Saya agak kebingungan pada mulanya, ‘orang apa ni’, datang tak diundang. Terus mengambil nafas seketika, beliau mengeluarkan bungkusan kerepek pisang yang hanya berbaki dua.
“kak, belilah ni, sayo kiro nok perabih jah ni”.
Sempat kami bertanya “bakpo napok leloh sangat ni…”
Jawabnya ringkas “ sakit la kak...leloh!”
Lantas dia mengeluarkan satu buku log pendek tebal yang agak remuk dan usang. Mungkin kerna terlalu kerap digunakan dan terlalu dibawa ke sana kemari.
Saya meminta untuk membelek buku catatan itu. Agak menarik perhatian saya. Membaca nama yang tercatat di buku itu ‘Firdaus’(bukan nama sebenar).
Menariknya di dalam buku log yang tebal itu, tercatat rangkap-rangkap pantun yang dituju khas buat ‘mereka yang berjasa’ padanya saat beliau kesakitan. Buat para Pakar, Doktor, Staffnurse, dan Medical Assistant (MA) yang pernah merawatnya di Hospital Kota Bharu sejak beliau kecil lagi.
Di sebelah tepi pantun itu, terdapat cop staf-staf hospital yang merawatnya. Ini bererti, serangkap pantun ditujukan untuk setiap insan yang pernah memberi perawatan kepadanya pada hari tersebut dan setiapnya diminta cop tanda mereka membaca dan menerima pantun yang dibuat oleh Firdaus. Ia seumpama 'report BHT' di wad.
Maka tidak hairanlah seandainya buku setebal itu penuh dengan rangkap pantun yang menyenangkan dan merupakan ‘diari kehidupannya’ menggambarkan segala keperitan dan kesabarannya menghadapi ujian sakit yang Allah ujikan pada susuk tubuhnya sejak kecil lagi.
‘Diari pantun’ kisah suka dan duka penghidap Asthma yang serius. Menjadi peneman setianya ke mana sahaja beliau menapak. Beliau adalah pengunjung setia wad-wad medical Hospital Kota Bharu. Asthmatic attack yang datang juga pernah membuatkan beliau seizure (sawan) atau nyetok dalam loghat Kelantan yang mana menggambarkan keseriusan asthma yang melanda.
Sempat kami berkongsi kisah suka dan dukanya apabila ditanya kenapa sampai menjual kerepek ini sedangkan beliau ada nyatakan akan menghadapi ‘paper’ SPM pada keesokannya . Atas desakan kesusahan keluarga itulah jawabnya. Beliau bergantung kepada MDI, kemana-mana sahaja pergi, harus dibawa bersama ubat itu. Taraf ekonomi keluarga yang tidak seberapa, punya adik-beradik yang ramai, maka perlu mencari duit bagi menampung kos perawatannya.
Jauh di sudut hati, beliau bercita-cita tinggi mahu menjadi Perawat juga. Sempat aku menyalin 2 rangkap pantun daripada ‘Diari Pantun’ itu dengan izinnya buat kita bersama.
Deman mendatang terasanya lemah,
Panadol di makan ubat disedup,
Hospital dan klinik sebagai rumah,
Tempat bergantung seumur hidup,
Apabila hujan jagalah kesihatan,
Ubat singulair umpama bintang,
Tidak ditinggalkan ubat dan peralatan,
Menghalang penyakit yang ingin mendatang.
Penulis; Asyikin Abdul Razak.
Erti syukur pada nikmat SIHAT
Firdaus, maafkan kakak kerana mengungkapkan kisahmu (walau hanya sejenak kita bersua ) dan mengolahnya di laman ini tanpa izinmu. Semoga ia menjadi pengajaran buat diri kakak dan manusia-manusia diluar sana terutamanya bagi yang ingkar dan kufur pada nikmat SIHAT.
Semoga Allah s.w.t memberkatimu dan keluargamu.
Kakak tidak mendoakan agak kamu cepat sembuh. Tetapi kakak mendoakan agar kamu kuat dan teguh dalam iman menghadapi ujian ini.
Kamu ibarat tidak ada dosa kerna dosamu terhakis oleh kesabaranmu dan keikhlasanmu menghadapi dan menempuhi setiap kali kesakitan itu menjelma. Bertemu denganmu, biarpun buat seketika hanya dalam beberapa minit kita bercakap, membuatkan kakak berfikir.
Pada sekujur tubuh yang kelihatan lemah dan pucat, nafas yang tersekat-sekat kerna ganguan pernafasan, dan percakapan yang agak terganggu, terdampar sinar mata ketabahan. Membuatkan kakak ‘mengerti’.
Hakikatnya, tidak susah untuk kita mencari ibrah dan pengajaran daripada kehidupan. Mereka disekililing kita sudah cukup membuatkan kita berfikir dan merenung erti kehidupan itu pada kesusahan dan bersyukurnya kita pada nikmat SIHAT sebelum datangnya SAKIT
Catatan 21 November 2009, MPKB.
No comments:
Post a Comment
Comment Here