31 May 2009

Lucu ya!!!

Lucu ya!!

>duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke supermarket

>45minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk borak-borak kosong sambil mengumpat sikit-sikit

>betapa lamanya 2jam berada di dalam masjid tapi betapa cepatnya 2jam berlalu saat menonton tv dan wayang di pawagam

>susah sungguh merungkai kata untuk dipanjatkan saat berdoa atau solat tapi betapa mudahnya cari topic bersembang bila bertemu teman (terutama yang bercinta)

>betapa seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu pertandingan pasukan bola kegemaran tapi betapa bosannya bila imam solat tarawih bulan puasa bacaannya lama dan panjang.

>susah sangat baca al-Quran 1juz tapi majalah hiburan dan novel best-seller beratus-ratus halaman senang dan cepat pulak habis.

>orang berebut paling depan untuk menonton konsert tapi berebut paling belakang bila sembahyang jumaat supaya boleh cepat keluar.

>susahnya orang mengajak menyebarkan dakwah, tapi mudahnya orang menyertai dan menyebarkan fitnah.

>ada orang begitu percaya pada apa yang dikatakan dalam emel layang tapi sering menolak dan mempemudahkan serta mempersoalkan apa yang terkandung dalam al-Quran.

>semua orang nak kepada benda-benda baik dan harap orang lain buat benda baik pada dia tapi dia buat buruk pada orang.
>bila mengadap raja, bukan main takut dan duduk dengan tawadhu tapi bila mengadap Tuhan banyak duk ingat benda lain.

-ni antara-antara kelucuan yang berlaku…banyak lagi lucu-lucu yang lain, yang lebih ‘lucu’ daripada ni pun ada-

JANGAN BIARKAN DIRI MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA KELUCUAN TERSEBUT.

“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya (perbanyakkan mengingati Allah)”-al-ahzab:41

Penulis berkata: "kalau nak fikir banyak lagi benda 'lucu' yang telah terbuat dan sengaja buat...tak tahu apa lagi yang telah terbuat...muhasabah diri balik, ni bukan setakat 'lucu', memang lucu tapi berkait dengan dosa dan niat kita bila beramal..lagi lucu bila orang yang ada ilmu dan tahu yang dia tahu wat lucu...nauzubillah...moga2 tergolong dalam golongan yang banyak bertaubat"





16 May 2009

Rakyat + Cukai-Cukai



Ini lanjutan daripada musafir hamba di bumi jelapang pagi. Ingin lanjutkan cerita Ayahanda Mat Isa.

Ayahanda Mat Isa pasti tidak membiarkan masa kami kosong dibiarkan tanpa pengisian. Pagi itu, ketika kami bersantapan pagi, ayahanda sempat membincangkan suatu isu yang berat memerah otak hamba. Ayahanda bercerita berkenaan ekonomi. Pasti pengalaman ayahanda luas berkenaan ini, kerna beliau mesti tahu, beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Ayahanda hamba bercerita tentang kesusahan rakyat penduduk wilayah. Hamba mengerti rakyat hidup susah, mengabdikan tulang empat kerat mereka untuk menyara keluarga mencari sesuap nasi. Kebanyakan penduduk di situ adalah petani dan penoreh getah. Ayahanda hamba menjadi tempat mereka mengadu biarpun ayahanda sudah tidak lagi pemerintah wilayah itu, ayahanda hanyalah melibatkan diri dalam majlis perbandaran di wilayah itu.

Kata ayahanda, “semua benda atas muka bumi ni, pasti dikenakan cukai, termasuk hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh rakyat jelata, semakin banyak hasil yang dihasilkan oleh rakyat, semakin banyak pungutan cukai yang kedapatan pada kerajaan”

Tambah ayahanda, “kin, kau tau, walau sekecil mana benda tu, apa sahaja yang kita gunakan sehari-hari, semuanya bercukai, tanpa rakyat, kerajaan takkan mendapat pendapatan, kerna rakyat lah yang menggunakan semua itu dan menghasilkan semua itu. ”. Hamba mula mencernakan kenyataan ayahanda.

“Kebanyakan orang tak tau pasal ni, sebab tu lah bila abah berceramah dan ada kesempatan, abah akan ceritakan ini semua, kebanyakan rakyat tidak sedar hak mereka. Rakyat fikir bila kerajaan memberi bantuan, kerajaan membantu mereka, bila masa berkempen, mula la datang bantuan itu dan ini. Padahal itu hak mereka, mereka wajib dapat dan wajib dipulangkan kembali hak mereka, bukan hanya pada masa nak berpilihan raya”. Hujah ayahanda lagi.

Hamba sedih bila memikirkan nasib rakyat. Kena tipu dan ditipu. Sedih bila memikirkan rakyat berusaha dengan titik peluh mereka mengusahakan getah contohnya, hari-hari bila dijual, rakyat mendapat harga yang tidak seberapa, tambahan pula harga getah tidak menentu, kejap naik, kejap turun. Tapi, kerajaan mendapat berapa hasil cukai pada getah tersebut? Seandainya rakyat tidak menorah, dapat tak kerajaan akan hasil getah itu? Cukai itu, cukai ini, semuanya bercukai.

Ayahanda sambung lagi,” wilayah tanah melayu kita tak sama dengan wilayah jiran kita seperti Siam dan Pulau Singa, kita ada banyak hasil bumi, banyak khazanah yang boleh diusahakan, tapi mengapa kita tidak semaju Pulau Singa. Kalau nak dikira, Pulau Singa, apa yang ada? Khazanah bumi mereka tidak banyak, hasil bumi tidak banyak, wilayah mereka kecil sahaja, tapi kenapa mereka boleh maju?”. Pulau Singa, kata ayahanda punya banyak asset, seandainya ekonomi dunia terjejas, pulau tu mungkin terjejas, tapi tak lah memberi kesan sangat sebab mereka ada asset. Tapi bagaimanalah wilayah kita, rakyat kita ada lagi yang tak cukup makan.

Seronok hamba mendengar fakta dari ayahanda sampai hamba terlupa, hamba perlu cepat. Hari ini, hamba berjanji nak meneroka hutan belantara di wilayah itu. Entah apa yang ada, orang kata ada tapak masjid, ada pari-pari, ada buluh betung. Kata ayahanda mendengar kalimah ilmu daripada ayanhanda tadi selama 5 min adalah lebih baik daripada menjejaki itu semua sepanjang hari. Tapi tidak mengapalah, hamba ingin meneruskan pendakian, mungkin ada hikmah ilmu yang Allah ingin kurniakan melaluinya.

Sepanjang pendakian, otak hamba ligat berfikir. Rakyat oh rakyat, kesian rakyat yang tidak terbela. Nampaknya, usaha kearah pembentukan daulah Islamiyyah harus dipergiatkan lagi. Teringat hamba pada kisah pemerintahan Rasulullah dahulu dan para sahabat, pemerintahan Umar Abdul Aziz. Akan muncul khalifah sebenar di akhir zaman ini. Hamba penuh pengharapan
"penulis sekadar berkongsi, kita kena banyak berfikir, jangan asyik kita tertipu, memang kita hidup sempurna, tetapi orang lain?, banyak isu-isu negara yang tidak berkesudahan."

Musafir di Bumi Jelapang Padi



Suatu ketika dahulu hamba pernah mengembara dan bermusafir ke utara, jauh benar perjalanan hamba kali ini. Seingat hamba sepanjang hayat hamba, inilah kali kedua hamba menjauh ke bumi jelapang padi ini. Kali pertama, saat itu hamba masih terlalu mentah untuk hamba ingat kembali memori pengembaraan bersama nenda hamba.

Sepanjang hamba bermusafir di sini, mujurlah hamba diterima untuk berteduh di sebuah teratak yang hamba kira begitu gahnya jika nak dibandingkan dengan teratak yang lain di perkampungan itu. Bonda Ngah yang menjemput hamba dan seorang lagi sahabat hamba yang turut bermusafir bersama hamba. Bonda begitu baik orangnya, lemah lembut dan penuh keibuan, semasa hamba bersalam dengannya, beliau sempat mencium pipi hamba. Hamba fikir, bonda berbeda dengan yang lain.

Hamba dan sahabat hamba Kasih namanya dibawa pulang ke teratak ayahanda hamba. Sebelum hamba terlupa, baik hamba khabarkan dahulu siapa ayahanda hamba. Beliau adalah Mat Isa, sama namanya dengan Almarhum Nenda hamba dari bumi serambi Mekkah. Dikhabarkan, ayahanda hamba pernah menjadi pemimpin di wilayah itu selama dua penggal. Cukuplah hamba melihat di terataknya tergantung gambar Ayahanda Mat Isa semasa beliau ingin bertanding di wilayah tersebut. Maka bermulalah kehidupan hamba menumpang di teratak serba cukup Ayahanda dan Bonda angkat hamba. Tidak lama hamba tinggal di situ, tidak sempat satu atau dua purnama, sekadar empat lima hari sahaja. Tapi sekadar itu, cukup menggamit kenanga manis hamba dan Kasih menumpang kasih Ayahanda dan Bonda yang mulia sungguh nilai budi mereka berdua yang bukan sahaja menuturkan akhlak Islam di bibir-bibir malahan diterapkan dalam kehidupan Ayahanda dan Bonda berdua.

Ayahanda Mat Isa suka benar beliau bercerita. Khusyuk hamba dan Kasih mendengar ceritanya, sambil ditambah sikit-sikit oleh Bonda Ngah. Pernah suatu malam, Ayahanda bercerita berkenaan sahabat seperjuangan beliau Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor. Sebelum ini hamba ada juga mendengar berkenaan Almarhum, tapi kali ini lain kerana hamba dengar dari mulut orang yang dekat dengan Almarhum. Dalam dunia ni, hamba nak khabarkan pada tuan hamba, sukar untuk kita mencari pemerintah yang melaksanakan amanah dengan sebenar-benarnya dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.


Ayahanda bercerita, pernah sekali, Almarhum Al-Ustaz Fadhil Noor tidak berduit, tidak cukup untuk mengisi minyak kereta, Almarhum datang berjumpa Ayahanda Mat Isa untuk minta pertolongan dan sanggup menunggu sehingga Ayahanda selesai mesyuaratnya. Nampaknya, Almarhum begitu terdesak pada saat itu, masakan Almarhum sanggup menunggu lama, kata Ayahanda. Lihat, seorang pemerintah tidak berduit, tuan hamba pelik. Mengapa peliknya…, mungkin pemikiran kita sebelum ini didasari pemimpin berduit banyak. Pemimpin pakai kereta mewah. Pemimpin duduk rumah tertukar dengan istana. Tetapi tidak pada Almarhum, beliau tidak kisah semuanya, beliau adalah pejuang Islam yang dipilih untuk mengembalikan Islam dan pemeritahan Islam ke pangkuan kita, membebaskan daripada belenggu penjajahan sekularisme, nasionalisme, korupsisme, kapitalisme dan berbagai-bagai istilah lagi yang memeningkan kepala hamba.


Dulu, Ayahanda hamba Mat Isa pernah khabarkan kepada hamba, sebelum beliau bertanding, ada yang bertanya teratak yang beliau duduki sekarang ini bilakah siapnya, kata Ayahanda hamba, teratak itu sudah lama dibina. Ditanya, takut-takut menjadi fitnah bila Ayahhanda memerintah sebab itu besar gamaknya, takut-takut diekploitasi pihak sebelah sana.

Pemerintah dilantik oleh kuasa rakyat untuk memimpin mereka dan menguruskan segala harta hak milik rakyat. Masakan ada pemimpin yang zalim di wilayah besar kita yang korupsi, membaham harta rakyat, menindas rakyat, menipu rakyat dan sebagainya.

Hamba sedar, tuan hamba sekalian dan hamba lah pelapis pemimpin wilayah kita masa depan. Hamba tidak pasti samaada hamba mampu atau tidak, apa yang penting perjuangan harus diteruskan. Hamba sentiasa bermohon pada Ilahi, mudah-mudahan khilafah Islamiyyah akan kembali di bumi ini.

Lewat benar hamba tidur pada malam tersebut mendengar Ayahanda Mat Isa bercerita yang pelbagai. Esok ingin mendengar lagi celoteh Ayahanda.




"tulisan ini bersambung dengan Rakyat + Cukai, dengarlah lagi apa kata ayahanda"-iklan penulis

11 May 2009

A Warm Wish on Nurses Day





"i've posted 3 special cards for special nurses, special students nurse and all of you that have special heart who heal with love"-nurse asyikin
-LOVE THE WAY YOU CARE-

10 May 2009

Sukarnya Menjadi Seorang Ibu.


Ingin menjadi ibu, menimang cahaya mata bukan suatu kerja yang senang! Ini tidak termasuk lagi memberi pendidikan yang terbaik buat anak-anak dan mengajarinya seperti akhlak Rasulullah. Para ibu dan bapa mendepani cabaran yang cukup besar apatah lagi di zaman kebejatan social dan moral melanda umat Islam dan dunia amnya.

Ramai sudah maklumi, tanggungjawab para ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak bukan bermula di awal kelahiran lagi, tetapi perlu ditunaikan sebelum kelahiran itu terlaksana lagi.

Kesusahan para ibu yang mengandung bukan hanya setakat perlu membawa anak yang bakal lahir ke mana sahaja si ibu itu melangkah tetapi si ibu juga perlu berhadapan dengan risiko kesihatan yang mungkin terjejas dan ‘appointment-appointment’ di hospital atau klinik masyarakat yang mungkin sebulan sekali kadang-kadang setiap minggu untuk memastikan si ibu sihat dan selamat daripada segala risiko semasa mengandung yang boleh menjejaskan si anak di dalam kandungan.

Apabila si ibu berjaya melahirkan zuriat yang ditunggu-tunggu kemunculannya, maka bertambah lah lagi tanggungjawab si ibu dan bapa. Bermulalah episode baru dalam hidup. Maka anak perlulah diberikan pendidikan rohani dan akhlak yang secukupnya, dijaga kesihatannya dari segi proses tumbesaran yang sempurna dan imunisasi yang perlu di ambil berdasarkan umurnya.

Sudah pasti tidak termampu untuk dinyatakan di sini betapa banyaknya tanggungjawab ibu dan bapanya dalam mendidik dan membesarkan si anak sehinggalah anak itu cukup matang dan menjadi seorang ibu dan bapa pula, begitulah rantaian kehidupan yang telah termaktud.

Sekarang semuanya sudah besar panjang, kerdil rasanya apabila memikirkan apa yang sudah dilakukan buat ibu ! Tidak usah difikirkan untuk membalas segala jasa baik dan pengorbanan mereka, sudah pasti tidak terbalas walaupun dikorbankan seluruh tenaga dan masa kita untuk mereka…fikirkanlah untuk berbuat baik dan taat kepada mereka kerna itulah perintah Allah dan Rasullulah bahkan kepada sesiapa sahaja walaupun bukan keluarga kita…pasti ibu senang dan berbahgia punya zuriat yang mulia jiwanya dan baik akhlaknya yang lahir daripada rahimnya (sejuk perut ibu mengandung).


SELAMAT HARI IBU buat IBUku, IBUmu dan bakal IBU-IBU diluar sana.


"Pagi ni, bila membuka mata, sahabatku mengucapkan Selamat Hari Ibu kepadaku. Aku tidak terkejut kerna aku tahu, aku dan dia juga bakal menjadi ibu"-MONOLOG LUARAN
Klik disini untuk menghayati 'Surat Seorang Ibu'

09 May 2009

Peliknya Wanita Pada Pandangan Lelaki

Peliknya Wanita Pada Pandangan Lelaki…

“Perempuan nie pelik la…!”

Ayat ini la yang pernah saya dengar daripada classmate lelaki , bila bercakap-cakap dengan mereka. Terjah di minda saya, pelik sangat ke perempuan ni?.Tidakkah terlintas di fikiran mereka,pelik itulah tanda keunikan ciptaan Tuhan!

Lelaki dan wanita diciptakan dengan keunikan tersendiri, mereka saling melengkapi. Itu adalah fitrah penciptaan kedua-duanya. Sebagaimana sejarah dalam Al-Quran yang menyaksikan penciptaan Adam a.s. , kemudiannya Hawa diciptakan untuk mengisi kekosongan Adam walaupun saat itu baginda telah dikurnia nikmat yang melimpah-limpah di Syurga tetapi masih lagi merasakan kekurangan. Maka diciptalah Hawa untuk menjadi pelengkap hidup Adam.
Begitulah sejarah moyang kita. Sudah nyata di dalam Kitab suci al-Quran. Kadang-kadang kata-kata kita tanpa disusuli dengan kewarasan minda dan kekurangan penghayatan ilmu.
Saya memahami situasi yang berlaku, lelaki pelik di pandangan wanita, dan wanita pelik di pandangan lelaki. Ini memang berlaku. Lelaki kurang memahami tindak tanduk wanita, wanita kurang memahami habit lelaki. Tapi inilah ciptaan Allah yang Maha Mencipta.

Lelaki dianugerahkan dengan daya imaginasi yang tinggi dan wanita dianugerahkan dengan perasaan yang kuat. Seandainya hendak dihuraikan di sini perbezaan antara lelaki dan wanita, maka sudah tentu tidak terhurai. Bolehlah dilanjutkan pembacaan pada buku bestseller ‘Men from Mars, Women From Venus’ karya John Gray dan banyak lagi buku-buku hasil tangan John Gray lanjutan daripada buku pertama tersebut atau boleh juga meneruskan pembacaan pada buku ‘He and She, A lively Guide to Understanding the Opposite Sex’ garapan Cris Evalt. Buku ini saya tak pasti sambutan orang ramai mengenainya, tetapi saya agak tertarik dengan buku ini berbanding buku John Gray (lain individu lain cita rasanya).
Namun apa yang saya ingin ‘highlight’kan di sini, walau sebesar manapun perbezaan antara lelaki dan wanita, sepelik mana pun pandangan masing-masing terhadap gender yang berlainan, tapi mereka akan disatukan juga melalui ikatan perkahwinan yang sah dan hidup dengan harmoni. Ini buktinya kebesaran ciptaan Ilahi.

Cuma nasihat saya bagi lelaki, berusahalah kalian untuk memahami wanita kerana keunikan wanita, sebegitu rupa Allah ciptakan bukan untuk tujuan lain juga tetapi sesuai dengan peranannya sebagai ibu yang bakal mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik zuriat kalian jua.

Ternyata wanita dianugerahi dengan naluri dan perasaan yang kuat adalah penting untuk mendidik anak dengan penuh belas kasihan. Wanita mudah untuk memahami perasaan orang lain berbanding lelaki dan sesuai dengan sifat penyayang mereka.
Bagi wanita di luar sana pula, jangan la kalian anggap lelaki itu cara fikirnya seperti kalian juga. Lelaki cara fikirnya jauh berbeza daripada wanita. Apa yang penting pada anggapan wanita, tak semestinya turut penting pada pandangan lelaki. Lelaki biasanya kurang peduli bab-bab perasaan, apabila mereka bercakap sesama mereka, cara pertuturan mungkin kasar pada wanita, tapi bagi mereka itu sudah biasa.

Mungkin boleh saya cadangkan di sini buat wanita dan lelaki, elok lah kalian mengenali diri masing-masing sebelum kalian melangkah ke alam perkahwinan. Ini lebih membantu untuk mewujudkan keserasiaan dan memahami pasangan yang berlainan gender. Memahami antara satu sama lain lebih mudah untuk menyemarakkat rasa hormat antara satu sama lain dan membuahkan kebahagiaan. Bahagia hanya datang daripada rasa hormat pada diri dan orang lain.


tidak layak untuk mengulas bab perkahwinan…tapi sebagai perkongsiaan daripada pemahaman dan pembacaan”-insafi diri penulis-


Awakening to Our Life's Purpose



Al-Quran…
What does the Quran said about our purpose of life?
“I have only created jins and men that they may serve me”

What is the purpose of this life?
Wealth, health…
There is no point in us denying,
Each heart beat brings us closer to dying

You will breathe your last,
Your life will have past,
Don’t pretend,
Death is not the end.

Why man spending life aimlessly
As if he is here to stay,
A fixed time is appointed,
Everything will perish,
Everything you hate,
Everything you relish.

Except the Almighty Allah,
He will remain,
And then will come judgment,
All on one plain,
Allah will say…
I gave you life; I gave you health, wealth and everything

What did you do with your time?
What did you do in your prime?
Did you spread my messages?
Did you spread Islam?
Did you?

We Muslims, we are so blessed
Allah gave us Islam to supersede all the rest

This life is just a cage,
We should live by His orders,
To be save from His rage

The Quran must be read, read before it’s too late and you are dead.
You owe it to yourself,
It will make you cry,
You will know these words are from the Lord of All Mankind,
Instructing mankind to the purpose of life,
And the reward is everlasting life.

Our purpose is to worship our Lord Most High,
The reward is heaven
Where no one die
You will understand when you read The Holy Quran,
You will know the religion of truth is Islam


"seandainya ajal sampai pasti tak kuduga, apa yang akan aku jawab di hadapan Allah s.w.t. nanti, sedangkan masih banyak lagi tanggungjawab yang tak tertunai, masih banyak dosa yang tak terampun"-monolog insafi diri

08 May 2009

Sudah lama saya tidak menulis...

Sudah lama saya tidak menulis, rasa menyesal pula apabila idea yang ada tidak disalurkan dalam bentuk tulisan yang memanfatkan, rasanya sudah ketinggalan jauh beribu-ribu batu berbanding sahabat-sahabat bloggers lain yang punya blog, idea dan penulisan yang mantap.

Perasaan cemburu ini memang ada dalam diri, perasaan yang ‘tidak tahan melihat kemajuan orang lain’ inilah yang membuatkan saya bertekad untuk menulis, seandainya sahabat-sahabat saya mampu komited dengan blog masing-masing, kenapa tidak saya.

Saya menyesal selama ini saya mensia-siakan idea yang ada. Pernah saya mendengar seorang sahabat berkata, “kalau dah terlintas satu idea untuk ditulis, memang kena terus tulis, ingat nak menulis ni senang ke? Idea bukannya datang selalu.” Saya akui kenyataan ini, memang kalau tengah ‘kering’ idea, memang nak menulis satu perenggan pun susah.

Dalam menulis juga, harus saya manfaatkan nasihat saifulislam.com, kata Ustaz Hasrizal pentingnya para blogger menjaga penggunaan bahasa yang betul di dalam penulisan. Kalau tidak kena gayanya, kita akan mengambil masa untuk membetulkan ejaan, tatabahasa dan pengemaskinian struktur idea dan ayat. Membetulkan artikel, adalah jauh lebih susah berbanding dengan menulisnya.

Bagi saya, dalam apa jua yang kita buat, bertindaklah secara professional, penulisan juga ada peraturannya, bukan boleh hentam begitu sahaja. Penulisan mempunyai percentage yang tinggi untuk mengubah mentaliti individu tertentu, jadi menulislah dengan cara yang professional.

Satu point yang wajib saya sentuh di sini, menulis bukan hanya menggunakan bahasa yang indah dan berbunga tetapi menulis juga menggunakan hati. Dan ia juga bukan menggunakan emosi.
Hanya hati yang bersih sahaja mampu ‘menyentuh’ hati-hati yang terpilih.

Menulis memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan tiada apa yang bernilai. Kita tidak mampu untuk mengetuk hati individu lain melainkan dengan izinnya, hanya Allah sahaja yang memegang hati-hati manusia. Maka bermohonlah pada Allah.

Saya juga punya pengalaman sepanjang membaca, ada penulis yang mampu mengetuk hati si pembaca, lantas menyedarkan mereka. Saya pernah membaca trilogi novel Ramlee Awang Murshid iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, dan Hijab Sang Pencinta, ia sungguh menyentuh hati saya, tiada novel atau tulisan kreatif lain yang mampu menyentuh hati saya selepas Combat hasil tangan Faisal Tehrani yang saya hayati saat-saat saya melalui SPM selain cetusan idea dan lagenda minda Ramlee Awang Mursid. Tahniah Ramlee.

Pernah saya mendengar seorang penulis berkata, tapi tidak mampu untuk saya menyebut siapa orangnya kerna keterbatasan minda saya bahwa saat beliau ingin mula untuk menulis karyanya, beliau akan solat beberapa rakaat dahulu untuk mendapat petunjuk, adakah apa yang bakal digarap ini bermanfaat atau tidak.

MasyaAllah ini suatu kerja yang mulia, akan saya usahakan untuk berkarya, biarpun saya mengerti akan keterbatasan minda saya ini, tapi sebagai seorang umat Rasulullah, tersedar saya akan tanggungjawab untuk menyampaikan walau sepotong ayat sebagaimana dalam hadis Baginda S.A.W. Akan kusahut cabaran ini.


Wassalam…


"Aku mula menulis bukan dengan emosi, namun hati yang mendesak, jiwa yang penuh perasaan dengan ‘memandu’ pena untuk membentuk kata, mengetuk hati manusia, dengan izin-Mu Tuhan" monolog diri.


My ideas...are evidence that I'm alive.


Salam pertemuan di alam blogger

Setelah sekian lama menyepi, menyendiri, menginsafi kelemahan, ber'uzlah'...akhirnya penulis muncul kembali menerusi asyikabdulrazak.blogspot.com dengan temanya 'Awakening to Our Life's Purpose' setelah blog pertama hadasnusantara.wordpress.com dan 'subline'nya asyikabdulrazak.wordpress.com tidak 'menjadi'.

Penulis menulis bukan untuk pembaca mengambil ia sebagai suatu kebenaran tanpa perlu dipersoalkan sama sekali. Dalam menulis, penulis mengerti, tiada siapa yang betul dan tiada siapa yang salah asalkan apa yang ditulis membawa kebaikan dan tidak bercanggah dengan Tuhan. Adapun penulis menulis adalah sebagai suatu lontaran idea buat pembaca untuk sama-sama kita fikirkan dan cernakan...samaada untuk menerimanya atau menolaknya adalah terserah kepada pembaca.

Harapan penulis agar suatu tulisan atau idea itu dapat dicernakan dan diterjermahkan kepada kefahaman bukan sekadar menerima sesuatu dengan bulat-bulat.Mudah-mudahan kita sama-sama memperoleh manfaat dan saling melengkapi.


Wassalam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails