06 July 2010

Berilmu Tetapi Sombong


Berilmu Tetapi Sombong
Kenapa ikut resmi lalang…sombongnya kita?

Begitu sukar sekali untuk saya meneruskan penulisan berkenaan hal ini. Berfikir dan berfikir, layakkah saya. Kerna saya khuatir mampukah saya. Atau saya dua kali lima, lima kali dua. Atau saya dikategori masih belum teruji lagi dengan ujian ini. Saya merenung, setidak-tidaknya tulisan ini mampu mengingatkan saya, memuhasabahkan diri dan kalian yang sudi bertandang dan membaca.

Di saat saya bersekolah rendah di SK Padang Pohon Tanjong suatu ketika dahulu, saya selalu membaca pada satu kalimah yang ditulis ditangga sekolah. Disebabkan tangga itulah yang saya guna setiap hari untuk menuju ke kelas saya ditingkat atas, maka berhari-harilah selama setahun saya membaca kalimah itu.


“Ikutlah resmi padi jangan ikut resmi lalang”. Ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk, ikut resmi lalang semakin berisi semakin meninggi.

Pada saat dan ketika itu, saya akui saya jahil. Saya tidak mengerti akan peribahasa itu. Setelah 12 tahun berlalu…saya semakin memahami maksud resmi itu. Bila mana kita belajar daripada kehidupan, maka Allah tunjukkan kepada kita ibrah atau pengajaran daripada kehidupan.

Begitu mendalam peribahasa itu. Mengingatkan kita supaya tidak sombong dengan ilmu, pangkat dan harta yang kita punyai. "Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk" ialah makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat makin merendah diri. Bandingan buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi.

Apalah gunanya ilmu, pangkat, harta yang sementara itu sehingga membuatkan kita meninggi diri.

Saya tergerak hati untuk mengisahkan sesuatu di sini kerna dalam lembaran kehidupan seharian kita, kita akan berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia, sehingga membuatkan saya gerun, bimbang seandainya terjerumus sama jika berada di kedudukan yang sama. “Nauzubillah Ya Allah, minta dijauhkan sifat terkutuk itu sehinggalah aku bertemu-Mu dengan aman.”

Imam Al-Ghazali pernah berkata, mereka yang bersifat ego tidak segan silu menghina orang lain sama ada di depan khalayak atau belakang serta menolak kebenaran dan nasihat baik yang diajukan kepada dirinya.

Sepatutnya ilmu itu membuatkan diri kita semakin dekat dengan Allah, tetapi malangnya tidak…ilmu yang ada kadangkala membuatkan seseorang itu sombong dengan ketinggian ilmu yang dia ada.

Punya ilmu yang tinggi menggunung, tapi ego, sombong, pemarah, memperlekehkan orang bawahan, mengutuk orang sesuka hati, sentiasa fikir semua yang dilakukannya betul dan orang lain sentiasa salah dan lemah. Bangga diri dengan kedudukannya, pengetahuannya dan pangkatnya.

Begitu bermegah dengan ‘title’ yang diperolehi…Prof…Dr…Ir…Ar…Itu dunia semata-mata. Sombong dengan kejayaan dan pencapaian yang telah tercapai dalam kehidupan…Na’uzubilla.

Jangan kita ingat kejayaan atau pencapaian kita sehingga ke hari ini atau ke tahap ini adalah hasil usaha kita semata-mata. Kadang-kadang kita tidak usaha pun, tapi Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, masih memberi apa yang kita impikan.

Begitu susah di alam semester ini untuk kita mencari orang yang seumpama padi, semakin berisi semakin menunduk. Banyak yang kita jumpa manusia seumpama lalang, semakin berisi semakin meninggi, bongkak dan sombong.

Sebab itulah, di alam sekeliling kita hakikatnya banyak lalang daripada padi!

Bangga dengan kejayaan sendiri, meremehkan orang lain yang dianggap kurang berjaya berbanding kita…apa hak kita?

Semuanya ini hanya mampu dikawal dengan sifat rendah diri (tawaduk) dalam hatinya. Hakikatnya seseorang yang punya ilmu tidak mudah dapat mengawal hatinya daripada dihinggapi perasaan ego.

Allah juga mencela sifat ego seperti dalam firmannya dalam Surah An-Nahl ayat 23 yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong”.

Mereka yang kurang bernasib baik...

Saya selalu berfikir apakah nasib anak-anak seagama kita yang kurang bernasib baik yang lahir dari keluarga miskin. Keluarga yang kurang bernasib baik yang sememangnya menyukarkan si anak untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerna ketidakmampuan ibu bapa untuk menanggung perbelanjaan pengajian walaupun pada hakikatnya anak itu adalah anak yang punya otak yang pikat dan pintar.

Saya selalu berfikir bila mana saya melalui kawasan-kawasan pembinaan, lantas saya melihat kepada orang-orang yang sanggup berpanas hujan mencari wang ringgit untuk menanggung keluarga berkerja sebagai buruh binaan.

Selalu terlintas di hati saya, mungkin dia seorang yang pintar, tapi mungkin kurang bernasib baik, tidak mampu menyambung pengajian…lantas hanya mampu menjadi buruh.

‘Jangan kita memandang buruk pada seseorang, mungkin ia lebih baik daripada kita dan lebih baik amalnya’-hadis.

Kita berdoa…

Saya berdoa, kita berdoa…agar bilamana kita dikurniakan kejayaan, kejayaan itu tidak membuatkan kita lalai dan bongkak…bahkan kejayaan itu membuatkan kita menjadi orang yang lebih bersyukur dan lebih bermurah hati untuk menghulurkan pertolongan kepada orang yang kurang bernasib baik.

Kejayaan , kekayaan, kesenangan yang diperolehi seseorang bukan hanya untuk dinikmati oleh orang itu semata-mata…semakin banyak ilmu semakin banyak tanggungjawab yang perlu kita laksanakan.

Kejayaan yang Allah beri ini bukan FREE…!


Di sana ada tanggungjawab dan bebanan yang harus dipikul…

Allah itu Maha Adil…Allah tidak menjadikan kesusahan atau kemiskinan melainkan sebagai ujian
Allah juga tidak jadikan kesenangan dan kejayaan itu melainkan sebagai ujian. Setiap hambaNya memikul amanah sebagai Khalifah Allah mengikut kemampuan yang ada.

Semoga setiap ilmu yang dtuntut itu akan lebih mendekatkan diri kepada Allah, menjadikan kita orang yang lebih bersyukur, tawadhu’, dan mengerti akan amanah yang perlu dipikul seumpama padi yang menunduk diri.



Cedok air dengan baldi,
Cedok nasi dengan senduk;
Baik dibawa resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

04 July 2010

Selamat Mendaftarkan Diri

Selamat Mendaftarkan Diri

SEKALUNG tahniah saya ucapkan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang baru menjejakkan kaki dan mendaftarkan diri untuk memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), pada sesi pengajian Julai 2010.

Selamat memulakan sesi pengajian yang baru. Mudah-mudahan ilmu yang telah dituntut yang lepas-lepas jangan ditinggalkan. Berbekalkan pengalaman hidup yang lalu, mencuba untuk mengorak langkah dengan lebih jauh tetapi dengan berhati-hati. Kerna cabaran di sana tidak mampu untuk diremehkan.

Kegembiraan ini harus dikongsi bersama. Kesyukuran atas nikmatNya harus diterjemahkan dengan keazaman untuk lakukan yang terbaik. Kalau bukan kerna DIA kita takkan sampai ke tahap ini.

Kejayaan itu hendaklah dibuktikan dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu.
Perjuangan Menuntut Ilmu

Berusaha untuk mendapat yang terbaik, InsyaAllah akan diberikan yang terbaik oleh Ilahi. Memohon diberikan ilmu yang berkat, mudah-mudahan mendapat kejayaan yang berkat. Golongan terpilih tidak harus mensia-siakan peluang yang ada.

Tidak semua orang berpeluang untuk melanjutkan pengajian. Kejayaan ini bukan milik kita seorang, tapi milik bersama. Kejayaan ini harus dibayar. Kita diamanahkan untuk belajar, menuntut ilmu dan menterjemahkan ilmu itu dalam pekerjaan yang bakal kita laksanakan. Pekerjaan untuk menyumbangkan sesuatu dan kembali kepada masyarakat yang memerlukan kita.

Amanah pada ilmu, amanah pada pekerjaan, pasti tidak ada yang terjebak dengan jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah. Jenayah kolar putih amat membimbangkan dikalangan mereka yang lupa diri dan tidak kenal erti syukur.

Malahan jika diperhalusi, menuntut ilmu adalah perjuangan untuk menaikkan kembali maruah dan ketinggian Islam melalui peradaban dan ketamadunan ilmu yang dikuasai oleh umatnya.

Peluang mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh mahasiswa agar menjadi insan yang bermanfaat kepada ummah. Segulung ijazah bukan sebagai simbol untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga berasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya. Segulung ijazah hanyalah semata-mata segulung kertas. Tetapi yang tiada nilai taranya adalah ilmu dan pergorbanan yang kita titipkan. Wallahu'allam.

~Selamat menyediakan minda sebagai pelajar IPT dan bersikap dewasa sesuai dengan status MAHASISWA~

01 July 2010

Hospital Jadi Tempat Lepas Gian

Hospital jadi sarang penagih

KUANTAN - Umum mengetahui bahawa kawasan hospital kini merupakan kawasan larangan merokok, namun suatu yang mengejutkan apabila didapati Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini didapati menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian. itu dikesan berlaku di kawasan taman dikelilingi blok bangunan yang menempatkan wad pesakit dan sedikit terlindung daripada pandangan orang ramai serta tidak diterangi lampu pada waktu malam.

Apa yang menghairankan, pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan hospital itu langsung tidak menyedari kewujudan kegiatan penagihan dadah di HTAA pada setiap malam. Bertindak atas maklumat beberapa pelawat, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuantan melakukan operasi khas menggempur sarang penagih di hospital tersebut pukul 12 malam kelmarin.


Saya pernah berpraktikal di Klinik Psikiatri, HTAA pada semester lepas. Memang benar di situ juga ditempatkan Klinik Gantian Terapi Methadone bangunan yang sama dengan Klinik Psikiatri. Posting seminggu di situ, sempat saya menjengok klinik tersebut dan belajar sedikit sebanyak daripada MA (Medical Assistant) di situ.
Saya merasakan kepelikan dengan kewujudan klinik tersebut kerna ia menyumbangkan dadah percuma kepada penagih dadah dalam bentuk cecair iaitu methadone. Banyak persoalan yang terlintas di fikiran saya.

Menurut salah seorang MA, apabila ditanya, kaedah ini dicedok daripada barat (lagi-lagi barat). Apa ‘reason’nya? Untuk membantu para penagih tegar mendapatkan stok dan mengelak mereka daripada gian untuk mendapatkan dadah dalam bentuk yang lain di luar sana.

Penagih yang mendapat rawatan di sini akan sentiasa di’follow up’ agar mereka tidak lagi mengambil dadah di luar sana. Mereka perlu datang ke klinik ini pada setiap hari unuk mendapatkan methadone biasanya sebelum mereka pergi bekerja.

Disamping itu, di sini juga disediakan khidmat kaunseling untuk mereka yang dikendalikan oleh seorang kaunselor yang dikhaskan di sini. Saya sempat bersama kaunselor tersebut berkongsi idea dan bersama-sama beliau dalam sesi kaunseling bersama seorang penagih dadah.

Apa yang menjadi persoalan saya yang tak terjawab sehingga hari ini. Sejauhmanakah keberkesanan kaedah ini untuk membantu para penagih? Sembuh ke penagih tu. ..berkurang ke gian mereka?.
Saya dimaklumkan juga bahwa kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk kaedah rawatan ini termasuk ujian air kencing yang perlu dilakukan kepada mereka. Saya diberitahu, bahwa ujian air kencing ini pun memakan kos yang banyak lebih-lebih lagi ia dapat ‘detect’ secara specific jenis dadah yang diambil oleh mereka. Sedangkan mereka tidak perlu mengeluarkan apa-apa bayaran.

Lagi memeritkan para staff disini, seandainya mereka enggan memberi extra dadah kepada mereka @ tidak melayan mereka dengan baik, biasanya adalah kereta yang tercalar selepas itu. Wallahuallam, saya tidak pasti kesahihan tapi itulah yang saya pernah diberitahu.

Apa yang berlaku sebagaiman di atas, hospital sebagai tempat menagih, saya tidak pelik lansung. Adakah pihak kementerian kesihatan tersalah langkah dengan memperkenalkan kaedah pemberian methadone secara percuma? Kerajaan telah berhabis duit, sedangkan mereka still dengan tabiat dan gian mereka. Itulah kalau semuanya kita nak cedok dari barat!!!

Apa pun tahniah kepada PENGASIH…kerna membantu ramai penagih tegar kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah. Itulah kaedah yang terbaik. Tak perlu berhabis duit tak tentu kalu!

Orang kuat PENGASIH

26 June 2010

Jangan disalah ertikan Gerakan Islam di Kampus

Jangan disalah erti gerakan Islam di kampus

19 Jun lalu di dalam akhbar Berita Harian di ruangan rencana, Saudara Muhammad Aklil Ayob, Naib Presiden 1, Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM menyatakan kebimbangan beliau sekiranya gerakan Islam kampus disalah ertikan setelah hebohnya negara oleh media tentang penularan JI (Jemaah Islamiyyah) di IPTA.
(Gambar sekadar hiasan)
Boleh rujuk;
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JangandisalahertigerakanIslamdikampus/Article

Saya juga ingin menyatakan kebimbangan saya tentang situasi yang berlaku sekarang. Media telah menguar-uarkan tentang penangkapan yang telah dibuat kerana dikaitkan dengan JI, dan dikatakan ada di kalangan pensyarah di IPTA turut terlibat. Saya tidak pasti sejauh manakah kebenarannya yang telah digembar-gemburkan.

Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara telah mengeluarkan kenyataan bahwa Jemaah Islamiah (JI) dikatakan menumpukan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk merekrut ahli baru.

Apa yang saya bimbangi ialah sekiranya gerakan Islam di kampus yang telah tersedia wujud sebagaimana Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di setiap IPTA disalah ertikan sebagai gerakan yang ada kaitan dengan JI.

Sebagaimana yang kita tahu besarnya peranan yang dimainkan oleh PMI dalam proses dakwah, pengislahan dan islamisasi di kampus-kampus di seluruh negara dalam usaha membawa mahasiswa kepada kefahaman Islam yang sebenar. Gerakan amar makruf nahi mungkar wajib di pikul selagi nyawa dikandung badan. Platform ini juga melahirkan ramai pemimpin pelapis yang bakal menerajui kepimpinan.

Mungkin ini juga menjadi kebimbangan para ibu-bapa yang mana anak-anak mereka bakal melangkah ke IPT pada kemasukan Julai ini.

Saya mengharapkan agar pihak polis dan KDN menjalankan siasatan yang telus seandainya benar ancaman daripada JI ini wujud di kampus. Jangan pula sesuka hati melabel individu tertentu tanpa bukti yang kukuh dan fakta yang jelas atas nama untuk menjaga keselamatan negara dan membendung penularan JI.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, “JI ini adalah isu keselamatan dan biarlah pihak polis menjalankan siasatannya. Jangan melabel pihak tertentu sebagai dalang kegiatan ini, saya sarankan hentikanlah kerja itu (melabel) pihak tertentu kerna ia bukan kerja orang Islam menyelesaikan masalah”. Moga-moga saranan ini disambut baik.

Kadang-kadang terfikir juga saya, alangkah bagusnya sekiranya masalah-masalah lain yang timbul dikalangan pelajar di kampus diambil berat sebegini rupa seumpama masalah sosial; zina, pembuangan bayi, pelacuran, dan sebagainya yang turut membimbangkan di kalangan pelajar IPTA. Kerna ini semua juga mengancam ‘keselamatan’ negara.
Kenapa tidaknya, IPT adalah pembekal modal insan kepada negara, seandainya di peringkat IPT sudah membuat onar, tidak mustahil apabila berjawatan nanti turut membuat onar yang lebih dahsyat termasuk jenayah kolar putih. Tidakkah ini mengancam keselamatan negara?

Walaupun apapun penyelesaian yang dicari dan dikorek oleh mana-mana pihak, penyelesaian yang terbaik adalah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada anak-anak muda di IPT.
Usaha inilah yang dipikul oleh Persatuan Mahasiswa Islam di setiap IPT. Mudah-mudahan Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan kebenaran.

30 May 2010

Kalau boleh penuhi syarat-syarat ini...buatlah maksiat!

Kalau boleh penuhi syarat-syarat ini...buatlah maksiat!Ikuti apa kata Ibrahim bin Adham.

Nasihat Ibrahim bin Adham

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Abu Ishak! Selama ini aku suka bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat ini dan mampu melaksanakannya, maka boleh saja kamu melakukan maksiat”. Lelaki itu bertanya, “Apa syarat-syaratnya, wahai Abu Ishak?

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama bila kamu bermaksiat kepada Allah s.w.t, jangan memakan rezekinya”. Mendengar itu dia kehairanan seraya berkata, “lalu dari mana makanan yang aku perolehi? Bukankah semua yang ada di muka bumi ini rezeki Allah?"

“Ya” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih boleh memakan rezekiNya sementara kamu selalu berkeinginan untuk melakukan laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim , “kalau mahu melakukan maksiat, jangan tinggal di bumiNya!" Syarat ini membuatkan lelaki itu terkesima. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sementara kamu melakukan laranganNya?” “Y a, anda benar” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga, Ibrahim menjawab, “kalau kamu masih mahu melakukan maksiat, carilah tempat yang tersembunyi yang tidak dapat dilihat olehNya!”. Lelaki itu kembali terperanjat dan kembali berkata, “Wahai Ibrahim, nasihat apakah ini? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?” “Nah, kalau memang yakin sedemikian,apakah kamu masih berkeinginan untuk melakukan maksiat?”. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang ke-empat.
Ibrahim melanjutkannya, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya , “tangguhkan dulu kematianku, aku mehu bertaubat dan melakukan amal soleh”. Kembali lelaki itu menggelengkan kepala dan segera sedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”. “Wahai Abdullah, kalau kamu sudah menyakini bahawa kamu tidak mampu menunda dan menangguhkan kehadiran matimu, lalu bagaimana engkau boleh lari daripada kemurkaam Allah?”

“Baiklah apa syarat yang kelima?” Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringimu ke neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.” Perkataan tersebut membuatkan lelaki itu sedar. Dia berkata, “wahai Abu Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah” katanya sambil teresak-esak.


Mampukah @ tergamakkah kita melakukan maksiat, noda dan dosa kepada Allah sedangkan semua yang kita ada ini adalah hak milikNya dan kita menumpang di bumiNya...bahkan jasad ini yang kita gunakan untuk beribadat padaNya pun adalah hak milikNya....? segala-galanya daripada Allah...Ya Allah aku bertaubat.

29 May 2010

Ya Allah..Kurniakanlah Usia yang Berkat.

27 MEI 2010
Biasanya tarikh ini paling aku takut untuk hadapi…bila menjelangnya 27 Mei, umur berginjak setahun lagi..bila masa berlalu…kita takkan mampu berundur lagi biarpun sesaat. ‘Masa muda hanya sekali’…benar…bila berlalu masa muda belia…kita takkan kembali muda lagi..Di saat itu menyesal pun tiada guna, melainkan orang yang beriman dan beramal kebajikan, Allah menjanjikan mereka tidak rugi sedikitpun..

Sebaik-baik kamu ialah yang panjang umurnya serta baik amalannya-Riwayat Imam Al-Hakim dari Jabir RA-

Ya Allah…syukur padamu sehingga ke saat dan ketika ini aku masih mampu lagi bernafas dan diberi peluang untuk beramal. Ya Allah, kurniakan pada ku umur yang bermanfaat. Yang bermanfaat untuk agamaku dan ummahku.

Setiap tahun tibanya tarikh ini, pasti aku dihujani dengan 'messages' daripada sahabat-sahabat. Mereka setia mendoakan sahabat mereka. Aku butuh pada doa-doa kalian wahai sahabat-sahabatku, kerna ia adalah sebahagian daripada kekuatan yang ku ada.

“Pertemuan yang pertama kali membawa ukhwah yang sejati…Ya Allah, insan ini temanku mesra kami penawar duka…Ya Allah, insan ini temanku silaturahim kami ukhuwwah fillah, bermusuh kami na’uzubillah, berpisah mati InsyaAllah…Yang Allah insan ini temanku…rahmati kami meniti usia, terpisah kami di bumi nyata, temukan kami di taman Syurga.”

Ya Allah aku butuh doa ini dari Sahabat2ku!
Ya Allah kurniakan pada kami usia yang berkat.
Peliharakanlah diri kami daripada melakukan kemurkaan-Mu

28 MEI 2010
Adik-adikku buat kejutan hari ini…sampai tak terkata dibuatnya…, ia berlaku di Steambot Jonny ECM. Pandai benar mereka buat ‘plan’, master plannya si bongsu..memang menjadi.
SubhanAllah…memang terharu dibuat mereka. Terima kasih yang tidak terkata buat adik-beradikku Amirah Asri, Munirah Mansor, Norhafizah Mohd Izzi and Nor Afiqah Menhat…May Allah bless you all(^..^)


Ya Allah aku butuh pada ukhuwwah yang sejati sehingga aku dikurniakan mereka untuk berkongsi rasa dan ilmu.

Family is about love, and love is a moment that lasts forever

photo adalah ehsan Amirah Asri (@..@)

19 May 2010

Oh Malaysiaku...bakpo la jadi gini!

Oh Malaysiaku…bakpo la jadi gini!
Dari satu isu ke satu isu…semuanya pelik dan memeningkan dan menyerabutkan.
Semuanya dah memey tak betul.

Sepatutnya ibu menjaga anak, Malaysia dia pelik, g buang anak sendiri.

Polis hak patut jaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman, g buat onar juga, bunuh rakyat sendiri, pahtu media plak tak pasal-pasal g tuduh arwah tuh penjenayah…buat mahkamah sendiri.

Kita ni katanya Negara Islam dipimpin oleh yang beragama Islam, pahtu bakpo plak g bersekutu dengan Zionis…APCO plak tuh..jelah-jelah Tuhan kata Yahudi Zionist tu musuh kita, yang takkan berhenti walaupun sesaat untuk menghancurkan Islam.

Reformist yang bersuara, ditentang hebat-hebat…tiada kebebasan bersuara...ditentang bilamana sama-sama untuk mengharmonikan negara.

Ulama dikutuk habis-habisan, bukan saje kutuk tapi ugut nk bunuh…apa dia ni…bukannya ore lain pun, ore Islam juga ugut…budak mentah lagi…sapo dia?...dunia ni milik dia ke, sedap sangat bercakap.

Pilihanraya tak jadi seperti pilihanraya doh…hak ni malas la nk ngulahnyo….

'Katak' pun banyak doh loni dalam parlimen…semakin membiak!

Ni pun pelik lagi memelikkan, tapi kalu jadi kat kerajaan Malaysia, memey tak pelik dh rasanya…naturenya memey gitu, kalu dh namanya memey nk tolak Islam…yang halal diharamkan, yang tang-tang haram dihalalkan…ada ko patut, judi boleh jadi halal! tokse percaya pun...benda hak berlaku betul.

Kalu gitu gak, ada judi halal, ada judi haram, ada zina haram dan ada zina halal! Yang haram boleh jadi halal bila dapat lesen. Dia ingat agama tuh urusan dia!

Pasal minum arak, Kartika tuh nk dihukum sebat dah, bersedia…tapi ada juga hak tok wi…bertegas nak tentang hukum Tuhan.

Isu-isu lama…hak sentiasa jadi masalah tak tahu lagi la bila nk settle…mat rempit dok merempit situlah…penagih dadah gitu juga..masalah sosial lagi la.. tak payah sebut…
Kes-kes penceraian berlambak…, hak kahwin bercerai, hak berzina-zinalah…anak luar nikah dok tubik sokmo…pahtu malu…bunuh…buang…pah satu-satu kes, tak selesai2…mace2 la plak wat tubik idea mikirnya…idea nak kasi-mengkasi hak zaman purba (zaman kegelapan) ore putih pun ada dicanangkan…memey gitu dah namanya kalu nak lari dari hudud Tuhan

Kes jenayah pun gitu jugalah…jadi mace biasa2 doh blako…ore kata bila dengar kes bunuh-bunuhan ni, tak pelik doh loni…jadi halwa telinga dah…biasa la Malaysia.

Tak tahulah nk kato gapo…peninh mikir masalah umat nih…

Cuba mikir sikit, kalu la berterusan gini, 10 tahun akan datang jadi gano Malaysia Negara Tercinta ni…tak selamat dah!

Kesian ko Malaysia, dia x bersalah…bersalahnya ore hak buat tu lah dan ore hak tak layak jadi pemimpin, memimpin tak tentu kalu…nak lawan hak Tuhan suruh.
Ya Allah...bukakanlah pintu hati mereka untuk bertaubat. Berikanlah kekuatan kepada Pemimpin-pemimpin Islam kami dan hak yg nk bawa Islam Ya Allah. Biarlah 1Malaysia itu bertukar kepada Malaysia Mentauhidkan Allah yang 1.

15 May 2010

Senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati...








Senyumlah seumpama senyuman ini...dengan penuh ikhlas, senyuman dari hati yang bersih seumpama senyuman bayi yang punya hati yang bersih(^~^)

08 May 2010

Bangau oh Bangau...why?why? and why?

Bangau oh Bangau….why? and why?

"Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus…" lagu ni tersangat famous di kalangan kanak-kanak, sebut je, semua orang tahu lagu ini dan mampu menyanyikannya. Rentak lagu ini memang ada lucunya, mungkin sebab itulah lagu ini menjadi nyanyian kanak-kanak zaman-berzaman disamping rentaknya yang ‘monotonous’.

Saya pernah membaca satu artical di blog Ustaz Pahrol Mohd Juoi dilamannya http://genta-rasa.com/2008/12/26/bangau-oh-bangau-–-budaya-menuding-jari/. Memang menarik article itu. Terima kasih Ustaz Pahrol kerna membuka minda saya.

Memang benar kata Ustaz Pahrol, “walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan”.

Tetapi hari ini saya mendapat idea dan pengajaran yang lain daripada lagu ini. Bukan berkenaan tuding-menuding jari yang ingin dibincangkan. Tetapi ‘bangau oh bangau...’ menceritakan bagaimana cara kita berfikir!

Berbezanya orang yang berfikir berbanding yang tidak berfikir.

Saya berfikir panjang dengan kekreatifan lagu ini. Penulis liriknya tidak menyangka bahwa lagunya ini boleh ditafsir dengan pelbagai.

Kreatifnya lagu ini terletak pada sifat ingin tahu....why and why?...kenapa ia berlaku...semuanya menjadi persoalan dan difikirkan.

Berbezanya orang yang berfikir dengan tidak berfikir adalah bilamana ditanya “bangau oh bangau kenapa engkau kurus... macam-mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul. Stop! That’s all...no other things to be enquired (an act of asking for information).

Tetapi…untuk orang yang suka berfikir, persoalan yang pertama membawa kepada persoalan yang seterusnya sehinggalah dia berpuas hati dan benar-benar memahami apa yang ingin didalaminya.
"Why?" Yang pertama membawa kepada "why?" yang kedua…dia tidak kisah walaupun sepuluh kali "why?" pun untuk mencari jawapan. Asalkan dia berpuas hati dan benar-benar faham.
Sehingga kefahamannya membawa kepada sedar akan kewujudan ular dan sememangnya katak itu makanan si ular.Ini adalah suatu siratan. Sehingga ke tahap itu dia berfikir dan mengkaji

Manusia seumpama ini wujud. Sebab itulah ada lagu “bangau oh bangau”. Sehingga ke penghujungnya dia ingin tahu jawapan kepada persoalannya. Tetapi kewujudan sedikit.

Semua orang dikurniakan akal tetapi tak semua orang menggunakannya dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

Berfikir dengan lebih jauh

Memang susah untuk menjadi orang yang mampu berfikir dengan lebih jauh dan suka berfikir. Kadang-kadang kita tertipu dengan diri sendiri, menyangka kita sudah banyak tahu dan banyak faham.


Tetapi sebenarnya kita silap..kita hanya sekadar menghantar mesej kepada otak kita ‘cukuplah sekadar ini yang perlu aku tahu...stop!’. Pemikiran ini boleh mematikan sel-sel otak kita! Buktinya.
“Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir, semakin banyak sel yang terbentuk”


Fakta yang menarik. Orang yang jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir mempunyai paling minimum 10,000,000,000 (10 bilion) sel. Setiap sel berhubung antara satu sama lain.

Orang yang rajin dan kuat berfikir mempunyai sehingga 1,000,000,000,000 (1 trilion) sel dalam kapasiti saiz otak yang sama.


Allah memberi kemampuam manusia berfikir tanpa bergantung kepada saiz atau berat fizikal yang sebenar. Sebaliknya ia bergantung kepada struktur sel-sel saraf neuron yang terkandung di dalam otak.

Aplikasikan di dalam pembelajaran


Semasa saya ‘clinical posting’ di ‘Emergency Department’, teruk juga saya dimarahi oleh salah seorang pensyarah saya daripada Kulliyyah of Nursing kerna tidak mampu berfikir dengan mendalam apabila disoal.

Saya tidak kisah akan kemarahan itu, itu memang asam dan garam, pahit dan manis sebagai seorang pelajar. Sebaliknya apa yang saya kisah ialah saya cukup insaf dengan teguran beliau dan kemarahannya. Saya amat berterima kasih kepada beliau. Cukup membuatkan saya terfikir dan berfikir panjang lantas bermuhasabah diri.

Pengajarannya apa yang saya boleh kongsikan ialah kadang-kadang sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak benar-benar mengambil kisah apa yang kita pelajari dan kita tidak benar-benar faham apa yang kita belajar. Kadang-kadang hanya sekadar hafalan untuk lulus dan ‘score’ dalam ‘exam’, selepas itu ‘nothing’/’zero in the brain’.

Tiada inisiatif untuk tahu dengan lebih mendalam tentang apa yang dipelajari. Tidak benar-benar memahami. Sebab itulah, di akhir pembelajaran di dalam dewan kuliah kita cepat lupa dan lansung tidak ingat apa-apa yang dipelajari. Ingat dan faham adalah sangat-sangat berbeza!

Hafal dan hanya sekadar ingat tidak membawa apa-apa makna, tetapi faham dan terus berusaha untuk lebih faham akan membawa kepada ingatan yang lebih kekal dan pembelajaran yang amat bermakna.

Kata Percy Bysshe Shelley “The more we study, the more we discover our ignorance”

Kata juga L.Carte “Only those who have learned a lot are in a position to admit how little they know”

Saya sedar, bukan senang untuk menjadi orang yang hebat dalam berfikir dan boleh menjadi pemikir seterusnya mencetuskan idea-idea dan ilmu-ilmu yang baru. Tetapi ia tidak mustahil untuk kita meletakkan diri di tahap seorang pemikir yang hebat selagi mana kita berusaha ke arah itu.

Segala-segalanya terletak pada kemahuan yang kuat untuk berjaya dan dengan izin Allah s.w.t dan kita tidak pernah jemu untuk berlatih berfikir dan berfikir dan memanfaatkan anugerah yang tidak ternilai ini.

Rasullullah s.a.w pernah berpesan kepada Abu Zar yang wajar kita hayati, mafhumnya;

“Wahai Abu Zar, tidak dinamakan seseorang itu berakal jika akalnya tidak digunakan untuk berfikir dan tiada dinamakan warak melainkan menahan (daripada perkara syubhah), tidak ada usaha yang dianggap bermanfaat melainkan berakhlak mulia”(Riwayat al-Baihaqi no 8031 dan Ibn Hibban).

Bersabda Rasulullah s.a.w lagi menunjukkan peri-pentingkan untuk kita memanfaakan akal yang dikurniakan oleh Allah, mafhumnya;

“Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadah sepanjang malam” (Riwayat Abi Daud no.298).

Wallahua’llam

Penulis: dedication to my beloved lecturer Sr.Nurul Ain, for giving me the idea about this and changed the way of my thinking and inspired me!

"The mediocre teacher tells, the good teacher explains, the superior teacher demonstrates, the great teacher inspires!" William Arthur Ward

"Bangau Oh Bangau Kenapa Engkau Kurus..."


"Bangau Oh Bangau Kenapa Engkau Kurus"....

Does anyone of you knows the lyrics of this famous song "Bangau Oh Bangau Kenapa Engkau Kurus"....It's a famous Malay song which all of us might had sang during our childhood time.....Let we know please....we can learn a lot from this song!

Bangau oh bangau,
kenapa engkau kurus?
macam-mana aku tak kurus,
ikan tak mahu timbul - ikan tak mahu timbul
ikan oh ikan,
kenapa engkau tak timbul?
macam-mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat - rumput panjang sangat
rumput oh rumput,
kenapa engkau panjang?
macam-mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku - kerbau tak makan aku
kerbau oh kerbau,
kenapa tak makan rumput?
macam-mana aku nak makan,
perut aku sakit - perut aku sakit
perut oh perut,
kenapa engkau sakit?
macam-mana aku tak sakit,
makan nasi mentah - makan nasi mentah
nasi oh nasi,
kenapa engkau mentah?
macam-mana aku tak mentah,a
pi tak mahu menyala - api tak mahu menyala
api oh api,
kenapa engkau tak mahu menyala?
macam-mana aku nak menyala,
kayu api basah - kayu api basah
kayu oh kayu,
kenapa engkau basah?
macam-mana aku tak basah,
hujan timpa aku - hujan timpa aku
hujan oh hujan,
kenapa timpa kayu?
macam-mana aku tak timpa,
katak panggil aku - katak panggil aku
katak oh katak,
kenapa panggil hujan?
macam-mana aku tak panggil,
ular nak makan aku - ular nak makan aku
ular oh ular,
kenapa nak makan katak?
macam-mana aku tak makan,
memang makanan aku - memang makanan aku!!!
betul juga tu ye…memang makanan engkau - memang makanan engkau!!!

Source(s):
http://whereinsoever.wordpress.com/2007/03/01/every-culture-has-a-folk-song-about-the-circle-of-life-in-malaysia-it-is-fondly-called-bangau-oh-bangau/

Bangau oh bangau….budaya menyalahkan orang lain? Or Bangau oh bangau…why? And why?...let we discuss together in the next entry.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails