27 December 2009

'Diari Pantun' Muncul di MPKB


'Diari Pantun' Muncul di MPKB

Di saat saya dan sahabat-sahabat menunggu hidangan kami yang berupa sup di tapak jamuan di MPKB, kami dikunjungi sekujur tubuh yang berjalan agak keletihan, tercungap-cungap dan seolah-olah menerpa ke arah kami saat menghampiri kami kerna tidak mampu mengawal keletihannya dan pergerakannya.

Saya agak kebingungan pada mulanya, ‘orang apa ni’, datang tak diundang. Terus mengambil nafas seketika, beliau mengeluarkan bungkusan kerepek pisang yang hanya berbaki dua.

“kak, belilah ni, sayo kiro nok perabih jah ni”.
Kerna kasihankannya dua daripada sahabat saya membelinya.

Sempat kami bertanya “bakpo napok leloh sangat ni…”
Jawabnya ringkas “ sakit la kak...leloh!”

Lantas dia mengeluarkan satu buku log pendek tebal yang agak remuk dan usang. Mungkin kerna terlalu kerap digunakan dan terlalu dibawa ke sana kemari.
"ni lah buktinya..." tambahnya lagi.

Saya meminta untuk membelek buku catatan itu. Agak menarik perhatian saya. Membaca nama yang tercatat di buku itu ‘Firdaus’(bukan nama sebenar).


Menariknya di dalam buku log yang tebal itu, tercatat rangkap-rangkap pantun yang dituju khas buat ‘mereka yang berjasa’ padanya saat beliau kesakitan. Buat para Pakar, Doktor, Staffnurse, dan Medical Assistant (MA) yang pernah merawatnya di Hospital Kota Bharu sejak beliau kecil lagi.

Di sebelah tepi pantun itu, terdapat cop staf-staf hospital yang merawatnya. Ini bererti, serangkap pantun ditujukan untuk setiap insan yang pernah memberi perawatan kepadanya pada hari tersebut dan setiapnya diminta cop tanda mereka membaca dan menerima pantun yang dibuat oleh Firdaus. Ia seumpama 'report BHT' di wad.

Maka tidak hairanlah seandainya buku setebal itu penuh dengan rangkap pantun yang menyenangkan dan merupakan ‘diari kehidupannya’ menggambarkan segala keperitan dan kesabarannya menghadapi ujian sakit yang Allah ujikan pada susuk tubuhnya sejak kecil lagi.

‘Diari pantun’ kisah suka dan duka penghidap Asthma yang serius. Menjadi peneman setianya ke mana sahaja beliau menapak. Beliau adalah pengunjung setia wad-wad medical Hospital Kota Bharu. Asthmatic attack yang datang juga pernah membuatkan beliau seizure (sawan) atau nyetok dalam loghat Kelantan yang mana menggambarkan keseriusan asthma yang melanda.

Sempat kami berkongsi kisah suka dan dukanya apabila ditanya kenapa sampai menjual kerepek ini sedangkan beliau ada nyatakan akan menghadapi ‘paper’ SPM pada keesokannya . Atas desakan kesusahan keluarga itulah jawabnya. Beliau bergantung kepada MDI, kemana-mana sahaja pergi, harus dibawa bersama ubat itu. Taraf ekonomi keluarga yang tidak seberapa, punya adik-beradik yang ramai, maka perlu mencari duit bagi menampung kos perawatannya.


Jauh di sudut hati, beliau bercita-cita tinggi mahu menjadi Perawat juga. Sempat aku menyalin 2 rangkap pantun daripada ‘Diari Pantun’ itu dengan izinnya buat kita bersama.

Deman mendatang terasanya lemah,
Panadol di makan ubat disedup,
Hospital dan klinik sebagai rumah,
Tempat bergantung seumur hidup,

Apabila hujan jagalah kesihatan,
Ubat singulair umpama bintang,
Tidak ditinggalkan ubat dan peralatan,
Menghalang penyakit yang ingin mendatang.

Penulis; Asyikin Abdul Razak.

Erti syukur pada nikmat SIHAT


Firdaus, maafkan kakak kerana mengungkapkan kisahmu (walau hanya sejenak kita bersua ) dan mengolahnya di laman ini tanpa izinmu. Semoga ia menjadi pengajaran buat diri kakak dan manusia-manusia diluar sana terutamanya bagi yang ingkar dan kufur pada nikmat SIHAT.


Semoga Allah s.w.t memberkatimu dan keluargamu.


Kakak tidak mendoakan agak kamu cepat sembuh. Tetapi kakak mendoakan agar kamu kuat dan teguh dalam iman menghadapi ujian ini.


Kamu ibarat tidak ada dosa kerna dosamu terhakis oleh kesabaranmu dan keikhlasanmu menghadapi dan menempuhi setiap kali kesakitan itu menjelma. Bertemu denganmu, biarpun buat seketika hanya dalam beberapa minit kita bercakap, membuatkan kakak berfikir.


Pada sekujur tubuh yang kelihatan lemah dan pucat, nafas yang tersekat-sekat kerna ganguan pernafasan, dan percakapan yang agak terganggu, terdampar sinar mata ketabahan. Membuatkan kakak ‘mengerti’.


Hakikatnya, tidak susah untuk kita mencari ibrah dan pengajaran daripada kehidupan. Mereka disekililing kita sudah cukup membuatkan kita berfikir dan merenung erti kehidupan itu pada kesusahan dan bersyukurnya kita pada nikmat SIHAT sebelum datangnya SAKIT


Catatan 21 November 2009, MPKB.

Himpunan Pemimpin Muda


Himpunan Pemimpin Muda

Saya ditaklifkan sebagai fasilitator Himpunan Pemimpin Muda 2009 anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Saya sanggup mengetepikan kursus lain yang harus saya hadiri kerna merasakan kepentingan saya untuk berada di program ini memandangkan sudah lama saya tidak turun padang bersama adik-adik generasi sekolah Yayasan Islam Kelantan yang menjadi kerinduan saya.

Bertempat di Kem Kijang, Jalan PCB, KB, program ini berlansung selama 3 hari (19-21/11 2009). Fokus utama adalah adik-adik pimpinan pelajar sekolah daripada pelbagai badan-badan induk sekolah dari seluruh sekolah-sekolah YIK di Negeri Kelantan.

Apa yang menarik perhatian saya adalah nama adik-adik yang terpilih ini adalah daripada Kerajaan Negeri sendiri. Ini menunjukkan keseriusan dan kepekaan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan bawah YB Fatah sendiri dalam melahirkan, menggilap, dan mengasah bakat-bakat baru kepimpinan di kalangan pelajar kearah melahirkan pemimpin muda.

Seandainya zaman saya belajar di Maahad dahulu, tidak wujud program sebegini yang mengumpulkan keseluruhan kepimpinan sekolah dalam satu-satu masa melainkan program-program kepimpinan di peringkat sekolah atas inisiatif Badan Dakwah, Badan Disiplin dan badan-badan utama lain.

Taklifan sebagai seorang fasilitator bukan suatu perkara mudah bagi saya biarpun saya telah berkali-kali dan punya pengalaman dalam kefasilitatoran. Tambahan pula saya berhadapan dengan pimpinan yang mana ‘cream of the creams’ yang boleh disifatkan.

Bagaimana sewajarnya saya manfaatkan slot bengkel yang singkat untuk saya titipkan sesuatu di hati mereka biarpun sedikit, itu sudah cukup bermakna buat saya.

Di awal pertemuan saya dengan adik-adik dibawah kendalian saya, soalan pertama yang ditanya salah seorang daripada mereka yang membuatkan saya keliru,

“k syikin…bakpo kito ore keno mari sinih?”

Saya ingat mereka sudah jelas dengan objektif utama mengenai HPM ini. Ia membuatkan saya gusar lalu bertanya kembali,

“Adik ada pegang gapo-gapo dok kat sekolah?”
Jawabnya ringkas , “ada”. Maka kata saya, “Itulah jawapannya!”.

Saya membuatkan mereka berfikir, biarpun jawatan di sekolah kadang-kadang bukan keinginan seseorang.

Perkara pertama yang cuba saya terapkan pada mereka adalah merasakan diri mereka sebagai ‘PEMIMPIN’, menjadi harapan sekolah, harapan kerajaan negeri dan harapan agama untuk meneruskan dakwah perjuangan Islam.

Dengan kedhaifan yang ada pada diri saya, saya cuba juga untuk menerapkan dalam diri mereka rasa kebertanggungjawaban pada apa yang di amanahkan atas mereka. Berjawatan bukan semata-mata untuk mendapat pengaruh, bukan untuk glamour, dan bukan jua untuk sijil yang hanya sekeping kertas.

Apabila ada rasa tanggungjawab, seorang pemimpin akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah. Tiada alasan untuk berkata “saya tidak mampu” melainkan berusaha terlebih dahulu.

Mereka bukan calang-calang pelajar, berpotensi untuk terkedepan sebagai pemimpin muda dan pelapis generasi kepimpinan Kerajaan Islam Kelantan. Membiarkan potensi diri terhalang daripada berkembang seumpama membunuh jati diri daripada dalam dan ia suatu kezaliman pada diri sendiri.


Sekolah bukan semata-mata tempat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja, tetapi sebagai tempat untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman daripada kehidupan sebagai panduan dan suluhan untuk menghadapi alam lain selepas tamat pengajian di peringkat sekolah, iaitu alam kampus dan alam pekerjaan.

Kecemerlangan akademik (IQ) tanpa kecemerlangan emosi (EQ) dan spiritual (SQ) adalah seumpama insan yang menjadi robot kepada dunia. Sudah pasti sukar untuk ‘survive’ dan teguh berpegang dengan prinsip Islam dalam menghadapi realiti masyarakat masa kini.

Saya yakin dan saya optimis bahawa adik-adik saya mampu untuk menjadi pemimpin muda yang serba boleh dan melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Kepercayaan itu yang saya ungkapkan dihadapan mereka agar mereka sedar bahawa mereka perlu ketepikan perasaan ragu-ragu, ketepikan ‘inferiority complex’, ketepikan pemikiran-pemikiran songsang yang membunuh potensi diri.

Tidak banyak dapat saya sumbangkan pada adik-adik saya dalam kondisi masa yang singkat. Adalah tidak adil kita mengharapkan untuk mereka terus maju jaya dalam program yang hanya 3 hari. Walaupun tidak banyak, mudah-mudahan ada ‘sesuatu’ yang dapat mereka kutip dan ambil pengajaran daripada HPM.

Syabas dan tahniah pada YB Fatah dan Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan kerna usaha ini adalah penting untuk melahirkan kepimpinan muda dan pelapis-pelapis kepimpinan Islam sejak di bangku sekolah lagi.


Catatan penulis 25/11/09 Kota Bharu

15 December 2009

Bila ibu harus melepaskan dia pergi...

Assalamualaikum.


Saya kira , kita masih berada dalam situasi berduka dengan pemergian Ukasyah bin Hafiz 3 bulan, anak kepada pasangan Hafiz (Final Year Pharmacy) dan Mawarddah (Final Year Nursing) setelah dikejutkan dengan berita tersebut pada 14 Disember 2009, kira-kira pada jam 7 pm di HTAA.


Sempat saya menziarah blog Mawarddah dan Hafiz http://buatmuanakku.blogspot.com/

dengan entry terbaru mereka 'Ukasyah, Hanya untuk Kamu...


Membuatkan hati saya begitu sayu. Bagaimana perasaan seorang ummi dan ayah. Dipinjamkan seketika si anak, dan terpaksa dipulangkan kembali saat-saat kita masih baru dan segar bersamanya. Saya pun tidak sempat mendukungnya. Hanya kepada Allah kita mampu berserah hati ini.


Teringat saya pada kata-kata keramat Mawarddah kepada saya di saat saya bersamanya di Kedah, menjadi adik-beradik angkat pada Program Baktisiswa 2009. Saat itu beliau mengandung 7 bulan.


"Mawarddah rasa sedih bila nak lahirkan baby nie..."


"Kenapa pulak..?" bertanya saya dengan kehairanan.


"Iyalah...selama ni, dia bersama kita, ke mana sahaja kita pergi, mesti kita bawa skali dia, even ke tandas pun, bila kita belajar, dia belajar juga, bila kita solat...dia turut solat bersama-sama kita"


Dengan jawapan itu, saya kagum dengan beliau. Saya selalu ingat dialog itu. Sehinggalah dikejutkan dengan berita semalam. Hati saya berkata, Allah itu Maha Besar, Dia menguji sesiapa yang dikehendakinya dan Dia Maha Mengetahui bahwa hambanya ini mampu menghadapinya.


Takziah buat Mawarddah dan Hafiz dan keluarga.

Saya mendoakan semoga Allah memberi pada mereka berdua kekuatan menghadapi saat-saat yang menyukarkan ini.
Wallahu'allam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails