29 March 2011

Seksanya Hendak Kahwin

Seksanya hendak kahwin...

Penulis: Buat teman-temanku yang dikasihi kerna Allah, article ini sudah lama kugarap ketika isu ini hangat diperkatakan di media, cuma tersimpan kemas di peti ‘my document’ dek teragak-agak untuk di’publish’ sehingga terlupa ia masih tersimpan. Moga-moga ia bermanfaat, tidak berniat apa-apa melainkan sebagai perkongsian fikrah dan ilmu buat kalian. Wallahu’allam.

Kahwin tidak lagi menjadi sesuatu kenikmatan seandainya bila keluarnya ayat “seksanya hendak kahwin”. Perkahwinan adalah suatu yang suci, indah dan abadi, menyatukan dua hati dan menghalalkan di antara keduanya.

Malangnya masyarakat hari ini terutamanya pihak lelaki dibebankan dengan kos perkahwinan yang melampau tingginya sehingga menjadi faktor utama kelewatan mendirikan rumahtangga dan kelewatan mendapat zuriat.

Media termasuk bloggers, laman-laman web pada satu ketika sibuk memperkatakan tentang isu ini. Tetapi sejauh manakah kesedaran di kalangan masyarakat kita berkenaan sikap bersederhana dalam menetapkan wang hantaran, mas kahwin dan masjlis perkahwinan itu sendiri.

Sudah pasti ianya tidak menjadi masalah buat mereka yang mampu, berjawatan besar dan berduit untuk membuat walimah secara besar-besaran. Tetapi ia menjadi masalah yang kritikal dan rumit buat lelaki yang baru menamatkan pengajian, baru mula kerja dan daripada keluarga yang tidak cukup untuk dikatakan berada dan terpaksa menanggung keluarga. Situasi ini menjadi jawapan utama buat mereka yang kahwin lambat.

Persoalannya begitu sampai hati keluarga di pihak perempuan untuk meletakkan nilai wang hantaran sebegitu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit bahkan ratusan ribu. Selain daripada hantaran, ada lagi perkara lain yang saya ingin ‘highlight’ kan di sini, iaitu berkenaan mas kahwin.

Di dalam Islam, mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya. Manakala hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran adalah tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus. Yang wajibnya adalah mas kawin, yang menjadi hak mutlak seorang wanita dan termasuk dalam syarat-syarat kahwin.

Hidup berlandaskan agama dan prinsip-prinsip Islam sudah pasti seseorang itu tidak dibebani dengan masalah sebegini. Islam sudah lama menekankan konsep bersederhana dalam semua perkara. Bersederhana disini bermaksud, tidak usahlah kita melampau-lampau dalam urusan perkahwinan sehingga sudah lari daripada tuntutan syara’ bahkan memudaratkan masyarakat seumpama gejala kahwin lewat dan terdedah kepada seks luar nikah atau zina lantas parahnya situasi masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, tidak wajar juga kita memperlekehkan nilai mas kahwin dan hantaran begitu juga persiapan untuk melangsungkan perkahwinan. Nilai mas kahwin tidak perlulah melampau-lampau dan tidak seharusnya terlampau rendah sehingga tidak logik dek akal. Apa yang pasti semuanya perlu dilaksanakan sekadar termampu dan dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan segala yang terlaksana mendapat keberkatan dan rumahtangga yang terbina didoakan semua orang dan berkekalan.

Hakikatnya, rumah tangga yang terbina walaupun dengan nilai urusan perkahwinannya yang sebegitu tinggi dan nilai wang hantarannya mencipta rekod Malaysia @ Malaysian Book of Records juga tidak mampu untuk bertahan lama bahkan berkecai begitu saja. Kerna duit bukan segala-galanya biarpun mereka berduit dan kita tidak mampu untuk menhalang mereka menunjuk-nunjuk unsur-unsur kekayaan mereka melalui perkahwinan.

Malangnya budaya ini menjadi ikut-ikutan kepada yang lain biarpun mereka sedar tidak semua orang berduit dan mengenakan nilai hantaran yang melampau sebagai syarat kepada bakal menantu lelaki.

Wajar ibu-ibu dan bapa-bapa mengikut jejak langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hanya menetapkan sekadar RM1,000 sebagai hantaran buat anak-anak perempuan beliau sebagaimana yang dikhabarkan oleh isteri beliau di dalam bukunya ‘Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)’. Beliau berharap moga usaha kecil yang dilakukan ini dapat dijadikan contoh buat rakyat jelata tentang peri pentingnya bersederhana. Kalau tidak, dikhuatiri riak dan bangga menguasai diri. Majlis yang besar, wang hantaran yang tinggi, segala-galanya gempak, yang pasti tidak berjejak ke bumi yang nyata.

Akhirnya saya merasakan kudusnya cinta bukan pada nilai ringgit yang menjadi hantaran sebuah pernikahan, murninya cinta bukan pada hanya mas kahwin yang dibayar. Tetapi kudus dan murninya cinta itu tersimpan kemas di kalbu yang suci yang tiada nilai taranya. Yang hanya layak buat hati-hati yang menghambakan diri pada Penciptanya bukan pada keduniaan dan kemewahan.

Semoga setiap perkahwinan terbina menjanjikan kebahagiaan, mengurniakan zuriat yang bakal memakmurkan bumi, melebarkan kasih sayang, mengembalikan keamanan, lantas tersebarnya Nur Ilahi, terbinanya Khilafah. Pasti Rasulullah berbangga dengan umatnya.


No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails