29 December 2010

.Sejarah.Kita. & .Kehidupan.

Sejarah, kita dan kehidupan

Bukan hak saya untuk memperdebatkan sama ada subjek sejarah di peringkat sekolah wajar atau tidak dijadikan subjek teras dan wajib lulus. Saya bukanlah bijak pandai atau ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK). Biarpun Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran telah mengumumkan keputusan untuk menjadikan subjek itu sebagai matapelajaran wajib lulus SPM sama seperti syarat lulus subjek Bahasa Malaysia yang bakal dilaksanakan pada 2013.

Bagi saya, sama ada subjek itu dijadikan subjek teras atau tidak, soalnya sama saja. Belajar itu bukan atas dasar keterpaksaan untuk lulus peperiksaan tetapi pendidikan itu biarpun dalam apa saja subjek sekalipun adalah buat kehidupan masa depan. Falsafah pendidikan adalah bukan untuk melahirkan individu yang sekadar lulus dengan zero penghayatan.
Tidak sedikit yang mengaitkan Sejarah dengan istilah bosan. Bosan dek terbeban kerna tepu dengan fakta, tarikh-tarikh penting, syarat-syarat dan pelbagai penjanjian dan tokoh-tokoh. Rasa keterbebanan itu atas faktor keterpaksaan demi semata-mata untuk lulus cemerlang dengan perhargaan A+ dalam peperiksaan.

Sejarah lebih daripada itu….pembelajaran dan pemahaman itu lebih daripada sekadar lulus peperiksaan.
Bukan menjadi hak saya untuk mempertikaikan sistem pendidikan negara yang berorientasikan peperiksaan. Saya bukan cendekiawan lagi, atau bukan MPPK. Mungkin bukan buat tika dan saat ini.

Tapi siapa yang mampu menghalang saya seandainya saya mengatakan bahwa saya sedikit sebanyak tertipu dengan fakta-fakta sejarah di peringkat sekolah, dengan isi kandungan silibus yang perlu saya hadam bertahun-tahun di peringkat menengah.

Silibus sejarah itu harus diteliti oleh jiwa-jiwa yang cintakan sejarah, mencari kebenaran demi untuk sebuah penghayatan dan pengajaran. Jangan mudah terpedaya dengan sesuatu fakta sejarah tanpa kita mengoreksi dan memahami terlebih dahulu. Lantas, supaya kita tidak berpahut pada fakta yang sengaja diputarbelitkan.

Sejarah asas kepada pembentukan keperibadian individu dan negara.

Bagi Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara,
“sejarah adalah guru yang baik hati, kita banyak belajar darinya , kita memarahinya tapi kita juga menyayanginya. Dengan sejarah kita menangis dan insaf….juga memperjelaskan kepada kita siapa yang benar-benar berkuasa di alam raya ini….”

Lagi menurut Faisal Tehrani dalam bukunya ‘Karya Nan Indah’
“mencairkan semula sejarah yang beku…persuratan harus bertindak mencairkan sejarah yang telah dibekukan dan dikakukan oleh penjajah dan musuh Islam (barat). Bahagian sejarah yag dibenarkan dan disembunyikan harus dicungkil keluar semula, diakhiri dan dijanakan serta dijadikan tenaga untuk mendorong kita menerap semula kegemilangan masa hadapan”

Justeru itu…tiada sebab untuk kita menyapu tangan, memandang sebelah mata akan sejarah. Amatlah rugi seandainya itu diniatkan. Moga-moga kita tidak menggolongkan diri di kalangan mereka yang lupa sejarah, lupa pangkal dan hujung, kewujudan dan jatuh bangun perjuangan menegakkan agama, mempertahankan tanah air dan bangsa kita.
Penulis: Tulisan ini adalah idea peribadi penulis, tiada kaitan dengan siapa pun.

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails