hafiz?” bisik ustaz ke telinganya.
“Hari ini, anak encik telah hafaz seluruh al-Quran. Dia telah khatam hafazannya dalam tempoh lapan bulan!” Sepatah-sepatah bicara ustaz, dia hanya mendengar dengan kehairanan.
“Tidakkah encik mahu mengucapkan sedikit tahniah kepadanya?” Tanya ustaz mengakhiri bicara.

Dia tergaman dan terus terdiam. Dia tidak percaya pada apa yang didengari. Dia tidak sangka dan tertanya-tanya adakah dia berhak merasai keajaiban ini.

Saat itu anaknya melangkah masuk berdiri ragu-ragu dengan wajah sarat menanggung rasa rindu hati seorang anak. Tanpa disedari, si ayah menangis dengan kuat, esakannya memenuhi ruang bilik itu. Dia meluru memeluk anaknya setelah sekian lama tidak melakukannya. Dia tidak percaya. Dia tidak menyangka bahawa dia sedang memeluk anaknya sendiri, seorang al-hafiz dengan cahaya al-Quran melimpah di wajah. Dia memeluk anaknya dengan begitu lama untuk menikmati rasa damai dalam hatinya sendiri.

Manakala si anak, sejak ditinggalkan ayahnya di situ lapan bulan yang lalu, sudah menanam tekad untuk berubah. Allah telah mengurniakannya hidayah. Ditambah dengan didikan ustaz dan siraman cahaya al-Quran, dia mendapat kekuatan untuk meninggalkan sejarah lampaunya dan membuat pusingan U dalam hidupnya.

Kisah di atas di petik dan di edit daripada buku U-TURN ke jalan lurus oleh Zul Ramli Mohamed Razali.

Kisah benar ini memberi mesej kepada kita bahawa semua orang boleh berubah. Tiada yang mustahil. Benar.

Biarpun apa sejarah lampau kita, itu bukan penentu pengakhiran hidup ini. Selagi diberi nafas dan kesempatan, selagi itu kita wajib mencuba untuk berubah ke arah kebaikan. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib (keadaan) sesuatu kaum itu, sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”-(Surah al-Ra'd:11).

Apa yang penting, berani untuk memulakan langkah yang pertama ke arah kebaikan. InsyaAllah, pada langkah yang seterusnya pasti dibantu oleh Allah. Kesukaran paling besar adalah ketika ingin memulakannya. Bak kata Ann Landers “Nobody gets to live life backward. Look ahead, that is where your future lies.”
Walau bagaimanapun dalam keghairahan melakukan kebaikan dan mengejar kejayaan, sekiranya tersasar dan terlencong, segeralah cari jalan pulang dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, bimbang kita tidak sampai ke destinasi yakni Redho Ilahi. Maka berhati-hati lah, kerana hidup ini sememangnya sebuah perjalanan. Moga kita sentiasa di jalan yang LURUS dan diberi HIDAYAH.

1 comment:

  1. em..c..a will can change impossible to possible. lot of people think it is impossible for men to be a nurse..it is impossible to memorize the whole quran in a short time.. but, no one can deny the fact dat happen

    ReplyDelete

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails