30 September 2009
Duit Raya tu patut atau tidak?
Pening kepala saya dibuatnya bila sepupu sepapak minta duit raya saat pulang ke Bandar Kota Bharu, di rumah nenek. Itu nasib baik belum ada anak saudara lagi.
“K ngah nak duit raya” beginilah gayanya sepupu-sepupu yang kecil-kecil ‘respond’ saat bertemu di hari raya. Bagi mereka, apabila kita salam terus boleh minta duit raya.
“Manalah k ngah ada duit…keja pun tarak lagi”.
Begitulah respondku tiga tahun kebelakangan ini. Dalam hati, saya merungut ‘celah mana la aku nak korek kocek nak bagi duit raya’. Mungkin mereka fikir menjauhnya saya daripada bumi Kelantan adalah mencari rezeki. Sedangkan menjauhnya saya sejak 2005 adalah manuntut ilmu yang masih belum ‘graduate’ lagi.
Apabila berfikir panjang, trend memberi duit raya ini membimbangkanku. Tidak dinafikan asal-asal pemberian duit di hari raya adalah satu hadiah daripada seseorang kepada yang lain terutamanya kanak-kanak dan remaja yang masih belum berkahwin. Baik juga sama-sama menghulur bantuan berupa duit raya pada anak-anak daripada keluarga yang susah ataupun anak-anak yatim bagi meringankan beban keluarga mereka.
Tetapi malangnya sehingga di saat ini, trend memberi duit raya seolah-olah menjadi kewajipan ke atas mereka yang bekerja untuk diberikan pada anak-anak kecil terutamanya. Tidak sah hari raya itu jika tidak dihulurkan duit raya.
Sedar tidak sedar, masyarakat Islam dan Melayu telah membiasakan dan mengajar anak-anak kita dengan nilai-nilai yang boleh disalah tafsirkan oleh anak-anak kita. Pemberian duit raya membenarkan sedikit sebanyak unsur-unsur materialistik tumbuh di dalam jiwa mereka. Unsur-unsur materialistik ini meresap ke dalam jiwa mereka dari hari raya ke hari raya, dari tahun ke tahun sehingga terbentuknya ‘mind setting’ di jiwa mereka bahawa hari raya itu hari bergembira dan berseronok mengumpul duit raya.Menjauh daripada kefahaman hari raya yang sebenar. ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Memang benar ibu-bapa boleh mengatakan ‘seandainya orang nak bagi apa boleh buat', tetapi apa yang perlu di ‘take note’ oleh mereka adalah sejauh mana mereka membantu anak-anak mereka mengurus wang-wang hari raya yang ‘dipungut’ dan mendidik anak-anak untuk menabung. Ini adalah tanggungjawab ibu-bapa agar-agar anak-anak mensyukuri rezeki yang berupa wang yang diterima pada hari raya.
Sifat syukur itu penting untuk diterapkan. Seandainya dibiarkan, maka bolehlah kita mendengar rungutan anak-anak kecil yang sudah pandai merungut-rungut seumpama ini,
“alah…pak cik tu bagi seringgit je! Ingat boleh la dapat banyak sikit, nampak rumah besar…!”.
Satu lagi nilai ‘pendidikan’ kita beri pada anak-anak kita. Mau kah kita?
Ada juga ayah saya bercerita berkenaan kisah anak muridnya di sekolah (tetapi tidak pasti darjah berapa) apabila diberi duit raya. Seorang murid persoalkan kembali pada ayah kenapa diberikannya duit RM 1 sahaja sedangkan ada kawannya mendapat RM 2.
“Ustaz, bakpo saya dapat seringgit jah, dia dapat dua ringgit? Tak aci ni…”.
Tersenyum ayah. Kata ayah pada saya “sebenarnya ayah hanyo wi duit rayo RM 2 hanya pada sore pelajar jah dale kelas tuh yang betul-betul jurus (baik akhlaknya)”.
Motif ayah supaya anak itu berfikir sendiri kenapa dia mendapat RM 1 sedangkan kawannya mendapat RM 2. Pasti ada bezanya selain beza pada nilai wang itu sendiri. Orang yang berusaha lebih akan mendapat lebih.
Pernah juga pengalaman saya menyambut raya, juga di kampong di Kota Bharu, apabila datang seorang budak memberi salam dari luar.
“Assalamualaikum, assalamualaikuuuum…nak minta duit rayaaaa...!”
Ini gaya pun ada juga,bagi salam itu digalakkan, datang menziarah itu bagus tapi tak sempat naik ke rumah sudah melaung-laung meminta duit raya. Nak tergelak pun ada. Nasib baik budak-budak, tapi inilah gayanya kalau mereka salah tafsir apa itu hari raya.
Bila difikir-fikirkan panjang, agak susah bila pemberian duit raya sudah ditradisikan dalam masyarakat, sudah lari dari matlamat asal pemberian duit itu dan sudah disalahkan ertikan oleh anak-anak yang menerimanya. Ini membuatkan saya berfikir panjang sama ada saya ingin terikut sama dengan trend memberi dan mengagihkan duit raya pada anak-anak sedara mara dan anak-anak jiran tetangga sekiranya saya bekerja dan diberi rezeki lebih. Memang benar tangan yang memberi itu lebih baik dari menerima. Tapi kalau begini gayanya...berfikir lagi saya.
Atau mungkin saya memperkenalkan gaya baru menggantikan pemberian berupa wang kepada benda-benda lain seumpama buku atau memberikan sumbangan hanya pada mereka berhak dan layak mendapatkannya. Atau mungkin duit raya ini hanya layak untuk diberikan pada anak-anak yang berpuasa atau tidak diberikan lansung. Terpulang. Doa kita bersama agar apa yang kita lakukan tidak membawa kesan yang buruk pada anak-anak kita dan moga-moga mereka mendapat manfaatnya dan agar mereka tidak tersalah 'digest value’ pada sesuatu. Anak-anak adalah cahaya mata yang amat berharga. Didiklah mereka dengan hati-hati.
Penulis: Gaya penulisan ini adalah merujuk pendapat peribadi penulis dalam meng'digest'kan gaya 'environment' penulis sendiri dan ia lebih merujuk pada anak-anak kecil. Anak-anak besar yang dapat duit raya jugak tu lain cerita pula.Begitulah.
Labels:
Coretan Hati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Comment Here