08 May 2009

Sudah lama saya tidak menulis...

Sudah lama saya tidak menulis, rasa menyesal pula apabila idea yang ada tidak disalurkan dalam bentuk tulisan yang memanfatkan, rasanya sudah ketinggalan jauh beribu-ribu batu berbanding sahabat-sahabat bloggers lain yang punya blog, idea dan penulisan yang mantap.

Perasaan cemburu ini memang ada dalam diri, perasaan yang ‘tidak tahan melihat kemajuan orang lain’ inilah yang membuatkan saya bertekad untuk menulis, seandainya sahabat-sahabat saya mampu komited dengan blog masing-masing, kenapa tidak saya.

Saya menyesal selama ini saya mensia-siakan idea yang ada. Pernah saya mendengar seorang sahabat berkata, “kalau dah terlintas satu idea untuk ditulis, memang kena terus tulis, ingat nak menulis ni senang ke? Idea bukannya datang selalu.” Saya akui kenyataan ini, memang kalau tengah ‘kering’ idea, memang nak menulis satu perenggan pun susah.

Dalam menulis juga, harus saya manfaatkan nasihat saifulislam.com, kata Ustaz Hasrizal pentingnya para blogger menjaga penggunaan bahasa yang betul di dalam penulisan. Kalau tidak kena gayanya, kita akan mengambil masa untuk membetulkan ejaan, tatabahasa dan pengemaskinian struktur idea dan ayat. Membetulkan artikel, adalah jauh lebih susah berbanding dengan menulisnya.

Bagi saya, dalam apa jua yang kita buat, bertindaklah secara professional, penulisan juga ada peraturannya, bukan boleh hentam begitu sahaja. Penulisan mempunyai percentage yang tinggi untuk mengubah mentaliti individu tertentu, jadi menulislah dengan cara yang professional.

Satu point yang wajib saya sentuh di sini, menulis bukan hanya menggunakan bahasa yang indah dan berbunga tetapi menulis juga menggunakan hati. Dan ia juga bukan menggunakan emosi.
Hanya hati yang bersih sahaja mampu ‘menyentuh’ hati-hati yang terpilih.

Menulis memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan tiada apa yang bernilai. Kita tidak mampu untuk mengetuk hati individu lain melainkan dengan izinnya, hanya Allah sahaja yang memegang hati-hati manusia. Maka bermohonlah pada Allah.

Saya juga punya pengalaman sepanjang membaca, ada penulis yang mampu mengetuk hati si pembaca, lantas menyedarkan mereka. Saya pernah membaca trilogi novel Ramlee Awang Murshid iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, dan Hijab Sang Pencinta, ia sungguh menyentuh hati saya, tiada novel atau tulisan kreatif lain yang mampu menyentuh hati saya selepas Combat hasil tangan Faisal Tehrani yang saya hayati saat-saat saya melalui SPM selain cetusan idea dan lagenda minda Ramlee Awang Mursid. Tahniah Ramlee.

Pernah saya mendengar seorang penulis berkata, tapi tidak mampu untuk saya menyebut siapa orangnya kerna keterbatasan minda saya bahwa saat beliau ingin mula untuk menulis karyanya, beliau akan solat beberapa rakaat dahulu untuk mendapat petunjuk, adakah apa yang bakal digarap ini bermanfaat atau tidak.

MasyaAllah ini suatu kerja yang mulia, akan saya usahakan untuk berkarya, biarpun saya mengerti akan keterbatasan minda saya ini, tapi sebagai seorang umat Rasulullah, tersedar saya akan tanggungjawab untuk menyampaikan walau sepotong ayat sebagaimana dalam hadis Baginda S.A.W. Akan kusahut cabaran ini.


Wassalam…


"Aku mula menulis bukan dengan emosi, namun hati yang mendesak, jiwa yang penuh perasaan dengan ‘memandu’ pena untuk membentuk kata, mengetuk hati manusia, dengan izin-Mu Tuhan" monolog diri.


No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails