Ibnul Muqaffa berkata, “Lima kelompok orang yang akan menyesal; orang yang kehilangan kesempatan beramal, orang yang terputus dari saudara-saudaranya saat tertimpa musibah, orang yang berhasil menangkap musuh tetapi lepas kembali kerana penjagaannya yang lemah, orang yang meninggalkan isteri solehah jika diuji dengan wanita yang buruk akhlak, dan orang yang terus bermaksiat sehingga ajal menjemputnya.”
Mengingatkan kata-kata Ibnul Muqaffa ini, saya teramat takut seandainya saya tergolong di dalam 5 golongan yang menyesal itu iaitu orang yang kehilangan kesempatan beramal!
Hari ini adalah hari ke-10 Ramadhan, malam ini adalah malam ke-11 Ramadhan, sudah menjengah masuk ke fasa ke-2 Ramadhan dan melepasi fasa pertama. Fasa pertama Allah s.w.t menjanjikan RahmatNya…sudahkah kita berjaya mendapat RahmatNya @ masih tidak ada perubahan?
Sudahkah saya menggunakan sepenuh kesempatan di bulan barakah ini dengan sebaiknya? Masih kelu lidah ini untuk menjawab walau di sudut hati.
Saya tidak pasti sejauhmanakah target yang saya letakkan di bulan yang penuh Rahmat Allah ini tercapai? Sekali lagi saya kebingungan. Tiada jawapan walau di sudut hati.
Air mata ini mudah benar mengalir. Biarkan. Sebak. Mengenangkan amal yang kurang. Dosa yang bertimbun. Amanah tersedia ada di tambah amanah yang baru diterima. Binggung. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui hati ini. Moga diberi kekuatan. Moga dipermudahkan segala urusan. Moga diterima amalan. Moga diberikan kesabaran.
Di mata saya saat solat sunat tarawih malam tadi, terbayang-bayang Ramadhan akan pergi jua meninggalkan…saya teramat takut. Atau saya yang akan pergi meninggalkan di tengah-tengah kehangatan Ramadhan? Wallahuallam…Mudah-mudahan Allah memberi yang terbaik.
Masih ada 20 hari lagi Ramadhan, berusahalah…seandainya perlu pecut ke gear 5, pecutlah…asalkan tidak menyesal kemudian hari. Mudah-mudahan Allah menerima amalan kita. Sebaik-baik amalan adalah amalan yang ikhlas hanya kepada-Nya.
18 Ramadhan nanti genap lagi umur saya. Amal…bagaimana? Amanah… tak tertanggung, bagaimana? Sekali lagi persoalan ini timbul setelah 23 tahun berpenghuni di bumi Nya tanpa apa-apa bayaran. Hanya diri ini sahaja yang mampu menjawabnya.
Mudah-mudahan tulisan ini menyedarkan diri saya terutamanya dan yang lain. Kesemuanya mengingatkanku ke arah kematian. Janji sebuah pertemuan dengan Rabb yang teramat mustahil untuk dimungkiri!
Penulis: Penulis sejak akhir-akhir ini pelik, ramai betul yang ucap ‘tahniah’. Sepatutnya ‘takziah’…penulis benar-benar pelik. Tapi ayah lain pula katanya setelah aku smsnya…nasihat beliau melalui smsnya “Pandai bagi masa. Banyakkan sabar. Moga Berjaya”. Walaupun ringkas, tapi tepat dengan situasiku. Kerna beliau tahu perasaan anaknya. Terima kasih ayah. Satu-satunya lelaki dalam hidupku setelah tok wan telah pergi. Kuna a.k.a cek nab cantik +fisya+angeline…terima kasih jua.
No comments:
Post a Comment
Comment Here