Himpunan Pemimpin Muda
Saya ditaklifkan sebagai fasilitator Himpunan Pemimpin Muda 2009 anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Saya sanggup mengetepikan kursus lain yang harus saya hadiri kerna merasakan kepentingan saya untuk berada di program ini memandangkan sudah lama saya tidak turun padang bersama adik-adik generasi sekolah Yayasan Islam Kelantan yang menjadi kerinduan saya.
Bertempat di Kem Kijang, Jalan PCB, KB, program ini berlansung selama 3 hari (19-21/11 2009). Fokus utama adalah adik-adik pimpinan pelajar sekolah daripada pelbagai badan-badan induk sekolah dari seluruh sekolah-sekolah YIK di Negeri Kelantan.
Apa yang menarik perhatian saya adalah nama adik-adik yang terpilih ini adalah daripada Kerajaan Negeri sendiri. Ini menunjukkan keseriusan dan kepekaan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan bawah YB Fatah sendiri dalam melahirkan, menggilap, dan mengasah bakat-bakat baru kepimpinan di kalangan pelajar kearah melahirkan pemimpin muda.
Seandainya zaman saya belajar di Maahad dahulu, tidak wujud program sebegini yang mengumpulkan keseluruhan kepimpinan sekolah dalam satu-satu masa melainkan program-program kepimpinan di peringkat sekolah atas inisiatif Badan Dakwah, Badan Disiplin dan badan-badan utama lain.
Taklifan sebagai seorang fasilitator bukan suatu perkara mudah bagi saya biarpun saya telah berkali-kali dan punya pengalaman dalam kefasilitatoran. Tambahan pula saya berhadapan dengan pimpinan yang mana ‘cream of the creams’ yang boleh disifatkan.
Bagaimana sewajarnya saya manfaatkan slot bengkel yang singkat untuk saya titipkan sesuatu di hati mereka biarpun sedikit, itu sudah cukup bermakna buat saya.
Di awal pertemuan saya dengan adik-adik dibawah kendalian saya, soalan pertama yang ditanya salah seorang daripada mereka yang membuatkan saya keliru,
“k syikin…bakpo kito ore keno mari sinih?”
Saya ingat mereka sudah jelas dengan objektif utama mengenai HPM ini. Ia membuatkan saya gusar lalu bertanya kembali,
“Adik ada pegang gapo-gapo dok kat sekolah?”
Jawabnya ringkas , “ada”. Maka kata saya, “Itulah jawapannya!”.
Saya membuatkan mereka berfikir, biarpun jawatan di sekolah kadang-kadang bukan keinginan seseorang.
Perkara pertama yang cuba saya terapkan pada mereka adalah merasakan diri mereka sebagai ‘PEMIMPIN’, menjadi harapan sekolah, harapan kerajaan negeri dan harapan agama untuk meneruskan dakwah perjuangan Islam.
Dengan kedhaifan yang ada pada diri saya, saya cuba juga untuk menerapkan dalam diri mereka rasa kebertanggungjawaban pada apa yang di amanahkan atas mereka. Berjawatan bukan semata-mata untuk mendapat pengaruh, bukan untuk glamour, dan bukan jua untuk sijil yang hanya sekeping kertas.
Apabila ada rasa tanggungjawab, seorang pemimpin akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah. Tiada alasan untuk berkata “saya tidak mampu” melainkan berusaha terlebih dahulu.
Mereka bukan calang-calang pelajar, berpotensi untuk terkedepan sebagai pemimpin muda dan pelapis generasi kepimpinan Kerajaan Islam Kelantan. Membiarkan potensi diri terhalang daripada berkembang seumpama membunuh jati diri daripada dalam dan ia suatu kezaliman pada diri sendiri.
Sekolah bukan semata-mata tempat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja, tetapi sebagai tempat untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman daripada kehidupan sebagai panduan dan suluhan untuk menghadapi alam lain selepas tamat pengajian di peringkat sekolah, iaitu alam kampus dan alam pekerjaan.
Kecemerlangan akademik (IQ) tanpa kecemerlangan emosi (EQ) dan spiritual (SQ) adalah seumpama insan yang menjadi robot kepada dunia. Sudah pasti sukar untuk ‘survive’ dan teguh berpegang dengan prinsip Islam dalam menghadapi realiti masyarakat masa kini.
Saya yakin dan saya optimis bahawa adik-adik saya mampu untuk menjadi pemimpin muda yang serba boleh dan melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Kepercayaan itu yang saya ungkapkan dihadapan mereka agar mereka sedar bahawa mereka perlu ketepikan perasaan ragu-ragu, ketepikan ‘inferiority complex’, ketepikan pemikiran-pemikiran songsang yang membunuh potensi diri.
Tidak banyak dapat saya sumbangkan pada adik-adik saya dalam kondisi masa yang singkat. Adalah tidak adil kita mengharapkan untuk mereka terus maju jaya dalam program yang hanya 3 hari. Walaupun tidak banyak, mudah-mudahan ada ‘sesuatu’ yang dapat mereka kutip dan ambil pengajaran daripada HPM.
Syabas dan tahniah pada YB Fatah dan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan kerna usaha ini adalah penting untuk melahirkan kepimpinan muda dan pelapis-pelapis kepimpinan Islam sejak di bangku sekolah lagi.
Catatan penulis 25/11/09 Kota Bharu
KAK ckin........
ReplyDeletewah!
kenagan main air ujan pun boleh..
hoho..
rajin betul kamu ya..