24 June 2009

Ketupat Cinta


"Apalah yang lebih jahat dari manusia yang ingin membunuh jati diri bangsanya. Bila ia perlukan al-Qur'an dan undang-undang Islam seperti qazaf, ia akan menggunakan sekian ulama untuk menolongnya. Bila tiada perlu ia agama, ia akan mengelak-ngelak dan mendakwa agama dan siasah itu terpisah tiada kena-mengena. Ini jenis permaisuri celaka namanya." — Faisal Tehrani (Ketupat Cinta : Musim Pertama)

Nah…saya hidangkan Ketupat Cinta buat kalian.
Tapi bukan saya yang membikinnya,
Hanya Faisal Tehrani yang mencipta dan mengolah masakan ini.
Kalian telah mencubanya?
Rasalah…pasti kalian akan kempunan lagi pada lainnya.

Kalau Manikam Kalbu…pada falsafah pakaiannya; Melayu dan Islam,
Bedar Sukma Bisu pada falsafah pelayarannya, Advencer Si Peniup Ney pada falsafah kesenian Islam…dan banyak lagi…kini Ketupat Cinta didatangkan dengan falsafah masakan. Sudah tentu menarik.

Tiada buku yang pernah saya baca sehingga saya tersengih-sengih, terkekek dan tergelak, melainkan buku ini…gayanya seperti membaca Ujang. Tapi dengan syarat kalian tidak mati rasa atau buta isu.

Jika kalian ‘alert’ isu kita bersama, isu agama, isu semasa, isu nasional, kalian tidak akan mati rasa.

Seandainya kalian tidak merasa apa-apa saat menikmatinya…kalian jangan salahkan saya.

Kita lihat apa komen pembaca yang lain di http://www.goodreads.com/

Kalaupun ini bukan buku terbaik FT, Ketupat Cinta tentunya buku yang paling sedap dan enak dinikmati. Kalaupun tidak menjilat jari, tentunya meleleh air liur kerana banyak tersengih sendiri.
Dalam buku ini, pembaca bukan sahaja menemui pelbagai resepi masakan Melayu lama, bahan-bahan dan cara memasaknya dan falsafah di sebalik setiap masakannya. Malah, sebenar-benarnya buku ini adalah sebuah satira politik yang menyentuh pergolakan siasah masa kini dengan adunan yang sungguh bijak sekali.
Pengekor isu-isu semasa, pastinya tidak sukar untuk mencari perkaitan antara kisah-kisah dalam Ketupat Cinta dengan peristiwa sebenar semasa. Bolehlah diibaratkan FT sebagai tukang masak handalan yang mengambil bahan-bahan dari isu semasa, digaulkan dengan ramuan-ramuan masa lalu, dihidangkan sebagai Ketupat Cinta, untuk makanan minda. FT juga bijak mencipta watak-watak dalam Ketupat Cinta. Ah, bagaimana bijaknya tidaklah dapat hakir babadkan di sini. Kenalah baca sendiri.

Pembaca yang lain,

Hilarious, humorous, and I just cant stop laughing while passing through pages to pages of Ketupat Cinta yet it was a very thoughtful writing(as always), which emphasizes food as a subject for philosophical reflection.

Lagi…

Saya kagum dengan kemahiran FT mengadun watak. Setiap watak itu bagi saya tidak mewakili individu tertentu dalam krisis siasah Malaysia, tetapi mewakili kelompok-kelompok tertentu.

Komen lagi.
Pelbagai nama watak yang telah dipalsukan terdapat di dalam Ketupat Cinta. Lama juga saya berfikir siapa Rosjah. Siapa RaJim. Siapa Lo' Ganish. Pembaca perlu membaca dan memahami situasi serta isu yang cuba dibawa penulis. Kemudian barulah boleh meneka siapakah watak yang cuba dimaksudkan itu. Tetapi, bukan 100% karakter di dalam Ketupat Cinta dilakukan oleh watak tersebut di alam realiti. Ia cuma kiasan sahaja.
Tak usahlah saya mengisahkannya di sini lebih-lebih, pasti tak sama cara setiap individu mencerna dan menilainya biarpun seakan-akan sama.
Mudah-mudahan kita tidak mati rasa dan beku pemikiran, banyak benda perlu dicakna agar tidak tertipu dengan ilusi kerna kita sedang berdepan dengan realiti. Apa yang terpapar di hadapan kita adalah realiti, begitu juga apa yang ingin dinyatakan oleh Saudara Faisal Tehrani adalah realiti.
Cubalah rasa Ketupat Cinta, pasti kalian tidak menyesal. Jangan lambat-lambat. Takut basi isinya.
Penulis: Thanx so much to http://kalamhawariyyun.blogspot.com/ kerana meminjamkan Ketupat Cinta kepada saya. Saya tertunggu-tunggu untuk merasa Ketupat Cinta Musim Ke-seterusnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails