21 May 2011

Ranah 3 Warna: Kisah Mewarnai Kehidupan

Berpegang kepada prinsip “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain”, A. Fuadi menulis, dan terus menulis, sehingga menghasilkan novel keduanya Ranah 3 Warna sambungan Negeri 5 Menara yang pasti penuh inspiratif lagi buat yang berani bermimpi.


Setelah menghadamnya beberapa hari, saya turut bersedaran untuk terus menyambung ‘mimpi’, terus bersabar dan tahap percaya pada diri harus meningkat.

“Sekiranya kita sudah melatih diri kita percaya sedemikian rupa, impian itu lambat-laun akan menjadi nyata, pada waktu yang tidak pernah kita sangka-sangka” (A. Fuadi, p. 188).

3 Mantera Sakti

Di novel kedua ini, latarnya bukan lagi Pondok Moden Gontor di Jawa Timur sebagai medan tarbiyyah yang memberi kesan, tetapi di Universiti, peringkat sarjana penulis. Walaupun begitu, setiap dugaan yang datang pasti lebih berat dan mencabar, penulis masih berpegang pada 3 mantera sakti yang terpahat sejak di pondok

‘Man Jadda Wa jada’ (Sesiapa yang berusaha, pasti berjaya)
‘Man Sabara Zhafira’(Sesiapa yang bersabar, akan beruntung)
‘Man Sara ‘ala darbi washala’ (Sesiapa yang berjalan di atas jalannya akan sampai ke tujuannya)

Penulis (A. Fuadi) sedar, mengharungi setiap detik-detik kehidupan, menggapai impian bukan hanya sekadar perlu kepada ‘man jadda wa jada’, tetapi setelah usaha dilakukan sehabis daya dengan sepenuh upaya, selebihnya kita seharusnya bertawakal dan bersabar di atas apa yang tertulis buat kita.

Apa yang pasti, Allah sangat suka kepada orang-orang yang sabar. Sabar berjuang menghadapi ujian yang mendatang. Dan Allah telah janjikan setiap yang sabar pasti akan beruntung!

“Siapa yang bersabar dia akan beruntung. Jadi sabar itu bukan bererti pasrah, tetapi adalah sebuah kesedaran yang proaktif. Dan sesunnguhnya Allah itu sentiasa bersama orang-orang yang sabar”

“Jarak antara kesungguhan dan kejayaan hanya dapat di isi dengan sabar. Sabar yang aktif, sabar yang gigih, sabar yang tidak menyerah, sabar yang penuh dari pangkal sampai hujung yang paling hujung. Sabar yang dapat membuatkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin, bahkan seakan-akan itu sebuah keajaiban dan keberuntungan. Padahal keberungtungan adalah hasil kerja keras, doa dan sabar yang berlebih-lebih”Dengarkan pantun ini.

Daun maple menggantung di dahan,
Menunggu salju datang mendera,
Hamba akan teguh bertahan,
Mengambil inti Man Shabara Zhafira.



Makan durian di pinggir taman,
Daun kuning masak di dahan,
Orang Melayu teguh beriman,
Kalau sabar tentu disayangi Tuhan.

Merantaulah…

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampong,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang
-Imam Syafie-

Terkesan dengan syair Imam Syafie seperti yang dipersembahkan oleh A. Fuadi, merantaulah kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan. Di usia muda, di kesempatan yang Allah kurniakan ,inilah masanya untuk kita mengambil peluang merantau dan menuntut ilmu. Apatah lagi di zaman sekarang segala kemudahan untuk menyambung pengajian adalah terbuka luas cuma tinggal samada kita mahu atau tidak.

Penyerahan Total Kepada Allah

“Aku akhirnya sampai kepada kesimpulan hidup ini adalah masalah penyerahan diri. Apabila aku sudah binggung dan terlalu bersusah hati menghadapi seluruh tekanan hidup…."

“Sesiapa sahaja yang mewakilkan urusannya kepada Tuhan maka Dia akan ‘mencukupkan’ semua keperluan kita. ‘Cukup’. Itu yang sepatutnya kita cari. Apa ertinya banyak harta tetapi tidak pernah merasa cukup? Itulah janji Tuhan kepada orang yang berserah kepadaNya. Aku ingin berserah secara sempurna. Aku ingin dicukupkan seluruh keperluan”.

Dalam kehidupan, tidak semestinya semua yang kita mahu, akan kita dapat. Allah amat menyayangi kita. Dia hanya memberi kepada kita apa yang kita perlukan dan Dialah yang Maha Mengetahui.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (Al-Baqarah; 216).

Setiap doa-doa kita pasti akan didengariNya. Menurut Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili, kunjunga beliau ke Malaysia baru-baru ini, bahwa setiap doa yang kita panjatkan itu ada 3 kelebihan;
1) Allah akan dimakbulkan pada waktu yang sama,
2) Allah tidak menunaikan tetapi menggantikannya dengan menolak kejahatan,
3) Allah menyimpan setiap doa-doa kita di akhirat kelak.

Tenanglah setenang-tenangnya wahai orang-orang yang beriman, jika kamu yakin dengan apa yang kita laksanakan, yakinilah bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah, Allah pasti akan mengiringi doa kita. - Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili-

Selamat membaca buat kalian akan Ranah 3 Warna, saya pasti kalian tidak akan rugi apa-apa. Belajar daripada kisah hidup orang lain yang ikhlas menulis, sedikit sebanyak membantu kita menghadapi dan melalui kehidupan mendatang. Apa yang penting, usah takut untuk berMIMPI!

Wallahu’allam. (sekadar perkongsian, apa yang baik hanya daripada Allah, dan setiap kekurangan tulisan ini adalah daripada diri NAAR yang lemah)

19 May 2011

Mengutip Mutiara Kehidupan

Bersabar dan ikhlaskanlah dalam setiap perbuatan
Terus meneruslah berbuat baik ketika di kampong dan di perantauan
Jauhilah perbuatan buruk dan ketahuilah pelakunya pasti dibalas,

di perut bumi dan di atas bumi.

Bersabarlah menyongsong musibah yang terjadi dalam waktu yang mengalir

Sungguh dalam sabar ada pintu kejayaan dan impian akan tercapai
Jangan cari kemuliaan di kampong kelahiranmu

Sungguh kemuliaan itu ada pada perantauan pada usia muda

Singsingkan lengan baju dan bersungguh-sungguhlah menggapai impian
Sebab kemuliaan tidak akan dapat diraih dengan kemalasan

Jangan bersilat kata dengan orang yang tidak mengerti apa yang kau katakan
Sebab debat kusir adalah pangkal keburukan

Diterjemah dengan bebas daripada syair Sayyid Ahmad Hasyimi
Syair ini diajar pada tahun ke-4 di Pondok Madani Gontor, Ponorogo.

18 May 2011

Waspada Dengan Godaan Wanita

Dikirim oleh epondok pada Mei 12, 2011

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

ALLAH SWT telah menganugerahkan kepada kaum wanita keindahan, kecantikan dan keghairahannya yang membuatkan kaum lelaki tertarik kepada mereka.

Namun syariat yang suci tidak memperkenankan keindahannya itu dipamerkan seperti barang dagangan.

Sebaliknya kenyataan dan realiti yang kita jumpai sekarang ini wanita justeru menjadi sumber fitnah bagi lelaki. Di jalan-jalan, di program televisyen atau cakera padat video (VCD) dan media massa, wanita mendedahkan aurat sekehendak hatinya.

Apa lagi melalui pertandingan kecantikan, pertunjukan filem dan drama yang menunjukkan keindahan tubuh wanita sehingga seolah-olah tidak ada seksa dan tidak kenal apa itu dosa.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak pernah aku tinggalkan sepeninggalanku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah realitinya, wanita menjadi sumber godaan yang telah banyak membuat lelaki lemah lutut dan terbenam dalam lumpur maksiat yang dibuat oleh syaitan untuk menenggelamkan manusia.

Usaha-usaha untuk menggoda boleh terjadi secara halus, disedari ataupun tidak, secara terang-terangan mahupun tersembunyi.

Lihatlah kisah Nabi Yusuf a.s ketika isteri pembesar Mesir secara terang-terangan menggoda beliau untuk diajak melakukan perkara yang sumbang.

Nabi Yusuf pun menolak sambil berkata: Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu), sungguh Tuhanku telah memperlakukan ku dengan baik (Yusuf: 23).

Muhammad bin Ishak menceritakan: As-Sirri pernah melalui di suatu jalan di kota Mesir. Kerana tahu dirinya menarik, seorang wanita berkata: “Aku akan menggoda lelaki ini”. Maka wanita itu membuka wajahnya dan memperlihatkan dirinya di hadapan As-Sirri. Beliau lalu bertanya: “Ada apa denganmu ini?” Wanita itu berkata: “Mahukah anda merasakan tilam yang empuk dan kehidupan yang nikmat?”

As-Sirri kemudian melantunkan syairnya: “Berapa banyak pencandu kemaksiatan yang mereguk kenikmatan dari wanita itu, namun akhirnya ia mati meninggalkan mereka untuk merasakan seksa yang nyata.

“Mereka menikmati kemaksiatan yang hanya sesaat, untuk merasakan bekas-bekasnya yang tak kunjung padam. Wahai kejahatan, sesungguhnya Allah melihat dan mendengar hamba-Nya, dengan kehendak Dia pulalah kemaksiatan itu tertutup jua”. (Raudatul Muhibbin wa Nuzhalul Mustaqim, karya Ibnu Qayyim).

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah telah memperingatkan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud: Berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hatilah pada wanita kerana fitnah pertama bagi Bani Israel adalah kerana wanita (Riwayat Muslim).

Kini di era globalisasi, ketika arus informasi begitu deras mengalir, godaan mudah masuk ke rumah-rumah kita, melalui jaringan komunikasi seperti majalah, akhbar, televisyen, filem dan sebagainya.

Godaan itu datang di tengah-tengah kita tanpa diundang, menampilkan wanita-wanita yang berpakaian tetapi ‘telanjang’. Melenggok-lenggok mempamerkan aurat yang semestinya dijaga dan dikawal.

Sebahagian muslimah ikut terbawa-bawa oleh propaganda dan gaya hidup seperti itu. Pakaian kehormatan dilepas. Diganti dengan pakaian ketat yang membentuk lekuk tubuh tanpa merasa silu dan segan. Godaan pun semakin kencang menerpa, dan pergaulan bebas tanpa batas menjadi perkara biasa.

Maka kita perlu merenungkan dua bait syair yang diucapkan oleh Sufyan ath-Thuri: “Kelazatan-kelazatan yang didapati seseorang dari yang haram, akan hilang juga, yang tinggal hanyalah aib dan kehinaan. Segala kejahatan akan meninggalkan bekas-bekas buruk, sungguh tak ada kebaikan dalam kelazatan yang berakhir dengan seksaan dalam neraka”.

Seorang ulama yang masyhur, Ibnu Qayyim memberikan nasihat yang sangat berharga: “Allah SWT telah menjadikan mata itu sebagai cerminan hati. Apabila seorang hamba telah mampu menjaga pandangan matanya, bererti hatinya telah mampu mengawal gejolak syahwat dan emosinya. Apabila matanya keranjang, hatinya juga akan liar menuruti syahwatnya”.

Hal ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Kini banyak berlaku kemaksiatan yang terang-terangan, perangilah kemaksiatan dengan syariat yang dituntut agama.

Fenomena godaan wanita memang banyak berlaku yang bukan sahaja terjadi di kalangan orang awam, tetapi juga yang melibatkan pemimpin dan golongan elit di seluruh dunia yang boleh menggoncangkan kedudukan mereka, yang Muslim dan bukan Muslim.

Oleh itu perkuatkan iman kita mulai dari terkecil iaitu keluarga. Kalau iman telah kuat dalam suatu keluarga, insya-Allah gejala seperti itu tidak akan terjadi.

Di samping itu, kita juga harus menyedari tentang mekanisme perdayaan syaitan yang sentiasa mencari jalan dan helah untuk menjatuhkan martabat anak cucu Adam.

Apabila syaitan telah masuk ke dalam darah daging manusia, amat sukar untuk melepaskannya. Kerana tidak ada garis pemisah antara perdayaan syaitan dengan perdayaan dan tipu daya manusia.

Ibarat kita berhadapan dengan serigala yang telah berbaju kambing atau musang yang telah berbulu ayam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaiaslimin melalui dengan godaan wanita.


Wallahu ‘alam.


Penulis; sekadar memperpanjangkan tulisan yang menginsafkan ini. Peringatan buat lelaki Muslim dan juga pastinya wanita Muslimah. Sama-sama menjaga diri, memelihara iman. Kehidupan dunia ini penuh dengan fitnah. Semoga kita terpelihara dan terhindar. Amin.

17 May 2011

Kewajipan Memenuhi Undangan

Orang yang diundang ke majlis walimah sememangnya wajib memenuhi undangan tersebut berdasarkan beberapa perintah dari Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sendiri.


Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:
“Bebaskanlah tawanan,penuhilah undangan, dan jenguklah orang yang sakit” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari]


“Apabila diajak seseorang daripada antum ke kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya, dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Ibn Umar, no. 5177]


Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain.


Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi apabila mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walaupun dalam keadaan berpuasa (berdasarkan pandangan beberapa ulamak yang membincangkan topik ini).


Para ulamak berbincang dengan berhujahkan sabda Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam:
“Apabila salah seorang daripada kalian diundang untuk menghadiri jamuan makan, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika tidak sedang berpuasa, hendaklah dia ikut makan, dan jika dia sedang berpuasa hendaklah dia turut serta mendoakan” [Hadis Riwayat Imam Muslim]


Berikut diringkaskan bagaimana hukum asalnya (kewajiban memenuhi jemputan walimah) yang wajib berdasarkan beberapa perintah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam boleh berubah berdasarkan beberapa keadaan yang perlu kita fahami.

1. Apabila terdapat kemaksiatan di dalam majlis tersebut

Para ulamak berpandangan bahawa tidak boleh menghadiri undangan acara yang mengandungi maksiat. Tetapi jika kehadiran kita itu untuk mencegah atau menghilangkan maksiat tersebut, maka ianya dibolehkan, tetapi sekiranya kita tidak mampu, maka kita harus segera pulang. Antara hadis yang digunakan untuk berhujah dalam perkara ini adalah seperti berikut:


“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no. 3359]


Unsur-unsur maksiat yang dimaksudkan di dalam poin ini termasuk juga seperti wujudnya ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita) di dalam majlis, terdapat unsur-unsur yang diharamkan di dalam majlis walimah seperti tashabbuh (meniru ritual kaum lain) seperti adanya majlis bersanding dan merenjis air mawar, tari-menari, tabarruj (kaum wanita bersolek dengan berlebihan), sesi nanyian-nyanyian, muzik serta acara kugiran dan lain-lain.

2. Apabila undangan dalam majlis walimah itu membezakan antara yang kaya dan yang miskin seperti mengundang mereka yang kaya dan tidak mengundang mereka yang miskin.
Hal ini ditegah oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah, bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]


Imam Ibn Hajar al-Asqolani menjelaskan hadis ini bahawa jika majlis walimah itu melibatkan orang umum yakni orang-orang kaya dan juga orang-orang miskin, sudah pasti hidangan itu tidak dikatakan sebagai seburuk-buruk makanan.


3. Apabila terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
Hal ini merangkumi beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan untuk memenuhi jemputan atau undangan.Semua contoh yang diberikan di bawah boleh mengubah status hukum asal kewajiban menghadiri undangan dan jemputann:

Jarak yang terlalu jauh.
Melibatkan kos dan masa perjalanan yang sangat jauh, seperti menetap di Johor dan mendapat undangan bagi majlis walimah di Perlis.


Keadaan negara yang tidak mengizinkan
Keadaan Negara yang mungkin sedang dalam peperangan, darurat dan sebagainya.


Ketika jemputan dibuat secara umum
Jemputan umum mungkin mewakili suatu kumpulan atau keluarga yang hanya memerlukan wakil untuk hadir dan tidaklah semestinya semua ahli kumpulan atau keluarga wajib hadir.


Tidak mendapat jemputan
Apabila tidak mendapat jemputan, maka semestinya tidak menjadi wajib kehadiran terhadap majlis walimah itu. (Jika berkeinginan juga untuk hadir sesuatu majlis yang mana kita tidak mendapat jemputan darinya, seelok-eloknya mendapatkan jemputan terlebih dahulu supaya kehadiran kita itu tidak mengganggu perjalanan majlis dari segi kos dan perancangan pihak yang menjemput) .


Telah mendapat beberapa jemputan lain
Tidak menjadi kesalahan sekiranya wujud pertembungan antara dua atau lebih majlis walimah, maka boleh memilih salah satu daripada sekian banyak undangan majlis (sekiranya tidak dapat menghadirkan diri terhadap semuanya majlis), baik ianya berdasarkan kaedah siapa yang menjemput dahulu, atau jemputan manakah yang paling hampir. Bagi majlis walimah yang lain, boleh tolak secara baik dan mendoakan mereka jika tidak dapat hadir dan berikan hadiah sekiranya bertemu pada waktu lain.Memberi hadiah ketika menghadiri walimah juga adalah satu perbuatan sunnah.


Keadaan-keadaan lain
Darurat seperti terpaksa mendahulukan perkara yang lebih priority seperti terlibat dalam program atau aktiviti yang telah lebih awal dirancang yang mana melibatkan kos dan pihak lain, prioriti juga melibatkan janji atau perkara yang terpaksa dilalui oleh seseorang menyebabkan beliau mendahulukan apa yang menurut pandangannya adalah lebih utama dan penting.Keadaan yang membantutkan seseorang memenuhi jemputan seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. [Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir]

Semoga susunan ringkas di dalam aritkel ini membantu kita memahami lebih dekat berkenaan status hukum menghadiri majlis walimah yang hukum asalnya adalah wajib, namun ianya boleh berubah mengikut keadaan dan beberapa situasi seperti yang diringkas di atas. Semestinya perkara utama yang perlu kita fahami ialah dengan menghadirkan diri ke majlis walimah itu dituntut sehingga wajib hukum asalnya bagi merapatkan lagi hubungan siratul rahim yang telah terjalin sebelum ini. Menjadi suatu perkara yang menggembirakan bagi pasangan pengantin sekiranya jemputan itu dipenuhi oleh orang ramai.

Semoga kita semua diberi kesempatan dan kemampuan untuk memenuhi undangan majlis walimah yang dianjurkan oleh pihak pengantin kerana ianya merupakan suatu usaha mempelai menghidupkan sunnah yang disyariatkan.

Wallahu’allam.
Dipetik daripada
Ibn Yusof
www.ibnyusof.blogspot.com

16 May 2011

Walimah!



Apabila menjelangnya musim cuti persekolahan, saya kira pasti ‘planner’ kita terpenuhi dengan undangan walimah saudara-mara, sahabat handai dan kenalan. Inbox facebook penuh dengan undangan, kad-kad jemputan di’tag’, tidak cukup dengan itu, kad-kad di ‘post’kan oleh bakal mempelai menjemput sekalian sahabat handai dengan harapan dapat menghadirkan diri ke resepsi mereka.

Tidak ada apa yang diharapkan oleh bakal pengantin melainkan doa daripada saudara seIslam mereka supaya ikatan suci ini berkekalan.

Saya juga tidak terkecuali dengan kehadiran berpuluh-puluh undangan walimah sahabat-sahabat yang menunggu hari bahgia mereka, apatah lagi bertindan-tindan pada hari yang sama.

28/05/11
Muna Anisah + Zahrulhazmi (Johor)
Rafiq Sumardi + Ain (Johor)
Salmiyyah Sulaiman + Pasangan
29/05/11
Wan Mahani + Mohd Aminuddin (Kelantan)
02/06/11
Ayu Alwanis + Pasangan (Kelantan)
03/06/11
Siti Samihah + Pasangan (KL)
Ismatul Nurul Asyikin + Pasangan (Kelantan)
Nik Amnah + Pasangan (Terengganu)
Norsylaty + Pasangan
04/06/11
Siti Rasyidah + Saiful (Kelantan)
Husna + Nidzamuddin (Kelantan)
Norhazwani + Pasangan (Kelantan)
Zeeniroh + Pasangan (Kedah)
Siti Ruhaida + Pasangan (Kelantan)
Amalina + Mukhlis (Terengganu)
05/06/11
Shamsil + Pasangan (KL)
Nor Azlin + Mohd Sharul (Kelantan)
Atiqah A. Zain (K. Atiq) + Pasangan (KL)
Jadulhaq + Ismilida (Kelantan)
09/06/11
Nik Syuhada + Pasangan (Kelantan)
Shuhada Zakaria + Pasangan (Kelantan)
11/06/11
Nurussolehah + Nazir (Pahang)
Zaitun + Pasangan (Pahang)


Memenuhi undangan pernikahan itu adalah kewajipan terhadap individu muslim

Saya pun tidak pasti bagaimana harus saya memenuhi semua undangan beberapa walimah pada hari yang sama dan di negeri yang berbeza dalam situasi practical dan revision period yang menuntut waktu.
Apapun buat kalian sahabat-sahabatku yang bakal mendirikan mahligai bahgia, mencipta syurga dunia, ku iringi kalian dengan doa semoga pernikahan ini mendapat keberkatan Ilahi dan lebih mendekatan diri dengan Allah. Sebenar-benar kehidupan adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

"Baarakallahu laka wa baarakaa 'alaiyka wa jama'a baiynakumaa fii khoir"
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.”
[Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi]

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails