Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

01 June 2011

Cahaya Mata Itu Kurniaan Yang Tidak Ternilai

Wajah yang bersih
Cahaya Mata itu Kurniaan yang tidak ternilai
Anak-anak  itu adalah cahaya mata kurniaan Tuhan yang sangat berharga buat pasangan yang berkahwin. Setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu menginginkan zuriat penyambung keturunan dan penerus kesinambungan amanah sebagai khalifah.
Setiap anak yang dilahirkan, adalah harapan baru buat dunia. Khalifah yang akan memakmurkan bumi.  Anak-anak ini masih bersih dan terlepas daripada segala dosa, maka bergantung kepada ibu bapanya ke arah manakah harus dibentuk anak itu.
Melihat mata anak-anak kecil, ‘neonate’, dan ‘infant’ yang masih belum baligh menjadikan terapi yang terbaik untuk ketenangan, kebahagiaan dan menyejukkan hati. Hati yang berserabut menjadi tenang dek kadang-kadang terganggu disebabkan kerenah dunia akhir zaman yang banyak menyakitkan hati.
Berikut adalah perkongsian sebahagian potongan jurnal ketika berpraktikal di Labour Room dan SCN (Special care Neonate), pengalaman berharga bersama  ibu-ibu berjuang melahirkan anak.
Every time, I get involved in delivery even though just observed, I was non stop praying for the laboring mother especially during the 2nd stage of delivery where it begins with complete dilatation of cervix for 10cm and ends with birth of the baby, looking at their face, giving them support, touching with therapeutic. Hope that Allah s.w.t will help them in this ‘perjuangan’, so that they can deliver the baby safely. The mother is safe and the baby is safe without any complication.

The newborn babies looked so pure and innocent.  Everytime I looked at them and hold them, I feel so tranquil and calm. When I kissed with my lips the baby’s soft forehead,  I feel so relax. I’m always fall in love with them. It’s wonderful feeling. Another miracle from Allah.
They are a good source of inspiration, a new hope for the world that going to be a khalifah insya Allah, continuing ‘dakwah’ for Islam.
How lucky the mother in the world that never can be gained by father, that they have been raised by Allah s.w.t to a very high position in life.  Motherhood is a special status that Allah has bestowed upon selected women. I hope I can be one of them!
Hak-hak terhadap anak
Dikisahkan pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?
Pimpinlahku ke jalan kebenaran!
Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak "Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar: Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran. Berkata si anak:Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: 'Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu.'
Seorang ayah seharusnya melaksanakan hak-hak seorang anak terlebih dahulu. Kadang-kadang kita tersalah faham, pendidikan anak-anak bukan bermula ketika si anak sudah dilahirkan, tetapi pendidikan mereka dan hak-hak mereka yang perlu ditunaikan sudah pun bermula di awal pemilihan seorang calon isteri atau ibu kepada si anak atau dengan kata lain ketika mencari jodoh.
Bahkan saya kira perlu terlebih awal daripada itu lagi, kerna seandainya seorang lelaki ingin mendapatkan isteri yang solehah, dia seharusnya terlebih dahulu menjadi seorang lelaki yang soleh dan begitu juga dengan wanita.
Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, perlu diingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya dan sebelum seorang gadis membuat pilihan dia juga perlu ingat bahwa lelaki itu adalah bakal bapa kepada anak yang dilahirkan nanti. Lantas konklusinya, tarbiyyah anak itu bermula seawal tarbiyyah seorang ibu dan bapanya.
Soal Solat wajib dititik beratkan
Naluri terhadap anak-anak
Naluri adalah perasaan yang dicetuskan oleh Allah s.w.t dalam hati ibu-bapa daripada sifat cinta, belas kasihan dan rahmat. Menurut Abdullah Naseh Ulwan dalam buku beliau ‘Tarbiyatul Aulad Fil Islam’, naluri kedua ibu-bapa terkerah di atas kecintaan terhadap anak yang dilahirkan, berakar umbi di dalamnya segala sifat-sifat belas kasihan, rahmat, kecenderungan memeliharanya dan pengorbanan yang tidak terhingga. Seandainya naluri ini tidak ada, nescayalah seorang ibu dan ayah tidak mampu bersabar dalam mendidik anak-anaknya.
Hati yang sepi daripada rahmat akan menyebabkan tuannya bersikap kasar, keras dan kejam. Sifat-sifat yang buruk ini juga terbawa-bawa kepada si anak, tersungkur dalam kekotoran sifat-sifat yang keji.
Rasulullah s.a.w amat menitikberatkan akan sifat rahmat dan kasih sayang apatah lagi pada si kecil.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Bukan dari golongan kami, siapa yang tidak merahmati yang kecil di antara kita, dan mengenal hak yang besar di antara kita.” (Riwayat Abu Daud & At-Tirmidzi)
“Rasulullah s.a.w telah mencium Al-Hasan bin Ali (cucunya), dan di waktu itu Al-Aqra’ bin Habis sedang duduk bersamanya. Maka berkata Al-Aqra’: Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak, dan saya tidak pernah mencium seorang pun di antara mereka. Rasulullah s.a.w menoleh kepadanya, seraya bersabda: Siapa yang tidak membelasi (orang lain), niscayalah dia tidak akan dibelasi.” (Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a)
Setiap kelahiran itu adalah amanah dan tanggungjawab yang besar buat ibu dan ayah.
Anak-anak adalah cahaya hati, yang bakal menjadi ‘harta’ kita didunia dan aset kita di akhirat kelak. Baiknya kita, maka baik lah didikan kita pada mereka, membesarlah mereka dalam suasana yang sihat dan sempurna, diberikan didikan secukupnya, diajar mengenal Allah dan Rasul, dimengertikan kenapa kita wajibnya Islam. Maka bakal membesarlah seorang individu yang membawa ‘cahaya’ ke dunia penyambung dakwah Rasul dan para sahabat.
Sewajarnya kita sentiasa berdoa semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan diberikan kekuatan buat kita untuk membesarkan mereka dengan sempurna untuk dunia mereka dan akhirat mereka.
Doa-doa agar diri dan zuriat diterima sebagai hamba yang taat dan mendapat zuriat yang baik (Sumber: Buku Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari oleh Ust Zahazan Mohamed & Mohd Azrul Azlen Abd Hamid)
“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah: 127-128)
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku daripada sisi-Mu zuriat yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” (Al-Imran: 38)
“Wahai Tuhan kami, berilah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Al-Furqan: 74)

Wajah yang tiada dosa
Penulis memohon kemaafan kerna berlaku sedikit percampuran bahasa di sini kerna penulis ingin mengekalkan keaslian bahasa  yang di ambil daripada jurnal ‘clinical posting’ di SCN (Special Care Neonate) & Labour Room’. Wallua'llam. Sekadar perkongsiaan.

17 May 2011

Kewajipan Memenuhi Undangan

Orang yang diundang ke majlis walimah sememangnya wajib memenuhi undangan tersebut berdasarkan beberapa perintah dari Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sendiri.


Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:
“Bebaskanlah tawanan,penuhilah undangan, dan jenguklah orang yang sakit” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari]


“Apabila diajak seseorang daripada antum ke kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya, dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Ibn Umar, no. 5177]


Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain.


Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi apabila mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walaupun dalam keadaan berpuasa (berdasarkan pandangan beberapa ulamak yang membincangkan topik ini).


Para ulamak berbincang dengan berhujahkan sabda Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam:
“Apabila salah seorang daripada kalian diundang untuk menghadiri jamuan makan, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika tidak sedang berpuasa, hendaklah dia ikut makan, dan jika dia sedang berpuasa hendaklah dia turut serta mendoakan” [Hadis Riwayat Imam Muslim]


Berikut diringkaskan bagaimana hukum asalnya (kewajiban memenuhi jemputan walimah) yang wajib berdasarkan beberapa perintah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam boleh berubah berdasarkan beberapa keadaan yang perlu kita fahami.

1. Apabila terdapat kemaksiatan di dalam majlis tersebut

Para ulamak berpandangan bahawa tidak boleh menghadiri undangan acara yang mengandungi maksiat. Tetapi jika kehadiran kita itu untuk mencegah atau menghilangkan maksiat tersebut, maka ianya dibolehkan, tetapi sekiranya kita tidak mampu, maka kita harus segera pulang. Antara hadis yang digunakan untuk berhujah dalam perkara ini adalah seperti berikut:


“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no. 3359]


Unsur-unsur maksiat yang dimaksudkan di dalam poin ini termasuk juga seperti wujudnya ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita) di dalam majlis, terdapat unsur-unsur yang diharamkan di dalam majlis walimah seperti tashabbuh (meniru ritual kaum lain) seperti adanya majlis bersanding dan merenjis air mawar, tari-menari, tabarruj (kaum wanita bersolek dengan berlebihan), sesi nanyian-nyanyian, muzik serta acara kugiran dan lain-lain.

2. Apabila undangan dalam majlis walimah itu membezakan antara yang kaya dan yang miskin seperti mengundang mereka yang kaya dan tidak mengundang mereka yang miskin.
Hal ini ditegah oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah, bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]


Imam Ibn Hajar al-Asqolani menjelaskan hadis ini bahawa jika majlis walimah itu melibatkan orang umum yakni orang-orang kaya dan juga orang-orang miskin, sudah pasti hidangan itu tidak dikatakan sebagai seburuk-buruk makanan.


3. Apabila terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
Hal ini merangkumi beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan untuk memenuhi jemputan atau undangan.Semua contoh yang diberikan di bawah boleh mengubah status hukum asal kewajiban menghadiri undangan dan jemputann:

Jarak yang terlalu jauh.
Melibatkan kos dan masa perjalanan yang sangat jauh, seperti menetap di Johor dan mendapat undangan bagi majlis walimah di Perlis.


Keadaan negara yang tidak mengizinkan
Keadaan Negara yang mungkin sedang dalam peperangan, darurat dan sebagainya.


Ketika jemputan dibuat secara umum
Jemputan umum mungkin mewakili suatu kumpulan atau keluarga yang hanya memerlukan wakil untuk hadir dan tidaklah semestinya semua ahli kumpulan atau keluarga wajib hadir.


Tidak mendapat jemputan
Apabila tidak mendapat jemputan, maka semestinya tidak menjadi wajib kehadiran terhadap majlis walimah itu. (Jika berkeinginan juga untuk hadir sesuatu majlis yang mana kita tidak mendapat jemputan darinya, seelok-eloknya mendapatkan jemputan terlebih dahulu supaya kehadiran kita itu tidak mengganggu perjalanan majlis dari segi kos dan perancangan pihak yang menjemput) .


Telah mendapat beberapa jemputan lain
Tidak menjadi kesalahan sekiranya wujud pertembungan antara dua atau lebih majlis walimah, maka boleh memilih salah satu daripada sekian banyak undangan majlis (sekiranya tidak dapat menghadirkan diri terhadap semuanya majlis), baik ianya berdasarkan kaedah siapa yang menjemput dahulu, atau jemputan manakah yang paling hampir. Bagi majlis walimah yang lain, boleh tolak secara baik dan mendoakan mereka jika tidak dapat hadir dan berikan hadiah sekiranya bertemu pada waktu lain.Memberi hadiah ketika menghadiri walimah juga adalah satu perbuatan sunnah.


Keadaan-keadaan lain
Darurat seperti terpaksa mendahulukan perkara yang lebih priority seperti terlibat dalam program atau aktiviti yang telah lebih awal dirancang yang mana melibatkan kos dan pihak lain, prioriti juga melibatkan janji atau perkara yang terpaksa dilalui oleh seseorang menyebabkan beliau mendahulukan apa yang menurut pandangannya adalah lebih utama dan penting.Keadaan yang membantutkan seseorang memenuhi jemputan seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. [Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir]

Semoga susunan ringkas di dalam aritkel ini membantu kita memahami lebih dekat berkenaan status hukum menghadiri majlis walimah yang hukum asalnya adalah wajib, namun ianya boleh berubah mengikut keadaan dan beberapa situasi seperti yang diringkas di atas. Semestinya perkara utama yang perlu kita fahami ialah dengan menghadirkan diri ke majlis walimah itu dituntut sehingga wajib hukum asalnya bagi merapatkan lagi hubungan siratul rahim yang telah terjalin sebelum ini. Menjadi suatu perkara yang menggembirakan bagi pasangan pengantin sekiranya jemputan itu dipenuhi oleh orang ramai.

Semoga kita semua diberi kesempatan dan kemampuan untuk memenuhi undangan majlis walimah yang dianjurkan oleh pihak pengantin kerana ianya merupakan suatu usaha mempelai menghidupkan sunnah yang disyariatkan.

Wallahu’allam.
Dipetik daripada
Ibn Yusof
www.ibnyusof.blogspot.com

16 May 2011

Walimah!



Apabila menjelangnya musim cuti persekolahan, saya kira pasti ‘planner’ kita terpenuhi dengan undangan walimah saudara-mara, sahabat handai dan kenalan. Inbox facebook penuh dengan undangan, kad-kad jemputan di’tag’, tidak cukup dengan itu, kad-kad di ‘post’kan oleh bakal mempelai menjemput sekalian sahabat handai dengan harapan dapat menghadirkan diri ke resepsi mereka.

Tidak ada apa yang diharapkan oleh bakal pengantin melainkan doa daripada saudara seIslam mereka supaya ikatan suci ini berkekalan.

Saya juga tidak terkecuali dengan kehadiran berpuluh-puluh undangan walimah sahabat-sahabat yang menunggu hari bahgia mereka, apatah lagi bertindan-tindan pada hari yang sama.

28/05/11
Muna Anisah + Zahrulhazmi (Johor)
Rafiq Sumardi + Ain (Johor)
Salmiyyah Sulaiman + Pasangan
29/05/11
Wan Mahani + Mohd Aminuddin (Kelantan)
02/06/11
Ayu Alwanis + Pasangan (Kelantan)
03/06/11
Siti Samihah + Pasangan (KL)
Ismatul Nurul Asyikin + Pasangan (Kelantan)
Nik Amnah + Pasangan (Terengganu)
Norsylaty + Pasangan
04/06/11
Siti Rasyidah + Saiful (Kelantan)
Husna + Nidzamuddin (Kelantan)
Norhazwani + Pasangan (Kelantan)
Zeeniroh + Pasangan (Kedah)
Siti Ruhaida + Pasangan (Kelantan)
Amalina + Mukhlis (Terengganu)
05/06/11
Shamsil + Pasangan (KL)
Nor Azlin + Mohd Sharul (Kelantan)
Atiqah A. Zain (K. Atiq) + Pasangan (KL)
Jadulhaq + Ismilida (Kelantan)
09/06/11
Nik Syuhada + Pasangan (Kelantan)
Shuhada Zakaria + Pasangan (Kelantan)
11/06/11
Nurussolehah + Nazir (Pahang)
Zaitun + Pasangan (Pahang)


Memenuhi undangan pernikahan itu adalah kewajipan terhadap individu muslim

Saya pun tidak pasti bagaimana harus saya memenuhi semua undangan beberapa walimah pada hari yang sama dan di negeri yang berbeza dalam situasi practical dan revision period yang menuntut waktu.
Apapun buat kalian sahabat-sahabatku yang bakal mendirikan mahligai bahgia, mencipta syurga dunia, ku iringi kalian dengan doa semoga pernikahan ini mendapat keberkatan Ilahi dan lebih mendekatan diri dengan Allah. Sebenar-benar kehidupan adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

"Baarakallahu laka wa baarakaa 'alaiyka wa jama'a baiynakumaa fii khoir"
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.”
[Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi]

29 March 2011

Seksanya Hendak Kahwin

Seksanya hendak kahwin...

Penulis: Buat teman-temanku yang dikasihi kerna Allah, article ini sudah lama kugarap ketika isu ini hangat diperkatakan di media, cuma tersimpan kemas di peti ‘my document’ dek teragak-agak untuk di’publish’ sehingga terlupa ia masih tersimpan. Moga-moga ia bermanfaat, tidak berniat apa-apa melainkan sebagai perkongsian fikrah dan ilmu buat kalian. Wallahu’allam.

Kahwin tidak lagi menjadi sesuatu kenikmatan seandainya bila keluarnya ayat “seksanya hendak kahwin”. Perkahwinan adalah suatu yang suci, indah dan abadi, menyatukan dua hati dan menghalalkan di antara keduanya.

Malangnya masyarakat hari ini terutamanya pihak lelaki dibebankan dengan kos perkahwinan yang melampau tingginya sehingga menjadi faktor utama kelewatan mendirikan rumahtangga dan kelewatan mendapat zuriat.

Media termasuk bloggers, laman-laman web pada satu ketika sibuk memperkatakan tentang isu ini. Tetapi sejauh manakah kesedaran di kalangan masyarakat kita berkenaan sikap bersederhana dalam menetapkan wang hantaran, mas kahwin dan masjlis perkahwinan itu sendiri.

Sudah pasti ianya tidak menjadi masalah buat mereka yang mampu, berjawatan besar dan berduit untuk membuat walimah secara besar-besaran. Tetapi ia menjadi masalah yang kritikal dan rumit buat lelaki yang baru menamatkan pengajian, baru mula kerja dan daripada keluarga yang tidak cukup untuk dikatakan berada dan terpaksa menanggung keluarga. Situasi ini menjadi jawapan utama buat mereka yang kahwin lambat.

Persoalannya begitu sampai hati keluarga di pihak perempuan untuk meletakkan nilai wang hantaran sebegitu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit bahkan ratusan ribu. Selain daripada hantaran, ada lagi perkara lain yang saya ingin ‘highlight’ kan di sini, iaitu berkenaan mas kahwin.

Di dalam Islam, mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya. Manakala hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran adalah tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus. Yang wajibnya adalah mas kawin, yang menjadi hak mutlak seorang wanita dan termasuk dalam syarat-syarat kahwin.

Hidup berlandaskan agama dan prinsip-prinsip Islam sudah pasti seseorang itu tidak dibebani dengan masalah sebegini. Islam sudah lama menekankan konsep bersederhana dalam semua perkara. Bersederhana disini bermaksud, tidak usahlah kita melampau-lampau dalam urusan perkahwinan sehingga sudah lari daripada tuntutan syara’ bahkan memudaratkan masyarakat seumpama gejala kahwin lewat dan terdedah kepada seks luar nikah atau zina lantas parahnya situasi masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, tidak wajar juga kita memperlekehkan nilai mas kahwin dan hantaran begitu juga persiapan untuk melangsungkan perkahwinan. Nilai mas kahwin tidak perlulah melampau-lampau dan tidak seharusnya terlampau rendah sehingga tidak logik dek akal. Apa yang pasti semuanya perlu dilaksanakan sekadar termampu dan dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan segala yang terlaksana mendapat keberkatan dan rumahtangga yang terbina didoakan semua orang dan berkekalan.

Hakikatnya, rumah tangga yang terbina walaupun dengan nilai urusan perkahwinannya yang sebegitu tinggi dan nilai wang hantarannya mencipta rekod Malaysia @ Malaysian Book of Records juga tidak mampu untuk bertahan lama bahkan berkecai begitu saja. Kerna duit bukan segala-galanya biarpun mereka berduit dan kita tidak mampu untuk menhalang mereka menunjuk-nunjuk unsur-unsur kekayaan mereka melalui perkahwinan.

Malangnya budaya ini menjadi ikut-ikutan kepada yang lain biarpun mereka sedar tidak semua orang berduit dan mengenakan nilai hantaran yang melampau sebagai syarat kepada bakal menantu lelaki.

Wajar ibu-ibu dan bapa-bapa mengikut jejak langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hanya menetapkan sekadar RM1,000 sebagai hantaran buat anak-anak perempuan beliau sebagaimana yang dikhabarkan oleh isteri beliau di dalam bukunya ‘Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)’. Beliau berharap moga usaha kecil yang dilakukan ini dapat dijadikan contoh buat rakyat jelata tentang peri pentingnya bersederhana. Kalau tidak, dikhuatiri riak dan bangga menguasai diri. Majlis yang besar, wang hantaran yang tinggi, segala-galanya gempak, yang pasti tidak berjejak ke bumi yang nyata.

Akhirnya saya merasakan kudusnya cinta bukan pada nilai ringgit yang menjadi hantaran sebuah pernikahan, murninya cinta bukan pada hanya mas kahwin yang dibayar. Tetapi kudus dan murninya cinta itu tersimpan kemas di kalbu yang suci yang tiada nilai taranya. Yang hanya layak buat hati-hati yang menghambakan diri pada Penciptanya bukan pada keduniaan dan kemewahan.

Semoga setiap perkahwinan terbina menjanjikan kebahagiaan, mengurniakan zuriat yang bakal memakmurkan bumi, melebarkan kasih sayang, mengembalikan keamanan, lantas tersebarnya Nur Ilahi, terbinanya Khilafah. Pasti Rasulullah berbangga dengan umatnya.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails