26 February 2010

Nostalgia Maulud Nabi di Zaman Kecil

Nostalgia Maulud Nabi di zaman Kecil
Saban hari saya akan sentiasa mengenang keindahan berada di alam persekolahan suatu ketika dahulu apatah lagi ketika berada di sekolah rendah. Semua itu saya rindui. Di zaman kanak-kanak. Zaman yang menyeronokkan.
Apabila setiap kali sambutan maulidur rasul, pasti saya akan terkenangkan sambutannya di sekolah rendah di sesuatu ketika dalam kehidupan saya. Darjah 3, 4 dan 5.
Apabila menjelangnya Sambutan Maulidur Rasul di bulan Rabiulawal, biasanya cikgu akan mengumumkan tentang sambutannya di perhimpunan yang mana diadakan pada setiap hari ahad.
Saya terkenang keseronokan ketika itu. Cikgu memberi arahan supaya murid-murid memakai baju kurung biasa bagi yang perempuan dan baju kumbang bagi yang lelaki. Cikgu juga pesan supaya kami membawa pinggan dan cawan sendiri. Apa yang saya suka, saya tak perlu belajar pada hari itu dan tak akan ada kerja sekolah yang perlu disiapkan. Hmmm…

Saya seronok kerana kami tidak perlu memakai pakaian seragam sekolah. Jadi pada masa itu, kebanyakan daripada kami pasti akan memilih pakaian yang paling cantik dan baru untuk dipakai pada hari sambutan itu.

Apabila sampai di sekolah, kami semua di kehendaki berkumpul di lapangan perhimpunan, pada saat itu pasti bising yang amat sangat kerana kami teruja melihat semua orang berpakaian cantik dan berwarna-warni. Pada saat itu, kami saling memuji di antara kami, seolah pertunjukkan fesyen pulak!
Kemudian semua guru akan duduk berbaris di hadapan kami. Majlis di mulakan. Sesi di lapangan thobur itu biasanya dimulakan dengan selawat ke atas Junjungan besar Nabi kita Rasulullah s.a.w.

Kemudian akan ada seorang ustaz, yang akan memberi ceramah sempena sambutan tersebut. Saya masih ingat lagi ‘point-point’ yang ustaz pernah tekankan di dalam ceramah beliau yang saya masih ingat sehingga sekarang.

“Kita ingat kepada nabi kita bukan ketika maulud nabi je, kita kena ingat dan selawat kepada nabi pada setiap masa. Ni…kita, bila maulud nabi baru nak berselawat, pastu kita lupa….”

Ceramah yang berkesan bagi saya, walaupun pada saat itu masih kebudak-budakan dan memang budak pun.

Kemudian seterusnya seorang guru akan menerangkan berkenaan perjalanan aktiviti kami pada hari tersebut.

Saat yang paling saya suka pada saat itu ialah berarak di sekitar kampong berdekatan dengan sekolah sambil berselawat dan memegang sepanduk dan bunga rambai. Walaupun agar penat, tapi amat menyeronokkan.

Anak-anak kecil yang masih tidak bersekolah pasti tercengang melihat kami, begitu juga para ibu, suri rumah akan tersenyum melihat kami melalui sekitar rumah mereka.

Biasanya selawat itu akan lantang dan kuat, semua orang bersemangat, tapi bila sudah separuh perjalanan semua orang keletihan sehingga selawat pun sudah tidak rancak.

Pada masa itu saya tidak terfikir pula apa ‘significant’ kami berarak. Tidak ada pula daripada kawan-kawan saya mempersoalkannya. Apa yang penting pada saat itu, saya seronok!

Jauh perjalanan kami berarak sambil berselawat, akhirnya sampai kembali juga kami di sekolah. Apabila sampai , sudah pasti kami kepenatan. Kami berehat-berehat di dalam kelas sehingga cikgu memberi arahan kepada kami untuk mengambil makanan.

Kami bawa pinggan kami dan beratur untuk mendapatkan makanan, biasanya nasi berlaukkan gulai daging lembu.

Pada hari tersebut pihak sekolah dan Persatuan ibu-bapa (PIBG) akan berkolaberasi untuk membuat kenduri. Pada saat itu cukup meriah. Apabila sudah kenyang, kami balik dengan gembira. Biasanya kami dilepaskan awal dari waktu pulang yang sebenar.
Begitulah nostalgiaku di zaman kecil-kecil yang bermakna. Pada saat itu, saya tidak berfikir kenapa kita perlu berarak, kenapa kita perlu buat bunga rampai (di buat daripada daun pandan yang di hiris halus-halus dan ditabur dengan hirisan bunga dan dititis dengan titisan minyak wangi). Saya laluinya dengan seronok sesuai dengan usia saya ketika itu.

Cuma ada sedikit saya terfikir, mungkin kita berarak sambil berselawat di sekeliling kampong adalah untuk mengajak orang lain juga untuk berselawat pada Rasulullah.
Apakah benar sambutan itu perlu?
Lama-kelamaan saya berfikir dan saya mendapat jawapannya. Apa yang pasti sambutan maulidur rasul itu hanya ‘eklusif’ di Malaysia.

Setakat yang saya tahu di Negara-negara Arab Islam lansung tidak ada dilakukan sambutan maulidur rasul. Bukan bererti mereka tidak mengingati Baginda dengan tidak meraikan kelahiran Baginda.

Itu benar. Bahkan ini tidak ada dalam Islam, tidak digariskan perlu dilakukan perarakan, perlu dibuat bunga rampai sebagai ‘added value’ atau dijemput jiran tetangga, buat sedikit kenduri untuk selawat kepada Rasulullah.

Tidak perlu dibuat semua itu untuk mengingati Rasulullah. Tidak perlu. Rasulullah tidak mengharapkannya.

Jika saya utarakan hal ini kepada orang-orang kampong, pasti teruk saya ‘dikerjakan’. Bab kata Ayah saya, macam mana kalau kita kata perarakan itu tidak perlu di buat, tidak ada dalam Islam, pasti kecoh ‘1 Malaysia’.

Semua itu adalah adat, yang diwujudkan dan di programkan sehingga menjadi ikut-ikutan di kalangan masyarakat kita.

Bukan sampai saya mengatakan bahawa perarakan itu salah. Tidak sama sekali. Tetapi apa niat kita dengan melakukan perarakan itu, apa objektif kita, kita perlu kembali kepada perkara ‘basic’.

Sesetengah daripada masyarakat kita lebih memberatkan perkara-perkara seperti itu daripada matlamat yang sebenar. Apa yang jelas,matlamat kita adalah untuk mengajak orang lain untuk mengingati dan berselawat kepada junjungan besar Baginda Rasulullah s.a.w.

Tapi apa yang ingin saya kongsikan ialah sejauh mana kita menghargai nabi kita, menghormati Baginda dan melaksanakan setiap ajaran-ajaran yang dibawa oleh Baginda.

Sejauh manakah kita sayangkan nabi kita, sejauh manakah ingatan kita kepada Baginda selama ini, bagaimana selawat kita ke atas Junjungan besar nabi Muhammad?

Adakah cukup sekadar kita berarak dengan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dan berlumba-lumba pakaian Jabatan mana yang paling cantik dan seragam pada hari tersebut. Adakah itu?.

Penat, habis duit…Dan sambutan ini tidak meninggalkan apa-apa kesan pada hati kita. Kita sekadar mengumandangkan selawat dengan bersungguh pada saat itu sahaja. Atau perlu di adakan kenduri dan dipanggil jiran tetangga khas untuk berselawat. Adakah sekadar itu?

Selawat dan ingatan kita pada Rasulullah bukan hanya pada masa-masa tertentu, bukan pada hari-hari tertentu sahaja atau had hari sahaja, bukan hanya kita berarak sahaja, bukan sehingga kita berkenduri-kendara. Bukan. Bukan. Dan pasti bukan.

Rasulullah tidak mengharapkan semua itu. Tidak sama sekali. Ingatan kita pada Baginda kita sewajibnya perlu setiap hari, setiap masa dan saat. Selawat kita perlu dibiasakan di lidah-lidah kita, supaya kita tidak jadi orang yang kedekut. Bakhil untuk berselawat.

Ingatlah, betapa sayangnya Rasulullah pada kita, di saat Baginda di uji dengan sakaratul maut, Baginda masih lagi menyebut “Ummati, ummati, ummati….”. Sehingga jikalau sebegini sakitnya sakaratul maut, Baginda ingin semua kesakitan umatnya saat sakaratul maut di berikan kepada Baginda. Subhanallah.

Kita bagaimana? Apa pengorbanan kita pada Baginda, apa sumbangan kita pada Islam untuk mempertahankan dan mengembangkan ajaran Islam yang diperjuangkan oleh Baginda dan para sahabat?

Kita sepatutnya banyak-banyak bersyukur, kerana Rasulullah lah kita dapat menikmati keindahan Islam dan berada dalam kebenaran yang dibawa oleh Islam pada hari ini. Kalau tidak kita selama-lamanya berada di zaman Jahiliyyah sehingga datanglah Baginda menyelamatkan nenek-moyang kita suatu ketika dahulu.


Selawat dan Salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

CINTA; CI=Cinta, N=Nabi, T=Taat, A=Allah.

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails