31 March 2011

Imtihan!


Yang dilihat & diukurNYA bukan sejauh mana usahamu, tapi yang diharap sejauh mana TAWAKKAL, percaya nan jitu....pergantunganmu padaNYA...tetapi tidak bermakna tidak perlu berusaha.

USAHAlah semampumu...tetapi jangan sesekali beraqidah bahwa banyak usahamu penentu kejayaan.


Berimanlah bahwa TAWAKKALmu itu sebenarnya hanya semata-mata padaNYA...itulah penentu kejayaanmu KEJAYAAN bukan milik sesiapa, tetapi adalah milik ALLAH.


ma'an taufiq wannajjah

29 March 2011

Seksanya Hendak Kahwin

Seksanya hendak kahwin...

Penulis: Buat teman-temanku yang dikasihi kerna Allah, article ini sudah lama kugarap ketika isu ini hangat diperkatakan di media, cuma tersimpan kemas di peti ‘my document’ dek teragak-agak untuk di’publish’ sehingga terlupa ia masih tersimpan. Moga-moga ia bermanfaat, tidak berniat apa-apa melainkan sebagai perkongsian fikrah dan ilmu buat kalian. Wallahu’allam.

Kahwin tidak lagi menjadi sesuatu kenikmatan seandainya bila keluarnya ayat “seksanya hendak kahwin”. Perkahwinan adalah suatu yang suci, indah dan abadi, menyatukan dua hati dan menghalalkan di antara keduanya.

Malangnya masyarakat hari ini terutamanya pihak lelaki dibebankan dengan kos perkahwinan yang melampau tingginya sehingga menjadi faktor utama kelewatan mendirikan rumahtangga dan kelewatan mendapat zuriat.

Media termasuk bloggers, laman-laman web pada satu ketika sibuk memperkatakan tentang isu ini. Tetapi sejauh manakah kesedaran di kalangan masyarakat kita berkenaan sikap bersederhana dalam menetapkan wang hantaran, mas kahwin dan masjlis perkahwinan itu sendiri.

Sudah pasti ianya tidak menjadi masalah buat mereka yang mampu, berjawatan besar dan berduit untuk membuat walimah secara besar-besaran. Tetapi ia menjadi masalah yang kritikal dan rumit buat lelaki yang baru menamatkan pengajian, baru mula kerja dan daripada keluarga yang tidak cukup untuk dikatakan berada dan terpaksa menanggung keluarga. Situasi ini menjadi jawapan utama buat mereka yang kahwin lambat.

Persoalannya begitu sampai hati keluarga di pihak perempuan untuk meletakkan nilai wang hantaran sebegitu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit bahkan ratusan ribu. Selain daripada hantaran, ada lagi perkara lain yang saya ingin ‘highlight’ kan di sini, iaitu berkenaan mas kahwin.

Di dalam Islam, mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya. Manakala hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran adalah tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus. Yang wajibnya adalah mas kawin, yang menjadi hak mutlak seorang wanita dan termasuk dalam syarat-syarat kahwin.

Hidup berlandaskan agama dan prinsip-prinsip Islam sudah pasti seseorang itu tidak dibebani dengan masalah sebegini. Islam sudah lama menekankan konsep bersederhana dalam semua perkara. Bersederhana disini bermaksud, tidak usahlah kita melampau-lampau dalam urusan perkahwinan sehingga sudah lari daripada tuntutan syara’ bahkan memudaratkan masyarakat seumpama gejala kahwin lewat dan terdedah kepada seks luar nikah atau zina lantas parahnya situasi masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, tidak wajar juga kita memperlekehkan nilai mas kahwin dan hantaran begitu juga persiapan untuk melangsungkan perkahwinan. Nilai mas kahwin tidak perlulah melampau-lampau dan tidak seharusnya terlampau rendah sehingga tidak logik dek akal. Apa yang pasti semuanya perlu dilaksanakan sekadar termampu dan dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan segala yang terlaksana mendapat keberkatan dan rumahtangga yang terbina didoakan semua orang dan berkekalan.

Hakikatnya, rumah tangga yang terbina walaupun dengan nilai urusan perkahwinannya yang sebegitu tinggi dan nilai wang hantarannya mencipta rekod Malaysia @ Malaysian Book of Records juga tidak mampu untuk bertahan lama bahkan berkecai begitu saja. Kerna duit bukan segala-galanya biarpun mereka berduit dan kita tidak mampu untuk menhalang mereka menunjuk-nunjuk unsur-unsur kekayaan mereka melalui perkahwinan.

Malangnya budaya ini menjadi ikut-ikutan kepada yang lain biarpun mereka sedar tidak semua orang berduit dan mengenakan nilai hantaran yang melampau sebagai syarat kepada bakal menantu lelaki.

Wajar ibu-ibu dan bapa-bapa mengikut jejak langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hanya menetapkan sekadar RM1,000 sebagai hantaran buat anak-anak perempuan beliau sebagaimana yang dikhabarkan oleh isteri beliau di dalam bukunya ‘Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)’. Beliau berharap moga usaha kecil yang dilakukan ini dapat dijadikan contoh buat rakyat jelata tentang peri pentingnya bersederhana. Kalau tidak, dikhuatiri riak dan bangga menguasai diri. Majlis yang besar, wang hantaran yang tinggi, segala-galanya gempak, yang pasti tidak berjejak ke bumi yang nyata.

Akhirnya saya merasakan kudusnya cinta bukan pada nilai ringgit yang menjadi hantaran sebuah pernikahan, murninya cinta bukan pada hanya mas kahwin yang dibayar. Tetapi kudus dan murninya cinta itu tersimpan kemas di kalbu yang suci yang tiada nilai taranya. Yang hanya layak buat hati-hati yang menghambakan diri pada Penciptanya bukan pada keduniaan dan kemewahan.

Semoga setiap perkahwinan terbina menjanjikan kebahagiaan, mengurniakan zuriat yang bakal memakmurkan bumi, melebarkan kasih sayang, mengembalikan keamanan, lantas tersebarnya Nur Ilahi, terbinanya Khilafah. Pasti Rasulullah berbangga dengan umatnya.


14 March 2011

Doaku buat Qina


Doaku buat Qina

Practical selama seminggu di ward orthopedic female mempertemukan saya dengan seorang adik berusia 13 tahun, Muzliya Shaqina yang mengejutkan negara dengan kisahnya terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras. Rujuk Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_08.htm

Alhamdulillah dengan kekuasaan Allah, beliau dapat terselamat dan dirawat di ward orthopedic (4H), HUKM. Mengalami kecederaan yang teruk, patah kedua-dua tangan dan kaki kanan serta beberapa kecederaan di wajah dan luka yang teruk di tangan kanan memberi trauma yang cukup perit buat adik semuda ini.

Sempat saya menjaga adik ini selama seminggu sepanjang kami berpractical di sana bersama-sama teman posting Afifah Aishah dan Airul Azizan. Melakukan dressing buat Qina bukan semudah yang disangka kerna Qina telah mengalami trauma yang agak teruk akibat daripada kejadian tersebut dan kesakitan yang terlalu disebabkan ‘fracture’ dan luka di tangan kanannya. Sebelum melakukan dressing, kami perlu mengtenteramkan Qina terlebih dahulu agak dia kuat untuk menahan kesakitan ketika dressing.

Qina memerlukan ‘emotional support’ daripada orang di sekelilingnya dan mereka yang memberi perawatan. Ibunya juga seorang yang ‘supportive’ dan sangat membantu ketika sebarang ‘procedure’ dijalankan.

Sempat saya menjenguk Qina seketika sebelum pulang di hari terakhir di ward tersebut semalam (11/03/11), memberi kata-kata semangat buat beliau dan meninggalkan ‘contact number’ untuk dihubungi. Kasihku terhadap adik ini teramat sangat, kerna dia insan terpilih untuk diuji dan mengalami saat-saat ngeri bertarung nyawa. Sehingga semalam adik ini menunjukkan banyak perubahan dari segi emosi, sudah mampu tersenyum dan bercakap dengan ceria. Gembira juga kulihat di wajah ibunya. Memancarkan sinar ketabahan hati seorang ibu.

Dihadapanku, ku mendengar Qina berkata “mama, Qina nak jaga mama nanti selepas Qina sembuh, nak masak untuk mama”. Aku fikir setiap apa yang berlaku ini pasti ada banyak hikmahnya yang Dia ini berikan. Buat Qina, buat ibunya yang kasihkannya,dan buat orang-orang di sekelilingnya. Memberi pengajaran buat diriku jua dan hakikatnya aku banyak belajar falsafah kehidupan dan mengenal wajah kehidupan daripada pesakit-pesakitku.

Kucupanku di dahi Qina sebelum meninggalkannya, penuh dengan harapan agar kami dapat bertemu lagi suatu hari nanti dan dia menjadi insan yang berjaya dan tabah.


~Cinta Berinti Kasih~

11 March 2011

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan Seharian!

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita
Oleh: Ismail Abu Bakar
Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:
Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu kisah yang disampaikan kepada penulis seperti berikut;

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan.
Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

1) Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

2) Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

3) Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)

Catatan Blogger: Terima kasih buat penulis sebenar artikel yang sangat bermanfaat ini, mudah-mudahan ia memberi kesedaran buat kita bersama dan dapat diperpanjangkan untuk manfaat bersama (",)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails