22 July 2011

Goodreads: Fikah Perubatan

"Apabila aku sakit, DIA yang menyembuhkan penyakitku" ~ Surah as-Syuara':80

"Abi al-Zubair melaporkan daripada Jabir yang Rasulullah berpesan, sesungguhnya untuk setiap penyakit itu ada ubat. Apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah." Direkodkan oleh Muslim

Fikah Perubatan, buku karangan Dr. Harmy Bin Mohamed Yusof, Ustaz Shamsul Kamal bin Abdullah, Dr Rosediani Muhamad dab Ustazah Wan Nor Ainon Wan Abdullah. Terbitan PTS Millennia Sdn Bhd dengan kerjasama PAPISMA.

Antara isu yang dibahaskan dalam buku ini ialah; Perubatan Islam, Asas Fikah Perubatan, Hukum Berubat, Bendalir Badan, Aplikasi dan 'Taharah', Perlaksanaan Ibadah Semasa Sakit, Puasa dan Isu-Isu Perubatan Moden.

Selagi ada manusia, selagi itulah ada penyakit. Selagi ada penyakit, selagi itulah ada yang mengubat. Kemudian selagi ada perubatan, selagi itulah fikah perubatan wujud dan berkembang.

Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan Islam. Buku ini melihat bukan sahaja pada hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat.

Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya. Semoga buku ini dapat menjadi rujukan dan membantu kita menjadi pengamal perubatan dan kesihatan Islam yang membantu ummah.

Bukan sahaja buat pengamal perubatan tetapi khas buat masyarakat Islam yang ingin mendalami fikh perubatan dan mendalami bagaimana cara untuk beribadat ketika sakit tanpa ragu-ragu lagi.



Buat kalian yang berminat untuk memiliki buku ini boleh mendapatkannya di Kedai Buku Online PTS atau melalui wakil PAPISMA. Wallahua'llam.

18 July 2011

NICE 2011

Peserta-peserta NICE bergambar bersama Prof Dr Muhaya dan penganjur program
NICE 2011
NICE (NATIONAL IBNU SINA CONFERENCE & COMMUNITY ENGAGEMENT 2011) telah berlansung di Kem Kijang pada 7-10 Julai 2011. Anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) bertemakan Islamist Medicine: From Bench to Bedside
Add caption
Menyedari kepentingan perubatan Islam secara holistic, maka program ini telah dianjurkan dan berlansung dengan jayanya selama 4 hari 3 malam. Selain itu ia memberi kefahaman dan kesedaran kepada bakal graduan pengamal perubatan dan kesihatan berkaitan perubatan Islam, penekanan juga diberikan kepada aspek praktikaliti dalam tugas di alam kerjaya.
Peserta konferen juga telah diberikan pendedahan secara praktikal dalam isu-isu serta masalah di sekitar fikah perubatan. Bengkel serta modul yang telah disediakan dapat melengkapkan peserta dengan asas-asas fiqh perubatan Islam serta kaedah Dakwah dalam bidang perubatan dan kesihatan. Peserta juga telah di bawa ke medan sebenar  iaitu di wad-wad di HUSM dan rumah-rumah pesakit sekitar Dun Kijang dan Panchor bertemu dengan pesakit-pesakit untuk lebih menghayati dan mengamalkan apa yang telah dibengkelkan.
Di dalam konferen ini, antara topic yang dibincangkan adalah:
~Konsep Hospital Islam oleh Dr Najib Mat Pa
~Konsep Perubatan Islam oleh Abu Anas Madani Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pensyarah KIAS, Musyrif Pondok Sungai Durian)
~Promosi Kesihatan sebagai Cabang Dakwah dan Islamist Medicine: From Bench to Bedside oleh Dr Harmy (salah seorang penulis buku Fekah Perubatan)
~Isu Kontemporari oleh Ustaz Fauzi Yusoh (Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA)
~Cabaran Pengamal Perubatan dalam Mengamalkan Islam semasa Bertugags oleh Prof. Madya Dr Rashidi
~Penulisan dan Kajian sebagai Medan Dakwah oleh Dr Irfan
~Role of Muslim Medical Professional & Approach to Dakwah in Healthcare oleh Prof Dr Muhaya Mohamad (Pakar Motivasi dan Consultant Opthalmologist Prince Court Medical Centre)
~Mati Otak: Perspektif Moden dan Islam oleh Dr Wan Nazaruddin (Pakar Anaesthesiology HUSM)
~Forum: Fiqh Dakwah dalam Perubatan dan Kesihatan
~Kepentingan Academia dan Pentadbir Muslim dalam Merealisasikan Hospital Mesra Ibadah oleh Prof Madya Dr Abdul Razak (Pensyarah/ Pakar Perubatan Orthopaedic HUSM)
Program ini juga adalah program tahunan anjuran PAPISMA sebagai medan untuk melahirkan Professional  dan Pengamal Perubatan yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mempunyai kesedaran untuk menggerakkan dakwah melalui profession dan mengembangkan bidang yang diceburi selaras dengan syariat Islam.
Besar harapan daripada pihak PAPISMA dan penganjur program agar program ini boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan kefahaman, penghayatan serta pengamalan perubatan Islam di kalangan pengamal perubatan dan kesihatan.
Memetik kata Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Hamid sebagai Pengarah Program “Sungguh! Bidang kesihatan adalah ‘untapped area’ dalam kerja dakwah di Malaysia. Sebahagian besar professional kesihatan memisahkan Islam daripada kesihatan; Islam suku kesihatan suku. Ia perlu diperbetulkan! Islam adalah agama yang bersifat sarwajagat.”
Alhamdulillah, Maha Suci Allah yang telah menjadikan segala sesuatu. Memberikan nikmat Iman dan Islam. Islam agama yang syumul yang tidak pernah terpisah daripada apa-apa bidang yang wujud sekalipun. Cuma kadangkala umat Islam terlalu leka, leka daripada agama sehingga sanggup memisahkan agama daripada bidang yang diceburi dan lupa tanggungjawab sebagai pendakwah dalam menegakkan agama. Islam tidak pernah terasing daripada apa-apa bidang sekalipun. Maka teramat penting untuk semua Pengamal Perubatan dan Kesihatan yang mukmin menyedari akan kepentingan untuk mendalami Islam dan Fekah Perubatan agar kita dapat menjadi pakar rujuk kepada umat Islam yang lain dan mengembangkan ilmu ini demi untuk kepentingan umat Islam.
Akhir kalam daripada penulis, Alhamdulillah Maha Suci Allah kerna memberikan kesempatan dan kesedaran untuk mendalami ilmu-NYA yang teramat luas ini. Semoga sedikit amalan ini mampu memberikan manfaat kepada umat pada masa kini dan masa hadapan.
RESOLUSI NICE 2011

15 July 2011

Malam Nisfu Syaaban

Assalammualaikum wbt.
Sedikit perkongsiaan berkenaan malam nisfu syaaban.

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya :

"Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca:

"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

Sumber : Malam nisfu syaaban. wallahu'allam.

Boleh juga kalian rujuk di sini Malam Nisfu Syaaban: Antara Keberkatan & Bidaah

Hari nisfu syaaban adalah hari di mana buku amalan catatan kita selama setahun diangkat ke langit dan di ganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama akan dicatat pada buku catatan baru sebaik sahaja masuknya waktu maghrib pada 15 Syaaban (15 Syaaban bermula pada 14 Syaaban sebaik sahaja waktu maghrib).

Justeru itu juga, Ramadhan semakin menghampiri. Adakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadhan dengan festival ibadah? Persoalan buat diri saya jua. Semoga Allah memanjangkan umur kita sehingga ke Ramadhan.

13 July 2011

Motivasi Menjelang Ramadhan Daripada Rasulullah s.a.w.

Ramadhan adalah bulan yang dirindui oleh orang-orang beriman. Kehadirannya dinanti-nanti. Tibanya disambut mesra. Jiwa mereka yang beriman pasti tidak putus melafazkan syukur kerana diberi peluang untuk bertemu Ramadhan. Lantaran menyedari betapa hadirnya Ramadhan membawa sejuta kelebihan, orang-orang yang beriman pasti menyala semangatnya untuk mengisi setiap detik waktu Ramadhan dengan pelbagai ibadat dan amal soleh. Suasana mengharunginya menyenangkan dan membuatkan jiwa kaum mukminin tenang dan damai. 

Rasulullah s.a.w tidak hanya memerintahkan kita berpuasa, tetapi menyeru agar kita bersemangat menyambut kedatangannya. Baginda menunjukkan rasa gembira serta menyampaikannya sebagai khabar gembira kepada para sahabat dan umatnya. Baginda memberikan banyak nasihat dan pesanan ketika Ramadhan bakal menjelang.

Dalam sebuah riwayat sahabat Salman al-Farisi r.a, Rasulullah s.a.w berkhutbah di hadapan para sahabat baginda,

“Wahai manusia telah datang kepada kalian bulan yang agung dan penuh berkat. Di dalamnya terdapat suatu malam yang nilainya (ibadah) lebih baik daripada seribu bulan. Allah s.w.t menjadikan puasa pada siang harinya sebagai sebuah kewajiban dan menghidupkan malamnya sebagai sebuah perbuatan sunnah (tathawwu’). Sesiapa yang mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan (pada bulan itu), seolah-olah dia mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain. Siapa yang mengerjakan satu perbuatan wajib, seolah-olah dia mengerjakan 70 kebaikan pada bulan yang lain. Ramadhan adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu balasannya adalah syurga. Ia (juga) bulan tolong-menolong, di mana di dalamnya rezeki seorang mukmin bertambah. Siapa yang memberikan makanan berbuka (iftar) kepada seorang yang berpuasa (pada bulan itu), maka itu menjadi maghfirah (pengampunan) atas dosa-dosanya, penyelamatnya daripada api neraka dan dia memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” Hadis Riwayat Baihaqi

Kemudian para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, tidak semua daripada kita memiliki makanan untuk diberikan sebagai makanan berbuka bagi orang yang berpuasa.”

Rasulullah s.a.w bersabda,
 “Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan makanan berbuka walaupun sebiji kurma, atau seteguk air atau sedikit susu. Ramadhan adalah bulan yang permulaanya adalah rahmat, pertengahannya adalah maghfirah (pengampunan) dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka.” Hadis riwayat Baihaqi dan al-Uqaili.

Lewat khutbah tersebut, Rasulullah s.a.w telah membangkitkan semangat kita untuk bertemu dengan Ramadhan. Melontar pesan, menyatakan khabar gembira tentang keutamaan dan kelebihan Ramadhan yang bisa diraih oleh sesiapa sahaja. Asal sahaja keikhlasan hati mencari redho Allah s.w.t tidak luntur, bahkan terus menyala sebagai obor semangat untuk bangkit di sepanjang Ramadhan dengan tekad mengisi setiap detik waktu dengan amal kebajikan. 

Ini adalah permulaan yang baik. Di sini Rasulullah menguatkan kita. Memotivaskan kita. Membangkitkan semangat kita, agar benar-benar memberikan sepenuh penumpuan beribadah sepanjang bulan yang mulia ini. Ramadhan yang penuh BERKAT, RAHMAT dan KEAMPUNAN. 

Sumber: Nasihat Ramadhan Daripada Orang-orang Soleh

12 July 2011

Goodreads: Fikh Kerahsiaan Wanita

Membaca buku ini InsyaAllah dapat memahami secara jelas isu yang melibatkan rongga keintiman wanita menurut syariat Islam. Persoalan ‘dalaman’ yang wajar difahami oleh setiap wanita mukallaf dan para suami yang menjadi nakhoda rumahtangga. Bertanya tentangnya sering mengundang segan, kini dihidangkan secara jelas dan ringkas sebagai panduan hidup muslimah sejati.


Penulis : Dr. Saadudin Mus’ad Hilali (Professor Fikh Perbandingan, Universiti Al-Azhar)
Diterjemahkan oleh: Fauwaz Fadzil (BA Syariah Islam, Universiti Al-Azhar), anak kepada Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadhil Noor

Sesungguhnya Allah telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang menempati takhta keistimewaanya yang tersendiri. Kedatangan Islam tambah menjulang maruah wanita ke darjat yang sangat tinggi. Islam menyaksikan betapa jatidiri wanita mempunyai pengaruh yang sangat ‘vital’ dalam proses kelansungan kehidupan menusia sejagat, malah prestasi sumbangannya menjadi indicator terpenting terhadap kualiti kesejahteraan hidup masyarakat. 

Tidak hairanlah, dengan kedudukan dan peranan yang begitu strategik, Islam memperuntukkan disiplin dan etika hidup khusus untuk kaum wanita demi memastikan kehormatan dan kebajikan dirinya terpelihara dengan sebaik mungkin.

Sayidatina Aisyah, seorang ‘icon’ pejuang kemurniaan peribadi wanita, merupakan orang yang paling mendalam ilmunya di dalam bidang ‘fikh wanita’. Jelas, buku ini tiadalah mampu menggantikan Sayidatina Aisyah dalam merungkai permasalahan wanita, namun buku ini bertindak sebagai petunjuk kepada hukum-hukum fikh yang khusus membicarakan persoalan alat sulit wanita bagi memimpin kaum wanita terus berada dalam ketetapan syariat Islam, secara tersusun, ringkas tetapi padat. InsyaAllah.

04 July 2011

Busana Cerminnya Iman

Gambar ini sekadar penyeri; jadilah ibu yang baik yang mendidik anak nya bersolat & menjaga aurat
Busana itu cerminya iman
“Adapun busana itu cerminnya iman. Cerminnya akhlak, cerminnya tamadun,cerminnya bijak. Tinggi ilmu sesuatu bangsa diukur pada busananya. Busanalah petunjuk dan pedoman kita untuk menilai hebat atau tidak, halus atau kasar budaya”.
Manikam Kalbu; My favourite novel~berfikir merentasi abad berlandaskan syariat
Saya begitu terkesima mahupun teruja setelah selesai menyudahi senaskhah novel Faisal Tehrani, penulis kegemaran saya. ‘Manikam Kalbu’. Novel yang sedikit berat bertemakan busana sesuai dengan ajaran Islam dan budaya Melayu kita.
Karya yang penuh dengan penerapan falsafah dan fikrah Islam. Mengalir halus dalam jiwa biarpun ayat itu cukup tajam menegur. Tapi itulah kebenaran. Kebenaran yang harus ditekankan. Syariat Islam yang wajib diamalkan. Situasi masa kini, yang mana wanita Islam sangat berani memandai-mandai dalam berpakaian. Sedangkan sudah tertulis nyata di dalam Al-Quran.
Gerun untuk saya ungkapkan. Tapi itulah hakikatnya, aurat yang tidak dijaga, berdedah-dedah entah untuk siapa ingin dipertontonkan. Mahkota sudah tidak jadi mahkota. Mutiara sudah tidak bersinar lagi kerna asyik terdedah. Kulit yang tidak mampu bernafas dengan sempurna kerna terlalu ketatnya fabrik itu menghimpit. Mungkin kalian faham apa yang saya maksudkan. Tak perlu diuraikan lagi.
Syarat-syarat busana
Sangat menarik untuk saya kongsikan daripada garapan FT akan syarat-syarat  busana muslim & muslimat sesuai dengan ajaran Islam
Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai tetapi membuka aurat, tanda imannya sudah berkarat. Tanda orang yang tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah. Barang siapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adab orang Melayu jati, berkain baju berhati-hati.
Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis, apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis. Apabila memakai baju terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa yang memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya di dalam nista.
Syarat ketiga busana Melayu itu mestilah pantang ia berpotongan yang ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku di tubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh pakaian sempit memang dijauhi.
Syarat keempat busana Melayu, pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka tiru meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai tahukan diri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah, jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak disusupi setan.
Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai.
Itulah pakaian mengikut kehendak agama, kehendak budi, kehendak akal.

Surah al-a'raf; 26-27
“Wahai anak adam sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. Wahai anak adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan ibu-bapamu dari syurga. Ia menanggalkan daripada kedua-duanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada kedua-duanya auratnya….”
Ingat  bahwa “Allah itu indah, suka sekali dengan yang indah”. Suka sekali  untuk saya sambungkan “Wanita itu indah, andainya aurat tertutup indah”. Allahu’allam. Moga-moga kita mendapat manfaat bersama.
 
Pasang kubu berlapis-lapis,
Kubu berlapis kuat diserang,
Pantang Melayu berbaju tipis,
Berbaju tipis adatnya hilang.

Memasang rantai berjela-jela,
Tanda ikatnya tiada kukuh,
Orang memakai mengada-ada,
Tandanya sifat tidak senonoh.

Apabila menuai berlalai-lalai,
Habislah padi dimakan ulat,
Bila memakai memandai-mandai,
Habislah budi binasalah adat.

Cekak musang berleher tegak,
Tingginya hingga dua jari;
Nampak butang hati tergerak,
Dirinya ingat kepada Ilahi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails