21 February 2010

Bapa Durhaka!

BAPA DURHAKA!
Seorang lelaki datang menghadap Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab. Ia melaporkan kepada khalifah tentang kedurhakaan anaknya. Khalifah Umar lantas memanggil anak yang dikatakan durhaka itu dan mengingatkan bahaya durhaka pada orang tua. Saat ditanya sebab kedurhakaannya, anak itu menjawab,

“Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seorang anak mempunyai hak untuk ditunaikan oleh orang tuanya?”
“Ya”, jawab Amirul Mukminin.
“Apakah itu?”tanya anak itu.
Khalifah menjawab, “Ayah wajib memilihkan ibu yang baik buat anak-anaknya, memberi nama yang baik dan mengajarinya Al-Quran.”
Lantas sang anak menjawab,”Wahai Amirul Mukminin, tidak satupun daripada tiga perkara itu yang ditunaikan ayahku. Ibuku Majusi, namaku Ja’lan, dan aku tidak pernah diajarkan membaca Al-Quran.”

Umar Al-Khattab lalu menoleh ke arah ayah itu dan mengatakan, “Anda datang mengadukan kedurhakaan anakmu, ternyata anda telah mendurhakainya sebelum ia mendurhakaimu. Anda telah berlaku tidak baik terhadapnya sebelum ia berlaku tidak baik kepada anda.”

Sumber: Cinta di Rumah Hasan Al-Banna.

Lantas saya berfikir, kita selalu mengira anak-anak itu yang menderhaka pada ibu-bapanya, tetapi kita tidak mengambil kira ibu-bapa yang derhaka pada anak-anaknya. Pada zaman kini saya kira ramai ibu-bapa yang tidak menunaikan hak anak-anak dan melangsaikan tanggungkawab mereka kepada zuriat anugerah Ilahi.

Kisah di atas adalah kisah yang jelas menggambarkan kedurhakaan seorang bapa pada anaknya. Pada apa lagi yang sewajarnya disandarkan seandainya seorang ibu atau bapa yang tidak sempurna akhlaknya dan agamanya ingin mendapat anak-anak yang soleh yang tidak mendurhakainya?

Segalanya-galanya kembali kepada perkara-perkara asas iaitu pemilihan ibu yang baik buat anak-anaknya atau bapa yang baik, memberi nama yang baik buat si anak dan mengajarinya al-Quran dan mendidik dengan didikan Islam.

MEMILIH IBU YANG BAIK

Di sini teringat saya pada kata-kata Dr Khalid Jamil penulis buku best seller ‘Ajari Aku Cinta’ dari Indonesia setelah ditanya bagaimana seorang lelaki memilih pendamping hidupnya…maka jawabnya beliau,

“engkau harus berhati-hati dalam memilih gadis yang akan menjadi pasangan hidupmu, penyimpan rahsiamu, ibu rumah tanggamu dan ibu dari anak-anakmu! Kerana, tema memilih wanita itu bukanlah suatu hal yang mudah, bahkan sebahagian besar problem dan kesulitan rumah tangga berasal dari ketergesaan dalam memilih pasangan hidup tanpa penelitian sebelumnya. Berapa banyak pemuda yang memutuskan pilihan pengantinnya hanya kerana tersihir oleh kecantikannya. Lalu, setelah itu rumah tangga menjadi jurang neraka kerana banyaknya kesulitan yang timbul tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, wajar jika Islam menganjurkan agar seorang lelaki memilih pasangan hidupnya dengan baik”.

Islam meletakkan prinsip agar wanita pilihan yang akan menjadi pendamping hidup itu adalah seorang gadis yang beragama. Dengan komitmennya pada agama, akan menjaganya dari penyimpangan-penyimpangan dan menjauhkannya dari hal-hal yang dilarang.

Dengan pemilihan seorang isteri dan bakal ibu yang baik, mereka mampu berkolaberasi di antara keduanya untuk membina baitul muslim, usrati jannati dan zuriat yang soleh dan solehah.

Perkara ini jelas ditekankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
“Seorang wanita dinikahi kerana empat hal: kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan keran agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama, niscaya beruntung kedua tanganmu.” Hadis riwayat Ahmad)

“Barang siapa yang menikahi seorang wanita kerana kemuliaannya, maka Allah tidak akan menambahkan untuknya kecuali kehinaan. Dan barang siapa yang menikahinya kerana harta, maka Allah akan semakin menambah kefakirannya,. Dan barang siapa yang menikahinya kerana keturunannya (status sosial), maka ia akan menjadi rendah. Dan barang siapa yang menikahi wanita dengan maksud agar dapat menahan pandangan, menjaga kemaluan atau menyambung hubungan kerabat, maka Allah memberkahinya di dalam wanita (pilihannya) itu. Demikian pula Allah memberkahi si wanita dalam lelaki itu” (hadis riwayat Abu Naim dalam kitab al-Hilyah)

PEMILIHAN NAMA YANG BAIK

Pada zaman ini, sesetengah ibu bapa lebih gemar memberi nama anak mereka dengan nama ala-ala moden sedikit dan punya unsur-unsur glamour. Kekadang nama yang diberi tidak pasti hujung pangkalnya dan apa maksudnya. Apa yang penting nama itu sedap bunyinya.Cukup. Apa orang kata tiada kelas la bagi nama anak contohnya Zainab bagi perempuan atau Ibrahim bagi lelaki.

Saya antara orang yang berpengalaman dalam memberi nama-nama ini. Maaf bukan anak sendiri ye, dirujuk oleh saudara-mara untuk diberi nama pada anak-anak mereka. Pening juga kepala dibuatnya, kenapa tidaknya nama semuanya nak sama, kalau seandainya yang abang sulung bermula dengan huruf ‘H’, habis semua adik-adiknya di bawah perlu bermula dengan huruf ‘H’. Kadang-kadang nak sedap mulut menyebutnya saja. Dicadangkan nama seperti Harun atau Hassan atau Hussin ditolaknya pula. Susah juga. Ini satu cerita.

Satu cerita lagi, ada sesetengahnya gembira memberi nama anak-anak dengan nama panjang-panjang atau sukar disebut. Maka ‘berbuih-buih’ mulut guru di sekolah atau di dewan kuliah hendak menyebutnya. Atau pening kepala jururawat di klinik komuniti hendak memanggilnya (ini tidak akan kaitan antara yang hidup atau mati). Sayang nama diberi panjang sampai empat perkataan tak termasuk nama bapa tapi dipanggilnya pendek kadang-kadang tiga huruf sahaja (ni pun tiada kaitan dengan sape-sape).
Apa yang penting nama yang diberi itu adalah baik, punya maksud yang baik dan jangan sampai si anak malu untuk mengakui itu namanya. Kita memanggil nama seseorang itu dengan sesuatu nama adalah kita mendoakan apatah lagi kalau nama itu adalah nama yang punya maksud yang indah seumpama ‘Iffah’ yang membawa maksud ‘kesucian diri’.
Fikir-fikirkanlah buat bakal bapa dan bakal ibu mahupun yang sudah bergelar ibu atau bapa.


No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails