Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke 35 , maksudnya: "... dan orang2 lelaki dan wanita yang banyak menyebut nama Allah, maka Allah SWT telah menyediakan bagi mereka semuanya, keampunan dan pahala yang besar".
Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang berbunyi: "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur akan nikmatKu".
Berdasarkan ayat ini seorang para ulama' yang terkemuka dari benua India, Mulla 'Ali al-Qari Muhaddith menjelaskan bahawa, ibadah yang paling utama untuk dilakukan selepas dari membaca Al-Quran dan mempelajari hadith, ialah berzikir.
Sabda Nabi SAW pula yang bermaksud: Firman Allah SWT yang bermaksud: "Aku sentiasa bersama hambaku apabila dia mengingatiKu dan selagi bibirnya menyebutKu". Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.
Dalam sebuah hadith sahih yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah melainkan Allah akan mengelilingi mereka dan rahmat meliputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah pada setiap yang ada disisiNya".
Umat Islam hendaklah menjadikan setiap kesempatan yang dilalui sebagai zikrulLah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu.
Al-Imam An-Nawawi ulamak pentahqiq mazhab Syafi'iy yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Beliau berkata bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SAW merupakan zikir.
Jika difahami perkara ini maka bukan sahaja pertuturan itu mempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir.Penjelasan ini adalah berteraskan kepada hadith2 dan ayat2 al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut.
Hal ini sekaligus menafikan tanggapan 'rigid' masyarakat bahawa zikir hanyalah terbatas dalam waktu2 ibadah khusus seperti selepas solat atau pada waktu2 tertentu yang lain sahaja.Al-Imam Al-Ghazaliy menyebut dalam Al-Ihya' - setiap episod yang dilalui dari pagi hingga ke malam hendaklah dipastikan menjadi ibadah kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mestilah bermula dengan hubungan yang langsung dengan Allah SWT.
Alangkah baiknya jika hari kita dimulakan dengan 2 rakaat tahajjud diikuti dengan 2 raka'at sunat taubat, hajat dan sebagainya dalam sepertiga malam dan sebelum solat subuh. Selesai solat subuh lebih kurang 3 jam selepas matahari terbit, janganlah melepaskan peluang untuk beribadah yang menjamin keselematan di alam barzaqh iaitu solat duha serta menunaikan keperluan keluarga atau saudara muslim yang lain.
Umat Islam yang bekerja akan menuju ke tempat kerja. Kerja merupakan peluang untuk beribadah kepada Allah SWT dengan syarat menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam. Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya. Apakah kita sedar kita mendapat rezki yang tidak halal sekiranya mengabaikan tanggungjawab kerja dengan menghabiskan masa di kedai makan, berbual dgn kawan, berjalan di mall dan sebagainya yang akan di soal Allah SWT kelak?
Menjelang waktu zohor pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat zohor. Pada hari yang tidak ke pejabat, sekiranya semua tanggungjawab terhadap isteri dan anak2 telah selesai maka di galakkan berehat atau qailulah iaitu tidur untuk membolehkannya Qiyamullail.
Apabila masuk waktu asar , tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya beraktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti2 rekreasi, riadhah dan kreativiti. Di samping dapat meningkatkan kesihatannya ia juga merupakan waktu berkualiti yang berupaya untuk menjalin hubungan kekeluargaan cara yang paling effisien dan memupuk kemesraan keluarga.
Kedatangan waktu maghrib menandakan berakhirnya hari tersebut. Al-Hasan ra berkata: 'Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau itu ibarat hari2. Apabila berlalu sehari, bererti hilang sebahagian darimu dan hari2 ini apabila berlalu takkan kembali lagi. Engkau wajar menghitung hidupmu, adakah kau berjaya memperbaiki amalannya untuk bertemu Allah SWT? Jika kau berjaya menunaikan sebahagian kebaikan, maka hendaklah memuji Alah SWT yang telah memberi kepadamu taufiq untuk melakukannya. Jika sebaliknya, maka wajarlah bertaubat kepadaNya dan berazam untuk tidak beriltizam dengan maksiat itu'.
Maksiat itu hendaklah diimbangi dengan kebaikan kerana Allah SWT menyebut dalam firmanNya bermaksud: "Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan". Itulah yang menyebabkan ramai golongan salaf berusaha menutup hari mereka dengan sedeqah dengan harapan agar dilupuskan 'hutang' yang berlaku dalam sehari suntuk kehidupan.
Waktu antara maghrib dan Isya' hendaklah diisi dengan sebaiknya, samada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca Al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat. Menurut sesetengah ulama', Allah SWT memuji para sahabat dengan sikap memelihara ibadah mereka pada waktu ini dan sepertiga malam dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud: "Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal2 soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut akan kemurkaanNya serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi keredaanNya dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka".
Mengisi masa bersama anak2 samada membantu melakukan ulangkaji pelajaran atau mengadakan perjumpamaan kekeluargaan untuk berbincang tentang perkembangan ilmu terkini dalam format perbincangan juga merupakan inisiatif ibadah yang terpuji dan ia termasuk dalam konteks zikir yang diperluaskan.
Seterusnya selesai solat Isya', eloklah kiranya diisi dengan program Al-Quran seisi keluarga. Antara surah yang digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi'ah. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith riwayat Ibn As-Sunniy dan Ibn Al-Jauziy yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca surah Al-Waqi'ah setiap malam akan terselamat dari kepapaan".
Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu. Sekiranya dipilih oleh Allah swt untuk tersenarai bersama hambanya yang Qiyam, maka ia adalah nikmat dariNya.
Tidurlah dalam keadaan berwudhuk, suci dan dengan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW.Mudah-mudahan kita beroleh kedudukan hamba yang taat kepada Allah SWT yang sentiasa mengingatinya dalam segenap waktu dan masa yang diberikan.
Dipetik daripada Ustaz Zahazan Mohamed Jabatan Bahasa Al-Quran UIAM untuk manfaat kita bersama. Wallahu'allam.
No comments:
Post a Comment
Comment Here