16 May 2009

Musafir di Bumi Jelapang Padi



Suatu ketika dahulu hamba pernah mengembara dan bermusafir ke utara, jauh benar perjalanan hamba kali ini. Seingat hamba sepanjang hayat hamba, inilah kali kedua hamba menjauh ke bumi jelapang padi ini. Kali pertama, saat itu hamba masih terlalu mentah untuk hamba ingat kembali memori pengembaraan bersama nenda hamba.

Sepanjang hamba bermusafir di sini, mujurlah hamba diterima untuk berteduh di sebuah teratak yang hamba kira begitu gahnya jika nak dibandingkan dengan teratak yang lain di perkampungan itu. Bonda Ngah yang menjemput hamba dan seorang lagi sahabat hamba yang turut bermusafir bersama hamba. Bonda begitu baik orangnya, lemah lembut dan penuh keibuan, semasa hamba bersalam dengannya, beliau sempat mencium pipi hamba. Hamba fikir, bonda berbeda dengan yang lain.

Hamba dan sahabat hamba Kasih namanya dibawa pulang ke teratak ayahanda hamba. Sebelum hamba terlupa, baik hamba khabarkan dahulu siapa ayahanda hamba. Beliau adalah Mat Isa, sama namanya dengan Almarhum Nenda hamba dari bumi serambi Mekkah. Dikhabarkan, ayahanda hamba pernah menjadi pemimpin di wilayah itu selama dua penggal. Cukuplah hamba melihat di terataknya tergantung gambar Ayahanda Mat Isa semasa beliau ingin bertanding di wilayah tersebut. Maka bermulalah kehidupan hamba menumpang di teratak serba cukup Ayahanda dan Bonda angkat hamba. Tidak lama hamba tinggal di situ, tidak sempat satu atau dua purnama, sekadar empat lima hari sahaja. Tapi sekadar itu, cukup menggamit kenanga manis hamba dan Kasih menumpang kasih Ayahanda dan Bonda yang mulia sungguh nilai budi mereka berdua yang bukan sahaja menuturkan akhlak Islam di bibir-bibir malahan diterapkan dalam kehidupan Ayahanda dan Bonda berdua.

Ayahanda Mat Isa suka benar beliau bercerita. Khusyuk hamba dan Kasih mendengar ceritanya, sambil ditambah sikit-sikit oleh Bonda Ngah. Pernah suatu malam, Ayahanda bercerita berkenaan sahabat seperjuangan beliau Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor. Sebelum ini hamba ada juga mendengar berkenaan Almarhum, tapi kali ini lain kerana hamba dengar dari mulut orang yang dekat dengan Almarhum. Dalam dunia ni, hamba nak khabarkan pada tuan hamba, sukar untuk kita mencari pemerintah yang melaksanakan amanah dengan sebenar-benarnya dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.


Ayahanda bercerita, pernah sekali, Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor tidak berduit, tidak cukup untuk mengisi minyak kereta, Almarhum datang berjumpa Ayahanda Mat Isa untuk minta pertolongan dan sanggup menunggu sehingga Ayahanda selesai mesyuaratnya. Nampaknya, Almarhum begitu terdesak pada saat itu, masakan Almarhum sanggup menunggu lama, kata Ayahanda. Lihat, seorang pemerintah tidak berduit, tuan hamba pelik. Mengapa peliknya…, mungkin pemikiran kita sebelum ini didasari pemimpin berduit banyak. Pemimpin pakai kereta mewah. Pemimpin duduk rumah tertukar dengan istana. Tetapi tidak pada Almarhum, beliau tidak kisah semuanya, beliau adalah pejuang Islam yang dipilih untuk mengembalikan Islam dan pemeritahan Islam ke pangkuan kita, membebaskan daripada belenggu penjajahan sekularisme, nasionalisme, korupsisme, kapitalisme dan berbagai-bagai istilah lagi yang memeningkan kepala hamba.


Dulu, Ayahanda hamba Mat Isa pernah khabarkan kepada hamba, sebelum beliau bertanding, ada yang bertanya teratak yang beliau duduki sekarang ini bilakah siapnya, kata Ayahanda hamba, teratak itu sudah lama dibina. Ditanya, takut-takut menjadi fitnah bila Ayahhanda memerintah sebab itu besar gamaknya, takut-takut diekploitasi pihak sebelah sana.

Pemerintah dilantik oleh kuasa rakyat untuk memimpin mereka dan menguruskan segala harta hak milik rakyat. Masakan ada pemimpin yang zalim di wilayah besar kita yang korupsi, membaham harta rakyat, menindas rakyat, menipu rakyat dan sebagainya.

Hamba sedar, tuan hamba sekalian dan hamba lah pelapis pemimpin wilayah kita masa depan. Hamba tidak pasti samaada hamba mampu atau tidak, apa yang penting perjuangan harus diteruskan. Hamba sentiasa bermohon pada Ilahi, mudah-mudahan khilafah Islamiyyah akan kembali di bumi ini.

Lewat benar hamba tidur pada malam tersebut mendengar Ayahanda Mat Isa bercerita yang pelbagai. Esok ingin mendengar lagi celoteh Ayahanda.




"tulisan ini bersambung dengan Rakyat + Cukai, dengarlah lagi apa kata ayahanda"-iklan penulis

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails