08 February 2011

Ketika Mula Menjejakkan Kaki di Bumi Pnomh Penh (Siri 2)

Travelog Kingdom of Cambodia (Siri 2)
29/01/11 (Sabtu)


Ketika mula menjejakkan kaki di Bumi Pnomh Penh

Ketika tayar pesawat Air Asia 274 mula mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh pada jam sekitar 4.05 pm waktu Kemboja, 5.05 pm waktu Malaysia, hati saya begitu terusik dan bersyukur kerna Allah telah memakbulkan doa saya untuk menjejakkan kaki ke bumi Kemboja ini. Mengikut sejarah, bumi ini mengalami trauma yang panjang dek kekejaman regim Pol Pot yang mengganas sekitar tahun 1975-1979 yang bakal saya nukilkan di siri travelog yang berikutnya. Bumi ini juga pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama.

‘IIUM Cambodia Humanitarian Mission Crew 2011’ disambut oleh Ustaz Hasan Basri, Presiden Persatuan Islam Kemboja dan beberapa ahli persatuan. Turut serta bersama Ustaz Hasan ialah seorang wakil wartawan Kemboja. Kami disambut dengan senyuman manis oleh Pak Ustaz dan anak buahnya yang membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan misi di Kg Ambil Daerah Cham pada keesokannya.


Prof KZ yang membuatkan saya terkedu!


Di saat menunggu crew yang lain menunaikan solat jamak ta’khir di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh, saya dan beberapa teman yang lain berborak bersama Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman. Prof KZ (nama timangan yang kami biasa panggil di Kampus) menitiskan air mata kegembiraan dan kesyukuran kerna di beri peluang lagi untuk menjejakkan kaki di bumi Kemboja. "Kalau kamu berasa tersangat gembira, apa expresi yang kamu tonjolkan?", tanya Prof dalam linangan air mata kepada kami bertiga di hadapan beliau.

Persoalan itu membuatkan saya terkedu seketika. Betapa nikmatnya dan kuatnya ukhuwwah yang dirasai oleh Prof KZ yang membuatkan saya cemburu untuk merasainya sama, apatah lagi inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi yang minoriti Islam ini.
Begitulah Prof KZ menunjukkan tanda kegembiraannya bila mendapat nikmat untuk bertemu mata kembali dengan saudara seakidah di Kg Cham. Saya begitu kagum dan terusik dengan Prof sejak saya memulakan pengajian di tahun satu Kulliyyah of Nursing, apatah lagi beliau merupakan Dean Kulliyyah of Nursing dan pada masa yang sama pensyarah saya untuk beberapa subjek selama 4 tahun di UIAM Kuantan, seorang yang terpilih, luar biasa dan sangat merendah diri. Itulah ‘special’nya Prof KZ yang terkenal dengan panggilan ‘ayah’ di Kg. Cham kerana sikap kebapaannya atau ‘fatherly’. Saya berdoa semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan panjang usia buat Prof KZ tersayang.

Perjalanan bersambung lagi untuk ke seterusnya

Sekitar jam 5.10 waktu Kemboja, setelah mengangkut semua barang ke dalam lori khas yang dibawa oleh Persatuan, kami mula bertolak menuju ke Kg. Cham, salah satu Daerah di Kemboja yang majoritinya umat Islam di kawasan ini. Kami menaiki van yang disewa khas dan boleh menampung sekitar 20 orang penumpang. Ada juga crew yang lain menaiki lori bersama-sama barang-barang. Saya kira mereka ini ingin merasai udara Pnomh Penh dan merasai kelembutan debu-debu jalanan Pnomh Penh yang berbeza di tanah air. Sudah pasti wajah-wajah mereka membedak dek debu-debu yang memang itulah ironinya bumi ini.

Wajah Bandar ini agak berserabut dengan jaringan trafik yang lintang pukang, yang saya tidak pasti bagaimana pelaksanaan undang-undang jalan rayanya. Usah pelik seandainya di tengah-tengah Bandar ini pun ada yang menunggang kereta lembu atau kereta kuda. Atau usah pelik seandainya yang bermotosikal, pemboncengnya tidak bertopi keledar.

‘Tut-Tut’
Apatah lagi keserabutan bertambah dengan kenderaan awam utama penduduknya iaitu ‘tut tut’ memenuhi jalan raya dan sibuk mencari pelanggan. ‘Tut tut’ (rujuk gambar di atas) adalah sebuah motosikal yang di sambung dengan tempat duduk yang boleh menampung sekitar empat penumpang mengikut ‘standard’ sizenya. Tapi jangan terkejut seandainya terlihat di jalanan, ia mampu memuatkan sepadatnya sekitar lapan orang penduduk kemboja, malahan ada yang mampu duduk di antara penghubung motosikal dan tempat duduknya. Memang fenomena ini agak bahaya pada pandangan kita, tetapi begitulah rencah kehidupan bumi Pnomh Penh.


Di Sepanjang Perjalanan Yang Punya Kelainan

Di sepanjang perjalanan, kami mengambil peluang ini untuk menghayati sepenuhnya pemandangan yang punya kelainan berbanding di tanah air yang sudah lama merdeka. Peluang untuk ‘snap’ sebanyak mungkin ‘pic’ yang menarik tidak harus disia-siakan.

Walaupun ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Pnomh Penh, apa yang saya boleh katakan secara jujurnya bahwa kota ini dan sekitarnya adalah kota yang kotor, yang menyerlahkan gambaran sebuah kota yang penat setelah melalui zaman perang yang melelahkan dan kekejaman ‘Khmer Rouge’ dan Pol Pot yang melangkau batas pemikiran manusia.

Perjalanan menuju ke Kg. Cham agak lama dan jalan rayanya yang kurang elok melambatkan perjalanan kami. Ditambah pula dengan bunyi hon yang terlalu kerap yang membingitkan telinga. Apa yang membuatkan kami faham tentang ‘nature’ jalan rayanya ialah membunyikan hon itulah adalah perkara biasa, sebagai amaran kepada pemandu yang lain dan menjadi komunikasi yang berkesan di antara pemandu-pemandu di jalanan. Apa yang saya perasan, mereka tidak menggunakan ‘signal’ untuk membelok dan berkomunikasi dengan kenderaan yang lain. Hakikatnya, ini sangat bahaya, tapi tidak ada pula sepanjang perjalanan ini saya berjumpa dengan sebarang kemalangan jalan raya dan mengorbankan nyawa sebagaimana yang kita selalu lihat di Malaysia!.

Sepanjang perjalanan, walaupun agak penat tetapi saya cuba bertahan dan menahan mata daripada tidur kerana bimbang kalau terlepas ‘scenary’ yang menarik, tambahan pula ini adalah tempat yang pertama kali saya berpeluang datang. Madam Narimah, salah seorang pensyarah yang turut serta misi ini sangat ‘energetik’, dan apa yang pasti kami tidak akan kering gusi apabila mendengar coletah beliau…yang paling syok lagi apabila beliau berhujah berkenaan isu politik di Malaysia dan konsep 1 Malaysia, bagaikan wakil rakyat atau senator di parlimen saya kira. Hujah yang menarik dan sangat berobjektif.
Kami berhenti seketika di sebuah restaurant di ‘Skon’ (saya tidak pasti sama ada betul atau tidak ejaan Kemboja) sekitar jam 8.00 pm waktu Kemboja untuk merehatkan sendi-sendi yang kelenguhan setelah sehari suntuk perjalanan sambil menikmati kopi Kemboja yang ada kelainan dan sangat pekat.

Alhamdulillah, setelah lebih kurang empat jam perjalanan, kami selamat sampai di Kg. Cham dan menginap di Hotel Mekong. Menarik Hotel ini, berada betul-betul di hadapan sungai Mekong dan punya ‘scenary’ yang menarik. Dihidangkan dengan ‘dinner’ yang tertangguh sebelum meneruskan kerja-kerja mengangkut barang-barang daripada lori ke bilik hotel.

Setelah itu, kami berkumpul seketika untuk ‘breafing’ program yang bakal bermula pada hari esok dan modul-modul yang perlu dilakukan.

Syukur panjang saya di sejadah solat setelah solat jamak ta’khir akan rezeki Allah yang dikurniakan untuk menjejakkan kaki ke bumi Kemboja dan berbakti buat saudara-saudara se-Aqidah di sini. Berfikir dan bermuhasabah seketika sebelum melelapkan mata mengecas kembali tenaga untuk persediaan menempuhi hari esok yang lebih mencabar di tanah Cham.

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails