26 June 2010

Jangan disalah ertikan Gerakan Islam di Kampus

Jangan disalah erti gerakan Islam di kampus

19 Jun lalu di dalam akhbar Berita Harian di ruangan rencana, Saudara Muhammad Aklil Ayob, Naib Presiden 1, Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM menyatakan kebimbangan beliau sekiranya gerakan Islam kampus disalah ertikan setelah hebohnya negara oleh media tentang penularan JI (Jemaah Islamiyyah) di IPTA.
(Gambar sekadar hiasan)
Boleh rujuk;
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JangandisalahertigerakanIslamdikampus/Article

Saya juga ingin menyatakan kebimbangan saya tentang situasi yang berlaku sekarang. Media telah menguar-uarkan tentang penangkapan yang telah dibuat kerana dikaitkan dengan JI, dan dikatakan ada di kalangan pensyarah di IPTA turut terlibat. Saya tidak pasti sejauh manakah kebenarannya yang telah digembar-gemburkan.

Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara telah mengeluarkan kenyataan bahwa Jemaah Islamiah (JI) dikatakan menumpukan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk merekrut ahli baru.

Apa yang saya bimbangi ialah sekiranya gerakan Islam di kampus yang telah tersedia wujud sebagaimana Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di setiap IPTA disalah ertikan sebagai gerakan yang ada kaitan dengan JI.

Sebagaimana yang kita tahu besarnya peranan yang dimainkan oleh PMI dalam proses dakwah, pengislahan dan islamisasi di kampus-kampus di seluruh negara dalam usaha membawa mahasiswa kepada kefahaman Islam yang sebenar. Gerakan amar makruf nahi mungkar wajib di pikul selagi nyawa dikandung badan. Platform ini juga melahirkan ramai pemimpin pelapis yang bakal menerajui kepimpinan.

Mungkin ini juga menjadi kebimbangan para ibu-bapa yang mana anak-anak mereka bakal melangkah ke IPT pada kemasukan Julai ini.

Saya mengharapkan agar pihak polis dan KDN menjalankan siasatan yang telus seandainya benar ancaman daripada JI ini wujud di kampus. Jangan pula sesuka hati melabel individu tertentu tanpa bukti yang kukuh dan fakta yang jelas atas nama untuk menjaga keselamatan negara dan membendung penularan JI.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, “JI ini adalah isu keselamatan dan biarlah pihak polis menjalankan siasatannya. Jangan melabel pihak tertentu sebagai dalang kegiatan ini, saya sarankan hentikanlah kerja itu (melabel) pihak tertentu kerna ia bukan kerja orang Islam menyelesaikan masalah”. Moga-moga saranan ini disambut baik.

Kadang-kadang terfikir juga saya, alangkah bagusnya sekiranya masalah-masalah lain yang timbul dikalangan pelajar di kampus diambil berat sebegini rupa seumpama masalah sosial; zina, pembuangan bayi, pelacuran, dan sebagainya yang turut membimbangkan di kalangan pelajar IPTA. Kerna ini semua juga mengancam ‘keselamatan’ negara.
Kenapa tidaknya, IPT adalah pembekal modal insan kepada negara, seandainya di peringkat IPT sudah membuat onar, tidak mustahil apabila berjawatan nanti turut membuat onar yang lebih dahsyat termasuk jenayah kolar putih. Tidakkah ini mengancam keselamatan negara?

Walaupun apapun penyelesaian yang dicari dan dikorek oleh mana-mana pihak, penyelesaian yang terbaik adalah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada anak-anak muda di IPT.
Usaha inilah yang dipikul oleh Persatuan Mahasiswa Islam di setiap IPT. Mudah-mudahan Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan kebenaran.

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails