04 July 2010

Selamat Mendaftarkan Diri

Selamat Mendaftarkan Diri

SEKALUNG tahniah saya ucapkan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang baru menjejakkan kaki dan mendaftarkan diri untuk memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pada sesi pengajian Julai 2010.

Selamat memulakan sesi pengajian yang baru. Mudah-mudahan ilmu yang telah dituntut yang lepas-lepas jangan ditinggalkan. Berbekalkan pengalaman hidup yang lalu, mencuba untuk mengorak langkah dengan lebih jauh tetapi dengan berhati-hati. Kerna cabaran di sana tidak mampu untuk diremehkan.

Kegembiraan ini harus dikongsi bersama. Kesyukuran atas nikmatNya harus diterjemahkan dengan keazaman untuk lakukan yang terbaik. Kalau bukan kerna DIA kita takkan sampai ke tahap ini.

Kejayaan itu hendaklah dibuktikan dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu.
Perjuangan Menuntut Ilmu

Berusaha untuk mendapat yang terbaik, InsyaAllah akan diberikan yang terbaik oleh Ilahi. Memohon diberikan ilmu yang berkat, mudah-mudahan mendapat kejayaan yang berkat. Golongan terpilih tidak harus mensia-siakan peluang yang ada.

Tidak semua orang berpeluang untuk melanjutkan pengajian. Kejayaan ini bukan milik kita seorang, tapi milik bersama. Kejayaan ini harus dibayar. Kita diamanahkan untuk belajar, menuntut ilmu dan menterjemahkan ilmu itu dalam pekerjaan yang bakal kita laksanakan. Pekerjaan untuk menyumbangkan sesuatu dan kembali kepada masyarakat yang memerlukan kita.

Amanah pada ilmu, amanah pada pekerjaan, pasti tidak ada yang terjebak dengan jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah. Jenayah kolar putih amat membimbangkan dikalangan mereka yang lupa diri dan tidak kenal erti syukur.

Malahan jika diperhalusi, menuntut ilmu adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.

Peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh mahasiswa agar menjadi insan yang bermanfaat kepada ummah. Segulung ijazah bukan sebagai simbol untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya. Segulung ijazah hanyalah semata-mata segulung kertas. Tetapi yang tiada nilai taranya adalah ilmu dan pergorbanan yang kita titipkan. Wallahu'allam.

~Selamat menyediakan minda sebagai pelajar IPT dan bersikap dewasa sesuai dengan status MAHASISWA~

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails