13 July 2011

Motivasi Menjelang Ramadhan Daripada Rasulullah s.a.w.

Ramadhan adalah bulan yang dirindui oleh orang-orang beriman. Kehadirannya dinanti-nanti. Tibanya disambut mesra. Jiwa mereka yang beriman pasti tidak putus melafazkan syukur kerana diberi peluang untuk bertemu Ramadhan. Lantaran menyedari betapa hadirnya Ramadhan membawa sejuta kelebihan, orang-orang yang beriman pasti menyala semangatnya untuk mengisi setiap detik waktu Ramadhan dengan pelbagai ibadat dan amal soleh. Suasana mengharunginya menyenangkan dan membuatkan jiwa kaum mukminin tenang dan damai. 

Rasulullah s.a.w tidak hanya memerintahkan kita berpuasa, tetapi menyeru agar kita bersemangat menyambut kedatangannya. Baginda menunjukkan rasa gembira serta menyampaikannya sebagai khabar gembira kepada para sahabat dan umatnya. Baginda memberikan banyak nasihat dan pesanan ketika Ramadhan bakal menjelang.

Dalam sebuah riwayat sahabat Salman al-Farisi r.a, Rasulullah s.a.w berkhutbah di hadapan para sahabat baginda,

“Wahai manusia telah datang kepada kalian bulan yang agung dan penuh berkat. Di dalamnya terdapat suatu malam yang nilainya (ibadah) lebih baik daripada seribu bulan. Allah s.w.t menjadikan puasa pada siang harinya sebagai sebuah kewajiban dan menghidupkan malamnya sebagai sebuah perbuatan sunnah (tathawwu’). Sesiapa yang mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan (pada bulan itu), seolah-olah dia mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain. Siapa yang mengerjakan satu perbuatan wajib, seolah-olah dia mengerjakan 70 kebaikan pada bulan yang lain. Ramadhan adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu balasannya adalah syurga. Ia (juga) bulan tolong-menolong, di mana di dalamnya rezeki seorang mukmin bertambah. Siapa yang memberikan makanan berbuka (iftar) kepada seorang yang berpuasa (pada bulan itu), maka itu menjadi maghfirah (pengampunan) atas dosa-dosanya, penyelamatnya daripada api neraka dan dia memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” Hadis Riwayat Baihaqi

Kemudian para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, tidak semua daripada kita memiliki makanan untuk diberikan sebagai makanan berbuka bagi orang yang berpuasa.”

Rasulullah s.a.w bersabda,
 “Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan makanan berbuka walaupun sebiji kurma, atau seteguk air atau sedikit susu. Ramadhan adalah bulan yang permulaanya adalah rahmat, pertengahannya adalah maghfirah (pengampunan) dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka.” Hadis riwayat Baihaqi dan al-Uqaili.

Lewat khutbah tersebut, Rasulullah s.a.w telah membangkitkan semangat kita untuk bertemu dengan Ramadhan. Melontar pesan, menyatakan khabar gembira tentang keutamaan dan kelebihan Ramadhan yang bisa diraih oleh sesiapa sahaja. Asal sahaja keikhlasan hati mencari redho Allah s.w.t tidak luntur, bahkan terus menyala sebagai obor semangat untuk bangkit di sepanjang Ramadhan dengan tekad mengisi setiap detik waktu dengan amal kebajikan. 

Ini adalah permulaan yang baik. Di sini Rasulullah menguatkan kita. Memotivaskan kita. Membangkitkan semangat kita, agar benar-benar memberikan sepenuh penumpuan beribadah sepanjang bulan yang mulia ini. Ramadhan yang penuh BERKAT, RAHMAT dan KEAMPUNAN. 

Sumber: Nasihat Ramadhan Daripada Orang-orang Soleh

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails