11 October 2009

Masa...! Kau Berlalu Pantas.


Assalamualaikum wbr. buat sahabat-sahabat, teman-teman sekalian…

Diri ini berasa sedikit terkilan pada diri sendiri kerna sudah lama tidak ‘update’ laman sendiri. Sememangnya salah sendiri. Sehingga membiarkan berlalu pergi begitu sahaja idea yang mendatang.

Sebelum saya bertolak ke Temerloh esok, izinkan saya mencoretkan sesuatu sebelum saya kempunan. Kerna di sana susah betul untuk mendapat ‘source of internet’.

Sedar tidak sedar, tempoh kuliah untuk semester pengajian ini sudah pun berakhir pada hari semalam. ‘Posting period’ selama tiga minggu akan bermula pada Isnin ini. Disusuli dengan ‘final exam’ yang digeruni yang menentukan nasib semester ini walaupun ia bukan segala-galanya.

Masa begitu cepat berlalu, tanpa kita sedari, tanpa kita sedar apa yang kita pelajari sebenarnya. Apa yang kita telah buat sebenarnya. Adakah saya meninggalkan masa? Atau masa yang meninggalkan saya? Saya keliru. Mari kita sama-sama selongkari!

Isu ‘waktu/masa’ bukanlah isu biasa dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim. Isu ‘waktu/masa’ adalah isu pokok terhadap isu-isu lain. ‘Masa adalah kehidupan’ itulah perkataan yang selalu saya ingatkan pada diri sebelum saya ke sekolah di zaman persekolahan kerna ia terpampang di pintu almari saya. Hari-hari saya membacanya.

Setiap saat dan ketika dari detik-detik waktu peredaran jam, dari pertukaran dari hari ke hari adalah sukatan umur kita dan kehidupan kita.

Besar perhatian al-Quran dan as-Sunnah tentang masa. Banyak dalil yang Allah sentuh berkaitan masa. Masa/waktu adalah nikmat dan kelebihan yang Allah berikan pada manusia. Cuba kita sama-sama perhatikan maksud ayat ini:

Dan Dia telah menundukkan bagimu matahari dan bulan yang terus-menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia mengurniakan setiap permintaan kamu itu. Dan jika kamu hendak menghitungkan segala ni’mat Allah, nescaya kamu tidak mampu untuk memhitungkannya” (Surah Ibrahim: Ayat 33-34)

Dan banyak lagi dalil-dalil lain yang Allah sentuh tentang masa antaranya boleh dirujuk pada ayat Surah al-Furqan (62), al-Lail (1-2), dan al-Asr (1-2).

Merujuk pada buku “Detik-detik Masa Dalam Kehidupan” karangan Dr.Yusof al-Qordawi, ulama-ulama tafsir berpendapat bahawa Allah s.w.t bersumpah dengan nama-nama makhluk ciptaanNya, seperti Dia bersumpah dengan nama –nama hari, adalah bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dan kesan-kesan dari peredaran masa!

Betapa Allah menitikberatkan masa, sedangkan kita bagaimana? Masih dengan masalah berkurun-kurun dahulu, malas, ‘procrastination’ (bertangguh), bual-bual kosong…masih lagi kegemaran!

Renung-renungkanlah…di mana keseluruhan manusia di hari kiamat kelak, semua manusia akan di soal-jawab di hadapan Allah s.w.t. Di mana keseluruhan manusia di hari pembalasan akan dikemukakan kepada mereka 4 persoalan, 2 daripada soalan itu merupakan soalan pokok berhubung dengan masa.

Di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.a:

Setiap hamba di hari Qiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal-jawab tentang 4 perkara:

1. Tentang umur, di manakah dihabiskan waktu di dunia dahulu?
2. Di masa ia menghadapi remajanya, bagaimana di waktu itu?
3. Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
4. Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya?


Masa mengandungi ketentuan yang berbeza. Semoga kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Letakkan keazaman pada hati yang sedar untuk kita laksanakan segala amanah, kewajipan dan tanggungjawab yang terpikul di bahu dengan sebaik mungkin. Moga kita tidak berlaku zalim pada usia yang ada.

Masa….!
Kau berlalu pantas.
Seminggu dirasakan sehari
Sebulan bagaikan seminggu.
Tanpa disedari!
Tahun ke tahun…
Seumur hidup,
kalian rasakan,
dalam impian!!!

Selamat menempuhi hari-hari mendatang dengan lebih TABAH biarpun kita akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar. Tetapi jangan lupa untuk belajar daripada masa lampau kerna kenangan adalah umur kedua manusia.

“kita akan selalu mengenang dan berkaca pada mereka
Sungguh kenangan itu umur kedua manusia”

-(Unknown)

No comments:

Post a Comment

Comment Here

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails