21 May 2011

Ranah 3 Warna: Kisah Mewarnai Kehidupan

Berpegang kepada prinsip “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain”, A. Fuadi menulis, dan terus menulis, sehingga menghasilkan novel keduanya Ranah 3 Warna sambungan Negeri 5 Menara yang pasti penuh inspiratif lagi buat yang berani bermimpi.


Setelah menghadamnya beberapa hari, saya turut bersedaran untuk terus menyambung ‘mimpi’, terus bersabar dan tahap percaya pada diri harus meningkat.

“Sekiranya kita sudah melatih diri kita percaya sedemikian rupa, impian itu lambat-laun akan menjadi nyata, pada waktu yang tidak pernah kita sangka-sangka” (A. Fuadi, p. 188).

3 Mantera Sakti

Di novel kedua ini, latarnya bukan lagi Pondok Moden Gontor di Jawa Timur sebagai medan tarbiyyah yang memberi kesan, tetapi di Universiti, peringkat sarjana penulis. Walaupun begitu, setiap dugaan yang datang pasti lebih berat dan mencabar, penulis masih berpegang pada 3 mantera sakti yang terpahat sejak di pondok

‘Man Jadda Wa jada’ (Sesiapa yang berusaha, pasti berjaya)
‘Man Sabara Zhafira’(Sesiapa yang bersabar, akan beruntung)
‘Man Sara ‘ala darbi washala’ (Sesiapa yang berjalan di atas jalannya akan sampai ke tujuannya)

Penulis (A. Fuadi) sedar, mengharungi setiap detik-detik kehidupan, menggapai impian bukan hanya sekadar perlu kepada ‘man jadda wa jada’, tetapi setelah usaha dilakukan sehabis daya dengan sepenuh upaya, selebihnya kita seharusnya bertawakal dan bersabar di atas apa yang tertulis buat kita.

Apa yang pasti, Allah sangat suka kepada orang-orang yang sabar. Sabar berjuang menghadapi ujian yang mendatang. Dan Allah telah janjikan setiap yang sabar pasti akan beruntung!

“Siapa yang bersabar dia akan beruntung. Jadi sabar itu bukan bererti pasrah, tetapi adalah sebuah kesedaran yang proaktif. Dan sesunnguhnya Allah itu sentiasa bersama orang-orang yang sabar”

“Jarak antara kesungguhan dan kejayaan hanya dapat di isi dengan sabar. Sabar yang aktif, sabar yang gigih, sabar yang tidak menyerah, sabar yang penuh dari pangkal sampai hujung yang paling hujung. Sabar yang dapat membuatkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin, bahkan seakan-akan itu sebuah keajaiban dan keberuntungan. Padahal keberungtungan adalah hasil kerja keras, doa dan sabar yang berlebih-lebih”Dengarkan pantun ini.

Daun maple menggantung di dahan,
Menunggu salju datang mendera,
Hamba akan teguh bertahan,
Mengambil inti Man Shabara Zhafira.



Makan durian di pinggir taman,
Daun kuning masak di dahan,
Orang Melayu teguh beriman,
Kalau sabar tentu disayangi Tuhan.

Merantaulah…

Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampong,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang
-Imam Syafie-

Terkesan dengan syair Imam Syafie seperti yang dipersembahkan oleh A. Fuadi, merantaulah kau akan dapatkan pengganti daripada kerabat dan kawan. Di usia muda, di kesempatan yang Allah kurniakan ,inilah masanya untuk kita mengambil peluang merantau dan menuntut ilmu. Apatah lagi di zaman sekarang segala kemudahan untuk menyambung pengajian adalah terbuka luas cuma tinggal samada kita mahu atau tidak.

Penyerahan Total Kepada Allah

“Aku akhirnya sampai kepada kesimpulan hidup ini adalah masalah penyerahan diri. Apabila aku sudah binggung dan terlalu bersusah hati menghadapi seluruh tekanan hidup…."

“Sesiapa sahaja yang mewakilkan urusannya kepada Tuhan maka Dia akan ‘mencukupkan’ semua keperluan kita. ‘Cukup’. Itu yang sepatutnya kita cari. Apa ertinya banyak harta tetapi tidak pernah merasa cukup? Itulah janji Tuhan kepada orang yang berserah kepadaNya. Aku ingin berserah secara sempurna. Aku ingin dicukupkan seluruh keperluan”.

Dalam kehidupan, tidak semestinya semua yang kita mahu, akan kita dapat. Allah amat menyayangi kita. Dia hanya memberi kepada kita apa yang kita perlukan dan Dialah yang Maha Mengetahui.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (Al-Baqarah; 216).

Setiap doa-doa kita pasti akan didengariNya. Menurut Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili, kunjunga beliau ke Malaysia baru-baru ini, bahwa setiap doa yang kita panjatkan itu ada 3 kelebihan;
1) Allah akan dimakbulkan pada waktu yang sama,
2) Allah tidak menunaikan tetapi menggantikannya dengan menolak kejahatan,
3) Allah menyimpan setiap doa-doa kita di akhirat kelak.

Tenanglah setenang-tenangnya wahai orang-orang yang beriman, jika kamu yakin dengan apa yang kita laksanakan, yakinilah bahwa apa yang dijanjikan oleh Allah, Allah pasti akan mengiringi doa kita. - Prof Dr. Sheikh Wahbah Zuhaili-

Selamat membaca buat kalian akan Ranah 3 Warna, saya pasti kalian tidak akan rugi apa-apa. Belajar daripada kisah hidup orang lain yang ikhlas menulis, sedikit sebanyak membantu kita menghadapi dan melalui kehidupan mendatang. Apa yang penting, usah takut untuk berMIMPI!

Wallahu’allam. (sekadar perkongsian, apa yang baik hanya daripada Allah, dan setiap kekurangan tulisan ini adalah daripada diri NAAR yang lemah)

19 May 2011

Mengutip Mutiara Kehidupan

Bersabar dan ikhlaskanlah dalam setiap perbuatan
Terus meneruslah berbuat baik ketika di kampong dan di perantauan
Jauhilah perbuatan buruk dan ketahuilah pelakunya pasti dibalas,

di perut bumi dan di atas bumi.

Bersabarlah menyongsong musibah yang terjadi dalam waktu yang mengalir

Sungguh dalam sabar ada pintu kejayaan dan impian akan tercapai
Jangan cari kemuliaan di kampong kelahiranmu

Sungguh kemuliaan itu ada pada perantauan pada usia muda

Singsingkan lengan baju dan bersungguh-sungguhlah menggapai impian
Sebab kemuliaan tidak akan dapat diraih dengan kemalasan

Jangan bersilat kata dengan orang yang tidak mengerti apa yang kau katakan
Sebab debat kusir adalah pangkal keburukan

Diterjemah dengan bebas daripada syair Sayyid Ahmad Hasyimi
Syair ini diajar pada tahun ke-4 di Pondok Madani Gontor, Ponorogo.

18 May 2011

Waspada Dengan Godaan Wanita

Dikirim oleh epondok pada Mei 12, 2011

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

ALLAH SWT telah menganugerahkan kepada kaum wanita keindahan, kecantikan dan keghairahannya yang membuatkan kaum lelaki tertarik kepada mereka.

Namun syariat yang suci tidak memperkenankan keindahannya itu dipamerkan seperti barang dagangan.

Sebaliknya kenyataan dan realiti yang kita jumpai sekarang ini wanita justeru menjadi sumber fitnah bagi lelaki. Di jalan-jalan, di program televisyen atau cakera padat video (VCD) dan media massa, wanita mendedahkan aurat sekehendak hatinya.

Apa lagi melalui pertandingan kecantikan, pertunjukan filem dan drama yang menunjukkan keindahan tubuh wanita sehingga seolah-olah tidak ada seksa dan tidak kenal apa itu dosa.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak pernah aku tinggalkan sepeninggalanku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah realitinya, wanita menjadi sumber godaan yang telah banyak membuat lelaki lemah lutut dan terbenam dalam lumpur maksiat yang dibuat oleh syaitan untuk menenggelamkan manusia.

Usaha-usaha untuk menggoda boleh terjadi secara halus, disedari ataupun tidak, secara terang-terangan mahupun tersembunyi.

Lihatlah kisah Nabi Yusuf a.s ketika isteri pembesar Mesir secara terang-terangan menggoda beliau untuk diajak melakukan perkara yang sumbang.

Nabi Yusuf pun menolak sambil berkata: Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu), sungguh Tuhanku telah memperlakukan ku dengan baik (Yusuf: 23).

Muhammad bin Ishak menceritakan: As-Sirri pernah melalui di suatu jalan di kota Mesir. Kerana tahu dirinya menarik, seorang wanita berkata: “Aku akan menggoda lelaki ini”. Maka wanita itu membuka wajahnya dan memperlihatkan dirinya di hadapan As-Sirri. Beliau lalu bertanya: “Ada apa denganmu ini?” Wanita itu berkata: “Mahukah anda merasakan tilam yang empuk dan kehidupan yang nikmat?”

As-Sirri kemudian melantunkan syairnya: “Berapa banyak pencandu kemaksiatan yang mereguk kenikmatan dari wanita itu, namun akhirnya ia mati meninggalkan mereka untuk merasakan seksa yang nyata.

“Mereka menikmati kemaksiatan yang hanya sesaat, untuk merasakan bekas-bekasnya yang tak kunjung padam. Wahai kejahatan, sesungguhnya Allah melihat dan mendengar hamba-Nya, dengan kehendak Dia pulalah kemaksiatan itu tertutup jua”. (Raudatul Muhibbin wa Nuzhalul Mustaqim, karya Ibnu Qayyim).

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah telah memperingatkan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud: Berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hatilah pada wanita kerana fitnah pertama bagi Bani Israel adalah kerana wanita (Riwayat Muslim).

Kini di era globalisasi, ketika arus informasi begitu deras mengalir, godaan mudah masuk ke rumah-rumah kita, melalui jaringan komunikasi seperti majalah, akhbar, televisyen, filem dan sebagainya.

Godaan itu datang di tengah-tengah kita tanpa diundang, menampilkan wanita-wanita yang berpakaian tetapi ‘telanjang’. Melenggok-lenggok mempamerkan aurat yang semestinya dijaga dan dikawal.

Sebahagian muslimah ikut terbawa-bawa oleh propaganda dan gaya hidup seperti itu. Pakaian kehormatan dilepas. Diganti dengan pakaian ketat yang membentuk lekuk tubuh tanpa merasa silu dan segan. Godaan pun semakin kencang menerpa, dan pergaulan bebas tanpa batas menjadi perkara biasa.

Maka kita perlu merenungkan dua bait syair yang diucapkan oleh Sufyan ath-Thuri: “Kelazatan-kelazatan yang didapati seseorang dari yang haram, akan hilang juga, yang tinggal hanyalah aib dan kehinaan. Segala kejahatan akan meninggalkan bekas-bekas buruk, sungguh tak ada kebaikan dalam kelazatan yang berakhir dengan seksaan dalam neraka”.

Seorang ulama yang masyhur, Ibnu Qayyim memberikan nasihat yang sangat berharga: “Allah SWT telah menjadikan mata itu sebagai cerminan hati. Apabila seorang hamba telah mampu menjaga pandangan matanya, bererti hatinya telah mampu mengawal gejolak syahwat dan emosinya. Apabila matanya keranjang, hatinya juga akan liar menuruti syahwatnya”.

Hal ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Kini banyak berlaku kemaksiatan yang terang-terangan, perangilah kemaksiatan dengan syariat yang dituntut agama.

Fenomena godaan wanita memang banyak berlaku yang bukan sahaja terjadi di kalangan orang awam, tetapi juga yang melibatkan pemimpin dan golongan elit di seluruh dunia yang boleh menggoncangkan kedudukan mereka, yang Muslim dan bukan Muslim.

Oleh itu perkuatkan iman kita mulai dari terkecil iaitu keluarga. Kalau iman telah kuat dalam suatu keluarga, insya-Allah gejala seperti itu tidak akan terjadi.

Di samping itu, kita juga harus menyedari tentang mekanisme perdayaan syaitan yang sentiasa mencari jalan dan helah untuk menjatuhkan martabat anak cucu Adam.

Apabila syaitan telah masuk ke dalam darah daging manusia, amat sukar untuk melepaskannya. Kerana tidak ada garis pemisah antara perdayaan syaitan dengan perdayaan dan tipu daya manusia.

Ibarat kita berhadapan dengan serigala yang telah berbaju kambing atau musang yang telah berbulu ayam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaiaslimin melalui dengan godaan wanita.


Wallahu ‘alam.


Penulis; sekadar memperpanjangkan tulisan yang menginsafkan ini. Peringatan buat lelaki Muslim dan juga pastinya wanita Muslimah. Sama-sama menjaga diri, memelihara iman. Kehidupan dunia ini penuh dengan fitnah. Semoga kita terpelihara dan terhindar. Amin.

17 May 2011

Kewajipan Memenuhi Undangan

Orang yang diundang ke majlis walimah sememangnya wajib memenuhi undangan tersebut berdasarkan beberapa perintah dari Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sendiri.


Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam bersabda:
“Bebaskanlah tawanan,penuhilah undangan, dan jenguklah orang yang sakit” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari]


“Apabila diajak seseorang daripada antum ke kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya, dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dari Ibn Umar, no. 5177]


Pandangan kesepakatan tentang kewajiban ini disebut oleh para ulamak antaranya Ibnu ‘Abdil Barr, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan lain-lain.


Hukum kewajiban ini dikuatkan lagi apabila mereka yang sedang berpuasa juga diwajibkan memenuhi undangan majlis walimah walaupun dalam keadaan berpuasa (berdasarkan pandangan beberapa ulamak yang membincangkan topik ini).


Para ulamak berbincang dengan berhujahkan sabda Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam:
“Apabila salah seorang daripada kalian diundang untuk menghadiri jamuan makan, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika tidak sedang berpuasa, hendaklah dia ikut makan, dan jika dia sedang berpuasa hendaklah dia turut serta mendoakan” [Hadis Riwayat Imam Muslim]


Berikut diringkaskan bagaimana hukum asalnya (kewajiban memenuhi jemputan walimah) yang wajib berdasarkan beberapa perintah Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam boleh berubah berdasarkan beberapa keadaan yang perlu kita fahami.

1. Apabila terdapat kemaksiatan di dalam majlis tersebut

Para ulamak berpandangan bahawa tidak boleh menghadiri undangan acara yang mengandungi maksiat. Tetapi jika kehadiran kita itu untuk mencegah atau menghilangkan maksiat tersebut, maka ianya dibolehkan, tetapi sekiranya kita tidak mampu, maka kita harus segera pulang. Antara hadis yang digunakan untuk berhujah dalam perkara ini adalah seperti berikut:


“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no. 3359]


Unsur-unsur maksiat yang dimaksudkan di dalam poin ini termasuk juga seperti wujudnya ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita) di dalam majlis, terdapat unsur-unsur yang diharamkan di dalam majlis walimah seperti tashabbuh (meniru ritual kaum lain) seperti adanya majlis bersanding dan merenjis air mawar, tari-menari, tabarruj (kaum wanita bersolek dengan berlebihan), sesi nanyian-nyanyian, muzik serta acara kugiran dan lain-lain.

2. Apabila undangan dalam majlis walimah itu membezakan antara yang kaya dan yang miskin seperti mengundang mereka yang kaya dan tidak mengundang mereka yang miskin.
Hal ini ditegah oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah, bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]


Imam Ibn Hajar al-Asqolani menjelaskan hadis ini bahawa jika majlis walimah itu melibatkan orang umum yakni orang-orang kaya dan juga orang-orang miskin, sudah pasti hidangan itu tidak dikatakan sebagai seburuk-buruk makanan.


3. Apabila terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
Hal ini merangkumi beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan untuk memenuhi jemputan atau undangan.Semua contoh yang diberikan di bawah boleh mengubah status hukum asal kewajiban menghadiri undangan dan jemputann:

Jarak yang terlalu jauh.
Melibatkan kos dan masa perjalanan yang sangat jauh, seperti menetap di Johor dan mendapat undangan bagi majlis walimah di Perlis.


Keadaan negara yang tidak mengizinkan
Keadaan Negara yang mungkin sedang dalam peperangan, darurat dan sebagainya.


Ketika jemputan dibuat secara umum
Jemputan umum mungkin mewakili suatu kumpulan atau keluarga yang hanya memerlukan wakil untuk hadir dan tidaklah semestinya semua ahli kumpulan atau keluarga wajib hadir.


Tidak mendapat jemputan
Apabila tidak mendapat jemputan, maka semestinya tidak menjadi wajib kehadiran terhadap majlis walimah itu. (Jika berkeinginan juga untuk hadir sesuatu majlis yang mana kita tidak mendapat jemputan darinya, seelok-eloknya mendapatkan jemputan terlebih dahulu supaya kehadiran kita itu tidak mengganggu perjalanan majlis dari segi kos dan perancangan pihak yang menjemput) .


Telah mendapat beberapa jemputan lain
Tidak menjadi kesalahan sekiranya wujud pertembungan antara dua atau lebih majlis walimah, maka boleh memilih salah satu daripada sekian banyak undangan majlis (sekiranya tidak dapat menghadirkan diri terhadap semuanya majlis), baik ianya berdasarkan kaedah siapa yang menjemput dahulu, atau jemputan manakah yang paling hampir. Bagi majlis walimah yang lain, boleh tolak secara baik dan mendoakan mereka jika tidak dapat hadir dan berikan hadiah sekiranya bertemu pada waktu lain.Memberi hadiah ketika menghadiri walimah juga adalah satu perbuatan sunnah.


Keadaan-keadaan lain
Darurat seperti terpaksa mendahulukan perkara yang lebih priority seperti terlibat dalam program atau aktiviti yang telah lebih awal dirancang yang mana melibatkan kos dan pihak lain, prioriti juga melibatkan janji atau perkara yang terpaksa dilalui oleh seseorang menyebabkan beliau mendahulukan apa yang menurut pandangannya adalah lebih utama dan penting.Keadaan yang membantutkan seseorang memenuhi jemputan seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. [Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir]

Semoga susunan ringkas di dalam aritkel ini membantu kita memahami lebih dekat berkenaan status hukum menghadiri majlis walimah yang hukum asalnya adalah wajib, namun ianya boleh berubah mengikut keadaan dan beberapa situasi seperti yang diringkas di atas. Semestinya perkara utama yang perlu kita fahami ialah dengan menghadirkan diri ke majlis walimah itu dituntut sehingga wajib hukum asalnya bagi merapatkan lagi hubungan siratul rahim yang telah terjalin sebelum ini. Menjadi suatu perkara yang menggembirakan bagi pasangan pengantin sekiranya jemputan itu dipenuhi oleh orang ramai.

Semoga kita semua diberi kesempatan dan kemampuan untuk memenuhi undangan majlis walimah yang dianjurkan oleh pihak pengantin kerana ianya merupakan suatu usaha mempelai menghidupkan sunnah yang disyariatkan.

Wallahu’allam.
Dipetik daripada
Ibn Yusof
www.ibnyusof.blogspot.com

16 May 2011

Walimah!



Apabila menjelangnya musim cuti persekolahan, saya kira pasti ‘planner’ kita terpenuhi dengan undangan walimah saudara-mara, sahabat handai dan kenalan. Inbox facebook penuh dengan undangan, kad-kad jemputan di’tag’, tidak cukup dengan itu, kad-kad di ‘post’kan oleh bakal mempelai menjemput sekalian sahabat handai dengan harapan dapat menghadirkan diri ke resepsi mereka.

Tidak ada apa yang diharapkan oleh bakal pengantin melainkan doa daripada saudara seIslam mereka supaya ikatan suci ini berkekalan.

Saya juga tidak terkecuali dengan kehadiran berpuluh-puluh undangan walimah sahabat-sahabat yang menunggu hari bahgia mereka, apatah lagi bertindan-tindan pada hari yang sama.

28/05/11
Muna Anisah + Zahrulhazmi (Johor)
Rafiq Sumardi + Ain (Johor)
Salmiyyah Sulaiman + Pasangan
29/05/11
Wan Mahani + Mohd Aminuddin (Kelantan)
02/06/11
Ayu Alwanis + Pasangan (Kelantan)
03/06/11
Siti Samihah + Pasangan (KL)
Ismatul Nurul Asyikin + Pasangan (Kelantan)
Nik Amnah + Pasangan (Terengganu)
Norsylaty + Pasangan
04/06/11
Siti Rasyidah + Saiful (Kelantan)
Husna + Nidzamuddin (Kelantan)
Norhazwani + Pasangan (Kelantan)
Zeeniroh + Pasangan (Kedah)
Siti Ruhaida + Pasangan (Kelantan)
Amalina + Mukhlis (Terengganu)
05/06/11
Shamsil + Pasangan (KL)
Nor Azlin + Mohd Sharul (Kelantan)
Atiqah A. Zain (K. Atiq) + Pasangan (KL)
Jadulhaq + Ismilida (Kelantan)
09/06/11
Nik Syuhada + Pasangan (Kelantan)
Shuhada Zakaria + Pasangan (Kelantan)
11/06/11
Nurussolehah + Nazir (Pahang)
Zaitun + Pasangan (Pahang)


Memenuhi undangan pernikahan itu adalah kewajipan terhadap individu muslim

Saya pun tidak pasti bagaimana harus saya memenuhi semua undangan beberapa walimah pada hari yang sama dan di negeri yang berbeza dalam situasi practical dan revision period yang menuntut waktu.
Apapun buat kalian sahabat-sahabatku yang bakal mendirikan mahligai bahgia, mencipta syurga dunia, ku iringi kalian dengan doa semoga pernikahan ini mendapat keberkatan Ilahi dan lebih mendekatan diri dengan Allah. Sebenar-benar kehidupan adalah kehidupan akhirat yang kekal abadi.


بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

"Baarakallahu laka wa baarakaa 'alaiyka wa jama'a baiynakumaa fii khoir"
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.”
[Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi]

25 April 2011

Novel Terbaru FT



Sebongkah Batu Di Kuala Berang - Faisal Tehrani




Novel paling kini daripada penulis Faisal Tehrani. Terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd. Terbitan pertama tahun 2011. Sebongkah Batu Di Kuala Berang merujuk kepada batu bersurat di Terengganu yang menjadi bahan bukti kehadiran agama Islam di Tanah Melayu.

Novel ini mengenai sejarah batu itu sendiri yang cuba didokumentasikan oleh sekumpulan pelajar sebuah institusi , Akademi Seni Islam sebagai tugasan akhir mereka. Dokumentari drama yang mereka jalankan akan melibatkan beberapa orang pelakon popular tanah air. Di sini penulis cuba membawa pembaca untuk memasuki ke alam dunia perfileman.

Selain dari sejarah batu bersurat itu, novel ini juga adalah mengenai dunia filem yang mana sebagai penulis yang sensitif, Faisal Tehrani pasti berasa tidak senang duduk tatkala melihat bagaimana saban waktu penonton tempatan disogokkan dengan filem-filem, drama-drama yang kurang dari segi nilai Islamnya. Cerita hantu, kepercayaan-kepercayaan yang memesongkan, cerita rempit, bohsia, keruntuhan moral, Faisal Tehrani berasa terpanggil untuk menulis sesuatu mengenai filem yang menjadi satu cabang daripada cabang seni yang perlu dilihat sebagai satu ibadah juga.Puan Ramlah mengomel,

"Awak perlu ingat yang kerja bikin filem ini adalah kerja ibadah. Malah apa sahaja tindak-tanduk kita, tidak terlepas sedikit pun daripada ibadah kerana Allah berfirman menerusi surah adz Dzariyat, ayat 56: Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu." (ms 29)

Filem kini mampu memainkan pengaruh yang kuat terhadap masyarakat. Lambakan filem dalam dan luar negara yang diimport masuk sering dilihat berupaya menarik perhatian anak-anak muda untuk mengikuti gaya dan lagak pelakon serta ideologi yang cuba ditonjolkan di dalam filem-filem tersebut. Aksi ganas, aksi cinta, khayalan, fantasi, falsafah, prinsip, pegangan yang di bawa dari filem Barat (atau timur, selatan, utara) tidak sedikit yang kelihatannya bercanggah dari ajaran agama Islam.

Penulis mengandaikan bahawa filem kini merupakan satu medan dakwah yang paling berkesan yang seharusnya diambil peluang ini oleh umat Islam yang sedar betapa masyarakat di zaman ini sudah malas untuk menempuh surau atau masjid mendengar dan mengikuti kuliah-kuliah para ustaz. Lebih seronok menonton di panggung filem-filem terbaru, menghadiri konsert-konsert bernyanyi-nyanyi. Release tension.

"Ya, kerana anak muda kita sebagai misalan malas ke masjid, tidak rapat dengan madrasah dan sebagainya, dalam keadaan dunia pendidikan kita yang cacamarba kerana kepentingan ahli politik dan pemerintah, remaja kita hanya kenal media seni. Jadi kita kena kuasai media ini. Filem misalnya, sebutkan saya berapa banyak filem yang memuatkan seruan Islam secara berilmu? Kita mungkin ada banyak karya sastera tetapi tunjukkan saya berapa banyak filem yang kita ada untuk saingi propaganda Hollywood?" Dato' Fendi benar-benar di puncak semangat. (ms 79-80)

Dalam usaha para pelajar itu menyiapkan tugasan, mereka dibebani dengan masalah pelakon yang tidak berdisiplin, berlagak dan angkuh dengan beberapa anugerah yang telah dimenangi.

"Err, saya lupa, apa nama awak? Dr Hiryanti? Begini, saya tidak fikir saya perlu diajar bagaimana hendak berlakon." Sharifah Ezzati memuncungkan bibir. (ms 106)Sharifah Ezzati menggigil marah. "Look here lady..." (ms 106)"Saya bukan pelajar awak. Jangan mahu mengajar-ajar." Sharifah Ezzati mendesis bagai ular di hadapan muka Dr Hayati. (ms 107)9.

Kewujudan watak Sharifah Ezzati yang mewakili para pelakon yang berperangai menjengkelkan ini, dijadikan penulis sebagai ruang dan peluang untuk mengutarakan pandangannya mengenai apa yang perlu ada pada seseorang pelakon untuk menjadi terbaik.

"Apa yang saya maksudkan dengan kerangka akting adalah yang pertamanya awak harus memahami yang lakonan itu permainan. Justeru ia perlu direka, direncanakan dan dirancang lebih awal. Apa yang kita mahu lakukan kita bincang dan atur elok-elok. Jadi, awak juga harus tahu lakonan tidak semestinya pegang-pegang, cium-cium ataupun dukung-dukung seperti lakonan awak dalam filem Budu." (ms 104)

"Lakonan adalah kebenaran subjektif di mana perbuatan kita itu dalam keadaan sedar. Jadi pokok sedar kita ialah budaya dan agama. Kita tidak boleh terkeluar dari lingkungan." (ms 104)

Dokumentari drama para pelajar mengenai Batu Bersurat itu sedikit terjejas dengan kerenah pelakonnya. Selain disaratkan dengan butiran fakta mengenai batu itu, dan perihal dunia seni serta filem, penulis juga memasukkan beberapa unsur lucu di dalam novel ini untuk menjadikan ia lebih mudah dimesrai.

"Bintang-bintang, Awak semua pasti banyak duit. Baiklah. Saya setuju!" Sharifah Ezzati tergedik. "Tidak sabar mahu bertemu Azhan Kaya di lokasi. Fazid saya tidak minat, seperti kurang cerdik sahaja. Lagipun saya rasa teman wanita Fazid kawal pergerakan dia." (ms 68)12.

Secara keseluruhannya novel kecil ini kelihatan menarik dengan ide-ide dan gagasan yang cuba dibawa penulis. Cuma barangkali penamatnya begitu lekas hadir. Belum sempat pembaca mahu memesrai pemain-pemainnya, penulis sudah meletakkan titik akhir. Ingin sekali berkenalan dengan Zulkifli dan teman-temannya lebih erat lagi. Ingin sekali menceduk lautan pengalaman Dr Hayati dalam dunia perfileman dengan lebih dalam lagi, tetapi sesedarnya sudah selesai.

Novel ini boleh didapati di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 16.50 sahaja. Atau boleh juga menyerbu syarikat PTS sendiri di Selangor sana. Atau kepada yang telah menabung duit untuk pesta buku yang bakal hadir, boleh juga didapati di situ. Untung-untung dapat autograf Faisal Tehrani sekali.

24 April 2011

Sebagai manusia...aku sayang padamu!



Sebagai manusia… aku sayang padamu!

“Sebagai manusia, aku sayang padamu” (Sunan, n.d)

kata-kata keramat lelaki berduka dari Tanah Rencong, Acheh.

Tetralogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Lagenda minda ciptaan novellis thriller terkenal Ramlee Awang Murshid, Laksamana Sunan.

Sebagai manusia…aku sayang padamu. Itulah kata-kata keramat Laksamana Sunan yang selalu diungkapkan oleh beliau kepada kawan dan lawannya. Bagi lawannya akan ditawarkan terlebih dahulu dengan tawaran ‘Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah, Muhamad itu Pesuruh Allah’. Dengan membawa misi dakwah dan misi penyatuan dengan lafaz syahadataini di mana sahaja beliau berada dan dengan siapa sahaja beliau depani.


Daripada novel-novel yang diperhalusi ini, banyak pengajaran yang tertonjol untuk muhasabah diri. Terdetik dihati sejauh manakah cinta kita sesama insan yang melambangkan iman kita.


“Tidak sempurna iman seseorang itu hinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”


Daripada an-Nu’man bin Basyir katanya Rasulullah berkata,


“Perumpamaan kaum mukminin dalam hal sayang-menyayangi, saling kasih-mengasihi dan saling berlemah-lembut itu ibarat satu badan. Apabila salah satu anggota badan berasa sakit, tentu seluruh badan merasai sakit. Kerana kesakitan itu, manusia berjaga, tidak tidur serta berasa panas.” (Muttafaq ‘alaih)


Sabda Rasullullah s.a.w lagi,


“Sayangilah apa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh mereka yang berada di langit.”


Jelas sekali apa yang telah disabdakan oleh Junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w, patutnya dipegang kemas, dipasakkan di hati dan diaplikasikan dalam kehidupan.


Ternyata tanpa kasih sayang, manusia tidak mampu untuk hidup dengan sempurna. Sebuah kehidupan yang sempurna memerlukan kasih sayang, tanpa kasih sayang yang cukup, manusia akan mati. Walaupun bukan 'mati jasad'nya, tapi 'mati hati'nya.



Berapa ramai anak-anak yang terbuang dan terbiar tanpa kasih sayang, berapa ramai ibu-bapa yang tersisih tanpa perhatian daripada anak-anak. Berapa ramai remaja yang melata di luar sana dek 'merajuk' kerna fikirkan diri tiada sapa yang peduli mahupun sayang. Berapa ramai mereka yang dirawat di wad-wad sakit mental dan bawah perhatian psychiatrist, dek tertekan lantas menderita masalah kejiwaan kerna kurang kasih sayang dan fikirkan diri sudah tiada siapa yang sayang.



Kerna semua orang mengejar dunia 'ingin mengejar kemajuan dan nama' katanya, semua orang pentingkan diri sendiri, abaikan hal-hal agama, abaikan kasih sayang. Hidup penuh dengan nilai-nilai materialistik. Biarkan jiwa itu kosong, kosong seperti gelas yang kosong. Hanya semata-mata jasad yang melata. Punya 'auto immune yang rendah'. Tidak mustahillah mudah dijangkiti penyakit kejiwaan dan gagal mengawal diri. Lantas kehidupan merana.

Mencintai Allah dan Mencintai sesama Manusia


“Dia mencintai mereka, dan mereka pun mencintaiNya” Al Maidah: 54

Allah mencintai manusia, manusia mencintai Allah. Cinta akan memupuk, meluruskan, meluhurkan dan menumbuhkan mereka menjadi insan sempurna.

Cintailah sesama kita dan mencintai Allah. Kerna Allah mencintai kita sampaikan tidak pernah henti walau sepicing pun memerhatikan kita.

“Dan dia bersamamu di mana sahaja kamu berada” al-Hadid: 4

Maka dengan mendalamnya cinta kepada Allah, merebaknya cinta kepada Agama, tersuburnya kasih sayang sesama manusia, tersebarlah keamanan seluruh pelosok sarwajagat, terhindarnya fitnah. Berbahgialah kehidupan di dunia dan akhirat jua.


Ayuh jadi duta kasih sayang untuk sekelian alam

PENULIS; sebagai muhasabah bersama(^.~)


Love Ambassador

23 April 2011

Wajah Cham Kembali Lagi Mengisi Travelog Ini (Siri 4)

Seharusnya Travelog ini bersambung, setelah beberapa bulan terkandas di tengah perkongsian memberi laluan kepada tesis yang menuntut masa dan tenaga, kini kukembalikan wajah-wajah Cham buat kalian sebagai perkongsian yang tidak seberapa.


Travelog Kingdom of Cambodia (Siri 4)

30/01/11 (Ahad)


Di Sepanjang Perjalanan Yang Punya Kelainan

Perjalanan daripada Bandar Kg Cham ke Kg Ambil diteruskan. Yang pasti perjalanan ini punya kelainan. Perjalanan menyelusuri pesisir Delta Mekong pada ketika ini yang agak kering. Perjalanan yang mengambil masa yang lama, tapi tidak apa-apa bagi kami yang suka kepada kelainan, melihat suasana yang agak berbeza daripada tanah air.


Jalan yang agak berdebu dan tanahnya tidak rata mungkin memakan masa juga untuk sampai ke destinasi. Apa yang menarik untuk dikongsikan ialah saya berpengalaman melihat penumpang yang meniarap di atas van kerana disebabkan terlebih penumpang. Di tanah air, situasi begini tidak wujub dan hanya sekadar gurauan, mustahil untuk diaplikasikan. Wah…di sini segalanya mungkin teman. Menumpang di atas bumbung van dalam posisi meniarap sambil menstabilkan diri dengan berpaut pada besi tidak ubah seperti gaya superman aje. Tetapi tersangat bahaya gayanya dengan situasti jalan yang tidak rata. Itulah dia kelainan lagi yang saya maksudkan.


Disambut bagaikan selebriti


Sekitar jam 11.15 pagi (waktu tempatan) kami selamat tiba di Kg Ambil. Ternyata kehadiran kami telah ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan penduduk kampung. Kami disambut bagaikan saudara mereka yang sudah lama berpisah dan muncul kembali setelah suatu ketika. Melepaskan kerinduan. Anehnya kami tidak memahami apa yang mereka perkatakan dan mereka tidak memahami apa yang kami perkatakan.


Alhamdulillah ada seorang gadis (gadis kah, tapi sebenarnya beliau sudah berkahwin di usia muda) di kalangan mereka yang fasih berbahasa Melayu. Namanya Mariah. Kami diperkenalkan dengan tuan rumah yang kami bahasakan beliau Mak Wan dan anak-anak Mak Wan yang semuanya perempuan. Crew Sister ditumpangkan di rumah Mak Wan, manakala Crew Brothers ditempatkan di rumah Mariah, hanya bersebelahan dengan rumah Mak Wan.


Ternyata kami disambut dan diraikan bagaikan selebriti. Merasa juga menjadi selebriti walaupun bukan di bumi sendiri. Dikerumumi sampai ke sudah. Begitula gayanya. Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak gadis begitu excited untuk berkenalan dengan kami tapi begitu la ye, dek keterbatasan vocab Melayu dan Cham, pandangan hanya bertukar pandangan yang diserikan dengan senyuman. Sempat juga dalam kondisi keterbatasan di saat ini, kami belajar beberapa patah perkataan Cham yang kerap digunakan.


Perkataan pertama yang kami belajar daripada mereka adalah ‘siyem’, saya ingat entah apa la maksud ‘siyem’ yang diulang-ulang oleh mereka. Rupa-rupanya maksudnya adalah ‘cantik/comel/baik’ yang merupakan kata-kata pujian. Entah di mana yang dikatakan cantik itu. Mungkin mereka maksudkan pada penampilan kami yang berbeza dengan mereka. Atau berkemungkinan ini kali pertama mereka bertemu dengan orang Malaysia terutama bagi anak-anak gadis yang sedang membesar ini dan itulah impression mereka.


Setelah berkenalan dan bermesra, kami dihidangkan dengan makanan tengahari. Makanannya sama saja macam kita di Malaysia, kerana mereka juga orang Melayu, perut nasi juga. Cuma yang berbezanya rasa nasinya agak lain sedikit dan dihidangkan bersama ikan toman dan pencicahnya.


Mereka berkali-kali bertanya kami sama ada sedap atau tidak masakannya. Mungkin kerna mereka melihat kepada kuantiti nasi yang sedikit kami makan. Agak susah juga untuk menerangkan kepada mereka supaya tidak menyinggung perasaan. Memangnya banyak ini sajalah yang kami makan memandangkan di Malaysia kurang melakukan kerja-kerja berat. Mereka lain, gizi mereka hanya nasi dan bekerja keras setiap hari, jadi tidak pelik seandainya makan nasi banyak tetapi badan masih lagi kurus melidi.


Ada satu perkara yang agak melucukan di sini, rupa-rupanya orang Kemboja agak takjub apabila melihat orang-orang Malaysia yang agak berisi kebetulan crew kami ada beberapa orang yang agak berisi. Bagi mereka itu adalah pelik, kenapa buleh jadi begini?, sedangkan masyarakat mereka tiada pun yang category obese. Memang benar pun, sepanjang seminggu di sini saya tidak pernah jumpa lagi orang Kemboja yang obese, semuanya slim-slim, tapi pastinya bukan kerna mereka diet ye.


Begitulah sketsa hari pertama di lokasi Humanitarian Mission kami. Persediaan bermula hari pertama kami sampai. Mempersiapkan lokasi bersunat seadanya di Masjid yang berdekatan dan persediaan untuk ziarah dan pembahagian barang-barang donation bermula pada pagi keesokannya.

22 April 2011

Wajah Cham Kembali Lagi Mengisi Travelog Ini (Siri 3)

Travelog Kingdom of Cambodia (Siri 3)

30/01/11 (Ahad)


Perantau Sungai Mekong


Di pagi hari, di Tanah Cham, hadapan Hotel Mekong…terdamparnya Sungai Mekong yang indah dan sangat terkenal…dihiasi pula dengan senyuman mentari pagi yang seakan-akan malu untuk menjelma dan menyambut kami anak Malaysia sebagai tetamunya. Sedangkan kami di sisi Mekong, sungguh taajub dengan keindahan serimu wahai mentari pagi.


Perantau yang terdampar di sisi Mekong buat hari ke dua perjalanan yang panjang demi satu misi yang besar, berhenti lelah seketika di sini sambil menyedut puas udara Mekong dan menghayati wajahmu yang indah.


Sebelum perjalanan diteruskan ke destinasi misi yang sebenar, sempat saya dan rombongan menikmati sarapan pagi di Hotel Mekong dan merasai kelainan roti Perancis (memandangkan Kemboja pernah dijajah oleh Perancis) yang panjang, dan sangat mengenyangkan. Penambah rasa di sapu dengan perisa sardine, strawberry dan mentega.


Seterusnya kami beramai-ramai mengangkut kembali barang-barang ke dalam lori, check out dari hotel dan meneruskan perjalanan ke Bandar Kg Cham. Di sana kami harus menyelesaikan urusan pembelian barang-barang keperluan program, Photostat borang kaji selidik dan pembelian sim card Kemboja bagi sesiapa yang ingin memilikinya buat seminggu keberadaan di sini.


Perjalanan yang jauh lagi


Pada jam 8.50 pagi (waktu Kemboja), kami meneruskan perjalanan ke Kg Ambil, Krouch Chmar, Kg Cham melalui jalan darat yang memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Selain daripada jalan darat, boleh juga melalui Sungai Mekong (melalui Phum Tria-Stung Trung) dengan menaiki feri yang hanya mengambil masa satu jam setengah berbanding jalan darat.

16 April 2011

Jalan Juang

Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan.


Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi,

Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang sering meronta di dalam diri,

Perjuangan di titian kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan, Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba,

dan perjuangan untuk merintis serta mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah lama hilang.


Ya… itulah tugas kita. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah Uthmaniah. Maka sehinggalah perjuangan murni itu mencapai noktahnya yang entah bila, janganlah diri ini menyimpang dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islamiyyah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails