31 March 2011

Imtihan!


Yang dilihat & diukurNYA bukan sejauh mana usahamu, tapi yang diharap sejauh mana TAWAKKAL, percaya nan jitu....pergantunganmu padaNYA...tetapi tidak bermakna tidak perlu berusaha.

USAHAlah semampumu...tetapi jangan sesekali beraqidah bahwa banyak usahamu penentu kejayaan.


Berimanlah bahwa TAWAKKALmu itu sebenarnya hanya semata-mata padaNYA...itulah penentu kejayaanmu KEJAYAAN bukan milik sesiapa, tetapi adalah milik ALLAH.


ma'an taufiq wannajjah

29 March 2011

Seksanya Hendak Kahwin

Seksanya hendak kahwin...

Penulis: Buat teman-temanku yang dikasihi kerna Allah, article ini sudah lama kugarap ketika isu ini hangat diperkatakan di media, cuma tersimpan kemas di peti ‘my document’ dek teragak-agak untuk di’publish’ sehingga terlupa ia masih tersimpan. Moga-moga ia bermanfaat, tidak berniat apa-apa melainkan sebagai perkongsian fikrah dan ilmu buat kalian. Wallahu’allam.

Kahwin tidak lagi menjadi sesuatu kenikmatan seandainya bila keluarnya ayat “seksanya hendak kahwin”. Perkahwinan adalah suatu yang suci, indah dan abadi, menyatukan dua hati dan menghalalkan di antara keduanya.

Malangnya masyarakat hari ini terutamanya pihak lelaki dibebankan dengan kos perkahwinan yang melampau tingginya sehingga menjadi faktor utama kelewatan mendirikan rumahtangga dan kelewatan mendapat zuriat.

Media termasuk bloggers, laman-laman web pada satu ketika sibuk memperkatakan tentang isu ini. Tetapi sejauh manakah kesedaran di kalangan masyarakat kita berkenaan sikap bersederhana dalam menetapkan wang hantaran, mas kahwin dan masjlis perkahwinan itu sendiri.

Sudah pasti ianya tidak menjadi masalah buat mereka yang mampu, berjawatan besar dan berduit untuk membuat walimah secara besar-besaran. Tetapi ia menjadi masalah yang kritikal dan rumit buat lelaki yang baru menamatkan pengajian, baru mula kerja dan daripada keluarga yang tidak cukup untuk dikatakan berada dan terpaksa menanggung keluarga. Situasi ini menjadi jawapan utama buat mereka yang kahwin lambat.

Persoalannya begitu sampai hati keluarga di pihak perempuan untuk meletakkan nilai wang hantaran sebegitu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit bahkan ratusan ribu. Selain daripada hantaran, ada lagi perkara lain yang saya ingin ‘highlight’ kan di sini, iaitu berkenaan mas kahwin.

Di dalam Islam, mas kahwin disebut sebagai mahar adalah hak/harta isteri yang wajib suami serahkan kepada isteri untuk menghalalkan pernikahan antara keduanya. Manakala hantaran dimaksudkan sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu. Hantaran adalah tidak wajib tetapi mengikut hukum adat hukumnya harus. Yang wajibnya adalah mas kawin, yang menjadi hak mutlak seorang wanita dan termasuk dalam syarat-syarat kahwin.

Hidup berlandaskan agama dan prinsip-prinsip Islam sudah pasti seseorang itu tidak dibebani dengan masalah sebegini. Islam sudah lama menekankan konsep bersederhana dalam semua perkara. Bersederhana disini bermaksud, tidak usahlah kita melampau-lampau dalam urusan perkahwinan sehingga sudah lari daripada tuntutan syara’ bahkan memudaratkan masyarakat seumpama gejala kahwin lewat dan terdedah kepada seks luar nikah atau zina lantas parahnya situasi masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, tidak wajar juga kita memperlekehkan nilai mas kahwin dan hantaran begitu juga persiapan untuk melangsungkan perkahwinan. Nilai mas kahwin tidak perlulah melampau-lampau dan tidak seharusnya terlampau rendah sehingga tidak logik dek akal. Apa yang pasti semuanya perlu dilaksanakan sekadar termampu dan dengan penuh keikhlasan. Mudah-mudahan segala yang terlaksana mendapat keberkatan dan rumahtangga yang terbina didoakan semua orang dan berkekalan.

Hakikatnya, rumah tangga yang terbina walaupun dengan nilai urusan perkahwinannya yang sebegitu tinggi dan nilai wang hantarannya mencipta rekod Malaysia @ Malaysian Book of Records juga tidak mampu untuk bertahan lama bahkan berkecai begitu saja. Kerna duit bukan segala-galanya biarpun mereka berduit dan kita tidak mampu untuk menhalang mereka menunjuk-nunjuk unsur-unsur kekayaan mereka melalui perkahwinan.

Malangnya budaya ini menjadi ikut-ikutan kepada yang lain biarpun mereka sedar tidak semua orang berduit dan mengenakan nilai hantaran yang melampau sebagai syarat kepada bakal menantu lelaki.

Wajar ibu-ibu dan bapa-bapa mengikut jejak langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hanya menetapkan sekadar RM1,000 sebagai hantaran buat anak-anak perempuan beliau sebagaimana yang dikhabarkan oleh isteri beliau di dalam bukunya ‘Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang)’. Beliau berharap moga usaha kecil yang dilakukan ini dapat dijadikan contoh buat rakyat jelata tentang peri pentingnya bersederhana. Kalau tidak, dikhuatiri riak dan bangga menguasai diri. Majlis yang besar, wang hantaran yang tinggi, segala-galanya gempak, yang pasti tidak berjejak ke bumi yang nyata.

Akhirnya saya merasakan kudusnya cinta bukan pada nilai ringgit yang menjadi hantaran sebuah pernikahan, murninya cinta bukan pada hanya mas kahwin yang dibayar. Tetapi kudus dan murninya cinta itu tersimpan kemas di kalbu yang suci yang tiada nilai taranya. Yang hanya layak buat hati-hati yang menghambakan diri pada Penciptanya bukan pada keduniaan dan kemewahan.

Semoga setiap perkahwinan terbina menjanjikan kebahagiaan, mengurniakan zuriat yang bakal memakmurkan bumi, melebarkan kasih sayang, mengembalikan keamanan, lantas tersebarnya Nur Ilahi, terbinanya Khilafah. Pasti Rasulullah berbangga dengan umatnya.


14 March 2011

Doaku buat Qina


Doaku buat Qina

Practical selama seminggu di ward orthopedic female mempertemukan saya dengan seorang adik berusia 13 tahun, Muzliya Shaqina yang mengejutkan negara dengan kisahnya terjatuh dari tingkat 10 kuarters kediaman polis di Taman Miharja, Cheras. Rujuk Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_08.htm

Alhamdulillah dengan kekuasaan Allah, beliau dapat terselamat dan dirawat di ward orthopedic (4H), HUKM. Mengalami kecederaan yang teruk, patah kedua-dua tangan dan kaki kanan serta beberapa kecederaan di wajah dan luka yang teruk di tangan kanan memberi trauma yang cukup perit buat adik semuda ini.

Sempat saya menjaga adik ini selama seminggu sepanjang kami berpractical di sana bersama-sama teman posting Afifah Aishah dan Airul Azizan. Melakukan dressing buat Qina bukan semudah yang disangka kerna Qina telah mengalami trauma yang agak teruk akibat daripada kejadian tersebut dan kesakitan yang terlalu disebabkan ‘fracture’ dan luka di tangan kanannya. Sebelum melakukan dressing, kami perlu mengtenteramkan Qina terlebih dahulu agak dia kuat untuk menahan kesakitan ketika dressing.

Qina memerlukan ‘emotional support’ daripada orang di sekelilingnya dan mereka yang memberi perawatan. Ibunya juga seorang yang ‘supportive’ dan sangat membantu ketika sebarang ‘procedure’ dijalankan.

Sempat saya menjenguk Qina seketika sebelum pulang di hari terakhir di ward tersebut semalam (11/03/11), memberi kata-kata semangat buat beliau dan meninggalkan ‘contact number’ untuk dihubungi. Kasihku terhadap adik ini teramat sangat, kerna dia insan terpilih untuk diuji dan mengalami saat-saat ngeri bertarung nyawa. Sehingga semalam adik ini menunjukkan banyak perubahan dari segi emosi, sudah mampu tersenyum dan bercakap dengan ceria. Gembira juga kulihat di wajah ibunya. Memancarkan sinar ketabahan hati seorang ibu.

Dihadapanku, ku mendengar Qina berkata “mama, Qina nak jaga mama nanti selepas Qina sembuh, nak masak untuk mama”. Aku fikir setiap apa yang berlaku ini pasti ada banyak hikmahnya yang Dia ini berikan. Buat Qina, buat ibunya yang kasihkannya,dan buat orang-orang di sekelilingnya. Memberi pengajaran buat diriku jua dan hakikatnya aku banyak belajar falsafah kehidupan dan mengenal wajah kehidupan daripada pesakit-pesakitku.

Kucupanku di dahi Qina sebelum meninggalkannya, penuh dengan harapan agar kami dapat bertemu lagi suatu hari nanti dan dia menjadi insan yang berjaya dan tabah.


~Cinta Berinti Kasih~

11 March 2011

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan Seharian!

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita
Oleh: Ismail Abu Bakar
Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:
Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.
Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Dalam contoh yang lain pula penulis ingin berkongsi dengan satu kisah yang disampaikan kepada penulis seperti berikut;

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan.
Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

1) Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

2) Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

3) Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)

Catatan Blogger: Terima kasih buat penulis sebenar artikel yang sangat bermanfaat ini, mudah-mudahan ia memberi kesedaran buat kita bersama dan dapat diperpanjangkan untuk manfaat bersama (",)

09 February 2011

Wajah-Wajah Cham

Travelog Kingdom of Cambodia

Wajah-Wajah Kehidupan Cham







08 February 2011

Ketika Mula Menjejakkan Kaki di Bumi Pnomh Penh (Siri 2)

Travelog Kingdom of Cambodia (Siri 2)
29/01/11 (Sabtu)


Ketika mula menjejakkan kaki di Bumi Pnomh Penh

Ketika tayar pesawat Air Asia 274 mula mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh pada jam sekitar 4.05 pm waktu Kemboja, 5.05 pm waktu Malaysia, hati saya begitu terusik dan bersyukur kerna Allah telah memakbulkan doa saya untuk menjejakkan kaki ke bumi Kemboja ini. Mengikut sejarah, bumi ini mengalami trauma yang panjang dek kekejaman regim Pol Pot yang mengganas sekitar tahun 1975-1979 yang bakal saya nukilkan di siri travelog yang berikutnya. Bumi ini juga pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama.

‘IIUM Cambodia Humanitarian Mission Crew 2011’ disambut oleh Ustaz Hasan Basri, Presiden Persatuan Islam Kemboja dan beberapa ahli persatuan. Turut serta bersama Ustaz Hasan ialah seorang wakil wartawan Kemboja. Kami disambut dengan senyuman manis oleh Pak Ustaz dan anak buahnya yang membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan perjalanan dan misi di Kg Ambil Daerah Cham pada keesokannya.


Prof KZ yang membuatkan saya terkedu!


Di saat menunggu crew yang lain menunaikan solat jamak ta’khir di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh, saya dan beberapa teman yang lain berborak bersama Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman. Prof KZ (nama timangan yang kami biasa panggil di Kampus) menitiskan air mata kegembiraan dan kesyukuran kerna di beri peluang lagi untuk menjejakkan kaki di bumi Kemboja. "Kalau kamu berasa tersangat gembira, apa expresi yang kamu tonjolkan?", tanya Prof dalam linangan air mata kepada kami bertiga di hadapan beliau.

Persoalan itu membuatkan saya terkedu seketika. Betapa nikmatnya dan kuatnya ukhuwwah yang dirasai oleh Prof KZ yang membuatkan saya cemburu untuk merasainya sama, apatah lagi inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi yang minoriti Islam ini.
Begitulah Prof KZ menunjukkan tanda kegembiraannya bila mendapat nikmat untuk bertemu mata kembali dengan saudara seakidah di Kg Cham. Saya begitu kagum dan terusik dengan Prof sejak saya memulakan pengajian di tahun satu Kulliyyah of Nursing, apatah lagi beliau merupakan Dean Kulliyyah of Nursing dan pada masa yang sama pensyarah saya untuk beberapa subjek selama 4 tahun di UIAM Kuantan, seorang yang terpilih, luar biasa dan sangat merendah diri. Itulah ‘special’nya Prof KZ yang terkenal dengan panggilan ‘ayah’ di Kg. Cham kerana sikap kebapaannya atau ‘fatherly’. Saya berdoa semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan panjang usia buat Prof KZ tersayang.

Perjalanan bersambung lagi untuk ke seterusnya

Sekitar jam 5.10 waktu Kemboja, setelah mengangkut semua barang ke dalam lori khas yang dibawa oleh Persatuan, kami mula bertolak menuju ke Kg. Cham, salah satu Daerah di Kemboja yang majoritinya umat Islam di kawasan ini. Kami menaiki van yang disewa khas dan boleh menampung sekitar 20 orang penumpang. Ada juga crew yang lain menaiki lori bersama-sama barang-barang. Saya kira mereka ini ingin merasai udara Pnomh Penh dan merasai kelembutan debu-debu jalanan Pnomh Penh yang berbeza di tanah air. Sudah pasti wajah-wajah mereka membedak dek debu-debu yang memang itulah ironinya bumi ini.

Wajah Bandar ini agak berserabut dengan jaringan trafik yang lintang pukang, yang saya tidak pasti bagaimana pelaksanaan undang-undang jalan rayanya. Usah pelik seandainya di tengah-tengah Bandar ini pun ada yang menunggang kereta lembu atau kereta kuda. Atau usah pelik seandainya yang bermotosikal, pemboncengnya tidak bertopi keledar.

‘Tut-Tut’
Apatah lagi keserabutan bertambah dengan kenderaan awam utama penduduknya iaitu ‘tut tut’ memenuhi jalan raya dan sibuk mencari pelanggan. ‘Tut tut’ (rujuk gambar di atas) adalah sebuah motosikal yang di sambung dengan tempat duduk yang boleh menampung sekitar empat penumpang mengikut ‘standard’ sizenya. Tapi jangan terkejut seandainya terlihat di jalanan, ia mampu memuatkan sepadatnya sekitar lapan orang penduduk kemboja, malahan ada yang mampu duduk di antara penghubung motosikal dan tempat duduknya. Memang fenomena ini agak bahaya pada pandangan kita, tetapi begitulah rencah kehidupan bumi Pnomh Penh.


Di Sepanjang Perjalanan Yang Punya Kelainan

Di sepanjang perjalanan, kami mengambil peluang ini untuk menghayati sepenuhnya pemandangan yang punya kelainan berbanding di tanah air yang sudah lama merdeka. Peluang untuk ‘snap’ sebanyak mungkin ‘pic’ yang menarik tidak harus disia-siakan.

Walaupun ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Pnomh Penh, apa yang saya boleh katakan secara jujurnya bahwa kota ini dan sekitarnya adalah kota yang kotor, yang menyerlahkan gambaran sebuah kota yang penat setelah melalui zaman perang yang melelahkan dan kekejaman ‘Khmer Rouge’ dan Pol Pot yang melangkau batas pemikiran manusia.

Perjalanan menuju ke Kg. Cham agak lama dan jalan rayanya yang kurang elok melambatkan perjalanan kami. Ditambah pula dengan bunyi hon yang terlalu kerap yang membingitkan telinga. Apa yang membuatkan kami faham tentang ‘nature’ jalan rayanya ialah membunyikan hon itulah adalah perkara biasa, sebagai amaran kepada pemandu yang lain dan menjadi komunikasi yang berkesan di antara pemandu-pemandu di jalanan. Apa yang saya perasan, mereka tidak menggunakan ‘signal’ untuk membelok dan berkomunikasi dengan kenderaan yang lain. Hakikatnya, ini sangat bahaya, tapi tidak ada pula sepanjang perjalanan ini saya berjumpa dengan sebarang kemalangan jalan raya dan mengorbankan nyawa sebagaimana yang kita selalu lihat di Malaysia!.

Sepanjang perjalanan, walaupun agak penat tetapi saya cuba bertahan dan menahan mata daripada tidur kerana bimbang kalau terlepas ‘scenary’ yang menarik, tambahan pula ini adalah tempat yang pertama kali saya berpeluang datang. Madam Narimah, salah seorang pensyarah yang turut serta misi ini sangat ‘energetik’, dan apa yang pasti kami tidak akan kering gusi apabila mendengar coletah beliau…yang paling syok lagi apabila beliau berhujah berkenaan isu politik di Malaysia dan konsep 1 Malaysia, bagaikan wakil rakyat atau senator di parlimen saya kira. Hujah yang menarik dan sangat berobjektif.
Kami berhenti seketika di sebuah restaurant di ‘Skon’ (saya tidak pasti sama ada betul atau tidak ejaan Kemboja) sekitar jam 8.00 pm waktu Kemboja untuk merehatkan sendi-sendi yang kelenguhan setelah sehari suntuk perjalanan sambil menikmati kopi Kemboja yang ada kelainan dan sangat pekat.

Alhamdulillah, setelah lebih kurang empat jam perjalanan, kami selamat sampai di Kg. Cham dan menginap di Hotel Mekong. Menarik Hotel ini, berada betul-betul di hadapan sungai Mekong dan punya ‘scenary’ yang menarik. Dihidangkan dengan ‘dinner’ yang tertangguh sebelum meneruskan kerja-kerja mengangkut barang-barang daripada lori ke bilik hotel.

Setelah itu, kami berkumpul seketika untuk ‘breafing’ program yang bakal bermula pada hari esok dan modul-modul yang perlu dilakukan.

Syukur panjang saya di sejadah solat setelah solat jamak ta’khir akan rezeki Allah yang dikurniakan untuk menjejakkan kaki ke bumi Kemboja dan berbakti buat saudara-saudara se-Aqidah di sini. Berfikir dan bermuhasabah seketika sebelum melelapkan mata mengecas kembali tenaga untuk persediaan menempuhi hari esok yang lebih mencabar di tanah Cham.

Misi Ini Bakal Bermula (Siri 1)

Travelog Kingdom of Cambodia (Siri 1)
29/01/11 (Sabtu)
Misi Ini Bakal Bermula

Misi Kemanusiaan Kemboja UIAM, Kuantan 2011 bakal bermula. Dengan persediaan yang sudah dibuat sejak berminggu-minggu, hari ini kumpulan misi kemanusiaan ini bakal memulakan perjalanan menuju ke LCCT, KL dan penerbangan kami ke Phnom Penh dijangka pada jam 3.15pm.

Kami mula berkumpul di lobi Kullliyyah of Medicine, Kampus Indera Mahkota seawal jam 7.00pagi. Semua orang kelihatan sangat ceria dan bersemangat untuk memulakan misi. Lebih kurang jam 7.30 pagi kami mula bertolak ke LCCT KL.

Untuk lebih menambahkan semangat kami, Prof. Dato’ Dr Kamaruzaman Wan Su sebagai ketua rombongan menayangkan video yang di ambil ketika kunjungan beliau yang lepas di salah satu kampong. Sedikit sebanyak kami mendapat gambaran perkampungan yang bakal kami pergi.

Dugaan Pertama Di LCCT

Apabila tibanya di LCCT pada jam 12.35 tengahari, kami harus bergerak pantas kerana kami tidak punya banyak masa dan dengan barangan-barangan sumbangan yang banyak yang perlu diuruskan.

Di saat barang-barang ditimbang, kebimbangan memuncak seandainya banyak barang yang terlebih muatan. Rombongan ini hanya boleh membawa muatan tidak melebihi 660kg. Ditolak dengan barang-barang peribadi dan barangan medical, barang-barang sumbangan daripada rakyat Malaysia yang disumbangkan tidak boleh melebihi 400kg. Jadinya, ada dalam dua beg besar barang-barang yang terlebih berat yang tidak berjaya kami bawa dan terpaksa di hantar pulang ke Kuantan. Lama juga kami tersekat di sini.

Kali kedua kami disekat lagi ketika hendak menuju ke tempat berlepas, di sini sekali lagi kami tidak dibenarkan membawa dua beg di tangan melainkan hanya beg laptod. Terpaksalah di satukan sesetengah beg. Termasuklah walkie talkie yang di bawa pun tidak dibenarkan dan terpaksa dihantar pulang ke UIAM. Kemudian barang-barang penting yang lain yang tidak dibenarkan dibawa menaiki flight terpaksa ditimbang kembali dan Assoc. Prof Dr. Ahmad Murad terpaksa mengorbankan duit beliau sendiri sekitar RM 1, 000 untuk bayaran RM 20 per 1kg. Tidak pasal-pasal kena derma dekat Air Asia pula.
Memangnya terkejar-kejar kami di buatnya dengan keadaan perut yang berkeroncong memainkan lagu yang ntah apa-apa dek kelaparan kerana belum menyentuh apa-apa makanan untuk ‘lunch’.

Apabila mula melangkah ke ‘flight’, lega sungguh hati ini, berjaya melepasi sekatan Air Asia yang agak cerewet juga dan menyengalkan. Sempat lagi Bro Daniel, salah seorang staff dan juga orang kuat misi ini berlawak menceriakan keadaan ‘tengok tu alim sungguh peramugari mengetik alat berzikir’ sambil menunjukkan tangan pada salah seorang peramugari yang menggunakan alat seumpama bagi kita alat untuk berzikir. 'Ohh…I see…'tapi tak tahu pun untuk apa peramugari berbuat begitu.

Flight Air Asia 274 mula berlepas pada jam 3.15pm waktu Malaysia. Kemudian kami dihidangkan ‘lunch’ berupa nasi ayam dan coffee. Alhamdulillah terisi juga perut ini yang berkeroncong dari tadi.

Ukhuwwah di atas Air Asia 274
Dari tadi saya merasakan saya diperhatikan oleh seorang wanita yang dalam linkungan 30-an umurnya. Di saat itu saya agak khusyuk menghabiskan hidangan di depan mata. Sehinggalah apabila beliau melihat saya telah selesai menjamah makanan, beliau datang mendekati saya kebetulan di tepi saya adalah seat kosong. Oh…rupa-rupanya dia ingin meminta tolong saya untuk mengisi ‘arrival form’nya dan menghulurkan passportnya kepada saya.

Saya meneliti passportnya, saya teruja dia adalah ‘Cambodian’ dan berasal daripada kampong Cham, daerah yang menjadi halatuju misi kami. Saya teramat seronok berkenalan dengannya yang saya panggil Kak Mapiah, berkerja di Bangi sebagai pembantu. Beliau tidak mampu menulis dan membaca dalam tulisan rumi, beliau hanya boleh membaca dan menulis tulisan jawi. Apalagi, saya tidak harus mengsia-siakan kesempatan ini untuk belajar bahasa Cham daripadanya. Dapatlah saya mengenal sepatah dua bahasa cham di sepanjang perjalanan kami.

Penulis; Travelog bersambung lagi pada ketibaan di Lapangan Terbang Phnom Penh. Terima Kasih.

Saat Tuhan Memilih Kami (Siri Prolog)

Travelog Kingdom of Cambodia
Prolog
Saat Tuhan Memilih Kami
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt, Tuhan yang mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita, sehingga hari ini kita mampu menhirup kesegaran udara Islam dan mengamalkan Islam tanpa halangan. Diberi kekuatan meneruskan kehidupan dengan baik dan melaksanakan ibadat, bahkan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah sekalipun kita masih menggunakan nikmat tubuh badan yang sihat dikurniakan-Nya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi kita Muhammad saw yang telah menunjukkan kita keteladanan yang baik untuk kita harungi medan amal Islami dan medan menabur kebaktian yang luas dan tidak bertepi ini.

Travelog ini ditulis sejujurnya dan penulis berusaha sedaya upaya untuk merakamkan kembali di laman ini segala pengalaman selama seminggu keberadaan di bumi Kemboja bersama-sama Pensyarah, staff dan teman-teman pengajian dari UIAM Kampus Kuantan.

Syukur yang tidak terhingga kerna Tuhan memilih kami, memberi peluang untuk berbakti kepada saudara se-Islam dan peluang mengenal wajah kehidupan di sana buat pengajaran dan ibrah kita di sini. Alhamdulillah Allah swt telah memudahkan urusan kami untuk sampai ke bumi Kemboja dan menjalankan misi yang saya kira tidak banyak halangan besar yang kami tempuhi sepanjang di sana.

~Travelog Mengenal Wajah Kehidupan~terasa kerugian yang besar seandainya tidak dikongsi dengan kalian, teman-temanku yang sentiasa memberikan sokongan kepadaku.

Namun di sisi yang lain, wujud kebimbangan yang cukup merunsingkan dalam benakku, bimbang di saat menulis ini akan tergelincir dalam jurang riak dan sum’ah yang membakar hangus pahala. Saya mohon kepada Allah swt agak terpelihara hati ini daripada virus riak dan sum’ah yang tidak mengenal waktu untuk menyerang hati.
Kebimbangan ini harus diyakinkan dan mazmumah harus di tentang habis-habisan. Pengalaman hidup wajar untuk dikongsi dan sama-sama menikmati ibrahnya, mudah-mudahan beroleh pengajaran dan termotivasi untuk sama-sama menuai bakti.

~Travelog Mengenal Wajah Kehidupan~mohon pembaikan dengan teguran-teguran yang membina daripada sahabat-sahabatku sekalian untuk suatu yang lebih baik di masa depan.
Terima kasih atas segalanya buat selamanya.
NURUL ASYIKIN ABDUL RAZAK
HADAS NUSANTARA BELAHAN TIMUR

07 February 2011

Humanitarian Mission in Cambodia 2011

HUMANITARIAN MISSION IN CAMDODIA
UIAM KUANTAN 2011, 29 Januari 2011-5 Februari 2011

Ambil, Krouch Chmar, Kg. Cham, Cambodia.

Travelog mengenal wajah kehidupan, dari blog ke lapangan kehidupan yang jauh berbeza.
Aku mengimpikan kelainan pada tahun 2011, travelling- sehingga dimurahkan rezeki untuk sama-sama menyertai misi kemanusiaan ini.

Travelog ini amat berharga, misi ini amat bermakna buat membantu saudara seIslam di Kemboja sedaya yang termampu.

Aku juga sedar bahwa aku membawa amanah seorang sahabat seumpama Ikal dan Aril membawa amanah Jimbron dalam reality kehidupan ‘Sang Pemimpi’ garapan Andrea Hirata.
Berikut adalah team kami seramai 22 orang termasuk lecturers dan staff yang sama-sama susah dan senang di Kemboja menjayakan misi ini.
1. Prof. Dato' Dr. Kamaruzaman B. Wan Su - Campus Director & Dean Kulliyyah of Nursing
2. Dr. Dinon B. Mohd - Medical Officer
3. Assoc. Prof. Dr. Ahmad Murad B. Zainuddin- Kulliyyah of Medicine
4. Br. Mohd Zulkefli B. Mohamed Yasin - Office of Campus Director
5. Br. Mohd Danial B. Jamaludin - One Stop Student Centre
6. Sr. Sabirah Bt Abdullah - Office of Campus Director
7. Madam Narimah Daud- Kulliyyah of Allied Health Science
STUDENTS
Brothers:
1. Ahmad Saifuddin B Othman (KOS)
2. Mohd Hanif B Jainlabdin (KOS)
3. Mohd Izwan B Zainudin (KON)
4. Fauzan B Mohamerd (KON)
5. Mohd Hakim B Zakaria (KAHS)
6. Muhamad Rizal B Marsudin (KAHS)
7. Shamsul Akmar B Sulaiman (KOP)
8. Hazwan B Abd. Wahid (KOM)
9. Mohd Irwan B Maspan (KOM)
Sisters:
1. Miss Hasna Ahmad (KOS)
2. Nurul Damia Bte Mohamad Sofian (KOS)
3. 'Azizah Bt Mohamed (KAHS)
4. Norfarhana Bt Mohd Anuar (KAHS)
5. Nurul Asyikin Bt Abdul Razak (KON)
6. Sharifah Khadijah Bt Syed Abdul Aziz (KOM)
InsyaAllah Travelog Mengenal Wajah Kehidupan, Humanitarian Mission Kingdom of Cambodia bakal menyusul nanti....penulis sedang menyusun kata-kata, menggarap nostalgia dan ibrah yag terbaik buat teman-temanku sekalian...syukur yang teramat kerna Allah memberi peluang ini untuk berbakti dan ternyata Allah ingin memberikan pengajaran kehidupan yang sangat bernilai buat kita di Malaysia dalam menyelusuri kehidupan...ternyata ramai lagi saudara-saudara se-Islam kita yang kurang bernasib baik di sana. "What we do in life...",..."....echoes in eternity....!"

21 January 2011

Kembara Ilmu-The Royal Library of Alexandria

The Royal Library of Alexandria

The Royal Library of Alexandria was once the largest library in the world. Founded by Alexander the Great in the fourth century BC, built and enlarged by Ptolemy I, Alexander's successor, the city's library comprised perhaps as many as 700,000 manuscripts - the whole corpus of knowledge accumulated by ancient philosophers, scientists and poets. And it was all contained in a building thought by the ancients to have been of surpassing beauty, not a trace of which survives. It is called the Bibliotheca Alexandrina (which is Latin for Library of Alexandria).








One of the libraries that I’m really love to go, not only because of the uniqueness of their building, but the manuscripts itself. Travel for the sake of knowledge. InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails